Kementerian Dalam Negeri Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kementerian Dalam Negeri
كمنترين دالم نڬري
Pemerintah Federal Malaysia
Logo Kementerian
Intisari agensi
Dibentuk9 Ogos 1955; 68 tahun yang lalu (1955-08-09)
JenisKerajaan
Bidang kuasa
Malaysia
Ibu pejabatBlok D1 & D2, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
Kakitangan187,323 (2018)
Belanjawan tahunanMYR 13,800,381,700 (2018)
Menteri bertanggungjawab
Eksekutif Kerajaan
Laman sesawang
www.moha.gov.my
Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya

Kementerian Dalam Negeri atau sebelumnya disebut sebagai Kementerian Dalam Negara (Tulisan Jawi: كمنترين دالم نڬري; singkatan KDN) ialah sebuah kementerian dalam kerajaan persekutuan Malaysia. Ia bertanggungjawab terhadap kepentingan dan keselamatan dalam negeri. Menteri yang bertanggungjawab bagi portfolio ini kini ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Sejak penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 sehingga bulan Mac 1951, pentadbiran Malaysia di peringkat Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Pusat (Central Government) telah diuruskan oleh tiga orang pegawai tinggi Inggeris yang digelar Ketua Setiausaha atau Setiausaha Kerajaan, Peguam Negara dan Setiausaha Kewangan.

Dalam bulan Mac 1951, pemerintahan penjajah Inggeris di Persekutuan Tanah Melayu telah membuat satu perubahan penting lagi bersejarah dengan mengadakan satu cara baru yang dinamakan 'Sistem Ahli' (Member System).

Pada masa itulah mula wujudnya portfolio atau jabatan yang dinamakan Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri yang kini dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Sehingga kini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah menjalani sejarahnya tersendiri dan beberapa kali bertukar nama dari Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri dan Keadilan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri dan kini dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Di waktu penubuhannya, Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri adalah bertanggungjawab ke atas sembilan pejabat dan agensi kerajaan iaitu Pejabat Penyiaran Broadcasting, Pejabat Kemajuan Kerjasama, Unit Filem, Pejabat Imigresen, Pejabat Penerangan, Pejabat Urusan Haji]], Pejabat Pendaftaran, Pejabat Kebajikan Orang Asli dan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RISDA). Ahli bagi Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri yang pertama ialah YB Dato' Sir Onn Jaafar iaitu bekas Menteri Besar Johor dan Presiden pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Berikutan dengan Pilihanraya Persekutuan yang pertama kali yang diadakan pada 27 Julai 1955 dan kemenangan cemerlang Parti Perikatan] (Gabungan UMNO, MCA dan MIC) dalam pilihanraya itu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra telah dilantik menjadi Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada 9 Ogos 1955. Pada masa itu juga, pentadbiran cara "Sistem Ahli" telah dibubarkan dan digantikan dengan "Sistem Menteri". Dengan perubahan tersebut, Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri bertukar namanya kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Disebabkan ketika itu Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri adalah juga menjadi Ketua Menteri, maka seorang Menteri Muda Kanan telah dilantik untuk menguruskan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Y.B. Encik Bahaman bin Samsudin telah dilantik menjadi Menteri Muda Kanan bagi Hal Ehwal Dalam Negeri pada 9 Ogos 1955.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang pertama dan dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri serta Menteri Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri. Pada ketika itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri adalah bertanggungjawab ke atas sembilan jabatan iaitu Jabatan Penyiaran, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Imigresen, Jabatan Penerangan, Jabatan Urusan Haji, Jabatan Percetakan, Jabatan Penjara, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Perangkaan serta menjadi Urus setia Ekonomi.

Pada bulan Julai 1958, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah disusun semula serta diubah namanya kepada Kementerian Dalam Negeri dan Keadilan. Seterusnya, Y.B. Dato' Suleiman bin Dato' Abdul Rahman telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan Keadilan pada bulan September 1957.

Dalam bulan Ogos 1959, Kementerian Dalam Negeri dan Keadilan telah menjadi dua Kementerian yang berasingan iaitu Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Keadilan. Jabatan-jabatan yang diletakkan di bawah tanggungjawab dan jagaan Kementerian Dalam Negeri ialah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Kimia, Jabatan Perkhidmatan Bomba, Jabatan Kerajaan Tempatan, Jabatan Percetakan Kerajaan, Jabatan Penjara, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Perancangan Bandar dan Kampung. Manakala Kementerian Keadilan pula adalah bertanggungjawab ke atas Kehakiman, Peguam Negara dan Amanah Raya dan Penyimpan Harta Musuh.

Pada akhir tahun 1959, satu lagi Kementerian baru ditubuhkan yang dinamakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas Polis DiRaja Persekutuan Tanah Melayu dan Jabatan Keselamatan Sempadan. Seterusnya pada bulan September 1959, Y.B. Dato' Suleiman bin Dato' Abdul Rahman telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, Y.B. Dato' Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Y.B. Tun Leong Yew Koh sebagai Menteri Keadilan.

Pada 1 Ogos 1962, telah berlaku pula penyusunan semula Jemaah Menteri di mana Y.B. Dato' Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman telah dilantik sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan juga Menteri Dalam Negeri. Pada tahun 1965, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah dimansuhkan dan dicantum dengan Kementerian Dalam Negeri yang kemudian diubah namanya kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (Ministry of Home Affairs).

Walau bagaimanapun pada 1 Jun 1967, Tun Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman telah meletak jawatan dan beliau diganti oleh Tun Abdul Razak Hussein sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri di samping menjadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan Menteri Pertahanan.

Berikutan peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 yang dikenali juga sebagai Peristiwa 13 Mei, darurat telah diisytiharkan dan Majlis Gerakan Negara(MAGERAN) telah dibentuk untuk mentadbir negara dengan YAB Tun Abdul Razak sebagai Pengarahnya. Pada 20 Mei 1969, YAB Tun Dr. Ismail telah kembali menjadi anggota Jemaah Menteri dan dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Seterusnya pada 23 September 1970, YAB Tun Abdul Razak telah menubuhkan Jemaah Menterinya sendiri yang mengandungi 18 orang Menteri dan 7 orang Menteri Muda atau Timbalan Menteri. YAB Tun Dr. Ismail telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Pada 13 Ogos 1973, YB Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menggantikan Y.A.B. Tun Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sementara YB Datuk Abdul Samad bin Idris dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Dalam tahun 1977, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bertanggungjawab terhadap 6 Jabatan iaitu Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, Jabatan Penjara dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri adalah juga bertanggungjawab terhadap Peperangan Saraf dan Pasukan Kawalan yang diubah namanya kepada Ikatan Relawan Rakyat Malaysia atau RELA.

Pada tahun 1979, satu lagi jabatan diletakkan di dalam tanggungjawab Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu Pusat Biro Narkotik yang dahulunya terletak di bawah jagaan Kementerian Undang-Undang. Pada tahun 1980, sebuah Urus setia telah dibentuk bagi melicinkan pentadbiran Pusat Biro Narkotik tersebut dan Urus setia ini menjadi salah satu dari beberapa bahagian dalam Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Urus setia Narkotik ini kemudian dikenali sebagai Urus setia Dadah yang merupakan Urus setia kepada Unit Bertindak Eksekutif.

Perkembangan terakhir dalam Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berlaku dalam tahun 1981 iaitu penubuhan sebuah lagi bahagian yang dinamakan Bahagian Pemulihan dan Gerak saraf.

Selepas YB Tan Sri Muhamad Ghazali bin Shafie, YAB Dato' Musa Hitam telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri mulai 17 Julai 1981 sehingga 16 Mac 1986, di mana beliau juga merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu. Seterusnya, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan Perdana Menteri ke 4 telah mengambil alih portfolio Menteri Dalam Negeri mulai 17 Mac 1986 sehingga 10 Januari 1999.

Mulai 14 Januari 1999, YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pula menerajui Kementerian Dalam Negeri sehingga 27 Mac 2004. Pada 27 Mac 2004, Kementerian Dalam Negeri telah dipecahkan kepada dua Kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. YB Dato' Azmi bin Khalid telah menerajui Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mulai 27 Mac 2004 sehingga 13 Februari 2006.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri merupakan salah satu kementerian yang terkanan dan penting yang bertanggungjawab memastikan dasar, undang-undang dan peraturan berhubung kewarganegaraan dan pendaftaran negara bersesuaian dengan keperluan semasa negara.

Oleh kerana tugas dan tanggungjawab yang berat ini, maka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan untuk masyarakat dan negara selaras dengan dasar "Perkhidmatan Mesra Rakyat" dan berusaha untuk menjadikan Kementerian ini sebagai "Kementerian Contoh Serta Terus Cemerlang, Gemilang Dan Terbilang".

Pada 14 Februari 2006, rombakan Kabinet telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi di mana berlaku pertukaran peneraju bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Kementerian ini diterajui oleh Y.B. Dato' Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Pada 18 Mac 2008, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah memasukkan mewujudkan kembali portfolio Kementerian Dalam Negeri setelah menggabungkan semula Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Kementerian ini diterajui oleh Y.B. Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 12 Mei 2018, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad sebagai Menteri Dalam Negeri Malaysia yang baharu menggantikan Ahmad Zahid Hamidi. Beliau kemudiannya telah mengangkat sumpah jawatan menteri pada 21 Mei 2018 di hadapan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Sultan Muhammad V bersama Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Agensi di bawah kementerian[sunting | sunting sumber]

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri[sunting | sunting sumber]

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri ialah sebuah kementerian yang berada di bawah kerajaan Malaysia. Kementerian ini ditubuhkan pada 27 Mac 2004 rentetan daripada perpecahan Kementerian Dalam Negeri kepada dua Kementerian, iaitu Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dan disokong oleh dua orang Timbalan Menteri. Ketua Setiausaha (KSU) KKDN dibantu oleh dua orang Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU), iaitu TKSU (Keselamatan) yang bertanggungjawab ke atas lima Bahagian yang masing-masing diketuai oleh seorang Setiausaha Bahagian. Manakala TKSU (Pengurusan) mempunyai lapan Bahagian di bawahnya. Tiga lagi unit bertanggungjawab secara langsung kepada KSU.

Terdapat empat Jabatan/Agensi di bawah KKDN iaitu:

Pada tahun 18 Mac 2008, di bawah kepimpinan perdana menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak, satu kabinet baru telah diumumkan dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sekali lagi digabungkan ke dalam Kementerian Dalam Negeri.

Menteri Dalam Negeri[sunting | sunting sumber]

No. Menteri Parlimen Timb Menteri Parlimen Mula Menyandang Tamat Menyandang
1 Dato' Sir Onn Jaafar
2 Tunku Abdul Rahman
3 Dato' Suleiman Dato' Abdul Rahman
4 Tun Dr. Ismail Abdul Rahman
5 Tun Abdul Razak Hussein Pekan 1967-1969
6 Tun Ghazali Shafie Lipis 1973-1981
7 Tun Musa Hitam Panti 1981-1989
8 Tun Dr. Mahathir Mohamad Kubang Pasu 1986-1999 12 Tahun
9 Tun Abdullah Ahmad Badawi Kepala Batas 1999-2004 5 Tahun
10 Tan Sri Azmi Khalid Padang Besar 2004-2006 2 Tahun
11 Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad Kangar 2006-2008 2 Tahun
12 Tan Sri Syed Hamid Albar Kota Tinggi 2008-2009 1 Tahun
13 Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein Sembrong 2009-2013 4 Tahun
14 Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Bagan Datuk 2013-2018 5 Tahun
15 Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin Pagoh Datuk Azis Jamman Sepanggar 2018-2020 2 Tahun
16 Dato' Seri Hamzah Zainudin Larut 2020-2022 2 Tahun
17 Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail Senator Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah Lenggong 2022 - Kini

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]