Kapal karam Wanli

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kapal karam Wanli merupakan sebuah kapal karam Portugis. Kapal ini dipercayai karam pada tahun 1630 akibat diserang oleh pihak Belanda yang merupakan musuh Portugis ketika itu. Kapal ini membawa pelbagai barangan dagangan yang berharga dan amat bernilai. Ia dipercayai dalam perjalanan ke Selat Melaka, dari tanah besar China bagi menuju ke Melaka untuk memunggah barangannya. Walau bagaimanapun akibat serangan Belanda, kapal ini telah karam di perairan Dungun, Terengganu.

Pencarian bangkai[sunting | sunting sumber]

Dengan bantuan dari nelayan tempatan di kawasan Dungun, sekumpulan pengkaji yang diketuai arkeologi marin, Stan Sjostrand yang berpangkalan di Kuala Rompin, Pahang telah menemui rangka kapal itu pada 1 November 2003 pada kedalaman 42 meter.

Hasil penemuan itu telah dinamakan "Kapal Karam Wanli" berdasarkan tarikh yang terdapat pada tembikar yang dikumpul oleh kumpulan itu ketika menjalankan penyiasatan terhadap rangka kapal terbabit.

Ketika kerja-kerja pencarian dan penyiasatan dilakukan sepanjang tahun 2004, bahagian rangka kargo kapal itu telah ditemui dengan muatan barangan tembikar berwarna biru-putih yang berharga.

Menurut Sjostrand, siasatan awal mendapati Kapal Wanli telah diserang oleh pihak Belanda yang merupakan musuh Portugis ketika itu.

Sejak abad ke-17, Portugis dan Belanda terbabit dalam beberapa siri peperangan yang hebat dalam cubaan mengawal Melaka yang merupakan pelabuhan penting dan sibuk yang menerima kedatangan pedagang-padagang dari Timur dan Barat. Pihak Belanda akhirnya berjaya menumpaskan musuh mereka pada 1641 dan berjaya menjajah Melaka.

Penemuan tembikar berharga[sunting | sunting sumber]

Kapal karam Wanli dianggap sebuah kapal karam kargo yang hanya membawa barangan mewah dan mahal sahaja, ini berikutan penemuan pelbagai tembikar dari Dinasti Ming yang tinggi nilainya ditemui di dalam kapal "Wanli" menunjukkan bahawa Portugis memperolehi tembikar Cina yang lebih berkualiti jika dibandingkan dengan tembikar yang diperolehi oleh Belanda, sementara kapal Wanli sendiri dipercayai dibina di salah satu tempat di Asia Tenggara. Kebanyakkan tembikar yang dibawa oleh kapal Wanli adalah tembikar porselin China biru-putih dari jenis Kraak dan Transitional.

Selain tembikar, sebatang Keris Melayu yang sarungnya diperbuat dari kayu Pokok Rambutan juga ditemui di dalam kapal karam Wanli tersebut.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]