Kawah qamari

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kawah Webb, dilihat dari Lunar Orbiter 1. Beberapa kawah kecil dapat dilihat di dalam dan pada keliling kawah Webb.
Pandangan sisi Kawah Moltke yang diambil dari Apollo 11.

Kawah qamari adalah kawah hentaman yang terdapat pada Bulan Bumi. Permukaan Bulan dipenuhi dengan kawah yang hampir kesemuanya dibentuk oleh hentaman.[1][2]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Galileo Galilei membuat teleskop pertamanya pada lewat tahun 1609 dan menghalakannya pada Bulan buat pertama kalinya pada 20 November, 1609. Beliau mendapati bahawa berlainan dengan pendapat awam pada masa itu, Bulan tidak merupakan sfera sempurna akan tetapi memiliki kedua-dua gunung-ganang dan lekukan-lekukan tanah mirip cawan. Beliau menamakan lekukan-lekukan tersebut crater (kawah).

Asal-usul kawah-kawah tersebut dibahaskan oleh ahli sains berabad-abad lamanya. Teori-teori yang dikemukan termasuk bahawa kawah adalah (a) hasilan ledakan gunung berapi, (b) hasilan hentaman meteor atau tahi bintang, dan (c) satu teori yang dibangunkan di Jerman pada zaman antara Perang Dunia (Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua) yang dikenali sebagai Welteislehre yang menyatakan bahawa kawah Bulan dihasilkan glasier.

Bukti yang dikumpulkan oleh Program Apollo dan daripada kapal angkasa lepas sezaman menunjukkan punca kemunculan hampir kesemua kawah adalah hentaman meteor (ataupun asteroid dalam kes kawah yang besar). Sebagai satu implikasi, boleh juga dirumuskan bahawa kawah yang terdapat pada jasad cakerawala lain juga boleh dikatan berpunca daripada hentaman meteor atau asteroid.

Pembentukan kawah baharu dikaji dalam rancangan pemantauan hentaman qamari di NASA.[3] Pembentukan terbesar yang dirakam ialah sebuah hentaman yang direkod pada 17 mac 2013.[4] Ledakan yang dapat kelihatan dengan mata kasar dipercayai disebabkan hentaman sebuah meteor yang berat lebih kurang 40kg yang melanggar permukaan Bulan dengan kelajuan 90000 km/jam.

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Oleh sebab Bulan tidak mengandungi air dan atmosfera, mahupun plat tektonik, terdapat hanya sedikit hakisan di permukaan Bulan, dan kawah-kawah yang terjumpa di permukaan Bulan melebihi usia dua bilion tahun. Usia kawah-kawah besar ditentukan oleh bilangan kawah-kawah kecil yang terkandung di dalamnya (kawah yang lebih tua mengandungi kawah-kawah muda yang lebih kecil).

Kawah-kawah yang paling kecil bersaiz amat halus dan terdapat pada batu-batu yang dibawa pulang dari Bulan. Diameter kawah terbesar bersaiz lebih kurang 360 kilometer (220 bt), terletak berhampian Kutub Selatan qamari. Namun, dipercayai bahawa banyak mare qamari terbentuk hasil hentaman gergasi, dan lekukan yang terhasil itu kemudiannya dipenuhi oleh lahar yang timbul dari bawah permukaan Bulan.

Secara tipikalnya, kawah-kawah qamari memiliki ciri-ciri berikut:

  • kawasan keliling yang dipenuhi bahan yang tersingkir dari permukaan semasa pembentukan kawah; bahan ini lazimnya lebih cerah daripada bahan-bahan yang lebih tua oleh sebab pendedahan kepada sinaran matahari lebih sedikit berbanding bahan yang tua.
  • bibir timbul, yang terdiri daripada bahan yang disingkir tetapi terjatuh hampir pada
  • dinding kawah, bahagian kawah yang mencerun
  • lantai kawah, kawasan yang lebih kurang rata, yang dengan peredaran masa dipenuhi kawah-kawah kecilnya sendiri
  • puncak pusat, yang terdapat hanya pada kawah-kawah tertentu yang diameternya melebihi 16 batu (26 km); ini lazimnya kesan percikan yang dihasilkan pertukaran tenaga kinetik objek hentaman kepada haba yang kemudian mencairkan bahan-bahan qamari.

Pengkategorian kawah qamari[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1978, Chuck Wood dan Leif Andersson daripada Lunar & Planetary Lab, LPC (makmal Qamari & Planet) membentuk satu sistem bagi pengkategorian kawah-kawah hentaman qamari.[5] Mereka menggunakan persampelan kawah yang tidak berubah akibat hentaman-hentaman susulan, dan kemudiannya mengumpulkan hasil kajian ke dalam lima kategori besar. kategori-kategori ini dapat memuatkan lebih kurang 99% kawah hentaman qamari.

Jenis Kawah LPC adalah seperti berikut:

  • ALC — kawah kecil berbentuk cawan dengan diameter lebih kurang 10 km atau kurang, dengan tiada lantai pusat. Arketip kawah jenis ini ialah Kawah Albategnius C
  • BIO — mirip ALC, tetapi memiliki lantai yang rata dan kecil. Diameter tipikal adalah lebih kurang 15 km. Arketip kawah qamari ialah Kawah Biot.
  • SOS — lantai dalaman lebar dan rata, tanpa puncak pusat. Dinding dalaman tidak berteres. Diameter lazimnya dalam julat 15–25 km. Arketip ialah Kawah Sosigenes.
  • TRI — kawah-kawah kompleks ini cukup besar sehinggkan dinding dalaman runtuh ke lantai. Kawah-kawah ini mempunyai diameter bersaiz dalam julat 15–50 km. Arketip ialah Kawah Triesnecker.
  • TYC — kawah-kawah ini lebih besar daripada 50 km, dengan dinding dalaman berteres dan memiliki lantai yang relatif rata. Kawah-kawah ini sering memiliki puncak pusat. Kawah Tycho ialah arketip kawah kelas ini.

Puncak pusat kawah kelas TYC yang melampaui diameter 200km hilang dan kawah dikelaskan sebagai lembangan atau dalam bahasa Inggeris, basin.

Bermula pada tahun 2009 Dr Nadine Barlow daripada Universiti Northern Arizona telah mengalihkan pangkalan data kawah hentaman Wood dan Andersson ke dalam format digital.[6] Dr Barlow juga sedang mewujudkan pangkalan data kawah hentaman yang mirip dengan pangkalan data Wood dan Andersson; bezanya ialah pangkalan data beliau juuga akan memuatkan semua kawah hentaman yang mempunyai diameter yang sama atau melebihi lima kilometer, dan berlandaskan imej-imej permukaan qamari yang diperoleh oleh kapal angkasa lepas meters in diameter and is based on Clementine.

Projek moon zoo (zoo bulan) dalam lingkungan program Zooniverse bertujuan untuk menggerakkan saintis awam untuk pemetaan saiz dan bentuk sebanyak kawah qamari yang mungkin dengan menggunakan data dari NASA Lunar Reconnaissance Orbiter (Pengorbit Peninjau Qamari NASA).[7]

Lokasi kawah-kawah utama[sunting | sunting sumber]

Penanda merah pada imej-imej memberikan tempat letaknya ciri kawah pada sisi dekat Bulan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Pike, RJ. "Size-dependence in the shape of fresh impact craters on the moon".
  2. ^ Quaide, W.L. and Oberbeck, V.R.,. "Thickness determinations of the lunar surface layer from lunar impact craters,". American Geophysical Union.
  3. ^ "Lunar Impacts". Marshall Space Flight Center. Dicapai pada 2013-05-18.
  4. ^ Klotz, Irene. "Meteoroid impact triggers bright flash on the moon". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-06-30. Dicapai pada 2013-05-18.
  5. ^ Wood, CA and Anderson, L.. "New morphometric data for fresh lunar craters".
  6. ^ David T. W. Buckingham, Bitha Salimkumar, and Nadine G. Barlow. "Development of a New GIS Database of Lunar Impact Craters".
  7. ^ http://www.moonzoo.org/