Kampung Nako Nambua

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kampung Nako Nambua adalah sebuah kampung yang terletak di daerah Padang Terap di negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Pekan terdekat dengan kampung ini adalah Kuala Nerang, (5 km) yang merupakan ibu daerah. Ibu negeri iaitu Alor Setar, terletak kira-kira 32 km dari kampung ini.


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Asal usul nama kampung ini amat unik kerana nama Nako Nambua agak serupa dengan satu-satunya kampung yang terletak di Fiji. Terdapat juga beberapa tempat di benua Afrika yang bernama "Nakos dan "Nambuas", namun tiada yang mempunyai dua pasangan nama yang serupa seperti "Nako Nambuas". Perkataan Nako dikatakan berasal dari bahasa Thai, namun bagaimanapun, perkataan tersebut tidaklah menjadi suatu kebiasaan untuk digunakan oleh penduduk negeri Kedah walaupun memang ternyata bahawa Kedah dahulunya pernah dikuasai oleh Kerajaan Srivijaya mahupun Kerajaan Siam, sebelum Kedah diletakkan dibawah Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-15 Masihi.

Menurut wawancara di antara wartawan akhbar New Sunday Times edisi 20 Jun 2010, iaitu Zahratulhayat Mat Arif bersama Badaruddin Mohammad 47, (Pengerusi Komiti Pembangunan dan Keselamatan Kampung Nako Nambua), Kampung Nako Nambua telah dibuka dan dinamakan sempena nama seorang peladang Muslim yang berasal dari Pattani, selatan Thailand. Namanya ialah Nam Bua, dia telah datang ke kawasan ini (kampung ini) bersama isteri dan anak lelakinya). Pada asalnya, kawasan ini adalah hutan belantara yang penuh dengan semak samun. Namun setelah beberapa lama kemudian, kawasan tersebut telah dibersihkan dan dijadikan kawasan penempatan, ramai penduduk Melayu Muslim yang berasal dari selatan Thailand telah berpindah ke situ.

Manakala menurut Muhammad Saman 81, seorang siak di Masjid Kampung Nako Nambua. Kampung tersebut dikatakan berasal dari dua perkataan Siam iaitu "Nako" yang beerti jelapang padi, dan "Nam-bua" beerti "air-mata air. Kemudian para perintis telah memajukan penanaman padi dengan menggunakan sumber air mata air semulajadi tersebut yang ada pada kampung ini.

Jadi para perintis telah bersetuju untuk menggunakan kedua-dua perkataan Thai tersebut dengan mencantumkannya menjadi ''Nako Nambua''.

Sebagai bukti atas alasan ini, Muhammad Saman telah menyifatkan kewujudan 193 keluarga di Kampung Nako Nambua yang merupakan salah satu dari 93 kampung di daerah Padang Terap adalah atas penat lelah memajukan industri penanaman padi yang diwarisi dan turun temurun sehingga menjadi salah satu penyebab kecil mengapa negeri Kedah dikenali sebagai "negeri jelapang padi Malaysia".

Kini, sumber ekonomi utama masyarakat setempat adalah pertanian berasaskan getah, namun tanaman padi masih diusahakan secara sampingan.

Manakala menurut Abdul Rashid Ismail 60, yang merupakan guru pengaji Al-Quran di kampung tersebut, kampung ini telah mempunyai suatu sistem pengaliran air yang moden dan sistematik. Kerana itulah lebih 900 penduduk kampung telah merasai kesuburan tanah dan mendapat hasil tuaian padi yang amat memberangsangkan. Maka para penduduk kampung perlu banyak bersyukur atas pemberian dan limpah rahmat Allah ini.

Menurut Abdul Rashid lagi, pada asalnya, Nako hanyalah sebuah kampung kecil, manakala Nambua pula adalah kampung lain yang bersebelahan. Tetapi selepas kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957, kedua-dua kampung tersebut telah dicantumkan bersama menjadi Kampung Nako Nambua.

Seiring dengan perubahan masa dan pertambahan penduduk, kedua kampung ini dipecahkan semula kepada Kg. Nako dan Kg. Bukit Nambua dan ditadbir secara berasingan.

Masyarakat[sunting | sunting sumber]

100% penduduknya merupakan orang Melayu yang beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu dialek 'hulu kedah'/Reman (Selatan Thai)

Pengiktirafan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1987, Kampung Nako Nambua telah mendapat tempat kedua dalam pertandingan Kampung Tercantik Negeri Kedah. Sekolah Kebangsaan Panglima Awang (dahulunya dikenali sebagai SK Nako Nambua) adalah sekolah yang mendapat tempat terbaik dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 1987.

Pasukan 'marhaban'nya juga sering menjuarai pertandingan di peringkat daerah Padang Terap dan negeri Kedah.


Kekeliruan Umum[sunting | sunting sumber]

Pada ketika ini, Nako Nambua bukannya sebuah kampung tetapi merupakan sebuah kariah yang terdiri daripada 3 buah kampung yang berjiran iaitu Kg. Nako, Kg. Bukit Nambua dan Kg. Genting Palas.

Oleh kerana struktur nama Nako Nambua yang berasal daripada perkataan Thai membuatkan segelintir masyarakat luar menyangka penduduk kampung ini bertutur dalam bahasa Thai (Siam), walaupun keseluruhan penduduk kampung ini sebenarnya bertutur dalam Bahasa Melayu (dialek ulu Kedah/Reman iaitu kawasan yang terletak di Selatan Thai) sepertimana masyarakat di Baling dan Sik. 100% penduduknya juga beragama Islam.

Selain sangkaan yang berkaitan Thai/Siam, keunikan namanya juga pernah dikaitkan dengan unsur nama bercirikan lokasi di Afrika.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Akhbar The Sunday Times, edisi 20 Jun 2010, halaman 14 (Places).
  • Penduduk Nako Nambua