Giri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Kedaton Giri)

Giri ialah sebuah tempat yang terletak di daerah Gersik, Jawa Timur. Di sini terletaknya sebuah 'kerajaan' Islam sekitar abad ke-15 hingga ke-17 masihi yang digelar Kedaton Giri.

Sejarah Penubuhan[sunting | sunting sumber]

Kedaton Giri didirikan oleh Raden Paku, salah seorang anggota Wali Songo pada tahun 1487. Beliau mendirikan Giri Kedaton atas perintah ayahandanya, Maulana Ishak yang menjadi ulama di Pasai. Ayahnya menyuruhnya membangunkan pondok pesantren di Gersik.

Bapanya memberinya sekepal tanah dan memintanya mencari tempat yang mempunyai tanah yang sama dengan tanah yang diberikannya itu. Beliau menjumpai tanah tersebut di Bukit Giri. Di atas bukit itulah didirikan sebuah pondok pengajian yang dinamakan Giri Kedaton. Raden Paku kemudiannya digelar Prabu Satmata atau Sunan Giri I.

Perkembangan[sunting | sunting sumber]

Walaupun pada mulanya Giri hanya sebuah sekolah agama tetapi murid-muridnya datang dari segenap pelusuk Nusantara termasuk Ternate dan Tidore. Kedaton Giri bukan sahaja menarik golongan rakyat biasa tetapi juga para bangsawan dan kerabat diraja.

Kerajaan Majapahit I yang ketika itu sudah lemah pasca Perang Paregreg(1401–1406) mula khuatir dengan kemahsyuran Giri. Para pangeran yang pulang ke negeri asal mereka meniupkan semangat untuk bebas dari kawalan Majapahit yang beragama Hindu.

Majapahit telah memerintahkan sekutunya yang masih setia, Sengguruh untuk menyerang Giri. Giri yang hanya terdiri daripada para pelajar tewas malah pemimpinnya, Sunan Dalem juga terpaksa melarikan diri ke desa Gumena.

Puncak Kejayaan[sunting | sunting sumber]

Kedaton Giri mula mencapai puncak kejayaannya apabila diperintah oleh Sunan Prapen. Giri ketika itu bukan sahaja sebuah pusat pengajian agama Islam tetapi juga sebuah kerajaan yang memiliki kekuasaan politik.

Kedaton Giri yang dipimpin oleh Sunan Prapen telah diberikan kuasa untuk melantik Sultan Pajang, Sultan Adiwijaya. Sunan Prapen juga menjadi orang tengah dalam pertemuan antara bupati Jawa Timur dan Adiwijaya pada tahun 1568. Para bupati Jawa Timur kemudiannya setuju mengakui kekuasaan Pajang sebagai penerus Kesultanan Demak.

Sunan Prapen juga menjadi juru damai peperangan antara Panembahan Senopati, raja Mataram melawan Jayalengkara bupati Surabaya tahun 1588. Peperangan itu disebabkan oleh penolakan para bupati Jawa Timur terhadap kekuasaan Senopati yang telah meruntuhkan Kesultanan Pajang.

Sunan Prapen juga selalu menjadi pelantik setiap raja Islam yang naik takhta di segenap penjuru Nusantara. Giri juga mendapat ufti daripada Ternate setiap tahun iaitu bunga cengkih.

Ditaklukkan Mataram[sunting | sunting sumber]

Kesultanan Mataram di bawah pemerintahan Sultan Agung menginginkan Giri tunduk sebagai jajahan Mataram. Pada tahun 1630, Kedaton Giri di bawah pimpinan Sunan Kawis Guwa menolak kekuasaan Mataram.

Tiada seorang pun pahlawan Mataram yang berani menghadapi Giri. Rupanya mereka masih takut akan kekeramatan Wali Songo walaupun dewan tersebut sudah tiada lagi.

Sultan Agung pun meminta iparnya, Pangeran Pekik putra Jayalengkara dari Surabaya untuk menghadapi Giri. Semangat pasukan Mataram bangkit kerana Pangeran Pekik merupakan keturunan Sunan Ampel, sementara Sunan Kawis Guwa adalah keturunan Sunan Giri I, di mana Sunan Giri I adalah murid Sunan Ampel.

Perang akhirnya dimenangi oleh pihak Mataram di mana Giri ditawan sekitar tahun 1636. Sunan Kawis Guwa dibenarkan untuk tetap memimpin Giri dengan syarat harus tunduk kepada Mataram.

Sejak saat itu, pengaruh Kedaton Giri kian melemah. Pengganti Sunan Kawis Guwa tidak lagi bergelar Sunan Giri tetapi bergelar Panembahan Ageng Giri.

Gelar Panembahan dan Giri mempengaruhi penguasa Kerajaan Tanjungpura di Kalimantan Barat ketika memeluk Islam menggunakan gelar Panembahan Giri Kusuma.

Keruntuhan[sunting | sunting sumber]

Kedaton Giri yang sudah menjadi taklukan Mataram kemudiannya menyokong pemberontakan Trunojoyo dari Madura bersama-sama orang Makasar di bawah pimpinan Karaeng Galesong terhadap pemerintahan Amangkurat I putera Sultan Agung. Panembahan Ageng Giri aktif mencari sokongan untuk menguatkan barisan pemberontak.

Punca pemberontakan ini kerana sikap kejam Amangkurat I dalam menghadapi penentangan yang diketuai oleh adiknya, Pangeran Alit yang disokong oleh ulama yang tidak bersetuju dengan polisi pemerintahan abangnya pada tahun 1647. Adiknya sendiri terbunuh dalam penentangan ini dan ulama yang menyokongnya telah dikumpulkan dan dibunuh beramai-ramai beserta keluarga mereka di halaman istana.

Puncak pemberontakan terjadi tahun 1677 di mana Kesultanan Mataram mengalami keruntuhan. Amangkurat I sendiri mati dalam pelarian. Puteranya yang bergelar Amangkurat II bersekutu dengan VOC melancarkan serangan balas.

Amangkurat II yang menjadi raja tanpa takhta berhasil menghancurkan pemberontakan Trunojoyo pada akhir tahun 1679. Sekutu Trunojoyo yang paling akhir bertahan ialah Kedaton Giri. Pada bulan April 1680, serangan besar-besaran terhadap Giri dilancarkan oleh VOCBelanda. Murid Kedaton Giri yang menjadi panglima para santri bernama Pangeran Singosari gugur dalam peperangan.

Panembahan Ageng Giri ditangkap dan dihukum mati menggunakan cemeti. Tidak hanya itu, anggota keluarganya juga dimusnahkan. Sejak saat itu berakhirlah riwayat Giri Kedaton.

Daftar Para Penguasa[sunting | sunting sumber]

Berikut ini adalah daftar para pemimpin Giri Kedaton.

  1. Raden Paku atau Prabu Satmata atau Sunan Giri I (14871506)
  2. Sunan Dalem atau Sunan Kedul atau Sunan Giri II (14871546)
  3. Sunan Seda ing Margi atau Sunan Giri III (15461548)
  4. Sunan Mas Ratu Pratikal atau Sunan Prapen atau Sunan Giri IV (15481605)
  5. Sunan Kawis Guwa atau Sunan Giri V (1605–?)
  6. Panembahan Ageng Giri (?–1680)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]