Pemberontakan Komunis (1968-1989)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perang revolusioner dalam negeri dari tahun 1957 hingga 1989, merupakan satu usaha oleh Parti Komunis Malaya usaha menggulingkan kerajaan Reaksioner dengan senapang

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Selepas Darurat diisytiharkan tamat tahun 1960, gerila-gerila Komunis berundur masuk ke kawasan Selatan Thailand dan buat beberapa tahun tidak membuat serangan dan penyusupan ke Malaysia. Malahan buat seketika, pasukan keselamatan Malaysia boleh menumpukan perhatian kepada pengukuhan bilangan anggota tentera, melengkapkan pasukan dengan kelengkapan baru dan meningkatkan latihan. Konfrontasi dengan Indonesia menunjukkan Tentera Darat Malaysia belum mencapai kekuatan mencukupi untuk menentang secara pencerobohan oleh kuasa asing. Keperluan mendapatkan bantuan pasukan tentera Komanwel khususnya di Borneo meyakinkan Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara bahawa Tentera Darat Malaysia belum mencapai tahap kekuatan yang membolehkan mereka menghadapi ancaman tanpa perlu meminta bantuan pasukan luar.

Di Vietnam, kumpulan Komunis Vietnam Selatan dan Vietnam Utara sudah menunjukkan kekuatan mereka dengan melancarkan Serangan Tet. Dalam serangan itu, mereka berjaya menawan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Saigon, sebelum ditewaskan oleh pasukan-pasukan bantuan Amerika Syarikat. Kejayaan pihak Komunis di Vietnam mendorong Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara untuk melancarkan pemberontakan bagi menumpaskan kerajaan Malaysia.

Bermula Pemberontakan Kali Kedua[sunting | sunting sumber]

Dalam tahun 1968, Parti Komunis Malaya sekali lagi mencabar pasukan keselamatan Malaysia dalam konflik bersenjata. Parti Komunis Malaya sudah bersiap sedia selama 8 tahun untuk pemberontakan kali kedua berhajat untuk merampas kuasa dengan menggunakan kekerasan. Kali ini, pemberontakan dilakukan serentak dengan pemberontakan yang dijalankan di Kalimantan oleh Parti Komunis Kalimantan Utara. Sekali lagi,pasukan gerup gerak khasTentera Darat Malaysia dan pasukan Polis Diraja Malaysia memikul tanggungjawab menghapuskan pemberontakan ini.

Parti Komunis Malaya melancarkan serangan-serangan ke atas unit-unit Tentera Darat daripada seberang sempadan Thailand dan Kalimantan dengan tujuan memporak-perandakan keselamatan negara. Walaupun kesan serangan tersebut tidak seberapa, kesan psikologi ke atas rakyat tempatan pasti akan mengugatkan keyakinan rakyat kepada keupayaan pasukan keselamatan menangani ancaman daripada anasir komunis.

Selain itu, Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara juga melancarkan serangan oleh skuad-skuad khas untuk menjalankan operasi pembunuhan ketua-ketua pasukan keselamatan dan pemimpin berpengaruh di kawasan-kawasan bandar. Parti Komunis Malaya berjaya membuat dua pembunuhan nekad dengan pembunuhan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri Perak.

Pembesaran Tentera Darat Malaysia[sunting | sunting sumber]

Dalam tempoh ini, sistem Pemerintah Medan Tentera Darat ditingkatkan taraf dengan penubuhan Markas Kor Tentera Darat di Kem Sungai Besi. Markas Divisyen Kedua Infantri telah ditempatkan di Pulau Pinang dan Markas Divisyen Ketiga Infantri telah ditubuhkan di negeri Melaka. Markas Divisyen Pertama Infantri kekal di Kuching, Sarawak.

Semenanjung Malaysia[sunting | sunting sumber]

Tentera Darat Malaysia membuat beberapa operasi “cari dan musnah” di kawasan sempadan Malaysia - Thailand dan juga di Sarawak. Operasi “cari dan musnah” yang dilancarkan secara besar-besaran. Operasi-operasi besar dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan diperintah kawal dan diselaraskan oleh Markas Divisyen Kedua Infantri (2 Divisyen). Divisyen ini bertanggungjawab ke atas keselamatan di negeri-negeri Pahang, Perak, Kelantan, Selangor dan Kedah. Operasi besar-besaran di dalam siri GONZALES dilancarkan untuk menjejak, mengesan dan seterusnya menghapuskan unit-unit penggempur Parti Komunis Malaya yang hendak bertapak semula di Semenanjung Malaysia. Operasi-operasi GONZALES ini telah berjaya menghapuskan sebilangan anggota pengganas komunis di negeri Pahang dan Perak.

Tetapi unit-unit penggempur Parti Komunis Malaya menggunakan taktik serang dan lari ke atas unit-unit pasukan keselamatan. Selepas membuat serangan, mereka menyusup semula masuk ke kawasan hutan di dalam sempadan Thailand, di mana mereka tahu pasukan keselamatan Malaysia tidak mempunyai kuasa mengejar (hot pursuit). Taktik ini membantutkan kejayaan operasi siri Gonzales.

Untuk menangani kekangan ini, Kerajaan Malaysia merundingkan dengan Kerajaan Thailand untuk membolehkan pasukan keselamatan Malaysia mengejar unit-unit penggempur Parti Komunis Malaya walaupun mereka kembali memasuki wilayah Thailand. Hasil perundingan diadakan, Kerajaan Thailand akhirnya bersetuju membenarkan pasukan Tentera Darat Malaysia untuk membuat kejaran “hot pursuit” pengganas komunis masuk ke dalam wilayah Thailand sehingga satu kawasan tidak melebihi bandar Sadao, Thailand.

Operasi Daoyai Musnah[sunting | sunting sumber]

Dalam tahun 1976 Operasi Daoyai Musnah dilancarkan oleh Tentera Darat Malaysia untuk menghapuskan ancaman pengganas komunis di kawasan operasi 2 Divisyen Infantri. Operasi Daoyai Musnah berbeza kerana pasukan Tentera Malaysia membuat operasi cari dan musnah di dalam kawasan operasi di wilayah Malaysia sehinggalah ke kawasan operasi di wilayah Thailand. Satu markas hadapan ditubuhkan di Sadao untuk tujuan perintah dan kawalan operasi.

Pasukan Tentera Darat Malaysia ditempatkan di wilayah Thailand untuk bertindak sebagai pasukan menghalang (blocking force). Kumpulan pengganas komunis mendapat kejutan kerana pasukan Tentera Malaysia tidak menghentikan operasi apabila kumpulan pengganas masuk ke wilayah Thailand. Sebaliknya, mereka terus diburu. Kumpulan pengganas terus berundur sehingga bertembung dengan kumpulan Tentera Malaysia yang menjadi pasukan menghalang.

Walaupun pasukan Royal Thai Army bekerjasama dengan pasukan Tentera Malaysia, mereka agak keberatan untuk berdepan dengan kumpulan pengganas. Akhirnya operasi cari dan musnah dijalankan kebanyakannya oleh Tentera Malaysia.

Sarawak[sunting | sunting sumber]

Di Sarawak, ancaman Parti Komunis Kalimantan Utara ditangani oleh Markas Divisyen Pertama Infantri. Operasi-operasi besar sepertimana yang dijalankan oleh 2 Divisyen di Semenanjung Malaysia juga dilancarkan di kawasan operasi Sarawak.

Ancaman paling nyata dirasai di dalam kawan operasi Sungai Rejang. Keadaan keselamatan di Rejang mendorong Markas 1 Divisyen menubuhkan Markas Khas dipanggil Markas Keselamatan Kawasan Rejang (Rejang Area Security Command) ataupun RASCOM. 1 Divisyen membuat serangan balas dengan meningkatkan skop operasi cari dan musnah menentang Parti Komunis Kalimantan Utara.

Serang hendap Di Lundu[sunting | sunting sumber]

Parti Komunis Kalimantan Utara mencapai beberapa kejayaan. Parti Komunis Kalimantan Utara berjaya membunuh 15 orang anggota Bn 7 Rejimen Renjer dalam satu serang hendap di Lundu pada 26 Mac 1972.

Serangan ini dibuat oleh segerombolan 30 hingga 40 orang pengganas ke atas konvoi terdiri dari 1 buah Land Rover dan 3 buah lori 3 ton mengandungi askar jurutera yang dipinjamkan ke Bn 7 Rejimen Renjer dan askar-askar dari kompeni bantuan. Land Rover dan lori Bedford membawa askar jurutera tidak diserang dan dibiarkan melepasi kawasan serang hendap. Apabila lori ketiga masuk ke dalam kawasan pembunuhan, kumpulan pengganas melepaskan tembakan.

Askar Jurutera yang terlepas dari serang hendap tidak berhenti untuk melawan kerana bilangan mereka kecil (1 Seksyen). Mereka memecut ke Titi Akar dan meminta bantuan daripada pasukan dari 1 Rejimen Askar Peninjau. Koperal Jamaluddin tanpa berlengah memecut kereta perisai Ferret ke tempat serang hendap dengan diikuti lain-lain askar bantuan. Apabila sampai ke kawasan serang hendap, Koperal Jamaluddin melepaskan tembakan mesingannya. Melihat ketibaan kereta perisai Ferret itu, kumpulan pengganas berundur.

Bn 7 Rejimen Renjer bertindak balas dengan melancarkan operasi cari dan musnah secara besar-besaran. Dalam operasi-operasi susulan, ramai daripada pengganas terlibat dibunuh dan senjata dirampas.

Kesan Operasi Ketenteraan[sunting | sunting sumber]

Akibat tekanan ketenteraan yang semakin meningkat, unit-unit penggempur komunis tidak dapat bertapak dengan berkesan di Semenanjung Malaysia ataupun di Sarawak. Akhirnya, ramai daripada mereka mengambil tindakan untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Tamat Pemberontakan[sunting | sunting sumber]

Dengan lumpuhnya kekuatan ketenteraan mereka, PKM telah menyerah diri dan menamatkan perjuangan mereka pada tahun 1989. Perjanjian damai dikenali dengan nama Perjanjian Haadyai ditandatangani pada 2 Disember 1989 di antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya. Dengan perjanjian ini, bererti berakhirnya perjuangan Parti Komunis Malaya.

Langkah ini disusuli pula oleh PKKU pada 17 Oktober 1990.