Kereta Api Rentas Asia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Kereta Api Rentas Asia (Trans-Asian Railway) merupakan satu projek untuk mewujudkan rangkaian pengangkutan kereta api bersepadu merentasi Eropah dan Asia. Ia merupakan projek Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik PBB (UNESCAP).

Projek ini dimulakan pada 1960-an, dengan objektif menyediakan 14,000 km rangkaian kereta api berterusan antara Singapura dan Istanbul, Turki, dan mungkin sambungan lanjut ke Eropah dan Afrika. Pada masa tersebut perjalanan udara kapal tidak begitu berkembang, dan projek tersebut diharapkan dapat mengurangkan masa dan kos perkapalan antara Eropah dan Asia. Namun perkembangan projek tersebut terhambat oleh rintangan politik dan ekonomi hinggalah awal 1980-an. Pada 1990-an, dengan berakhirnya Perang Dingin dan pemulihan hubungan antara negara-negara meningkatkan prospek rangkaian kereta api ini dapat disiapkan.

Projek Kereta Api Rentas Asia ini dilihat sebagai satu cara untuk menyelesaikan peningkatan besar dalam perdagangan antarabangsa antara negara-negara Eurasia and memudahkan peningkatan pergerakan barangan antara negara-negara. ia juga dilihat sebagai cara meningkatkan ekonomi dan memudahkan perhubungan ke negara dilingkungi daratan seperti Laos, Afghanistan, Mongolia dan republik-republik di Asia Tengah.

Kebanyakan rangkaian tersebut telah wujud, walaupun masih ada sela yang ketara. Satu cabaran besar ialah perbezaan pada saiz tolok landasan kereta api. Terdapat empat jenis tolok landasan (yang mengukur jarak antara landasan) utama yang digunakan di benua ini: kebanyakan negara Eropah, Turki, Iran, China dan Korea menggunakan tolok piawai 1435 mm; Finland, Rusia dan bekas republik Soviet menggunakan tolok 1520 mm; kebanyakan landasan di India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka menggunakan tolok 1676 mm, manakala kebanyakan negara Asia Tenggara menggunakan tolok 1 meter. Namun dalam kebanyakan kes, projek ini tidak akan menukar tolok mana-mana negara; kemudahan jentera akan dibina untuk memindahkan kontena perkapalan antara kereta api di tempat perubahan tolok.

Sehingga 2001, empat koridor telah dikaji sebagai sebahagian dari rancangan ini:

  • Koridor Utara akan menghubungkan Eropah dan Pasifik, melalui Jerman, Poland, Belarus, Rusia, Kazakhstan, Mongolia, China dan Korea, dengan perubahan tolok di sempadan Poland-Belarus (1435 mm ke 1520 mm), sempadan Kazakhstan-China (1520 mm ke 1435 mm) dan sempadan Mongolia-China (1520 mm ke 1435 mm). Rangkaian Kereta Api Rentas Siberia sepanjang 9,200 km meliputi kebanyakan laluan ini dan kini membawa sejumlah besar angkutan dari Asia Timur ke Moscow dan seterusnya Eropah. Disebabkan masalah politik dengan Korea Utara, angkutan dari Korea Selatan perlu dibawa dengan kapal ke pelabuhan Vladivostok untuk menyertai laluan ini.
  • Koridor Selatan akan menuju ke Asia Tenggara dari Eropah, menyambungkan Turki, Iran, Pakistan, India, Bangladesh, Myanmar dan Thailand, dengan sambungan ke Wilayah Yunnan di China dan Singapura melalui Malaysia. Terdapat sela di timur Iran, antara India dan Myanmar, antara Myanmar dan Thailand, antara Thailand dan Kemboja, antara Kemboja dan Vietnam dan antara Thailand dan Yunnan. Perubahan tolok terjadi, atau akan terjadi di sempadan Iran-Pakistan (1435 mm ke 1676 mm), sempadan India-Myanmar (1676 mm ke 1000 mm) dan ke China (1000 mm ke 1435 mm).
  • Rangkaian Asia Tenggara. Dalam projek Kereta Api ASEAN dari Singapura ke China melalui Malaysia, Thailand, Laos dan Vietnam, landasan yang menggunakan tolok piawai atau tolok duaan (tolok piawai dan tolok meter) bakal dibina atau ditingkatkan.
  • Koridor Utara-Selatan menyambungkan utara Eropah dengan Teluk Parsi. Laluan utama bermula di Helsinki, Finland, dan melalui Rusia menuju ke Laut Caspian, di mana ia berpecah kepada tiga laluan: laluan barat melalui Azerbaijan, Armenia dan barat Iran; laluan tengah menyeberangi Laut Caspian ke Iran melalui feri; dan laluan timur melalui Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenia ke timur Iran. kesemua laluan tersebut bertemu di ibu negara Iran, Tehran dan menuju ke pelabuhan Bandar Abbas.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]