Kampung Kepayan Baru

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kampung Kapayan Baru merupakan sebuah perkampungan yang terletak kira-kira 20 km dari Keningau, Sabah. Perkampungan ini terletak di bawah Dewan Undangan Negeri Sook dan kawasan Parlimen Pensiangan. Majoriti penduduk adalah masyarakat kaum Dusun yang telah menetap di sini sejak tahun 1960-an.

Penduduk di Kampung Kapayan Baru menjalankan aktiviti menanam padi dan kebanyakan mereka mempunyai bendang sendiri. Pengunjung yang datang bertandang ke sini pastinya akan terpegun dengan keindahan sawah padi di sini. Tanaman padi masih lagi menggunakan kaedah tradisional.

Dahulu, pengunjung perlu merentasi Sungai Pegalan dengan menaiki perahu ataupun jambatan gantung yang dibina oleh orang kampung. Kini, segalanya telah berubah dan semakin mudah. Sebuah jambatan besi telah dibina oleh kerajaan dalam usaha memajukan kawasan luar bandar dan untuk memudahkan sesiapa sahaja untuk datang ke kampung ini. Jambatan besi ini boleh dilalui oleh segala jenis kenderaan. Walaupun ditelan masa, jambatan gantung ini masih kekal utuh dan berkhidmat untuk penduduk kampung.

Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Nama Kampung Kapayan Baru diambil bersempena dengan penempatan baharu yang dibuat untuk penduduk asal di Kampung Kapayan Lama. Mereka dipercayai berpindah ke sini untuk membuat sebuah penempatan yang baharu. Selain itu, ada juga beberapa penduduk yang berasal dari sekitar kawasan Kampung Garas, Tambunan yang mengambil keputusan untuk turut sama berpindah ke Kampung Kapayan Baru. Peristiwa tersebut berlaku sekitar tahun 1963 di mana terdapat beberapa orang penduduk yang mengambil keputusan untuk membuka sebuah penempatan di Kampung Kapayan Baru.

Kedudukan kampung yang strategik di tebing Sungai Pegalan menjadikan ramai penduduk memilih untuk menetap di Kampung Kapayan Baru. Pada ketika itu, kebanyakan mereka berhubung dengan masyarakat sekitar melalui jambatan gantung yang dibina atau berakit jika ingin ke kawasan seberang. Keunikan perhubungan ini yang menjadikan hubungan di antara penduduk kampung dengan kawasan sekitarnya sangat baik.

Di Kampung Kapayan Baru juga terdapat sebuah batu yang menjadi tempat pemujaan penduduk kampung suatu ketika dahulu. Namun kerana peredaran masa, maka penduduk tidak lagi menggunakan batu tersebut untuk sebarang upacara pemujaan dan sebagainya.

Perubahan kampung yang semakin bertambah baik juga dapat dirasakan oleh penduduk yang telah menetap di sini sejak sekian lama. Selain infrastruktur dan kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan, taraf hidup penduduk di sini juga dilihat semakin maju dan turut mempunyai sumber pendapatan yang tetap untuk menampung kehidupan masing-masing.

Populasi[sunting | sunting sumber]

Penduduk di Kampung Kapayan Baru dianggarkan seramai 500 orang terdiri daripada golongan kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga tua. Golongan kanak-kanak dan dewasa adalah sebanyak 30 peratus manakala bakinya adalah golongan remaja dan warga tua. Hubungan di antara penduduk sangat rapat dan akrab kerana kedudukan rumah masing-masing terletak berdekatan di antara satu sama lain dan berpusat. Selain itu, penduduk kampung juga turut melakukan aktiviti pertanian secara berkelompok di mana ketika musim menuai padi, mereka akan saling bekerjasama dan bantu membantu dalam mempercepatkan setiap proses yang dilakukan. Anak-anak muda juga turut membantu ibu bapa selepas habis waktu persekolahan atau ketika musim cuti sekolah.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]