Kes Pinnel

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Kes Pinnel (1602) 5 Co Rep 117a ialah sebuah kes mahkamah yang penting dalam undang-undang kontrak Inggeris mengenai doktrin pelaksanaan sebahagian.

Si plaintif mendakwa defendan untuk wang sebanyak £8 10 s. Pembelaan si defendan berdasarkan fakta bahawa dia, atas permintaan plaintif, telah membayar £5-2s-2d sebelum tarikh penjelasan hutang yang ditetapkan, dan plaintif itu telahpun menerimanya sebagai penyelesaian hutang yang penuh.

Peraturan dalam kes Pinnel adalah seperti berikut:

pembayaran jumlah wang pada hari tersebut yang kurang daripada hutang yang sebenar tidak boleh merupakan penjelasan hutang yang penuh kerana pada pendapat hakim-hakim, tidak adanya kemungkinan bahawa jumlah wang yang kurang dapat merupakan penyelesaian hutang yang lebih besar dari segi plaintif: tetapi hadiah dalam bentuk kuda, burung lang atau jubah dan sebagainya boleh merupakan penyelesaian yang penuh... [kerana] ia lebih memanfaatkan plaintif berbanding dengan wang.

Olh itu, si defendan tidak memberi sebarang balasan yang dapat menguatkuasakan janji plaintif yang dahulu supaya tidak mendakwanya, kerana si defendan hanya membuat sebahagian daripada apa yang telah diwajibkannya untuk melakukan.

Keputusan ini telah dipergunakan oleh Dewan Pertuanan dalam kes Foakes lwn Beer [1884] 9 A.C. 605 tentang lagi satu penjelasan sebahagian hutang. Dalam kes Stilk lwn Myrick (1809) S.C. 6 Esp. 129 yang anak-anak kapal dijanjikan pembayaran upah-upah tambahan untuk membantu memandu kapal balik ke tempat asal, peraturan adalah berkait dengan kewajipan-kewajipan bukan wang: Mahkamah Rayuan Biasa memutuskan bahawa anak-anak kapal tidak membuat sebarang kerja yang melebihi apa yang telah ditugasi pada asalnya dan oleh itu, mereka tidak boleh menuntut bayaran tambahan yang disetujui.

Kes Pinnel dan garis kuasa yang menyusul daripadanya telah dibezakan dalam keputusan kes Williams v Roffey Bros [1991] 1 QB 1. Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan Inggeris memutuskan bahawa pelaksanaan sesuatu kewajiban yang sudah wujud boleh merupakan suatu balasan yang sah jika ia memberikan sesetengah "manfaat praktis" yang melebihi apa yang telah dijangka pada asalnya. Dalam kes tersebut, mahkamah menganggap bahawa permintaan ganjaran tambahan oleh subkontraktor untuk melakukan kerja yang telah disetujui dahulu boleh dikuatkuasakan kerana pengelakan subkontraktor daripada mengalami kemuflisan (yang jika tidak, akan berlaku) merupakan suatu manfaat praktis. Jalan fikiran dalam kes Williams lwn Roffey Bros ini telah diragui dalam kes-kes yang kemudian, walaupun keputusan ini tidak ditolak.

Terdapat beberapa kekecualian yang nyata tentang Kes Pinnel, khususnya dalam penyelesaian litigasi yang pihak-pihak berkenaan bersetuju untuk bertolak ansur melalui pembayaran jumlah wang yang kurang daripada hutang yang sebenar. Pembayaran jumlah wang yang kurang juga adalah sah jika terdapat perubahan dalam kadar mata wang, jika waktu pembayaran dicepatkan, atau tempat dan/atau cara pembayaran telah berubah (mempergunakan peraturan yang telah lama mantap bahawa mahkamah tidak akan melibatkan diri dalam kecukupan balasan; jika seseorang pemiutang adalah cukup bodoh untuk menerima 50 peni bagi setiap paun yang dihutang supaya dapat menerima wangnya seminggu lebih awal, dia berhak berbuat demikian). Peraturan ini juga tidak menjejaskan perjanjian untuk menerima jumlah wang yang kurang apabila perjanjian asal telah digantikan melalui novasi (atas persetujuan bersama) atau jika perjanjian untuk menerima jumlah wang yang kurang telah dibuat melalui surat ikatan atau kontrak istimewa.