Kampung Sungai Lui

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kampung Sungai Lui
Kampung
NegaraMalaysia
NegeriSelangor
DaerahHulu Langat

Kampung Sungai Lui terletak di tepi Sungai Lui yang bercantum dengan Sungai Langat. Kampung Sungai Lui terletak di mukim Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

Penduduk kampung ini terdiri daripada orang Melayu yang berketurunan Kerinchi atau Kurinchi yang pindah dari Sumatra, Indonesia sekitar tahun 1800-an.[perlu rujukan]

Penduduk di sini banyak mengusahakan dusun buah-buahan seperti durian, langsat, rambai dan tampoi. Ada beberapa penduduk menanam rambutan dan pisang. Tiada penanaman kelapa sawit yang dilakukan. Beberapa keping papan tanda menunjukan mereka ingin menjual tanah. Dato' Yusuf Haslam mendirikan sebuah rumah di sini dengan papan tanda Casa d' Haslam.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Mengikut kata orang tua, nama Sungai Lui diambil sempena dengan nama orang asli (Lui) yang mula-mula mendiami kampung ini. Pada 1900-an, peneroka tanah dari Bukit Nanas, Seputeh, Subang dan Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur telah diarahkan berpindah oleh kerajaan kerana ingin menjadikan kawasan tersebut kawasan bandar. Penghulu Mukim Hulu Langat ketika itu, Encik Abdul Jalil telah membawa mereka ke Hulu Langat untuk dijadikan kawasan penempatan baru. Di sini mereka telah berpecah dengan menetap di Semungkis, Pangsun dan Sungai Lui.

Ketika itu, pedagang Cina juga datang untuk membijih di sungai sungai dengan mendulang. Terdapat juga cerita yang mana perkataan luit iaitu teloh orang Cina yang bermakna "duit" menjadi popular kerana banyaknya keuntungan dari mendulang bijih timah hingga perkataan itu menjadi sinonim dengan kawasan tersebut. Di samping itu, orang asli yang sama sama meneroka juga bernama Lui, maka nama tersebut diambil dan disatukan dengan sungai yang mengalir di tengah tengah kampung ini.

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Kampung ini terbahagi kepada Kampung Kota Petai, Kampung Tanjung Pauh, Kampung Batu 20, Batu 20 1/2 Kampung Haji Hassan, Kampung Masjid, Kampung Bharu, Rumah Murah PKNS, Kampung Sungai Gabai, Kampung Tengah Batu 23, Kampung Tuntong, Kampung Batu 25 dan Kampung Paya Lebar. Penduduknya dianggarkan seramai 5 000 orang.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Kebanyakkan penduduknya berkerja sebagai kakitangan kerajaan, pekerja kilang, berniaga, petani, dan bekerja sendiri. Pada amnya 99% penduduknya terdiri dari orang Melayu. Walaupun penduduknya terdiri dari keturunan Kerinci dan Minangkabau namun mereka hidup dengan aman dan harmoni. Aktiviti bergotong royong di sesuatu majlis perkahwinan atau kenduri kendara masih diamalkan sehingga sekarang. Kampung ini terkenal dengan kumpulan Silat Pedang yang dipersembahkan semasa majlis perkahwinan. Pertarungan menggunakan pedang dipersembahkan semasa majlis perkahwinan dan acara-acara lain.

Kampung Orang Asli Paya Lebar[sunting | sunting sumber]

Kampung ini berhampiran dengan Sungai Lui. Orang Asli suku Temuan tinggal di kawasan ini. Sesuatu yang tidak dapat dilupakan apabila anda berkunjung ke Kampung Sungai Lui ialah anda akan disambut dengan bayuan lembut dan deruan air terjun sungai gabai yang mengimbau para pengunjung.

Prasarana[sunting | sunting sumber]

Antara kemudahan yang terdapat di kampung ini ialah sebuah sekolah rendah, sekolah rendah agama, klinik desa, masjid, padang awam, gelanggang futsal, pusat sumber desa, dewan orang ramai,tanah perkuburan, beberapa balai raya, bangunan belia 4B dan taman permainan.Selepas pilihanraya umum 12 akibat kekalahan Barisan Nasional maka pentadbiran kampung telah dibahagikan kepada dua satu JKKK di bawah kerajaan negeri dan satu lagi JKKP dibawah persekutuan. Pentadbiran baru JKKK Batu 20 Sungai En Yunus dan Pentadbiran JKKK Batu 21 adalah En Miskon .Sementara JKKP pula diterajui oleh Tuan Haji Hassan bagi JKKKP batu 20 dan Tuan haji Samad bagi JKKKP batu 21.

Tempat tarikan[sunting | sunting sumber]

Air Terjun Sungai Gabai[sunting | sunting sumber]

Tercatat dalam peta pelancongan negeri Selangor. Letaknya lebih kurang 30 kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur. Airnya yang mengalir jernih, setinggi 7 tingkat sesuatu yang tidak dapat dilupakan sekiranya kita berada di sini. Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM 100.000 bagi membaik pulih dan menaikkan taraf Air Terjun Sungai Gabai.

Asalnya air terjun Sungai Gabai ini adalah merupakan punca air bagi penduduk yang mengerjakan sawah padi di awal tahun 60-an. Namun begitu di awal tahun 80-an Sungai Lui telah dikunjungi oleh rombongan orang Inggeris lebih kurang 50 orang dan bermulalah air terjun Sungai Gabai ini mendapat tempat di hati mereka.

Dikelilingi kawasan perkebunan buah-buahan, ia lebih meriah lagi sekiranya tiba bulan Jun hingga Ogos. Ini kerana pada bulan-bulan ini musim buah-buahan sedang diraikan oleh penduduk kampung dan orang luar yang berkunjung ke sini.

Dalam budaya popular[sunting | sunting sumber]

Lagu popular yang bertajuk 'Sungai Lui' dinyanyikan oleh Aizat Amdan mengisahkan tentang Sungai Lui.