Kesum

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kesum
کسوم
Pengelasan saintifik
Alam:
Divisi:
Kelas:
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
P. minus
Nama binomial
Polygonum minus
Sinonim

Persicaria minor

Kesum (Polygonum minus atau Persicaria minor) adalah sejenis tumbuhan herba dari keluarga Polygonaceae yang terdapat di Malaysia dan negara yang beriklim tropika. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Vietnam. Ia digunakan sebagai ulaman dan bahan untuk masakan seperti Asam Pedas dan juga Laksa Penang. Tumbuhan ini tumbuh liar di kawasan tanah lembab dan berair seperti di tepi kolam, tepi parit dan juga di kawasan kebun keliling rumah kampung (selalunya di tepi bilik air). Daun kesum merupakan bahagian yang paling banyak digunakan terutamanya dalam masakan. Ia akan menghasilkan rasa masam lemak dan aroma yang cukup menyelerakan setelah dicampurkan dalam masakan. Kesum juga dikenali sebagai Chinese Knotweed (Bahasa Inggeris), Duo mao lio (Bahasa Cina), Surudo kudami (Bahasa Jepun). Walau bagaimanapun ianya adalah spesis yang berbeza dari kesum di Malaysia.

Kesum mengandungi thiamine, karbohidrat, quercetin,[1] quercetin-3-glucuronide, myricetin, apigetrin, hyperoside dan astragalin.[2][3]

Morfologi[sunting | sunting sumber]

Pokok Kesum merupakan sejenis tumbuhan renek yang menjalar di atas tanah atau memanjat pokok yang lain sebagai sokongan. Ketinggian pokok kesum mampu mencapai sehingga 1 meter di kawasan tanah rendah tetapi di kaawasan tanah tinggi seperti di Tanah Tinggi Cameron, ia mampu tumbuh sehingga setinggi 1.5 meter. Daun kesum berwarna hijau gelap dengan bentuk panjang dan tajam dihujung daun, berukuran 1.5 - 2 cm lebar, dan 5.0 - 7.0 cm panjang. Susunan daun kesum adalah bersilang dalam bilangan 3-5 helai daun pada satu tangkai daun. Batang tua berwarna coklat gelap manakala warna kehijauan terdapat pada bahagian pucuk yang berbentuk silinder dengan ruas yang banyak. Bahagian ruasnya mampu mengeluarkan akar jika berada atas tanah dan ia cepat membesar. Akar kesum merupakan akar serabut, padat pada bahagian perdu pokok.

Bunga kesum mempunyai 4 kelopak berwarna putih keunguan dengan ditengahnya terdapat stigma dan filamen yang juga berwarna putih dan sedikit keunguan. Saiz bunga kesum sangat kecil. Ia tumbuh pada bahagian pucuk terutama pada pokok yang telah berumur lebih dari 4 bulan dan yang menerima 80-100% cahaya matahari. Buah kesum jarang sangat kecil dan hanya boleh dilihat jika diperhatikan dengan betul-betul.

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Kesum dimakan mentah sebagai ulam, boleh diguna sebagai bahan rempah ratus dalam masakan berlada seperti laksa, nasi kerabu, asam pedas dan tom yam; digunakan sebagai daun teh; dan digunakan untuk aplikasi topikal. Minyak kesum ada diguna untuk aromaterapi dan untuk merawat kelemumur. Dalam perubatan tradisional Malaysia, kesum diguna dalam tonik selepas bersalin dan untuk rawatan penghadaman.[4]

Kajian farmakologi menunjukkan yang kesum ada aktiviti anti-oksidan, pengoksidaan LDL, anti-radang dan anti-mikrob,[5] aktiviti meningkatkan penghadaman dan anti-ulser,[6] aktiviti peningkatan kognitif,[7] aktiviti membantu sistem imuniti badan[8] dan sebagai perencat mikrob untuk mengelakkan kerosakan makanan.[9] Kesum ada dijalani kajian klinikal untuk membantu daya ingatan,[10] fungsi kognitif,[3] melegakan tekanan mental[11] meningkatkan daya tumpuan[9] dan pengaktifan otak.[3]

Berbanding dengan empat herba Malaysia yang lain (ulam raja, daun kaduk, pegaga dan daun salam) kesum menunjukkan kepekatan fenol dan aktiviti antioksidan tertinggi. Ia telah digunakan sebagai komponen bioaktif untuk filem pembungkusan untuk makanan yang boleh dimakan, berdasarkan karagenan separa halus dan gliserol sebagai pemplastis.[11]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Suzana Shahar; Hanis Mastura Yahya; Annie George, penyunting (2021). The Wonders of Kesum. University Kebangsaan Malaysia Press. m/s. 25.
  2. ^ Abdullah, Mohamad Zakkirun; Mohd Ali, Johari; Abolmaesoomi, Mitra; Abdul-Rahman, Puteri Shafinaz; Hashim, Onn Haji (2017). "Anti-Proliferative, in Vitro Antioxidant, and Cellular Antioxidant Activities of the Leaf Extracts from Polygonum Minus Huds: Effects of Solvent Polarity". International Journal of Food Properties. 20 (20): S846–S862. doi:10.1080/10942912.2017.1315591.
  3. ^ a b c Lau, Huijin; Shahar, Suzana; Mohamad, Mazlyfarina; Rajab, Nor Fadilah (2020). "The effects of six months Persicaria minor extract supplement among older adults with mild cognitive impairment: a double-blinded, randomized, and placebo-controlled trial". BMC Complementary Medicine and Therapies. 20 (1): 315. doi:10.1186/s12906-020-03092-2. PMC 7574246. PMID 33076878.
  4. ^ Samy, Joseph; Sugumaran, M.; Lee, Kate (2005). Herbs of Malaysia. Times Editions - Marshall Cavendish. m/s. 198–199. ISBN 9833001793.
  5. ^ Christapher, Parayil; Parasuraman, Subramani (2015). "Review on Polygonum minus. Huds, a commonly used food additive in Southeast Asia". Pharmacognosy Research. 7 (1): 1–6. doi:10.4103/0974-8490.147125. PMC 4285636. PMID 25598627.
  6. ^ Qader, Suhailah Wasman; Abdulla, Mahmood Ameen; Chua, Lee Suan; Mohd Sirat, Hasnah; Hamdan, Salehhuddin (2012). "Pharmacological mechanisms underlying gastroprotective activities of the fractions obtained from Polygonum minus in Sprague Dawley rats". International Journal of Molecular Sciences. 13 (2): 1481–1496. doi:10.3390/ijms13021481. PMC 3291972. PMID 22408403.
  7. ^ George, Annie; Ng, Chee Pern; O'Callaghan, Matthew; S Jensen, Gitte; Wong, Hoi Jin (2014). "In vitro and ex-vivo cellular antioxidant protection and cognitive enhancing effects of an extract of Polygonum minus Huds (Lineminus™) demonstrated in a Barnes Maze animal model for memory and learning". BMC Complementary and Alternative Medicine. 14: 161. doi:10.1186/1472-6882-14-161. PMC 4036647. PMID 24886679.
  8. ^ George, Annie; Chinnappan, Sasikala; Choudhary, Yogendra; Bommu, Praveen; Sridhar, Murthy (2014). "Immunostimulant Immunomodulatory activity of an aqueous extract of Polygonum minus Huds on Swiss albino mice using carbon clearance assay". Asian Pacific Journal of Tropical Disease. 4 (5): 398–400. doi:10.1016/S2222-1808(14)60594-6.
  9. ^ a b Suzana Shahar; Hanis Mastura Yahya; Annie George, penyunting (2021). The Wonders of Kesum. University Kebangsaan Malaysia Press. m/s. 95–99.
  10. ^ Udani, Jay (2013). "Effects of SuperUlam on Supporting Concentration and Mood: A Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled Crossover Study". Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine. doi:10.1155/2013/238454. 238454.
  11. ^ a b Mastura Yahya, Hanis; Shahar, Suzana; Nur Arina Ismail, Siti; Farihin Aziz, Ainor; Che Din, Normah; Nabihah Abdul Hakim, Bibi (2017). "Mood, Cognitive Function and Quality of Life Improvements in Middle Aged Women Following Supplementation with Polygonum minus Extract". Sains Malaysiana. 46 (2): 245–254. doi:10.17576/jsm-2017-4602-09.