Keropok lekor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kerepok lekor yang baru direbus.

Keropok lekor atau keropok batang merupakan sejenis makanan tradisional pantai timur Semenanjung Malaysia, khususnya di Terengganu yang terkenal. Perkataan "Lekor" bermaksud "Lingkar" dalam dialek Terengganu yang menggantikan ejaan "ar" kepada "or" di akhir suku kata. Oleh itu maksud Keropok Lekor ialah Keropok yang berlingkar. Keropok diperbuat daripada isi ikan laut dan campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok yang dicampurkan dengan tepung kanji. Keseluruhan ramuan tersebut akan diuli dan digentel panjang bertali, sebelum direbus didalam air panas.

Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan berprotin tinggi yang kaya dengan iodin semulajadi.

Keropok lekor boleh dimakan segar sebaik sahaja diangkat dengan dicicah air lada (sos cili) yang pedas. Pada masa ini, pembuatan keropok lekor telah pun tersohor di beberapa negeri lain selain Terengganu.

Keropok lekor biasanya tidak tahan lama. Bagaimanapun, sekiranya hendak disimpan dengan lebih lama, keropok lekor hendaklah dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat sejuk beku bagi mengelakkan baunya mencemari makanan lain. Apabila hendak dimakan, ia perlu dibasuh dan direbus semula dengan air yang dicampurkan sedikit garam, sekiranya tidak keropok berasa tawar.

Selain daripada dimakan segar, keropok lekor juga boleh dipotong pendek dan digoreng sekali lagi bagi menghasilkan keropok yang lebih rangup. Keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji biasanya lebih rangup apabila digoreng, tetapi akan bertukar menjadi liat apabila sudah sejuk. Keropok lekor yang menggunakan campuran sagu tidak akan menjadi liat walaupun ia sudah sejuk selepas digoreng.

Keropok lekor juga boleh diproses dengan lebih lanjut untuk dijadikan keropok keping. Keropok lekor yang telah direbus akan dipotong nipis-nipis dan dijemur untuk dijadikan kepingan-kepingan keropok kering yang dikenali sebagai keropok keping. Keropok keping ini akan menjadi kembang apabila digoreng dalam minyak yang panas dan ia amat sedap apabila dimakan dengan sos cili.

Gambar[sunting | sunting sumber]

Resipi[sunting | sunting sumber]

Bahan-bahan[sunting | sunting sumber]

  1. 1 kg ikan Parang/Kembong
  2. 500 g tepung sagu/ tepung kanji
  3. garam secukupnya
  4. 125 ml air
  5. sedikit ketulan air batu

Cara penyediaan[sunting | sunting sumber]

Ambil isi ikan, buangkan tulangnya. Tumbuk atau cincang halus isi ikan sambil dibubuh garam. Campur juga sedikit kiub ais semasa melakukan proses ini. Kemudian bubuh tepung sagu dan air secukupnya sambil diuli menjadi doh yang kenyal. Celup jari dalam tepung sagu dan bentukkan doh menjadi seperti silinder. Jerang air hingga mendidih dan rebus keropok. Apabila keropok timbul, angkat dan sejatkan di dalam penapis.

Keropok yang telah direbus boleh dimakan segera dengan dicicah cuka kerepok (sos lada). Sedikit 'serbuk perasa' atau juga dikenali MSG boleh ditambah bagi menyedapkan lagi.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]