Khalid Salleh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Khalid Salleh
Khalid pada 2012
Kelahiran(1948-02-29)29 Februari 1948
Meninggal dunia23 Julai 2018(2018-07-23) (umur 70)
Sebab kematianKomplikasi paru-paru
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang
PekerjaanPenjual ubat, penulis, pelakon, penggiat teater
Tahun aktif1970–2018

Khalid Salleh (29 Februari 1948 – 23 Julai 2018) merupakan seorang penjual ubat, pelakon, penulis, penyair, dan penggiat teater Malaysia.[1]

Kejayaannya dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) 1998 menerusi filem Jogho, menjadikannya rakyat Malaysia kedua yang memenangi anugerah itu selepas seniman agung P. Ramlee yang meraihnya menerusi filem Anak-ku Sazali pada edisi FFAP ke-4 yang diadakan di Tokyo, Jepun pada 1956.

Khalid dianggap sebagai tokoh penting dalam seni teater dan sastera Malaysia, dengan karyanya lantang mengkritik dan kritis terhadap permasalahan dalam masyarakat merangkumi pelbagai aspek: sosial, politik, kehidupan, dan agama. Berpegang tegung kepada prinsip kebenaran, ada antara karyanya mencetuskan kontroversi. Insan seni sejati, Khalid berkebolehan dan mahir dalam bidangnya, juga pandai bersyair, berpantun, berseloka, menari, menyanyi, dan bermain muzik. Seniman berdarah Jawa ini dianggap tokoh yang unik dalam kesenian dan kebudayaan negara. Seorang yang berani dan jujur dalam berkarya dan selesa tidak berada di bawah lampu sorot.

Kehidupan dan kerjaya[sunting | sunting sumber]

Memegang watak sebagai Mamat dalam Jogho.

Khalid dilahirkan pada 29 Februari 1948 di Kajang, Selangor dan dibesarkan di Batu Pahat, Johor. Bapanya, Haji Salleh Shafie merupakan seorang penggiat bangsawan, Khalid tidak pernah menjalani pendidikan formal dalam perjalanannya menjadi seorang seniman. Sewaktu masih di sekolah rendah dan menetap di Parit Yaani, sebuah pekan kecil di daerah itu, beliau menulis dan mengarah teater pertamanya dan dipentaskan untuk tabung pembinaan sekolah rakyat, yang kekal sehingga kini menjadi sekolah kerajaan. Teater berjudul Hang Tuah dipentaskan dengan inisiatifnya yang bersama rakan-rakan mengumpulkan tenaga orang kampung tidak kira tua atau muda untuk bersama menjayakan usaha itu. Khalid mementaskannya selama sembilan malam dan kutipannya diserahkan untuk pembinaan bangunan sekolah baharu menggantikan bangunan sekolah lama yang sudah usang. Sekolah itu diberi nama Sekolah Tenaga Sepakat dan kekal hingga hari ini sebagai Sekolah Kebangsaan Tenaga Sepakat.[2]

Khalid kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur ketika masih bersekolah dan menjalani pelbagai jenis pekerjaan bagi menyara hidup di bandar. Bermula dengan mengikut kerja kontrak pembinaan sehingga ke Singapura, mencuci batu nisan Cina, kemudian menjadi kerani pejabat, tukang masak di kelab golf dan pelbagai lagi sehinggalah akhirnya memutuskan untuk menjual ubat maajun yang diusahakan turun-temurun oleh keluarga Jawanya dengan nama Pak Tani. Menurut ceritanya, beliau meminta izin dan menyatakan hasratnya untuk menjual ubat di Jalan Benteng. Bapanya membalas dengan berkata, "Juallah kalau kau berani." Bermula dari itulah, Khalid kembali bermain pentas sebagai caranya menjual maajun.

Ketika adegan jual ubat berada di puncaknya sekitar era 70-an di Kuala Lumpur, Khalid muncul sebagai susuk yang cukup mendominasi persiaran Jalan Benteng (kini sekitar Stesen LRT Masjid Jamek) yang menjadi gelanggang jualan para penjual dari segenap pelosok negara yang datang menjual pelbagai jenis rupa bentuk ubat untuk merawat segala penyakit. Khalid tampil dengan pendekatan teaterikal, membuka persoalan tentang kehidupan yang diilhamkan daripada apa sahaja yang mengusik akalnya di sekelilingnya. Penyair istimewa, Pyan Habib merupakan rakan rapatnya ketika itu yang mengiringi dan saling membantu menjayakan usaha masing-masing. Malah, bapa Khalid juga terdahulu sudah lama menjadi terkenal di sekitar Wisma Yakin, Jalan Masjid India yang turut menjadi tumpuan penjual ubat. Sehingga Khalid digelar "anak singa" oleh rakan-rakan dan kenalan penjual ubat di Jalan Benteng.

Hampir setiap malam, beliau berupaya menarik hampir sesiapa sahaja yang melewati kawasan itu apatah lagi yang hadir untuk membeli ubat atau semata-mata mahu melihat aksi para penjual. Lain malam, lain isu yang dikupasnya, menggamit ramai khalayak mengerumuni gelanggang jual ubatnya. Persembahannya ada kala sejam, ada yang sampai enam jam namun masih ramai yang terus menanti mendengar hujah-hujahnya. Ada kalanya dia seorang sahaja yang bercerita, ada juga yang mengajak keterlibatan para penonton. Akhir persembahannya pasti akan dihubungkaitkan dengan pemakanan yang sihat, secara halus mempromosikan maajun jualannya. Selain di Jalan Benteng, Khalid juga menjelajah ke serata Nusantara termasuk tanah seberang, Indonesia dan Singapura untuk menjual produk maajunnya.

Kerjaya pentas[sunting | sunting sumber]

Bakat semula jadinya yang diperlihat di kaki lima itu menambat hati pengarah teater, ʽKrishen Jitʼ yang memancing Khalid untuk menterjemah sentuhannya di atas pentas dengan memainkan peranan dalam Bukan Bunuh Diri, satu daripada pementasan Tiga Teater Karya Dinsman iaitu Ana, Bukan Bunuh Diri, Di Pulau Sa dan Di pada Jun 1977. Tokoh penulisan dan seni pentas, Tan Sri Johan Jaafar, yang merupakan antara penonton setia Khalid di Jalan Benteng, menyifatkan bahawa interpretasi baharu Khalid membawa watak Adam dalam naskhah itu sebagai "sempurna". Naskhah monolog itu pernah dipentaskan Dinsman beberapa kali, malah meraih anugerah Pengarah Terbaik dalam pertandingan teater anjuran Kementerian Belia dan Kebudayaan pada 1975. Namun, Johan dalam ulasannya yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera terbitan Ogos 1977 mengatakan bahawa persembahan Khalid lebih baik daripada penulis naskhah itu sendiri iaitu Dinsman.

Dari situ bermulanya juga hubungan Khalid dengan kumpulan pada seniman terdiri daripada para penulis, pelukis, penyair, penggiat seni pentas dan jurugambar yang menggelarkan diri mereka Anak Alam sehingga menjadi sebahagian daripada kumpulan itu. Bersama Anak Alam, banyak kegiatan kesenian dan kemasyarakatan digerakkan sambil sekali sekala diselangi kerjanya menjual ubat ke sini sana.

Teaternya bertajuk ...Ning turut membawa Khalid ke Festival Monodrama di Taiwan pada 1989, Jepun pada 1991, Kolkata (1994) dan Delhi (1995). Antara teater yang pernah dipentaskan Khalid di bawah karya dan arahannya ialah Gong Gedombak, Umbut Mayang Mengurai, Sijil Penuh, Kena Main, Brangg, Brengg, Brongg, Hang Tak Tuah, Jejak Pahlawan, Benda Sulit, Gombal, Walinong Sari dan beberapa lagi. Teater Kena Main juga pernah diterjemahkan kepada telefilem dengan tajuk yang sama dan dipentaskan tiga kali, terbaharu pada 2015 di Istana Budaya. Pementasan itu juga menjadi pementasan terakhir buatnya sebelum mula mengalami masalah kesihatan pada 2017.

Pada 2013, Khalid hadir dengan teater monolog Jual Ubat dan dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), beliau membawa "ubatnya" menjelajah serata Malaysia, Singapura, dan serata pelosok Indonesia antaranya di Medan, Jakarta, Surabaya, dan Makassar. Di Indonesia, teaternya mendapat jemputan dan sambutan menggalakkan daripada khalayak pesantren (sekolah pondok), sekolah-sekolah dan universiti-universiti. Ia juga pernah dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 2014.

Teater monolog ini dilihat sebagai penceritaaan kesimpulan kehidupan dan pemikiran seorang penjual ubat, subjek yang sebenarnya sebahagian daripada kehidupannya. Ubat yang dijual bukan sekadar yang fizikal untuk dimakan, diminum atau disapu pada tubuh, tetapi "ubat" yang sebenarnya ialah nasihat, peringatan dan rangsangan semangat untuk penyakit jiwa, celotehnya mengupas satu persatu persoalan kehidupan, menyedarkan para penonton dan pelanggannya supaya kembali ke reda Tuhan. Khalid ialah pemerhati yang menyaksikan kehidupan segolongan kecil manusia penjual ubat. Dan dalam tafakur dan taakulannya, dia merumuskan sesuatu tentang hidup; bermula daripada asal kejadian sehingga ke akhirnya. Daripada sebuah kisah kecil yang diperhatikan, Khalid berbicara tentang tasawuf dan hakikat manusia dalam persembahannya.[3]

Kerjaya filem[sunting | sunting sumber]

Kehalusan lakonan Khalid kemudian menarik perhatian pengarah filem, U-Wei Hj Saari. Menurut U-Wei, beliau mengenali nama Khalid Salleh daripada ibunya ketika sedang melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. "Selama 14 tahun saya belajar di Amerika Syarikat, emak kata kalau dia rindukan saya, dia akan tengok drama lakonan Khalid untuk mengubat kerinduannya," kata U-Wei.

Filem yang pada asalnya mahu diterbitkan sebagai telefilem namun akhirnya ke layar perak, Kaki Bakar ditayangkan di Festival Filem Cannes pada tahun 1995 di bawah kategori Un Certain Regard dan pada tahun 1996 filem ini menerima hadiah tertinggi Festival Filem Belgium.

Beliau merupakan pemegang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Jogho, dan Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Azizah The Legend.

[4]

Karya penulisan[sunting | sunting sumber]

Naskhah yang dipercayai buku pertama ditulis Khalid berjudul Kafir Mengkafir, Siapa Yang Kafir? diterbitkan pada 1986, mengupas tentang polemik golongan agama yang merasakan diri "maha benar" sehingga melihat pihak lain yang bertentangan dengan ideologi mereka adalah salah tanpa wujud ruang perbincangan untuk mencari titik persamaan. Buku tersebut dilihat dibaca oleh watak Bujang yang dilakonkan oleh penyanyi dan komposer legenda, Datuk M. Nasir dalam filem Kembara Seniman Jalanan (1986). Naskhah itu telah mencetuskan kontroversi sejak diterbitkan dan dijual kepada khalayak sebelum ia diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1988.

Puisi beliau telah diterbitkan dalam antologi puisi Bukan Apa Apa (1998) dan Kalau Aku Jadi PM (2014).[5] Pada 2011, beliau menerbitkan buku refleksi mengenai sejarah dan hubung kaitnya dengan sosio-budaya dan sosio-politik negara bertajuk Melayu Hilang Di Dunia.[6][7]

Tidak kurang banyaknya sajak-sajak Khalid yang tidak diterbitkan, juga karya penulisan lain antaranya sebuah buku berjudul Persiapan Seorang Pelakon yang ditulis dengan tangan namun tidak sempat disiapkannya.

Ketokohan[sunting | sunting sumber]

Khalid menganggap dirinya sebagai seorang pemikir. Beliau amat menekankan soal sedar diri, ruang dan Tuhan dalam semua bentuk pengkaryaan beliau. Menurut pengarah filem, U-Wei Hj Saari, Khalid diperakui sebagai bukan sekadar pelakon sahaja, tetapi juga diperakui sebagai penyair, penulis, pengarah dan aktivis teater yang cukup penting dalam dunia seni tanah air. U-Wei bagaimanapun, merasai yang kemampuan Khalid amat luar biasa.[2] M. Nasir menyifatkan Khalid sebagai "aset negara" yang memperjuangkan seni persembahan sehingga nafas terakhirnya.[8]

Novelis dan pengarang, Siti Jasmina Ibrahim, yang pernah bekerjasama dengan Khalid menerusi pementasan teater Jejak Pahlawan pada 1998 menyifatkan beliau sebagai seniman yang dekat dengan rakyat dan mentakrifkan Khalid dan karyanya "sangat dekat dengan alam".[9] Institut Terjemahan & Buku Malaysia, yang pernah bekerjasama dengan beliau menerusi program Dari Stesen ke Stesen: Monolog Jual Ubat yang dipentaskan di lapan stesen kereta api utama tanah air, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khair Ngadiron, Khalid mempunyai sifat keperibadian yang mulia dan semangat kesenimanan yang tulen.[9]

Kematian[sunting | sunting sumber]

Bermula sekitar pertengahan 2017, Khalid mengalami kesukaran untuk membuang air kencing sehingga memaksa beliau memasang kateter. Namun, ia tidak menghalang Khalid untuk terus menjalankan aktiviti seni seperti menulis malah sempat menjalankan jelajah ke beberapa lokasi untuk teater Monolog Jual Ubat, sebelum keadaan kesihatannya terus merosot dan memaksanya berehat di rumah bermula lewat Disember tahun tersebut.[perlu rujukan]

Pada pertengahan April 2018, kesihatannya terus merosot apabila tubuhnya semakin susut sehingga mengehadkan pergerakannya sehingga akhirnya beliau terlantar di atas katil. Bagaimanapun, sepanjang mengalami masalah kesihatan, beliau tidak mendapatkan rawatan hospital kerana keengganannya sendiri namun berusaha secara tradisional, biarpun isterinya Hamidah Abdullah merupakan seorang jururawat.[perlu rujukan]

Beliau meninggal dunia pada usia 70 tahun pada Isnin, 23 Julai 2018 di Hospital Pakar Ampang Puteri kira-kira jam 3 petang.[10][11][12] Seminggu sebelum itu beliau mengalami semput sebelum pernafasannya semakin sukar sehingga akhirnya akur dengan kehendak isterinya untuk dibawa ke hospital sekitar jam 11 pagi 23 Julai.[13][14][15] Beliau telah dikebumikan sekitar jam 7.10 malam hari yang sama di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang selepas jenazahnya dimandi, dikafan dan dan disembahyangi di Masjid Taman Kosas.[16] Khalid meninggalkan seorang balu, tiga orang anak dan seorang cucu.[17]

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Khalid (kanan) dan Sidi Oraza (kiri) menunjukan anugerah yang dimenangi masing-masing di FFAP
Tahun Tajuk Watak Catatan
1992 Penghujung Malam Razak @ Isnin Selasih Filem pertama
1993 Azizah The Legend Sidi
1999 Jogho Mamat
2001 Kaki Bakar Kakang
2004 Buai Laju-Laju Ibrahim
2016 Hanyut Babalathci
2019 Motif Ayah Yasmin Filem terakhir, dikeluarkan secara anumerta

Drama[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Saluran TV
1980 Drama Minggu Ini: Penari Khalid TV1

Televisyen[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2009 Expose Mistik Pengacara Astro Prima

Teater[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk
1998 Jejak Pahlawan

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Menakluk Puncak[18]
  • Kafir Mengkafir, Siapa Yang Kafir?
  • Antalogi Puisi: Bukan Apa-apa
  • Buku Skrip: Kena Main
  • Melayu Hilang Di Dunia
  • Antalogi Puisi: Kalau Aku Jadi PM
  • Dengarkanlah Suara Kemesraan

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Kategori Keputusan
1994 Festival Filem Malaysia ke-11 Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Menang
1998 Festival Filem Asia Pasifik 1998 Persembahan Terbaik Menang
1999 Festival Filem Malaysia ke-14 Pelakon Lelaki Terbaik Menang

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Alif Fadli Mohd. Sori (9 Januari 2018). Saya sihat sahaja - Khalid Salleh Utusan Malaysia. Diperoleh pada 25 Julai 2018.
  2. ^ a b Tengku Suzana Raja Hamat (25 Julai 2018). "Akhir 'kalam' seni Wak Khalid". Kosmo!. Dicapai pada 25 Julai 2018.
  3. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-27. Dicapai pada 2018-07-27.
  4. ^ Khalid Salleh // Pogadaev, V. Malay World (Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapore). Lingvostranovedchesky dictionary. M.: "The Eastern Book", 2012, p. 310-311
  5. ^ Khalid Salleh. Kalau Aku Jadi PM. Kuala Lumpur: ITBM, 2014
  6. ^ Khalid Salleh. Melayu Hilang Di Dunia. Kuala Lumpur: Rentak Positif Sdn Bhd, 2011)
  7. ^ Ku Seman Ku Hussain. "Apabila Khalid Salleh tulis buku" - "Mingguan Malaysia", 17.7.2012
  8. ^ Dennis Chua (24 Julai 2018). "#Showbiz: Actors have lost a 'sifu' in Khalid Salleh". New Straits Times. Dicapai pada 25 Julai 2018.
  9. ^ a b Hafizah Iszahanid (23 Julai 2018). "Khalid Salleh, kehilangan besar dunia sastera, seni". Berita Harian. Dicapai pada 25 Julai 2018.
  10. ^ 24 Julai 2018 (3 Julai 2018). "Actor Khalid Salleh dies at 70". The Star Online. Dicapai pada 26 Julai 2018.
  11. ^ Hafizah Iszahanid (23 Julai 2018). "Perginya sebutir bintang seni [METROTV]". Harian Metro. Dicapai pada 26 Julai 2018.
  12. ^ "'Jogho' actor Khalid Salleh dies". Free Malaysia Today. 23 Julai 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-29. Dicapai pada 26 Julai 2018. Khalid, who was 70 years old, died at 3.20pm today after suffering breathing problems.
  13. ^ Hafizah Iszahanid (23 Julai 2018). "Pelakon, pengarang Khalid Salleh meninggal dunia". BH Online. Foto oleh Surianie Mohd Hanif. Dicapai pada 23 Julai 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  14. ^ Mohd Al Qayum Azizi (23 Julai 2018). "Aktivis teater Khalid Salleh meninggal dunia". mSTAR Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-23. Dicapai pada 23 Julai 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  15. ^ "Pelakon Khalid Salleh meninggal dunia". Astro Awani. 23 Julai 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-23. Dicapai pada 23 Julai 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  16. ^ Azyyati Ahmad (23 Julai 2018). "Khalid Salleh selamat dikebumikan". Astro Awani. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-23. Dicapai pada 23 Julai 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  17. ^ "Khalid Salleh meninggal dunia". Malaysiakini. 23 Julai 2018. Dicapai pada 26 Julai 2018.
  18. ^ Conquer the height. Verses by poets of Malaysia and Indonesia in the translations of Victor Pogadaev. Design by Yusof Gajah. Moscow, "Klyuch-S", 2009, p. 57-58

Pautan luar[sunting | sunting sumber]