Kamaluddin Muhamad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Keris Mas atau nama sebenarnya Kamaluddin Muhamad ialah seorang wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan, dan pengkritik di Malaysia. Beliau ialah Sasterawan Negara Malaysia pertama yang telah dinobatkan pada 1981.

Beliau dilahirkan di Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 10 Jun 1922. Menerima pendidikan di Sekolah Melayu Bentong; Sekolah Tawalib di Sumatera iaitu sebuah sekolah menengah dengan pengantar bahasa Indonesia dan bahasa Arab. Keluarganya berharap beliau akan bekerja sebagai guru agama. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Kolej Kulliahtul Muallimin Al-Islamiah, Sumatera (Maktab Perguruan Islam) bagi melayakkan beliau menjadi seorang guru. Beliau juga mempelajari bahasa Belanda. Kemudian, beliau belajar di Pitman College, Singapura (1940) untuk mengambil peperiksaan matrikulasi Universiti London. Namun, pengajiannya terhalang kerana Perang Dunia Kedua meletus.

Beliau telah berkahwin dengan pasangannya, Roswita Ali dan dikurniakan 2 orang anak.

Keris Mas
Kelahiran
Kamaluddin bin Muhamad

(1922-06-10)10 Jun 1922
Kampung Ketari, Bentong, Pahang
Meninggal dunia9 Mac 1992(1992-03-09) (umur 69)
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur
Pekerjaanwartawan
editor
pentadbir sastera
sasterawan
pengkritik
Tahun aktif1981–1992
PasanganRoswita Ali
Anak-anak2

Politik[sunting | sunting sumber]

Beliau pernah terbabit dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) cawangan Pahang dan menjadi Exco penerangannya. Pada 1947, Keris Mas hadir dalam Kongres PKMM di Singapura mewakili negeri Pahang.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Semasa penjajahan Jepun, Keris Mas bekerja sebagai kerani di gudang percetakan Dai Nippon Insatsu di Singapura.

Apabila British kembali ke Tanah Melayu pada 1948, beliau berkhidmat di akhbar Melayu Raya dan Warta Negara sebelum berpindah ke Utusan Melayu di Singapura. Tumpuan tugas beliau ialah memastikan majalah Mastika dan akhbar Utusan Zaman mendapat tempat di hati pembaca.

Beliau berpindah ke Dewan Bahasa dan Pustaka setelah dijemput oleh Ungku Aziz yang menjadi pengarah DBP cawangan Johor Bharu sebagai Ketua Bahagian Pengarang (1 Julai 1966 – 30 Jun 1971) dan sebagai Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera mulai 1 Julai 1971 hingga 10 Jun 1977. Beliau bertangungjawab sebagai Ketua Pengarang majalah Dewan Sastera dan Dewan Bahasa. Keris Mas bersara pada tahun 1977.

Kegiatan persatuan[sunting | sunting sumber]

Keris Mas ahli aktif dalam Angkatan Sastera 50 atau 'Asas 50' Novel dan cerpen Asas 50 cenderung kepada 'Seni untuk Masyarakat'. Mereka pernah menghantar 'Memoranda Asas 50' kepada kerajaan dan membentangkan cita-cita dan perjuangan pertubuhan itu. Kegigihannya menyebabkan beliau dilantik sebagai Ketua Satu ASAS 50.

Semasa berkhidmat di DBP, beliau aktif dalam Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Penulisan[sunting | sunting sumber]

Keris Mas dalam berkarya telah menghasilkan 60 buah cerpen dengan cerpen pertamanya berjudul Wasiat Orang Bangsawan, tersiar di majalah Suluh Malaya (1 Jun 1946). Semua cerpen-cerpennya terkumpul dalam antologi cerpen: Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Patah Tumbuh (1963) dan Pertentangan (1968). Antologi cerpen Patah Tumbuh juga pernah menjadi teks subjek Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM.

Antara novel penghasilan Keris Mas ialah Pahlawan Rimba Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (1983) dan Rimba Harapan (1985). Novel Rimba Harapan telah diterjemahkan oleh Adibah Amin kepada 'Jungle of Hope' dan diangkat sebagai teks kajian komponen sastera, Bahasa Inggeris SPM.

Beliau banyak menghasilkan karya kreatif lama sebelum ASAS 50 ditubuhkan. Novel pertamanya, Pahlawan Rimba Malaya (1976) lebih pendek daripada manuskrip asalnya kerana penerbit berhadapan kekurangan kertas. Pahlawan Rimba Malaya, Korban Kesuciannya dan Anak Titiwangsa merupakan tiga buah novel yang sederhana. Pahlawan Rimba Malaya ditulisnya selepas pendudukan Jepun sementara Korban Kesuciannya (1949) ditulisnya semasa bekerja di Utusan Melayu. Anak Titiwangsa (1967) pula dihasilkan semasa di DBP.

Selaku Pegawai Penerangan PKMM, beliau menulis sebuah cerpen perjuangan bertajuk “Darah dan Air Mata” (majalah Kenchana ; 15 Oktober 1947). Antara 1950–1960-an, beliau cukup aktif menghasilkan cerpen bermutu berkisar tentang masyarakat Melayu tempatan dan berunsur didaktik (bertujuan mengajar).

Persoalan yang relevan pada masa itu yang digarap oleh beliau ialah soal cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat dan sosial-politik sesudah merdeka 1957. Semua persoalan berdasarkan pengalaman Keris Mas di Pahang dan seluruh Tanah Melayu/Singapura sejak tahun 1940-an hinggalah sesudah merdeka, 1957.

Penghargaan[sunting | sunting sumber]

Beliau dipilih sebagai penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka selama setahun (1 Julai 1977 hingga 30 September 1978). Sebagai Penulis Tamu, beliau menulis memoir mengenai penglibatannya dalam perkembangan sastera sepanjang 1945–1977. Keris Mas menjadi Karyawan Seni di Universiti Malaya (1979–1980) dan membantu dalam kursus penulisan kreatif. Pada 1980-an, Keris Mas menghasilkan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur – novel sosiopolitik yang disiarkan setiap minggu di akhbar Mingguan Malaysia.

Beliau dilantik sebagai Penulis Tamu DBP sekali lagi (1985–1986) dan berjaya menghasilkan sebuah novel yang berjudul Rimba Harapan.

Beliau menerima 'Anugerah Pejuang Sastera' dan membawa pulang RM10 000.00, watikah daripada kerajaan pada 29 Mei 1976. Kerajaan melantik beliau sebagai Setiausaha Panel Hadiah Karya Sastera (1971–1976), dan anggota Panel Anugerah Sastera Negara 1979. Beliau penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama (1981). Majlis diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen pada 26 April 1981 oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar. Pada tahun 1987, beliau menerima Anugerah ASEAN (dalam bidang kesusasteraan).

Keris Mas juga dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia pada 5 Ogos 1989.[1][2][3]

Kolej kediaman mahasiswa di UKM, Bandar Baru Bangi turut dinamakan sebagai 'Kolej Keris Mas'.[4]

Hasil penulisan[sunting | sunting sumber]

  1. Anak Titiwangsa : DBP, 2010.
  2. Darah dan air mata : kumpulan cerpen pilihan : DBP, 2006.
  3. Saudagar Besar dari Kuala Lumpur: DBP, 2003.
  4. Sasterawan negara Keris Mas : tanggapan tokoh dan sarjana/ diselenggarakan oleh A. Karim Abdullah & A. Rahim Abdullah : DBP, 2001.
  5. Jungle of hope / Keris Mas ; (terjemahan) Adibah Amin. : DBP, 2000.
  6. Koleksi terpilih sasterawan negara Keris Mas / penyelenggara A. Rahim Abdullah: DBP, 1995.
  7. Dua novel Keris Mas : Pahlawan Rimba Malaya dan Korban Kesuciannya / diselenggarakan oleh A. Karim Haji Abdullah : DBP, 1993.
  8. Kumpulan cerpen 1946-1989 : DBP, 1992.
  9. Patah tumbuh : Cerita-cerita pendek dikumpulkan dan dibicarakan oleh Syed Husin Ali :Fajar Bakti, 1991
  10. Perbincangan gaya bahasa sastera : DBP, 1988.
  11. Rimba harapan : DBP, 1986.
  12. Darah dan Air Mata: Fajar Bakti, 1984
  13. Esei pilihan Keris Mas : kesusasteraan, bahasa, dan kemasyarakatan / disusun oleh A. Bakar Hamid.: DBP, 1981.
  14. Laporan Panel Anugerah Sastera Negara, 1981 : DBP, 1981.

Terjemahan ke dalam bahasa Rusia[sunting | sunting sumber]

  1. Keris Mas. Nashi Torgovie Ryadi (Kedai Sederet Di Kampung Kami). Terjemahan B. Parnikel – U Obochini Shosse. Rasskazi Sovremennih Malayskih Pisatelei (Di Tepi Jalan. Cerita Pendek Penulis Melayu Moden). Penyusun B. Parnikel. Moscow: Vostochnaya Literatura, 1963.
  2. Keris Mas. Oni Ne Ponimayut (Mereka Tidak Mengerti). Terjemahan R. Korigodsky – Sovremennaya Malayziyskaya Novella (Cerita Pendek Malaysia Moden). Penyusun V. Sigaev, B. Parnikel. Prakata oleh B. Parnikel. Moscow: Progress, 1977.
  3. Keris Mas. Chudo-Pechka (Dapur Ajaib). Terjemahan E. Cherepneva – Aziya i Afrika Segodnya (Asia dan Afrika Hari Ini), 1979, № 5, hlm. 11-16.
  4. Keris Mas. Oni Ne Ponimayut (Mereka Tidak Mengerti). Terjemahan R. Korigodsky – Izbrannie Proizvedeniya Pisateley Yugo-Vostochnoy Azii (Karya Pilihan Penulis Asia Tenggara). Moscow: Khudozhestvennaya Literatura, 1981.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Keris Mas atau Kamaluddin Muhamad meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 9 Mac 1992 kerana sakit jantung. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Beliau terlantar di hospital beberapa lama kerana penyakit misteri.

Beliau meninggalkan isteri Roswita Ali, dua anak Hayati dan Amir, dan tujuh orang cucu.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Kamaludin Muhammad[pautan mati kekal]
  2. ^ "Laureate Keris Mas dies of heart attack", The New Straits Times, 10 March 1992, pp. 1 & 3, col. 8
  3. ^ Keris Mas, 30 Tahun Sekitar Sastera, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979), p. 131
  4. ^ "Nama Kamsis ditukar kepada kolej". Utusan Malaysia. 6 Mac 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-10. Dicapai pada 11 Mac 2018 – melalui Utusan Online. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]