Kampung Titingan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Titingan
Kampung
Permandangan indah di Kampung Titingan pada waktu pagi.
Nama panggilan: Icebox
Kampung Titingan yang terletak di Malaysia
Titingan
Kedudukan Kampung Titingan dalam Malaysia
Koordinat: 4°14′26.0574″U 117°54′15.093″T / 4.2405715°U 117.9041925°T / 4.2405715; 117.9041925Koordinat: 4°14′26.0574″U 117°54′15.093″T / 4.2405715°U 117.9041925°T / 4.2405715; 117.9041925
Negara Malaysia Malaysia
Negeri  Sabah
Daerah Tawau
Kerajaan
 • Ketua kampung Mahamod bin Sakti[1]
Populasi (1997)[2]
 • Jumlah 21,000
Poskod 91000[3]

Kampung Titingan ialah sebuah kampung yang terletak di Tawau, Sabah. Kampung ini turut dikenali sebagai Kampung Ice Box atau Ice Box sahaja. Oleh kerana keluasannya serta populasi yang ramai di samping kebanyakan tanah di kampung ini adalah milik tanah kerajaan, kampung ini turut dilabelkan sebagai sebuah setinggan,[4][5] malah merupakan antara setinggan yang paling terkenal dan terbesar di Tawau.[6][7] Jumlah pendatang asing tanpa izin di kampung ini adalah ramai, kebanyakannya berasal dari Filipina[8] dan ada juga yang berasal dari Indonesia. Perkara ini menjadi salah satu faktor kes jenayah serta kegiatan gangsterisme dari kampung ini adalah tinggi.[9] Kampung ini juga pernah dilabel sebagai salah satu kawasan hitam di Tawau.[9]

Pada 7 Mac 2010, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengumumkan bahawa kampung ini akan diubah wajah menjadi sebuah bandar dan akan dikenali sebagai Bandar Baru Tititingan.[10]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Kampung Titingan merupakan antara kampung terawal yang didirikan di Tawau.[11][12] Kampung ini turut dipanggil Kampung Ice-Box kerana pada 1970-an, banyak peti sejuk yang sudah tidak berfungsi diletakkan di tepi jalan berhampiran dengan sebuah kilang ais dalam kawasan kampung ini.[13] Nama "Titingan" diambil sempena nama seorang pemimpin di Sabah iaitu Datuk Abu Bakar Titingan, yang dilahirkan di kampung ini. Abu Bakar Titingan antara orang yang mempertahankan kampung ini daripada dihapuskan. Anaknya, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan kini merupakan wakil rakyat bagi kampung ini.[14]

Ketika 1980-an, daerah Tawau mengalami pembangunan pertanian yang pesat, lantas ramai belia dari kampung ini telah meninggalkan kampung ini untuk bekerja di ladang-ladang.[13] Pendatang asing pula datang ke Kampung Titingan dan membuat rumah di kawasan-kawasan kosong. Keluasan kampung ini semakin meningkat sehingga menjadi antara kawasan setinggan yang paling terkenal di Sabah pada tahun 1990-an.[13]

Kebakaran[sunting | sunting sumber]

Telah banyak kebakaran yang telah berlaku di Kampung Titingan dan dua daripadanya adalah kebakaran besar. Pada 4 September 1989, 1,060 buah rumah musnah dan 5,766 orang penduduk hilang tempat tinggal dalam sebuah kebakaran yang terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah Sabah.[15] Sedekad selepas itu, sebuah lagi kebakaran besar telah berlaku pada tahun 1999 telah mendapat liputan daripada saluran-saluran televisyen di Malaysia. Dalam kebakaran tersebut, sebanyak 1,000 orang penduduk hilang tempat tinggal.[16] Pada bulan 31 Januari 2011, sebuah kebakaran berlaku di Blok 6 kampung ini yang melibatkan 50 buah rumah dan 300 orang penduduk.[17][18] Kawasan kebakaran terbabit telah menjadi kawasan larangan untuk mendirikan rumah.[19] Namun pada penggal kedua 2011, penduduk mendapat kebenaran mendirikan semula rumah dengan pembiayaan sendiri di atas kawasan bekas kebakaran dalam susunan yang lebih teratur.[20] Pada 8 Mac tahun yang sama, sebuah lagi kebakaran berlaku di Blok 9 yang melibatkan lebih 500 penduduk serta kira-kira 50 buah rumah telah musnah.[21] Tiada kemalangan jiwa di dalam kebakaran tersebut.

Pada 15 Januari 2012, sebuah kebakaran maut telah berlaku di kampung ini yang mengakibatkan kematian dua beradik, masing-masing berusia 19 dan 6 tahun. Kebakaran yang memusnahkan tujuh buah rumah ini menyebabkan 74 orang daripada 23 keluarga tinggal sehelai sepinggang.[22]

Tarikh Bilangan rumah musnah Mangsa (orang) Kematian (orang)
4 September 1989 1,060[15] 5,766 N/A
2 Ogos 1999 N/A 1,000[16] N/A
20 September 2010 51[23] 365 N/A
31 Januari 2011 50[17] 300 N/A
8 Mac 2011 50[21], 60[24] 500 N/A
15 Januari 2012 7[22] 74 2
23 Januari 2013 6[25] N/A N/A

Perobohan[sunting | sunting sumber]

Pada bulan Februari tahun 2002, kerajaan Sabah telah melakukan operasi merobohkan rumah-rumah milik penduduk kampung yang didirikan di atas tanah kerajaan di kawasan Kampung Titingan Pasir dalam Operasi Nyah II Bersepadu.[26][13] Berikutan dengan ini, kebanyakan pendatang tanpa izin yang kehilangan rumah telah berpindah ke tempat lain dan lantas kegiatan gengsterisme berkurang. Walau bagaimanapun, kegiatan jenayah seperti perniagaan syabu (dikenali oleh penduduk setempat sebagai batu), perjudian haram (terutama sekali permainan judi serupa toto iaitu wahui), kecurian dan sebagainya masih berlaku. Sebuah kawasan perumahan pangsa telah dibina di atas tapak kawasan yang dirobohkan dan diberi nama Sri Titingan.

Pada 6 November 2013, Majlis Perbandaran Tawau mula menjalankan Operasi Roboh di mana 44 buah rumah di sekitar Tawau akan dirobohkan, 11 daripadanya ialah rumah-rumah di Kampung Titingan.[27]

Geografi[sunting | sunting sumber]

Permandangan ketika air surut.

Kampung Titingan terletak lebih kurang 2.5 km dari Bandar Tawau dengan keluasan melebihi 7 hektar (17 ekar).[28][12] Ia terletak di persisir laut yang dulunya merupakan kawasan paya bakau dan terletak berhampiran dengan Sungai Tawau.[29]

Kampung ini dibahagikan kepada tiga iaitu Kampung Titingan Pasir, Kampung Titingan Tengah serta Kampung Titingan Hujung. Setiap bahagian kampung terdiri daripada lorong-lorong kampung dan setiap lorong tersebut terdiri daripada beberapa blok.

Bahagian yang terdekat sekali dengan Pusat Bandar Tawau adalah Kampung Titingan Pasir dan yang terletak paling hujung sekali ialah Kampung Titingan Hujung. Kampung Titingan Pasir telah dirobohkan dan sebuah kawasan kediaman kos rendah telah dibangunkan di atas tapaknya.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Statistik 1997 menyatakan bahawa terdapat lebih kurang 21,000 orang penduduk yang menetap di Kampung Titingan, sama ada secara sah atau tidak, dengan 6,000 daripadanya merupakan pengundi sah yang kebanyakannya bumiputra berketurunan Melayu.[2] Bilangan rumah berdaftar di kampung ini pula ialah sebanyak 800 buah unit dengan 80% daripadanya adalah bumiputra.

Suku-suku kaum yang menetap di kampung ini termasuklah orang Bugis, Bajau, dan Banjar.

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Ekonomi utama Kampung Titingan ialah nelayan. Antara aktiviti nelayan yang dilakukan oleh penduduknya ialah menyiut udang geragau, memukat dan memancing. Pada suatu ketika dahulu, kebanyakan rumah dikampung ini memiliki bot sendiri untuk digunakan untuk memukat ikan dipersisir pantainya, namun kini jumlahnya semakin berkurang kerana kekurangan perintis.[13]

Kebanyakan generasi muda kampung ini berhijrah ketempat lain untuk bekerja selepas tamat persekolahan atau pengajian.

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Riadah[sunting | sunting sumber]

Kampung Titingan tidak disediakan kemudahan riadah yang banyak. Kampung ini disediakan dengan cuma satu gelanggang serba guna. Gelanggang ini terletak di hadapan Tabika Perpaduan A dan sering digunakan untuk aktiviti sepak takraw. Gelanggang ini juga menjadi tempat majlis serta acara seperti perkahwinan, pertandingan malah majlis formal diadakan.

Walaupun kekurangan kemudahan riadah, penduduk kampung ini masih boleh menikmati kemudahan yang disediakan di taman perumahan berdekatan yang terletak di seberang Sungai Tawau.[30] Kerana kedudukan yang begitu dekat, penduduk Kampung Titingan hanya perlu berjalan kaki ke sana. Disamping itu pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mentadbir Kampung Titingan, yakni Majlis Perbandaran Tawau, juga merangka pelan untuk menambah bilangan kemudahan riadah di semua kawasan perbandaran Tawau dalam rancangan pembangunannya.[31]

Keagamaan[sunting | sunting sumber]

Di kampung ini cuma terdapat satu masjid utama yang terletak dihadapan kilang Kalimantan Fishery SDN BHD. Masjid ini dinamakan Masjid Babul Khair.[32]

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Kampung ini mempunyai beberapa sekolah serta tabika terdekat. Berikut ialah senarai mengikut jenis:

Pencemaran[sunting | sunting sumber]

Selain kegiatan jenayah, masalah pendatang haram dan gangsterisme, kampung ini turut membawa kepada pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran laut serta sungai. Kampung Titingan adalah sebuah kampung di atas air, atau di terletak di tepi laut.[33] Oleh kerana ia merupakan setinggan, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) tidak menyediakan sebarang perkhidmatan pemungutan sampah. Penduduk kampung pula mengambil langkah mudah iaitu dengan membuang sampah ke sungai serta laut. Akibatnya kawasan tepi laut di kampung ini dipenuhi dengan sampah sarap. Ini adalah satu kerugian kerana pantai di kampung ini adalah sebuah pantai yang cantik pada tahun 1970-an serta 1980-an.

Bandar Baru Titingan[sunting | sunting sumber]

Pada 27 Jun 2007, Akar Budi Tuah Sdn Bhd dan Sabah Economic Development Corporation telah menandatangani perjanjian persefahaman di Hotel Hyatt, Kota Kinabalu, Sabah, untuk membangunkan projek mengubahsuai kawasan setinggan Titingan kepada sebuah bandar baharu yang akan dikenali sebagai Bandar Baru Titingan (BBT).[11][34] Majlis penandatanganan itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Industri.

Pembinaan BBT akan menelan belanja sebanyak RM1.5 juta dan akan dilakukan di atas kawasan berkeluasan 326 ekar, tanah letaknya Kampung Titingan sekarang.[35] [34] Bandar ini akan memiliki 36 zon kawasan dan akan menyediakan kemudahan seperti masjid, kawasan perumahan, pusat rekreasi, pangsapuri, restoran dalam air dan sebagainya.

Trivia[sunting | sunting sumber]

  • Kampung Titingan lebih dikenali sebagai Kampung Ice Box di seluruh Sabah. Ia merupakan salah satu kampung yang terkenal di Sabah kerana gangsterisme-nya.[34] Kebanyakan orang yang bukan berasal daripada kampung ini takut memasuki kampung ini kerana takut diugut dan sebagainya.
  • Walaupun Kampung Titingan adalah sebuah kampung yang bermasalah, namun kampung ini turut menghasilkan pelajar-pelajar yang berjaya. Antaranya adalah Darman Nordin yang telah mendapat kepujian tertinggi, Anugerah Pelajar Diraja di Universiti Kebangsaan Malaysia.[36]
  • Nama kampung ini ada disebut dalam novel Ralat karya Jusang Bolong.[37]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Laman Web Rasmi UPKR". Kerajaan Sabah. http://www.sabah.gov.my/upkr/pemimpinanda/P190%20TAWAU/n56.htm. Capaian 16 November 2013. 
  2. 2.0 2.1 "Discover". Bandartitingan.com. http://bandartitingan.com/v1/?page_id=113. Capaian 1 November 2011. 
  3. "Kampung Titingan, Tawau (Postcode - 91000)". Postcode.my. http://postcode.my/sabah-tawau-kampung-titingan-91000.html. Capaian 28 November 2013. 
  4. "Tawau District", bhg. 1.2.1. Dicapai pada 26 Oktober 2011
  5. "100 Penduduk Tinggal Sehelai Sepinggang Dalam Kebakaran Di Kampung Titingan, Tawau", 5 Jun 2011. Dicapai pada 10 Disember 2013. 
  6. "Illegal Squatter Dwellings in Sabah". etawau.com. http://www.etawau.com/Development/Squatter.htm. Capaian 29 November 2013. 
  7. "1 Rapid Survey of Development Opportunities & Constraints (Doc) for Tawau District". Kerajaan Sabah. http://www.townplanning.sabah.gov.my/iczm/ICZM%20in%20sabah/Districts/EastCoastSouth/DOCSurvey/mst-1.html. Capaian 29 November 2013. 
  8. Pembandaran dan transformasi bandar Negeri Sabah. Universiti Kebangsaan Malaysia. 1990. m/s. 243. 
  9. 9.0 9.1 Dun Apas. (9 November 2009). Hayati Konsep 1Malaysia, "...kampung Titingan pernah dilabel sebagai kawasan gejala negative seperti penagihan dan pengedaran dadah serta pusat gangsterisme...". Diambil pada 20 Februari 2011.
  10. "Kampung Titingan Bakal Menjadi Sebuah Bandar Baru", Blog Dun Apas. 9 Mac 2010. Diambil pada 20 Februari 2011.
  11. 11.0 11.1 "Kampung Titingan Akan Dibangun Sebagai Bandar Baru Titingan". KKLW. Bernama. http://kklw.bernama.com/news.php?id=484611. Capaian 30 November 2013. 
  12. 12.0 12.1 "Kampung Titingan bakal jadi bandar baharu", 1 Jun 2013. Dicapai pada 30 November 2013. 
  13. 13.0 13.1 13.2 13.3 13.4 Goh, Roy. "All's Cool at Kampung Ice Box", 4 Julai 2010, p. 30. Dicapai pada 29 November 2013. 
  14. Shaimon S Jumadi. "Polis gagal banteras budak-budak nakal ganggu penduduk Flat Sri Titingan", 16 Novermber 2013. Dicapai pada 10 Disember 2013. 
  15. 15.0 15.1 Lai, James. "ADRA Aids After Kumpung Fires", September dan Oktober 1989. Dicapai pada 29 November 2013. 
  16. 16.0 16.1 "Fire Leaves 1,000 Squatters Homeless", 3 Ogos 1999, pp. 26. Dicapai pada 29 November 2013. 
  17. 17.0 17.1 "50 rumah rentung kebakaran di Tawau", Dalam Negeri, Utusan Malaysia, 1 Februari 2011. Dicapai pada 2011-02-20. 
  18. "Fire Victims To Be Given Aid According To Regulations: Shafie", 2 Februari 2011. Dicapai pada 19 Februari 2011. 
  19. "Kampung Titingan Fire Victims Not Allowed To Build New Houses There", 1 Februari 2011. Dicapai pada 19 Februari 2011. 
  20. "ADUN nafi kebakaran dirancang", 10 Jun 2011. Dicapai pada 2 November 2011. 
  21. 21.0 21.1 "500 tinggal sehelai sepinggang, 50 rumah hangus dalam kebakaran", 9 Mac 2011. Dicapai pada 28 November 2013. 
  22. 22.0 22.1 "Dua beradik rentung dalam kebakaran 7 buah rumah", 16 Januari 2012. Dicapai pada 28 November 2013. 
  23. "365 mangsa kebakaran di Kampung Titingan tinggal sehelai sepinggang". Berita Harian. 20 September 2010. http://www.bharian.com.my/articles/365mangsakebakarandiKampungTitingantinggalsehelaisepinggang/Article/. Capaian 29 November 2013. 
  24. "60 rumah hangus di Kampung Titingan, Tawau", 8 Mac 2011. Dicapai pada 29 November 2013. 
  25. "Enam Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Kampung Titingan". mStar Online. 23 Januari 2013. http://www.mstar.com.my/cerita.asp?sec=mstar_jenayah&file=/2013/1/23/mstar_jenayah/20130122201132. Capaian 29 November 2013. 
  26. "Dr Ongkili Appointed Science & Technology Adviser To Sabah CM", 2 April 2003. Dicapai pada 28 November 2013. (Inggeris) 
  27. "44 buah rumah setinggan akan dirobohkan", 6 November 2013. Dicapai pada 30 November 2013. 
  28. Ardyhansah Amat. "Tak kenal alam sekolah". Harian Metro. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Takkenalalamsekolah//Article/article_print. Capaian 30 November 2013. 
  29. Brookfield, Harold; Potter,, Lesley; Byron, Yvonne (1995). In place of the forest : environmental and socio-economic transformation in Borneo and the eastern Malay Peninsula. Tokyo [u.a.]: United Nations Univ. Press. m/s. 219-220. ISBN 9280808931. 
  30. "Penyerahan Gelanggang Futsal 1Malaysia". Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah. http://www.jbssabah.gov.my/page.php?page=berita&serialno=103&f=cari&cari=tawau.. Capaian 30 November 2013. 
  31. "PELAN_STRATEGIK (draft).pdf". Majlis Perbandaran Tawau. http://www.mpt.sabah.gov.my/PELAN_STRATEGIK%20%28draft%29.pdf. Capaian 30 November 2103. 
  32. "Masjid Babul Khair Kg. Titingan Terima Sumbangan". Blog DUN Apas. http://www.dunapas.com/2008/09/masjid-babul-khair-kg-titingan-terima.html. Capaian 2 November 2011. 
  33. Tawau District - Waste disposal issues, Diperolehi pada 28 April 2008
  34. 34.0 34.1 34.2 "Bandar Baru Titingan". Taman Taman in Tawau. etawau.com. http://www.etawau.com/Property/Housing/Bandar_Baru_Titingan.htm. Capaian 30 November 2013. 
  35. "SEDCO Features Bandar Baru Titingan at SIE2010". SEDCO. http://www.sedco.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=83:sedco-features-bandar-baru-titingan-at-sie2010. Capaian 10 Disember 2013. 
  36. "Pelajar Buktikan Miskin Bukan Penghalang Untuk Berjaya", 17 September 2005. Dicapai pada 2 November 2011. 
  37. Bolong, Jusang (1999). Ralat. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributords [sic]. ISBN 967610986X. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]