Kampung Sungai Terentang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Kampung Sungai Terentang terletak di Rawang, Selangor, Malaysia.Terdapat 20-40 keluarga setinggan Cina tinggal di sini. [1]

Talian elektrik[sunting | sunting sumber]

Kampung ini menjadi terkenal berikutan tentangan 20 - 40 keluarga Cina membantah cadangan pemasangan talian kabel elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad. Penduduk terbabit membantah kerana mereka bimbang dengan bahaya terdedah kepada kabel voltan tinggi kerana ia boleh menyebabkan kanser dan leukaemia.

Tidak adil projek ini dipindahkan kerana di Kampung Sungai Terentang sudah ada talian elektrik .Mohamad Khir Toyo bimbang isu ini akan menjadi isu perkauman kerana cuba memindahkan laluan kabel pencawang elektrik dari perkampungan Cina ke perkampungan Melayu. [2]

Tanah yang terlibat dalam projek itu milik TNB tetapi syarikat utiliti negara itu tidak mempunyai kuasa untuk melakukan pengambilan tanah dan hanya kerajaan negeri Selangor boleh melakukannya melalui Seksyen 3 (1) (a) Akta Pengambilan Tanah 1960 atas kepentingan awam. Sementara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak lagi terlibat dalam isu projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Rawang. Projek ini di bawah bidang kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan rundingan antara penduduk dengan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor bagi menyelesaikan sebarang masalah . Secara dasarnya kerajaan Selangor tidak membantah pelan asal yang dikemukakan oleh TNB. Bukan tugas kerajaan negeri untuk menghalau penduduk terbabit tetapi timbangkan hak masing-masing dan tidak teraniaya. [3]

Projek ini sepatutnya siap pada 31 Ogos 2007 tetapi tergendala setelah dibantah oleh DAP. Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mendakwa kerajaan Pakatan Rakyat tunduk kepada desakan DAP. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu menafikan cadangan laluan baru projek itu melalui kampung Melayu seperti Mohamad Khir Toyo. Ada tanah milik orang Melayu dan orang Cina, tanah pertanian atau kawasan lapang atau kawasan hutan.Tiada sebuah rumah pun akan terjejas dengan laluan alternatif yang dicadangkan penduduk Kampung Sungai Terentang itu.[4]

Sebelum ini kerajaan negeri cuba mengalihkan talian ini ke kawasan lain di Kampung Sungai Samak dan Kampung Tun Perak yang mana penduduknya juga tidak setuju. Laluan asal hanya 0.9 kilometer berbanding 7.3 kilometer jika laluan kabel itu dialihkan melalui Taman Tun Perak, Kampung Dusun Melayu, Kampung Sungai Samak dan kawasan perindustrian di Batu 17 dan Batu 15 1/2 Rawang.Peguam Nazariah Abbas berunding dengan penduduk di Dewan Orang Ramai Taman Tun Perak.

Projek CAR yang bernilai RM400 juta dan sebahagian besar daripadanya telah dibelanjakan oleh TNB, tidak dapat diteruskan ekoran bantahan 23 daripada 40 keluarga yang terlibat sedangkan TNB bersedia membayar pampasan dua kali ganda daripada kos pemindahan mereka. TNB menggunakan hak izin lalu seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 13 Akta 447 Akta Bekalan Elektrik (ABE) 1990 dan telah mematuhi segala prosedur yang digariskan. CAR melibatkan pembinaan menara dan talian transmisi sepanjang 60 kilometer bermula dari Bukit Tarek, Rawang dan berakhir di Kampung Chubadak di Sentul, Kuala Lumpur. [5]

Pegawai Eksekutif dan Presiden TNB Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh menyatakan kemungkinan Selangor, Kuala Lumpur dan sebahagian besar kawasan selatan pantai barat Semenanjung Malaysia berdepan dengan risiko terputus bekalan elektrik dalam tempoh tiga hingga empat bulan. 98 % projek itu berjaya disiapkan dan hanya tinggal 2 % atau satu kilometer lagi yang masih tergendala. TNB akan membina empat menara jenis monopole (bertiang satu) sebelum tenaga elektrik dapat disalurkan kepada hampir 6.5 juta isi rumah yang sudah tertangguh sejak setahun lepas.[6] TNB cuba meningkatkan bekalan elektrik ke Lembah Klang daripada 33 kiloVolt (kV) dan 125kV kepada 275kV membabitkan laluan Bukit Tarek dan Chubadak sejauh 60 kilometer. Masalah semakin kritikal dan gangguan boleh berjangkit sehingga ke Johor. [7] Kejadian gangguan elektrik 2005 akan berulang kembali sekiranya projek ini tergendala.[8]

Lebihan elektrik yang dijana oleh Penjana Kuasa Bebas (IPP) dapat dikurangkan dengan permintaan tenaga yang meningkat, sekiranya pembangunan ekonomi negara lebih rancak. TNB telah bayar sebanyak RM42.919 juta kepada 13 IPP di seluruh negara dari 2004 hingga Mei 2008. Bayaran kepada YTL Power International Bhd. ialah sebanyak RM5.3 bilion dan Malakoff Bhd. sebanyak RM14.9 bilion.

Projek CAR turut melibatkan menyalurkan bekalan elektrik ke perkampungan nelayan di Pulau Ketam melalui kaedah kabel bawah laut yang menelan kos kira-kira RM70 juta yang dijangka siap pada hujung 2009.

Proses mahkamah[sunting | sunting sumber]

Penduduk Kampung Terentang menfailkan tindakan mahkamah berhubung hak mereka di situ dan memberi beberapa cadangan alternatif. Kajian TNB dan Pentadbir Tanah Daerah Gombak mendapati laluan alternatif yang diberikan oleh penduduk Kampung Terentang tidak dapat dilaksanakan kerana faktor geografi yang tidak sesuai. Kesemua empat laluan alternatif yang dicadangkan oleh persatuan-persatuan penduduk itu telah dikaji dan didapati tidak sesuai dari segi teknikal. Ini kerana ia melalui kawasan-kawasan kediaman dan komersial lain selain melintasi Lebuh raya Assam Jawa-Rimba Templer yang bakal dibina. Selain itu melibatkan penyelidikan cuaca dan tanah serta rundingan-rundingan dengan pemilik tanah lain pula yang belum tentu setuju.

Kerajaan negeri Selangor telah mewartakan pengambilan balik tanah pada bulan Disember 2007 dan Notis Panggilan Perbicaraan (Borang E) yang masih belum dikeluarkan Pejabat Tanah Daerah Gombak kepada pemilik tanah untuk menentukan pembayaran pampasan turut menyebabkan kakitangan TNB tidak dapat memasuki kawasan itu.

Pada 7 Disember 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan mereka bagi semakan penghakiman terhadap keputusan TNB untuk memasuki tanah yang didiami penduduk mengikut Seksyen 13, Akta Bekalan Elektrik untuk menjalankan kerja naik taraf talian pemancar di tanah itu.

Pada 21 Jan 2009, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepada 23 penduduk berkenaan.

Pada 27 Mei 2009, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri S. Augustine Paul dan Datuk James Foong menangguhkan penghakiman mereka selepas mendengar hujahan peguam yang mewakili TNB Datuk Dr Cyrus Das dan peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili 23 penduduk Kampung Baru Kampung Sungai Terentang.[9]

Janji TNB[sunting | sunting sumber]

TNB berjanji memberi pampasan tambahan sekali ganda daripada nilaian yang dibuat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan. TNB juga bersetuju membina semula bangunan dan kemudahan awam seperti balai raya dan perpustakaan kepada penduduk yang terlibat. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kampung itu akan dijadikan sebagai sekolah angkat TNB. TNB juga akan membina semula bangunan dan kemudahan awam seperti balai raya dan perpustakaan [10] Pampasan sebanyak RM5.129 juta telah diputuskan dan setakat ini, sejumlah RM4.901 juta masih belum dituntut oleh penduduk Kampung Sungai Terentang.[11]

Rujukan[sunting | sunting sumber]