Keluhuran Perlembagaan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Perlembagaan negara Malaysia ini berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang berkuatkuasa 31 Ogos 1957, dan digubal oleh Suruhanjaya Reid. Antara lain ia menyebut tentang pembentukan kerajaan pusat yang kuat dan berkuasa ke atas negeri-negeri, kedudukan raja-raja Melayu, memilih dan melantik Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, wujudkan satu rupa bangsa, menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan lain-lain.

Sejarah penggubalan[sunting | sunting sumber]

Perlembagaan Persekutuan Malaysia ini telah dipinda oleh Suruhanjaya Cobbold disebabkan penyertaan Sabah, Sarawak, dan Singapura ke dalam Malaysia, di mana dalam perlembagaan itu telah ditambah satu kuasa yang memperakui semua undang-undang yang wujud di Sabah dan Sarawak sebelum menyertai Malaysia. Perlembagaan Malaysia yang baru ini telah diisytiharkan pada 16 September, 1963.

Parlimen[sunting | sunting sumber]

Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Parlimen, atau badan perundangan, kehakiman, dan eksekutif mendapat kuasa masing-masing daripada perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong tetap sebagai Ketua Negara, juga menjalankan kuasa mengikut Perlembagaan. Oleh kerana ia merupakan undang-undang tertinggi, maka Keluhuran Perlembagaan ini dijadikan prinsip ketiga dalam Rukun Negara.

Prinsip ini menekankan betapa perlunya seluruh rakyat di negara Malaysia ini, bukan setakat menerima perlembagaan ini, tetapi hendaklah mematuhi dan mempertahankan keluhuran, atau kemuliaan Perlembagaan Malaysia itu sendiri. Perlembagaan negara Malaysia adalah sumber perundangan yang berfungsi untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini, tidak kira bangsa, keturunan, fahaman, agama, dan kebudayaannya. Di samping itu, melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara di negara ini.

Oleh yang demikian, setiap warganegara Malaysia tidak kira besar atau kecil, tua atau muda, miskin atau kaya, begitu juga yang tinggal di kampung mahupun di bandar, dikehendaki menghormati, menghargai, dan memahami maksud dan kandungan perlembagaan itu, serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan negara Malaysia itu sendiri. Ini bertujuan supaya rakyat Malaysia pada masa-masa akan datang tahu dan sedar, tidak lagi ungkit-mengungkit tentang hak-hak istimewa kaum Bumiputera, yang merupakan penduduk asal di negara ini, sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Malaysia.

Perlembagaan Malaysia yang dikenali juga sebagai Perlembagaan Negara Malaysia itu telah digubal berasaskan semangat setiakawan dan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian, ia sudah merupakan suatu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu-gugat oleh mana-mana individu, atau mana-mana pihak lagi. Perlembagaan Negara Malaysia juga telah menentu dan menetapkan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat negara ini.

Rukun Negara[sunting | sunting sumber]

Dengan kata lain, Perlembagaan Negara Malaysia ini menjadi sumber rujukan dalam segala hal yang ada kaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan, dan hak sosio-ekonomi rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia ini. Pendeknya, perlembagaan yang mulia dan luhur itu wajarlah dijadikan salah satu elemen penting dalam prinsip Rukun Negara. Maka dengan sebab itu, Keluhuran Perlembagaan mengambil tempat ketiga dalam prinsip Rukun Negara.

Aspek-aspek utama[sunting | sunting sumber]

Antara aspek-aspek utama dalam Perlembagaan Negara Malaysia yang dirangkumi oleh prinsip ketiga ini adalah berkaitan dengan kedudukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Sementara itu Hak-hak Keistimewaan Orang Melayu di Semenanjung dan Hak Keistimewaan Bumiputera di Sabah dan Sarawak juga terkandung di dalam Perlembagaan Negara Malaysia.

Walau bagaimanapun, hak-hak yang adil bagi kaum bukan Bumiputera tetap juga diberikan. Antaranya, pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia kepada mereka yang layak, sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara itu sendiri. Walaupun bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi, namun perkembangan bahasa-bahasa lain adalah tidak dihalang, atau disekat. Malah bahasa Inggeris sendiri dijadikan bahasa kedua Malaysia.

Begitu juga halnya dengan agama Islam, walaupun secara rasminya telah menjadi agama utama, namun orang bukan Islam juga bebas untuk menganuti dan mengamalkan agama mereka, mengikut kepercayaan agama masing-masing. Manakala hak asasi rakyat juga dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Negara Malaysia ini. Pendeknya, tiada sesiapa pun, atau mana-mana pihak yang boleh menggangu-gugat hak asasi rakyat di negara ini.

Sebagai undang-undang yang tertinggi sifatnya, maka Perlembagaan Negara Malaysia mestilah dihormati, dijunjung tinggi, dan dimuliakan. Sesungguhnya, kalau Keluhuran Perlembagaan negara Malaysia ini tercemar, bererti satu penghinaan kepada bangsa dan negara sudah berlaku. Justeru itu, kestabilan negara juga akan tergugat sekiranya rakyat tidak menerima dan menghormati keluruhan Perlembagaan Negara Malaysia ini.

Tanggungjawab rakyat[sunting | sunting sumber]

Apa yang lebih mendukacitakan kita lagi andainya terdapat sebilangan rakyat negara ini yang terus mempersoalkan dan mengkritik Perlembagaan Negara Malaysia ini tanpa mengetahui langsung asal-usul dan sejarah penggubalannya. Justeru itu, menyanjung, menjunjung tinggi, dan mendaulat serta mempertahankan Perlembagaan Negara Malaysia adalah satu tanggungjawab yang mulia dan terpuji bagi setiap warganegara Malaysia, tidak kira bangsa, keturunan, agama, dan kebudayaannya.

Kestabilan negara menjadi pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum, ke arah pembentukan perpaduan nasional. Ketiga-tiga prinsip ini jelas kelihatan bertujuan supaya rakyat Malaysia bersatu-padu di bawah satu negara yang mempunyai perpaduan kukuh, sehingga sukar diganggu-gugat oleh apa juga anasir negatif yang cuba memecah-belahkan kita.

Sesungguhnya, apabila wujudnya perpaduan nasional, maka barulah terjamin kesejahteraan masyarakat majmuk, dan seterusnya akan melahirkan pula sebuah negara dan bangsa Malaysia yang bersatu, demokratik, adil, liberal, dan saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Pendeknya, jelas sekali prinsip ini merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ini, demi untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara Malaysia itu sendiri.