Keytar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Keytar merupakan sejenis alat muzik keyboard mudah alih ringan (dengan atau tanpa pensintesis) yang disokong oleh tali yang disandangkan pada leher dan bahu, menyerupai cara bermain gitar tetapi tanpa sebarang tali. Keytar membolehkan pengguna melakukan lebih banyak pergerakan berbanding keyboard konvensional, yang perlu dimainkan di atas penyokong seperti meja. Alat ini mempunyai papan kekunci yang dimainkan untuk menghasilkan not dan bunyi sebagaimana keyboard biasa. Kawalan pic, vibrato, portamento, dan pengekalan ditempatkan pada "leher" keytar. Istilah "keytar" adalah gabungan daripada perkataan "keyboard" dan "gitar". Keytar boleh jadi ada enjin sintesisnya tersendiri, atau sekadar pengawal MIDI yang memicu not pada pensintesis serasi MIDI.

Alat kawalan jauh MIDI jenis Korg RK-100 (1984).

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Performance Music Systems Syntar dan penciptanya, George Mattson. Syntar merupakan pensintesis keytar pertama yang dipamerkan semasa Pameran NAMM Atlanta 1979.[1]

Pada awal 1970an, Edgar Winter sering bermain keyboard yang disandangkan pada bahu, tetapi secara teknikalnya ia bukanlah keytar kerana ketiadaan "leher"; dia sebenarnya menggunakan keyboard jenis ARP 2600 dan piano elektronik Univox ringan yang ditambah tali sandang.

Pada lewat 1970an dan awal 1980an, Jan Hammer, seorang komposer yang dikenali kerana kejayaannya dalam menggubah serta reka bentuk bunyi untuk "Miami Vice" seringkali menggunakan beberapa buah keytar termasuklah Royalex PROBE yang mana dia membantu membangunkannya. Jan misalnya dilihat menggunakan keytar jenis PROBE dalam video muzik untuk Miami Vice Theme. Juga pada tahun 1980an, Wayne Famous dari kumpulan The Producers menyandang pensintesis Oberheim biasa, menyebabkannya mengalami sakit belakang.

Keytar terawal dilancarkan secara komersial pada lewat 1970an termasuklah:

  • Hillwood RockeyBoard RB-1 (piano pensintesis dengan penapis kawalan voltan (VCF) direka pada tahun 1977 dengan pengaruh daripada Edgar Winter,[2]
  • PMS Syntar, pensintesis keytar terawal rekaan George Mattson (Performance Music Systems) dan dipamerkan pada Pertunjukan NAMM Atlanta 1979[1]
  • Davis Clavitar (pengawal) digunakan oleh George Duke dan Herbie Hancock pada awal 1980
  • Powell Probe (pengawal) direka oleh Roger Powell, dan
  • Royalex Probe (pengawal), pembangunannya dibantu dan seterusnya digunakan oleh Jan Hammer pada awal 1980an

dan sebagainya.

Antara kesemuanya, keytar terawal yang paling dikenali umum berkemungkinan adalah "Moog Liberation" dilancarkan pada tahun 1980, direka selepas PMS Syntar. Pengguna terawalnya termasuklah pemain keyboard Spyro Gyra Tom Schuman, dan Devo.

Penggunaan perkataan "keytar" terawal dalam media cetak adalah pada tahun 1980, di mana ia mula diungkapkan semasa satu temu ramah dengan Jeffrey Abbott oleh Tom Lounges dari majalah Illianabeat (kini Midwest BEAT Magazine).[petikan diperlukan]

Walaupun Steve Masakowski telah tersilap dinamakan selama beberapa tahun sebagai pencipta keytar, dalam satu temu ramah dengan Peter Hartlaub dari San Francisco Chronicle pada 11 Disember 2009, dia hanya mendakwa pernah mencipta satu alat muzik yang dipanggil Key-tar yang mana merupakan sejenis alat muzik bertali.

Penggunaan keytar dipopularkan pada tahun 1980 oleh kumpulan kugiran glam metal, di samping ahli muzik synthpop dan New Wave. Perubahan trend muzik telah memudarkan populariti keytar pada tahun '90an, berterusan sehinggalah lewat 2000an apabila kebangkitan semulanya dicetuskan oleh artis-artis dan kumpulan seperti The Black Eyed Peas, Motion City Soundtrack, No Doubt, dan Steely Dan. Satu lagi contoh ialah pada awal tahun 2008 dengan video muzik Snoop Dogg bagi singlenya bertajuk "Sensual Seduction," di mana dia menggunakan keytar bagi mewakili kenangan kugiran-kugiran lama.

Pengeluar terkenal model-model keytar termasuklah Moog, Roland, Yamaha, Korg dan Casio. Setakat 2011, hanya Roland AX-Synth dan Roland Lucina yang merupakan model-model keytar yang dikeluarkan secara besar-besaran dalam pasaran.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 James D. Maier. "The Performance Music Systems Syntar". Diperoleh pada 2011-12-28. 
  2. "Rockeyboard RB-1". Hillwood Keyboard / Synthesizer Catalog 1977. Hillwood Musical Instrument/Zen-On. Diperoleh pada 2011-12-28. 

Rujukan[sunting | sunting sumber]