KD Mahawangsa
KD Mahawangsa merupakan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia yang berperanan sebagai kapal sokongan pelbagai peranan seberat 4,300 tan dan sepanjang 100 meter yang berpengkalan di TLDM Lumut di Perak, Malaysia. Ia dinamakan sempena Hikayat Merong Mahawangsa, lagenda pengasas kerajaan Kedah Tua.
Kapal ini mempunyai rekabentuk yang serupa dengan satu lagi kapal bantuan TLDM iaitu KD Sri Indera Sakti yang dibina di Jerman. Satu-satunya perbezaan antara kedua kapal ini ialah ketiadaan serombong asap pada Mahawangsa. Perbezaan ini memudahkan kedua kapal ini dikenali dari tinjauan jauh. Walaupun begitu kapal-kapal ini mempunyai fungsi yang sama, sebagai sokongan armada.
Kapal ini telah terlibat dalam berbagai tugas bantuan kemanusian antaranya bantuan kemanusiaan bagi pelarian Afghan pada 2001 dan bagi membantu mangsa Tsunami 2004, dan menghantar kenderaan berperisai infantri dari Briged Infantri ke-4 (Mekanis) sebagai sebahagian dari pasukan pengaman bagi Operasi Astute ketika krisis Timor Leste 2006.
Dalam peranannya sebagai kapal pemerintah, KD Mahawangsa telah terbabit dalam beberapa latihan sama ada melibatkan tentera laut sekutu atau tidak, seperti latihan bersama Tentera Laut Diraja Thai yang dikenali sebagai THALAY LAUT, latihan Starfish di bawah kerjasama lima negara Five Power Defence Arrangement dan siri latihan Cooperation Afloat Readiness And Training (CARAT) bersama dengan Tentera Laut Amerika Syarikat. Upacara penutup bagi CARAT Malaysia 2004 diadakan di atas kapal KD Mahawangsa, ketika berlabuh dipersisiran Pulau Tioman.