Kelakuan sekawan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kelakuan sekawan mentakrifkan bagaimana individu-individu dalam sesebuah kumpulan boleh bertindak bersama-sama tanpa terancang hala tuju. Istilah ini berkenaan kelakuan haiwan dalam kawanan, serta tunjuk perasaan, rusuhan dan mogok,[1] acara sukan, himpunan keagamaan, keganasan gerombolan serta keputusan hari-harian, penaakulan dan pemberian pendapat.

Raafat, Chater dan Frith (2009) mencadangkan satu pendekatan bersepadu kepada kelakuan sekawan dengan memerikan dua isu penting, iaitu mekanisme pemancaran fikiran atau kelakuan sesama individu, dan pola perhubungan sesama mereka.[2] Mereka mengusulkan bahawa penyatuan berbagai-bagai pendekatan teori terhadap kelakuan sekawan mencerahkan kebergunaan konsep berkenaan di pelbagai bidang, baik neurosains kognitif[3] mahupun ilmu ekonomi.

Kelakuan sekawan dalam haiwan[sunting | sunting sumber]

Apis dorsata (lebah madu raksasa) bergemerlapan banyak-banyak

Sekawan haiwan melarikan diri dari pemangsa mempamerkan sifat naluri sekawan. Pada tahun 1971, dalam rencana "Geometry For The Selfish Herd" yang dipetik ramai, ahli biologi evolusi W. D. Hamilton bertegas bahawa setiap individu ahli kumpulan mengurangkan bahaya pada dirinya dengan bergerak sedekat yang boleh dengan kelompok yang melarikan diri. Oleh itu, kawanan tersebut bergerak bersama-sama sebagai satu unit, tetapi fungsinya timbul dari kelakuan individu pementing diri yang tidak terselaras.[4]

Kelakuan sekawan dalam masyarakat manusia[sunting | sunting sumber]

Ahli-ahli falsafah Søren Kierkegaard dan Friedrich Nietzsche adalah antara tokoh pertama yang mengkritik apa yang disifatkan oleh mereka sebagai "keramaian" (Kierkegaard)[5] dan "akhlak sekawan" dan "naluri sekawan" (Nietzsche) dalam masyarakat manusia. Usaha penyelidikan psikologi dan ekonomi masa kini telah mengenal pasti kelakuan sekawan dalam manusia untuk menjelaskan fenonema orang beramai-ramai bertindak seragam pada masa yang sama. Pakar bedah British, Wilfred Trotter melariskan istilah "herd behavior" (kelakuan sekawan) dalam bukunya, Instincts of the Herd in Peace and War (Naluri Sekawan dalam Damai dan Perang, 1914). Dalam The Theory of the Leisure Class (Teori Kelas Senggang), Thorstein Veblen menjelaskan perilaku ekonomi dari segi pengaruh sosial seperti "ikut jejak" yang mana sesetengah ahli dalam sesebuah kumpulan meniru ahli-ahli lain yang lebih tinggi darjatnya. Dalam Die Großstadt und das Geistesleben (Kota Raya dan Kehidupan Sosial, 1903), ahli sosiologi Georg Simmel menyebut tentang "dorongan kepada keramahan dalam manusia" serta hendak memerikan "bentuk-bentuk persekutuan yang mana segelintir individu yang berasingan dijadikan satu 'masyarakat' ". Lain-lain ahli sains sosial menerokai kelakuan-kelakuan yang berkenaan dengan perkawanan, contohnya Sigmund Freud (psikologi keramaian), Carl Jung (ketaksedaran kolektif), dan Gustave Le Bon (minda popular).

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Braha, D (2012) Global Civil Unrest: Contagion, Self-Organization, and Prediction. PLoS ONE 7(10): e48596, doi:10.1371/journal.pone.0048596.
  2. ^ Raafat, R. M.; Chater, N.; Frith, C. (2009). "Herding in humans". Trends in Cognitive Sciences. 13 (10): 420–428. doi:10.1016/j.tics.2009.08.002.
  3. ^ Burke, C. J.; Tobler, P. N.; Schultz, W.; Baddeley, M. (2010). "Striatal BOLD response reflects the impact of herd information on financial decisions". Frontiers in Human Neuroscience. 4: 48. doi:10.3389/fnhum.2010.00048.
  4. ^ Hamilton, W. D. (1971). "Geometry for the Selfish Herd". Journal of Theoretical Biology. 31 (2): 295–311. doi:10.1016/0022-5193(71)90189-5. PMID 5104951.
  5. ^ Soren Kierkegaard. "On the Dedication to "That Single Individual"". Dicapai pada 6 Nov 2013.