Kargo pukal cerai

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Stevedor di sebuah dermaga di New York sedang memuatkan tong-tong ke dalam sebuah baj. Gambar diambil oleh Lewis Hine, 1912

Kargo pukal cerai atau kargo am (Bahasa Inggeris: break bulk) ialah istilah yang merujuk kepada pelbagai variasi barangan yang mesti dimuatkan berasingan, tidak menggunakan kontena, dan tidak dimuatkan secara pukal seperti minyak dan bijian. Kapal yang digunakan untuk membawa kargo jenis ini dipanggil kapal kargo am.

Kargo ini dimuatkan samada di dalam beg, bekas, tong, dibandelakan, atau dimuatkan di atas palet. [1]

Pukal cerai ialah bentuk kargo yang biasa digunakan dalam sejarah dunia perkapalan sebelum pengkontenaan diperkenalkan pada tahun 1960-an. Pemindahan kargo dari atau ke dalam kapal menggunakan kontena adalah lebih pantas dan efisyen. Selain itu, ia juga dapat mengelakkan masalah kecurian dan kerosakan seperti yang kerap berlaku kepada kargo pukal cerai. Ini menyebabkan penggunaan teknik pukal cerai semakin berkurangan.

Pemuatan dan pemunggahan[sunting | sunting sumber]

Sebuah kapal kargo am, The Gladstone Star, dibina pada tahun 1957 dan menjadi sekerap pada tahun 1982.

Walaupun kargo seperti ini boleh dihantar terus dari trak atau keretapi ke dalam kapal, kaedah yang biasa digunakan ialah kargo akan disimpan di dalam gudang-gudang sebelum ketibaan kapal. Apabila kapal berlabuh, kargo akan dikeluarkan dari gudang dan dimuatkan ke dalam kapal menggunakan kren kapal ataupun kren dok. Proses sebaliknya berlaku untuk pemunggahan.

Pemuatan dan pemunggahan pukal cerai memerlukan tenaga buruh yang besar. Kargo akan dibawa ke dermaga dan akan dimuatkan satu persatu ke atas kapal. Sesetengah barang seperti guni boleh dimuatkan secara berkelompok menggunakan ambin atau jaring kargo, dan barangan lain seperti seperti kotak akan dimasukkan ke dalam bekas khas sebelum dimuatkan ke dalam kapal. Setiap kargo mesti diletakkan berasingan di atas kapal.

Sebelum proses pemuatan dimulakan, ruang palka di dalam kapal perlu dibersihkan dan dibaiki jika terdapat kerosakan. Alas mesti disediakan untuk kargo atau kargo diletakkan di dalam bandela, sedia untuk disusun oleh stevedor ketika pemuatan.

Terdapat pelbagai jenis kargo pukal cerai, antaranya ialah:

  • Kargo dalam beg - Perlu dimuatkan di atas alas berkembar dan jauh dari sisi dan dinding sekat kapal. Ia juga perlu dilindungi dari jerjak dan tiang-tiang dengan ditutup dengan pengalas atau kertas kalis air.[2]
  • Kargo dalam bandela - Dimuatkan di atas alas tunggal dengan ketebalan sekurang-kurangnya 50mm. Bandela yang sudah berminyak tidak akan dibenarkan untuk dimuat. Gentian yang mudah menyerap minyak dan mudah terbakar perlu dijauhkan dari kesan cat yang baru. Bandela yang berada berhampiran kepala geladak perlu ditutup untuk mengelakkan kerosakan akibat percikan air.[3]
  • Tong besi dan kayu - tong kayu perlu dimuatkan secara bertingkat dengan alas diletakkan di setiap tingkat, tetapi sedikit ruang ditinggalkan di bahagian tepi tingkatan ini dengan geladak. Untuk mengelakkan pergerakan tong-tong ini, sejenis penyendal yang dikenali sebagai "kuoin" diletakkan di atas tingkatan. Tong-tong mesti dimuatkan dari depan ke belakang kapal dan bukan secara melintang.[4]
  • Kotak kadbod - mesti diletakkan di atas alas yang baik dan dielakkan dari sebarang unsur kelembapan. Ia tidak boleh dicampur adukkan dengan saiz kotak yang berlainan. Kebiasaannya, ia dimuatkan di atas palet dan tali yang digunakan untuk pemuatan akan ditinggalkan untuk proses pemunggahan di destinasi.[5]
  • Kotak kayu - diletakkan di atas alas berkembar di dalam palka, dan di atas alas tunggal di geladak. Kotak kayu yang berat mesti diletakkan di bawah. Tali pemuatan selalunya ditinggalkan bersama kotak, untuk pemunggahan di destinasi.[6]
  • Tong dram - dimuatkan secara bertingkat di bahagian belakang kapal dengan alas diletakkan di setiap tingkat. [7]
  • Gulungan kertas - Diletakkan secara mengiring tetapi dengan berhati-hati untuk mengelakkan kerosakan. [8]
  • Kereta - Diangkut ke atas kapal dan diikat. Pemerhatian rapi perlu dibuat untuk mengelakkan kerosakan.[9] Cecair berbahaya seperti petrol mesti dipastikan sudah dikeluarkan.
  • Galang besi - sebarang benda berat dan panjang mesti diletakkan dari depan ke belakang kapal. Jika diletakkan secara melintang, ia dikhuatiri akan merosakkan badan kapal apabila kapal bergoyang.


Kelebihan dan kekurangan[sunting | sunting sumber]

Pukal cerai semakin kurang digunakan bukan disebabkan oleh pengkontenaan sahaja, tetapi selepas kemunculan kapal tangki dan kapal kargo pukal yang tidak lagi menggunakan tong, guni,beg dan sebagainya. Ketiga-tiga sistem ini menggunakan kapal khas dan kemudahan pesisir untuk meningkatkan pengendalian dengan jumlah tenaga kerja yang lebih sedikit, tetapi dengan pelaburan yang besar. Sistem baru ini telah berjaya mengurangkan kos , tumpahan dan masa operasi, dan dalam kes pengkontenaan, mengurangkan kerosakan dan kecurian kargo.

Kelebihan pukal cerai ialah ia tidak memerlukan kemudahan pesisir kecuali dermaga untuk kapal berlabuh; oleh kerana itu kaedah penghantaran kargo sebegini masih lagi digunakan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Notes on cargo Work by Kemp and Young, 1971; page 31: SBN 853090408
  2. Notes on cargo Work by Kemp and Young, 1971; page 32: SBN 853090408
  3. Notes on cargo Work by Kemp and Young, 1971; page 33: SBN 853090408
  4. Notes on cargo Work by Kemp and Young, 1971; page 35: SBN 853090408
  5. Notes on cargo Work by Kemp and Young, 1971; page 37: SBN 853090408
  6. Notes on cargo Work by Kemp and Young, 1971; page 37: SBN 853090408
  7. Notes on cargo Work by Kemp and Young, 1971; page 38: SBN 853090408
  8. Notes on cargo Work by Kemp and Young, 1971; page 39: SBN 853090408
  9. Notes on cargo Work by Kemp and Young, 1971; page 40 : SBN 853090408
  • Marc Levinson, The Box, How the Shipping Container Made the World Smaller and the World Economy Bigger (Princeton Univ. Press 2006).
  • Sauerbier, Charles L.; Meurn, Robert J. (2004). Marine cargo operations: a guide to stowage. Cambridge, Md: Cornell Maritime Press. ISBN 0-87033-550-2. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]