Kesalingan (biologi)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Rama-rama Macroglossum stellatarum menghirup dari bunga Dianthus. Pendebungaan ialah salah satu contoh kesalingan.

Kesalingan merupakan cara dua organisma yang berlainan spesies berinteraksi dalam satu hubungan yang mana setiap individu memperoleh manfaat ketegapan (yakni hasil pembiakan yang meningkat atau bertambah baik). Interaksi yang sedemikian sesama yang sama spesies dipanggil kerjasama. Kesalingan boleh dikontraskan dengan persaingan antara spesies, yang mana setiap spesies mengalami kemerosotan ketegapan); perdayaan atau parasitisme, yang mana satu spesies mendapat manfaat sehingga menjejaskan spesies yang lain. Kesalingan ialah sejenis simbiosis. Simbiosis pada amnya memaksudkan hubungan antara spesies baik secara bersaling, parasit, mahupun komensel. Kesalingan itu hanya salah satu jenisnya.

Satu contoh terbaik kesalingan ialah hubungan antara ungulat (seperti lembu) dan bakteria di dalam ususnya. Ungulat mendapat manfaat daripada selulase hasilan bakteria yang membantu pencernaan; bakteria pula mendapat manfaat daripada bekalan nutrien yang mantap dalam persekitaran perumah.

Kesalingan memainkan peranan penting dalam ekologi. Contohnya, interaksi bersaling adalah penting untuk fungsi ekosistem daratan kerana lebih 48% tumbuhan daratan bergantung pada hubungan mikoriza dengan fungi untuk memberi mereka sebatian tak organik serta elemen-elemen kesan. Selain itu, kesalingan adalah penting untuk mendorong evolusi yang melahirkan kepelbagaian hidupan yang sedia wujud, seperti bentuk bunga (penting untuk kesalingan pendebungaan) dan evolusi bersama sesama kelompok-kelompok spesies.[1] Bagaimanapun, sepanjang zaman kesalingan kurang menerima perhatian berbanding interaksi-interaksi lain seperti pemangsaan dan parasitisme.[2][3]

Tidak selalunya jelas dan mudah untuk menentukan setepatnya sejauh mana manfaat ketegapan kepada individu dalam hubungan bersaling, terutamanya yang mana individu boleh menerima manfaat daripada pelbagai spesies, misalnya kebanyakan kesalingan antara tumbuhan dan haiwan pendebunga. Oleh itu, adalah kebiasaan untuk mengkategorikan kesalingan menurut kerapatan hubungan, dengan istilah-istilah seperti obligat (keperluan) and fakultatif (pilihan). Walaupun begitu, mengukur "kerapatan" itu juga sukar. Mungkin ia memaksudkan kebergantungan bersaling (spesies tanpa hidup tanpa satu sama lain) atau keintiman biologi hubungan itu berkenaan kerapatan jasmani (cth., satu spesies hidup di dalam tisu spesies yang lain).[4]


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Thompson, J. N. 2005 The geographic mosaic of coevolution. Chicago, IL: University of Chicago Press.
  2. Bronstein, JL. 1994. Our current understand of mutualism. Quarterly Review of Biology 69 (1): 31-51 March 1994
  3. Begon, M., J.L. Harper, and C.R. Townsend. 1996. Ecology: individuals, populations, and communities, Third Edition. Blackwell Science Ltd., Cambridge, Massachusetts, USA.
  4. Ollerton, J. 2006. "Biological Barter": Patterns of Specialization Compared across Different Mutualisms. pp. 411-435 in: Waser, N.M. & Ollerton, J. (Eds) Plant-Pollinator Interactions: From Specialization to Generalization. University of Chicago Press.