Kebebasan bersuara di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Kebebasan Bersuara di Malaysia)

Kebebasan Bersuara di Malaysia adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia [1].

Bahagian II di dalam Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukkan peruntukan bagi menjamin kebebasan asasi manusia. Salah satu kebebasan asasi adalah kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan yang terkandung di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan bersuara adalah asas kepada kewujudan demokrasi dan menghormati maruah manusia.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan[sunting | sunting sumber]

Perkara 10(1)(a) memperuntukkan setiap warganegara Malaysia adalah mempunyai kebebasan bercakap dan bersuara. Warganegara Malaysia mempunyai kebebasan dalam mengeluarkan pendapat dan buah fikiran mereka selagi mana mereka tidak menyentuh pada isu-isu sensitif yang telah dikenal pasti oleh Parlimen dalam perkara 10(4). Kebebasan bersuara dalam Malaysia tidak dijaminkan secara mutlak dan ianya terbatas kepada warganegara sahaja[2]. Parlimen boleh mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara melalui undang-undang[3] jika mendapati sekatan tersebut perlu dibuat demi kepentingan keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam, atau prinsip moral.

Dalam kes Minister of Home Affairs v Persatuan Aliran Kesedaran[4], responden telah memohon untuk permit dibawah Seksyen 6(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk mencetak dan menerbitkan dalam Bahasa Malaysia majalah yang bernama 'Seruan Aliran'. Permohonan itu ditolak oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Mahkamah telah memutuskan bahawa Seksyen 12(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 memberikan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri budi bicara mutlak untuk menolak permohonan bagi mendapat lesen atau permit.

Selain itu, sekatan-sekatan tersebut juga bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah seperti mana yang telah diperuntukkan dalam perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan bersuara atau bercakap yang dijaminkan dalam Perlembagaan Persekutuan sering kali dipersoalkan. Pihak berkuasa seperti ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri sentiasa mengatakan hak kebebasan bersuara mereka dikawal dan sekatan terhadap hak tersebut adalah tidak sah serta tidak berperlembagaan[5].

Pada zaman teknologi moden ini, internet telah menjadi sebuah forum yang kuat dan luas untuk rakyat mengeluar dan menyebarkan pendapat. Hal ini demikian, internet adalah medium yang murah untuk menerbitkan sesuatu mesej kepada khalayak umum yang lebih luas tanpa sempadan masa dan negara. Seperti frasa yang digunakan dalam konteks kebebasan bersuara, hak asasi adalah tidak mutlak. Kerana senario ini, penapisan kerajaan terutamanya akan menghentikan kesan-kesan negatif yang mungkin akan diundang dari pengeluaran buah fikiran di internet. Dalam erti kata lain, hak kebebasan bersuara melalui internet mungkin ditentang oleh pengguna internet kerana penapisan tersebut dikatakan menentang idea individualisme dalam masyarakat.

Kebebasan Bersuara vs Perbuatan Menghasut[sunting | sunting sumber]

Kebebasan bersuara sering dikaitkan dengan perbuatan menghasut. Sesiapa yang menyebut, menulis, mencetak, menjual, atau menyiarkan perkataan-perkataan yang mempunyai maksud hasutan adalah dianggap oleh undang-undang [6] sebagai melakukan kesalahan yang boleh dihukum sehingga lima (5) tahun penjara atau denda RM5,000.00. Kebebasan mengeluarkan pendapat terhadap sesuatu isu adalah berbeza daripada menghasut yang cuba menyebabkan kehuru-haraan. Dalam kes Melan bin Abdullah & Anor lwn Pendakwa Raya [7], Ong CJ telah memutuskan bahawa niat seseorang semasa bercakap adalah tidak penting. Hal ini bermaksud sekiranya sesuatu yang dikatakan oleh orang tersebut mempunyai kecenderungan menghasut, dia akan didakwa dibawah kesalahan menghasut.

Tambahan pula, dalam kes Pendakwa Raya lwn Ooi Kee Saik[8], mahkamah memutuskan pihak pendakwa raya tidak perlu menunjukkan sama ada perkataan yang mempunyai kecenderungan menghasut itu adalah benar atau tidak. Di samping itu, dalam kes Pendakwa Raya lwn Oh Seng Keng [9], mahkamah memutuskan pihak pendakwa raya tidak perlu menunjukkan perkataan yang mempunyai sifat menghasut itu telah menimbulkan keadaan kacau-bila. Justeru itu, dalam ketiga-tiga kes yang telah dibincangkan, orang yang mengeluarkan perkataan yang diputus oleh mahkamah bersifat menghasut akan didakwa bawah kesalahan menghasut.

Walaubagaimanapun, dalam kes Sepakat Efektif Sdn Bhd v Menteri Dalam Negeri & Anor[10], mahkamah memutuskan bahawa gambaran dan ilustrasi dalam kedua-dua “Perak Darul Kartun” dan “1 Funny Malaysia” tidak mungkin akan membawa kepada kemudaratan awam kerana telah pun berada dalam pasaran sebelum pengharamannya. Tidak ada bukti yang mencukupi yang menunjukkan bahawa ia akan memudaratkan ketenteraman awam. Ia tidak melanggar Akta Hasutan 1948, dan tidak bercanggah dengan artikel 10(1)(a) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan vs Kebebasan Bersuara[sunting | sunting sumber]

Ahli Parlimen mempunyai kebebasan bersuara yang lebih luas semasa berada dalam prosiding Parlimen. Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan keistimewaan Parlimen yang menjamin hak ahli Parlimen ketika mereka membincangkan sesuatu isu dalam sidang Parlimen. Perkara 63(2) memperuntukkan tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara).

Walaupun ahli Parlimen mempunyai hak bersuara yang luas semasa berada dalam prosiding Parlimen, mereka juga tertakluk kepada sekatan yang diperuntukkan dalam perkara 63(4) iaitu mereka tidak boleh menyentuh isu-isu sensitif yang telah dikenal pasti dalam perkara 10(4) dan juga mengatakan sesuatu yang akan dihukum di bawah Akta Hasutan 1948.

Merujuk kepada kes Mark Koding lwn Pendakwa Raya[11], seseorang ahli Dewan Rakyat telah dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 kerana telah menyentuh isu sensitif dalam Parlimen. Isu sensitif yang dibangkitkan olehnya ialah sekolah Cina dan Tamil perlu ditutup serta mengehadkan penggunaan Bahasa Cina dan Tamil di papan tanda jalan raya. Suffian LP di Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa walaupun perkara 63(2) memberi kebebasan bersuara kepada ahli Parlimen, namun terdapat sekatan-sekatan dikenakan terhadap kebebasan tersebut seperti yang diperuntukkan dalam perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan.

Daripada kes-kes yang telah diputus oleh mahkamah [12], kita dapat lihat kebebasan bercakap atau bersuara di negara kita tidak dijaminkan secara mutlak tetapi tertakluk kepada sekatan yang berpatutan.

Kebebasan Bersuara vs Kebebasan Berpolitik[sunting | sunting sumber]

Dalam artikel Kebebasan Berpolitik Menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Aplikasinya[13], penulisnya iaitu, Faridah Jalil pernah menyentuh tentang isu-isu mengenai kebebasan bersuara dalam konteks Malaysia. Isu yang dinyatakan adalah sekatan mengenai hak untuk bersuara di Malaysia dalam perkara-perkara tertentu seperti hak keistimewaan, kedudukan orang Melayu, kedaulatan serta kedudukan Bahasa Melayu. Perkara-perkara sebegini adalah tidak boleh dipersoalkan, hanyalah cara pelaksaaannya boleh dibincangkan.

Jadi, jikalau ahli-ahli Parlimen tidak dibenarkan memberi pandangan atau cadangan mereka mengenai perkara-perkara yang dilabelkan sebagai sensitif ini semasa dalam persidangan Parlimen, maka fungsi serta bidang kuasa mereka untuk melaksanakan atau mengubah polisi negara adalah sukar dan kurang berkesan. Negara sukar untuk maju kerana masyarakat akan berpendapat bahawa kerajaan adalah tidak sanggup untuk menerima kritikan serta ideologi yang berbeza dalam pelaksanaan dasar kerajaannya.

Kebebasan bersuara selalu berkait rapat dengan kebebasan berpolitik. Isu yang diketengah di sini adalah mengenai sekatan-sekatan kerajaan terhadap hak bersuara melalui medium politik. Contohnya, dulu Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang menyatakan penahanan berlaku apabila didapati seseorang itu boleh memberi ancaman kepada keselamatan serta ketenteraman negara. Namun begitu, kerajaan pada masa itu cenderung untuk mengambil tindakan terhadap ahli-ahli politik yang tidak bersefahaman ideologi dengan kerajaan yang memerintah pada masa itu. Manakala mereka yang bersefahaman dengan polisi kerajaan tidak diambil tindakan langsung oleh pihak kerajaan. Keadaan yang jelas berat sebelah ini telah memberikan tamparan yang hebat terhadap perkembangan kebebasan untuk bersuara di Malaysia.

Jadi, adalah jelas nampaknya kerajaan yang memerintah tidak sanggup memberi kebebasan bersuara yang terlalu luas kepada masyarakat Malaysia pada zaman itu. 

Sekatan-sekatan terhadap Kebebasan Bersuara[sunting | sunting sumber]

Walau bagaimanapun, kebebasan bercakap dan bersuara adalah perlu diberi kawalan yang munasabah. Jikalau ia tidak dikawal selia dengan baik, maka kemungkinan akan berlakunya kekecohan dalam sesebuah negara dan masyarakat.

Dalam situasi Malaysia yang mana masyarakatnya adalah terdiri daripada agama, kaum serta bangsa yang majmuk. Maka, kerajaan perlu cermat dalam menangani hak-hak bersuara terutamanya ucapan yang melibatkan hal-hal agama dan perkauman. Sejak kebelakangan ini, ucapan yang berunsurkan kebencian terhadap kerajaan, perkauman, serta kaum lain semakin meningkat[14]. Ahli-ahli politik juga mengambil kesempatan ini dengan menggunakan taktik perkauman dan menyebarkan maklumat palsu demi memastikan mereka masih berpegang pada kuasa.

Contohnya, dalam isu pergaduhan di Plaza Low Yat yang hanya disebabkan oleh kecurian telefon oleh seorang pemuda akhirnya diperbesarkan sehingga mencetuskan pergaduhan antara kaum Melayu dan kaum Cina yang majoriti merupakan peniaga di sana. Bukan itu sahaja, isu “Kalimah Allah” juga telah mencetuskan perasaan tidak puas hati antara penganut Islam dengan penganut Kristian.

Peristiwa-peristiwa ini harus diambil perhatian oleh kerajaan bagi mengelakkan berulang sejarah hitam yang pernah berlaku di Malaysia, iaitu peristiwa 13 Mei 1969. Kerajaan patut memberi perhatian yang lebih dalam isu-isu yang sebegini supaya sebarang perselisihan faham dapat dimeterai dan diselesaikan. Kemajuan dan perkembangan sesebuah negara adalah bergantung kepada perpaduan yang dicapai antara rakyat jelitanya dalam sesebuah negara itu.

Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum. Kehidupan yang harmoni antara kaum-kaum yang berbeza adalah penting demi kemajuan negara. Oleh itu, perasaan setiap kaum perlu dijaga. Perkataan-perkataan yang akan menyinggung perasaan perlu dielakkan bagi tujuan menjaga keamanan masyarakat. Justeru, sekatan-sekatan telah dikenakan ke atas kebebasan bersuara bagi memelihara ketenteraman awam. Dalam kes Chai Choon Hon lwn Ketua Polis Daerah, Kampar dan Kerajaan Malaysia[15] , Mahkamah mendapati syarat yang diminta oleh pihak polis adalah tidak bermunasabah.

Oleh itu, boleh dikatakan sekatan yang dikenakan dikehendaki mempersoalkan kemunasabahannya. Antara sekatan yang dikuatkuasa ialah seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, Akta Ketenteraman Awam (Pemeliharaan) 1958 (Semakan 1983), Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (semakan 1988) telah diwujud bagi mengehadkan skop kebebasan bercakap seseorang warganegara. Jadual berikut menunjukkan Undang-undang yang menyekat hak bersuara di Malaysia.

Penerangan Kes Mengenai Hak Kebebasan Bersuara[sunting | sunting sumber]

Kes mengenai kebebasan bersuara jelas nampak dalam Abdul Rahman Talib v Seenivasagam & Anor[16], kes ini merupakan kes yang berkaitan dengan kebebasan bersuara seorang ahli Parlimen yang didakwa menjadi suatu fitnah. Plaintif telah mendakwa bahawa defendan pertama dan defendant kedua telah mengatakan sesuatu yang tidak benar iaitu mereka berpendapat bahawa plaintif melakukan rasuah. Plaintif ingin menuntut ganti rugi daripada kedua-dua defendan atas sebab fitnah yang dilemparkan terhadapnya telah menjejaskan nama baiknya.

Fitnah berkenaan pelakuan rasuah plaintif telah dibangkitkan oleh defendan pertama yang merupakan seorang ahli Parlimen. Dia telah mengulangkan apa-apa pendapat yang dikeluarkannya dalam Dewan Parlimen semasa bermesyuarat di “Chinese Assembly Hall”. Dia juga melemparkan kenyataan yang mengandungi fitnah tersebut kepada wakil pihak surat khabar. Selain itu, pada masa yang sama, defendan kedua telah melemparkan satu kenyataan yang mengandungi fitnah berkaitan rasuah kepada orang yang menyertai mesyuarat itu.

Dalam kes ini, defendan pertama menentang dakwaan plaintif dengan mengatakan dia merupakan seorang ahli Parlimen yang dilindungi oleh keistimewaan Parlimen. Tambahan pula, kedua-dua defendan juga menafikan dakwaan plaintif dengan pembelaan justifikasi.

Mahkamah telah memutuskan kes ini dengan tidak membenarkan defendan pertama merujukkan pembelaannya kepada keistimewaan Parlimen manakala pembelaan secara justifikasi adalah dibenarkan. Kita mesti tahu keistimewaan Parlimen tidak melindungi seseorang ahli Parlimen daripada disabit kesalahan apabila dia mengatakan sesuatu tanpa bukti dan juga sesuatu yang sensitif di luar Dewan Parlimen. Perlindungan tersebut hanya memberi keistimewaan kepada ahli Parlimen apabila mereka berunding dalam Dewan Parlimen dengan syarat mereka masih tertakluk kepada Akta Hasutan 1948. Tambahan pula, mahkamah dengan mengambil kira bukti-bukti dalam kes ini secara keseluruhan, maka pembelaan justifikasi kedua-dua defendan dibenarkan. 

Kes Zainur bin Zakaria v Public Prosecutor[17] juga membincangkan isu kebebasan bersuara. Perayu merupakan seorang peguam bela Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah dituduh melakukan empat kesalahan amalan rasuah di bawah Ordinan Darurat No 22 tahun 1970. Dalam perbicaraan, peguam perayu telah memohon untuk menghilangkan kelayakan dua orang pendakwa raya berdasarkan satu deklarasi statutori. Permohonan tersebut disokong oleh satu afidavit. Permohonan tersebut dan afidavit telah difailkan oleh firma perayu. Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa permohonan tersebut adalah tidak berasas. Beliau mencadangkan menyaman perayu atas sebab penghinaan mahkamah. Hakim menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara ke atas perayu. Penghinaan mahkamah juga merupakan salah satu sekatan terhadap kebebasan bersuara atau berpendapat. Hal ini demikian kita tidak dapat mengeluarkan apa-apa buah fikiran dalam mahkamah tanpa memikir tentang kesannya. Kadang-kala, keputusan hakim dan kelakuan Yang Arif tidak boleh dicabar dan dikritik secara terus dalam mahkamah. Jika kita berbuat demikian, kita akan dianggap tidak menghormati mahkamah dan akan disabitkan dengan kesalahan penghinaan mahkamah. Oleh itu, kebebasan kita dalam memberi komen terhadap keputusan atau perkara yang berlaku dalam mahkamah telah disekat. Tambahan pula, terdapat juga situasi yang menyekat kita daripada menyebarkan maklumat yang terdapat dalam mahkamah bagi pengetahuan khalayak umum.

Secara pendeknya, kebebasan untuk bersuara dalam memberi pendapat atau informasi yang diperuntukkan dalam perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan telah dibatasi oleh perkara 126 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa mahkamah dalam menyabitkan kesalahan penghinaan mahkamah terhadap orang yang dianggap telah menyalahgunakan hak kebebasan bersuara. 

Dalam kes Arumugam a/l Kalimuthu v Menteri Keselamatan Dalam Negeri & Ors[18] pula, ia mengenai dengan semakan kehakiman terhadap pengharaman buku dalam Bahasa Tamil menerusi suatu perintah berikutan seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Perintah tersebut ditandatangani oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dengan alasan buku tersebut berpotensi menjejaskan ketenteraman awam. Pemohon yang merupakan penulis buku tersebut telah memohon suatu perintah pengisytiharan bahawa perintah tersebut menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah. Suatu perintah certiorari perlu diperolehi untuk membatalkan atau mengetepikan perintah tersebut. Pemohon juga menuntut ganti rugi terhadap perkara ini.

Pemohon juga berhujah bahawa perintah yang ditandatangani atas nama Menteri Keselamatan Dalam Negeri adalah salah disisi undang-undang kerana kuasa yang diberikan oleh Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah khusus untuk Menteri. Oleh itu, kuasa ini tidak boleh dilaksanakan oleh Timbalan Menteri. Selain itu, pemohon juga berhujah bahawa terdapat pelanggaran kepada peraturan keadilan asasi. Pada masa yang sama, pemohon juga mengatakan bahawa perintah Menteri tersebut adalah tidak wajar kerana kebebasan bersuara seperti yang dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah dihadkan.

Dalam kes ini, mahkamah telah memutuskan bahawa timbalan-timbalan menteri mesti membantu menteri-menteri dalam pelaksanaan tugas dan kuasa mereka. Selain itu, dibawah Akta Tugas-Tugas Menteri 1969, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri jelas diberi kuasa untuk melakukan, bertindak dan menjalankan kuasa-kuasa di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Di samping itu, buku tersebut bercerita tentang kekacauan perkauman di Kampung Medan. Hal ini merupakan isu ketenteraman awam dan keselamatan negeri. Oleh itu, terdapat fakta-fakta tersedia yang membolehkan Timbalan Menteri memutuskan buku tersebut akan menjejaskan ketenteraman awam serta mengharamkan penerbitannya. Tambahan pula, perintah pengharaman buku tersebut merupakan satu pembatasan yang wajar terhadap kebebasan asasi yang diperuntukan bawah Perkara 10. Hal ini demikian kebebasan mutlak tidak dijaminkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sekatan-sekatan adalah perlu untuk menjamin keharmonian kehidupan dalam masyarakat demokrasi. Jadi, pengharaman tersebut adalah berkadaran bagi mencapai tujuan yang munasabah.

Kesimpulannya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 merupakan salah satu sekatan terhadap kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam perkara 10(1a). Akta ini mengehadkan seseorang mengeluarkan pandangan mereka sesuka hati dalam buku, akhbar atau majalah. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan sesuatu pendapat sensitif yang boleh menyebabkan berlakunya kekecohan dalam masyarakat.

Undang-undang yang Menyekatkan Hak Bersuara Penerangan
Akta Hasutan 1948
  • Akta ini digubal bagi melindungi sensitiviti warganegara Malaysia.
  • Seksyen 2 akta ini memberi tafsiran perkataan “menghasut” sebagai apa-apa perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau apa-apa benda lain menjadikan perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau benda lain itu sebagai yang mempunyai kecenderungan menghasut.
  • Seksyen 3 (1) (f) memperuntukkan bahawa kecenderungan menghasut termasuk menyoal apa-apa perkara, hak, taraf kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan-peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.
  • Niat seseorang ketika melakukan sesuatu atau mengatakan sesuatu yang mempunyai kecenderungan menghasut adalah tidak penting dan bukanlah satu dalihan seperti yang termaktub dalam Seksyen 3(3) Perlembagaan Persekutuan.
  • Akta Hasutan (Pindaan) 2015 meminda Seksyen 2 dengan menambah “by electronic means”, in relation to a publication.
  • Kes-kes yang berkaitan dengan isu hasutan:
  1. Pendakwa Raya v Karpal Singh [19]
  2. Mat Shuhaimi Shafiei lwn Pendakwa Raya [20]
  3. Pendakwa Raya lwn Azmi Sharom [21]
Akta Rahsia Rasmi 1972[pautan mati kekal]
  • Akta ini bertujuan meminda dan menyatukan undang-undang berhubung dengan perlindungan rahsia bagi mengelakkan pengaliran, penyebaran atau kebocoran rahsia rasmi yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
  • “Rahsia Rasmi” ertinya apa-apa suratan yang dinyatakan dalam Jadual dan apa-apa maklumat dan bahan berhubungan dengannya dan termasuklah apa-apa suratan rasmi, maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh dikelaskan sebagai ‘Rahsia Besar’,‘Rahsia’, ‘Sulit’ atau ‘Terhad’, mengikut mana yang berkenaan, oleh seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau mana-mana pegawai awam yang dilantik di bawah Seksyen 2B.
Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984
  • Akta ini bertujuan menggubal undang-undang yang berkaitan dengan bahan-bahan cetakan, penerbitan dan agihan penerbitan. Kebebasan akhbar bukan suatu kebebasan yang mutlak kerana lesen daripada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri diperlukan sebelum bahan-bahan yang dicetak diedarkan kepada orang ramai.
  • Dalam kes Minister of Home Affairs v Persatuan Aliran Kesedaran[22], responden telah memohon untuk permit di bawah s 6(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk mencetak dan menerbitkan dalam Bahasa Malaysia majalah yang bernama Seruan Aliran. Permohonan itu ditolak oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Mahkamah memutuskan Section 12(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 memberi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri budi bicara mutlak menolak permohonan mendapat lesen atau permit.
  • Kes yang berkaitan :
  1. Public Prosecutor lwn Pung Chen Choon [23]
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
  • Akta ini berkaitan undang-undang siber.
  • Satu rangka kerja yang membolehkan pemantauan industri komunikasi dan multimedia oleh pihak kerajaan.
  • Akta ini mengawal penyiaran tradisional, telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut.
  • Tiada peruntukan membenarkan penapisan internet.

Prinsip Mengenai Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan[sunting | sunting sumber]

Dalam kes Muhammad Hilman v Kerajaan Malaysia[24], mahkamah memutuskan bahawa sebarang sekatan yang diwujudkan oleh Parlimen bagi kebebasan bersuara mestilah merupakan sekatan yang munasabah dan mahkamah mempunyai kuasa untuk menyemak sama ada sekatan tersebut sah atau tidak seperti yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia [25].

Dalam kes tersebut, Gopal Sri Ram FCJ menyatakan cara untuk memastikan sama ada sesuatu sekatan munasabah atau tidak ialah berdasarkan keperluan dan tahap mustahak sekatan tersebut bagi mencapai tujuan sesebuah akta itu dibuat. Selain itu, dalam kes Zi Publications Sdn Bhd & Anor lwn Kerajaan Negeri Selangor; Kerajaan Malaysia & Anor (Intervener)[26], Raus Sharif PMR juga menegaskan pengunaan principle of harmonious construction dalam mengintepretasi peruntukan perlembagaan seperti yang mana telah diputuskan dalam kes tersebut, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan harus dibaca khususnya dengan Perkara 3(1), Perkara 11 dan Perkara 74(2). Prinsip mantap pentafsiran Perlembagaan ini menjelaskan bahawa tiada peruntukan Perlembagaan yang boleh dipertimbangkan secara berasingan.

Peruntukan yang tertentu itu mesti dipertimbangkan bersama-sama semua peruntukan-peruntukan lain berkaitan dengan hal perkara tertentu[27].

Kebebasan bersuara setiap warganegara Malaysia adalah tidak wujud secara mutlak[28]. Masih terdapat lagi kuasa Parlimen untuk menggubal dan mengehadkan hak tersebut. Artikel 10(1)(a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan bersuara kepada warganegara Malaysia itu adalah tertakhluk kepada 10(2), 10(3) dan 10(4). Sekatan-sekatan ini boleh dikenakan untuk memelihara ketenteraman awam dan hak asasi masyarakat umum untuk hidup dalam aman dan tenteram. 

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan
  2. ^ Tun Mohamed Suffian Bin Hashim, Mengenal Perlembagaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1984, hlm 305.
  3. ^ Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor lwn Nordin bin Salleh [1992] 1 MLJ 697
  4. ^ [1990] 1 MLJ 351
  5. ^ Pendakwa Raya lwn Ooi Kee Saik & Ors [1971] 2 MLJ 108
  6. ^ Ordinan Hasutan 1948
  7. ^ [1971] 2 MLJ 280
  8. ^ [1971] 2 MLJ 108
  9. ^ [1976] 1 MLJ 143
  10. ^ [2015]2 CLJ 328
  11. ^ [1982] 2 MLJ 120
  12. ^ Mat Shuhaimi Shafiei lwn Pendakwa Raya [2014]5 CLJ 145, Pendakwa Raya lwn Azmi Sharom [2015]8 CLJ 921
  13. ^ Faridah Jalil. (2001). Kebebasan Berpolitik Menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Aplikasinya. Malayan Law Journal Articles, 4, 5-6.
  14. ^ Murni Wan Mohd Nor and Ratnawati bt Mohd Asraf. (2015).Freedom Without Restraint and Responsibility: The Problem of Hate Speech In Malaysia. Malayan Law Journal Articles, 5, 12-19.
  15. ^ [1986] 2 MLJ 203
  16. ^ [1966] 2 MLJ 66.
  17. ^ [2001] 3 MLJ 604.
  18. ^ [2010] 3 MLJ 412.
  19. ^ [2012] 4 MLJ 443
  20. ^ [2014] 5 CLJ 145
  21. ^ [2015] 8 CLJ 921
  22. ^ [1990] 1 MLJ 351
  23. ^ [1994] 1 MLJ 566
  24. ^ [2011]6 MLJ 507
  25. ^ [2010] 2 MLJ 333
  26. ^ [2015]8 CLJ 621
  27. ^ Pendakwa Raya lwn Azmi Sharom [2015]8 CLJ 921
  28. ^ Hak Asasi Manusia: Imbangan antara Hak Ramai dengan Hak Individu Dalam Konteks Kebebasan Bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Ahmad 'Azam Mohd Sharif, [2012] 1 LNS (A) Iii

Sumber Rujukan[sunting | sunting sumber]

1)      Perlembagaan Persekutuan

2)      Akta Rahsia Rasmi

3)      Akta Hasutan 1948

4)      Akta Fitnah 1957

5)      Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984

6)     Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

7)      Abdul Aziz Bari, Farid Suffian Shuib. 2006. Constitution of Malaysia – Text and Commentary. Pearson Prentice Hall.

8)      Abdul Aziz Bari. 2003. Malaysian Constitution – A Critical introduction. The Other Press

9)      Harding, Andrew, 2012. The Constitution of Malaysia: A Contextual Analysis, Oxford, Hart Publishing. Harding, Andrew. 1996. Law, Government and the Constitution of Malaysia. Kluwer International.

10)  Shad Saleem Faruqi. 2008. Document of Destiny. Star Publications (M) Berhad

11)  Abdul Aziz Bari, Farid Sufian Shuaib. 2004. Constitution of Malaysia – Text and Commentary. Pearson Malaysia.

12)  Tun  Mohamed Suffian Bin Hashim, Mengenal Perlembagaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1984

13)  Madhavan Nair v PP [1975] 2 MLJ 284

14)  PP v Ooi Kee Saik [1971] 2 MLJ 108

15)  Mark Koding v PP [1982] 2 MLJ 120

16)  Persatuan Aliran Kesedaran Negara v Minister of Home Affairs [1990] 1 MLJ 351

17)  Mark Koding v PP [1982] 2 MLJ 120

18)  PP v Pung Chen Choon [1994] 1 MLJ 566

19)  Abd.Rahman Talib v Seenivasagam & Anor [1966] 2 MLJ 66 (Federal Court)

20)  Zainur Zakaria v Public Prosecutor [2001]3 MLJ 604

21)  Sivarasa v Badan Peguam Malaysia [2010]2 MLJ 333

22)  Arumugam a/l Kalimuthu v Menteri Keselamatan Dalam Negeri & Ors [2010]3 MLJ 412

23)  Muhammad Hilman v Kerajaan Malaysia [2011]6 MLJ 507

24)  ZI Publications Sdn Bhd & Anor v Kerajaan Negeri Selangor; Kerajaan Malaysia & [2015]8 CLJ 621

25)  Sepakat Efektif Sdn Bhd v Menteri Dalam Negeri & anor and Another Appeal [2015]2 CLJ 328

26)  Mat Shuhaimi Shafiei lwn Pendakwa Raya [2014]5 CLJ 145

27)  Pendakwa Raya v Karpal Singh [2012] 4 MLJ 443

28)  Chai Choon Hon v Ketua Polis Daerah, Kampar dan Kerajaan Malaysia [1986] 2 MLJ 203

29) Pendakwa Raya v Oh Seng Keng [1976] 1 MLJ 143

30)  Melan bin Abdullah & Anor lwn Pendakwa Raya [1971] 2 MLJ 280

31)  Faridah Jalil. (2001). Kebebasan Berpolitik Menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Aplikasinya [2001]4 MLJ i

32)  Hak Asasi Manusia : Imbangan Antara Hak Ramai dengan Hak Individu dalam Konteks Kebebasan Bersuara  di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia [2012]1 LNS (A) lii

33)  Ahmad, Masum. [2009] Freedom of Speech and the Internet -- A Case Study of Malaysia [2009] 3 MLJ xxxiv

34)  Murni Wan Mohd Nor and Ratnawati bt Mohd Asraf. (2015). Freedom Without Restraint And Responsibility: The Problem of Hate Speech in Malaysia [2015] 5 MLJ xliv