Mohamad Khir Toyo

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Khir Toyo)

Mohamad Khir Toyo

MBBS
Menteri Besar Selangor ke-13
Dalam jawatan
18 Ogos 2000 – 14 Februari 2008
RajaSultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (2000-2001) Sultan Sharafuddin Idris Shah (2001-2008)
Didahului olehAbu Hassan Omar
Digantikan olehAbdul Khalid Ibrahim
Ahli Dewan Negeri Selangor
untuk Sungai Panjang
Dalam jawatan
1999–2013
Didahului olehMohd Pauzi Abdul Murad
Digantikan olehBudiman Mohd Zohdi
Butiran peribadi
Lahir (1965-08-06) 6 Ogos 1965 (umur 58)
Selangor Tanjung Karang, Selangor
Parti politik Barisan Nasional
UMNO
PasanganChristine Zanitrah Abdullah
Anak-anak1 lelaki (dari Christine) dan 6 anak ( dari Zahrah Kechik)
PekerjaanAhli politik
ProfesionDoktor

Dr. Mohamad Khir Bin Toyo (lahir 6 Ogos 1965) merupakan bekas Menteri Besar Selangor (ke-13) menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar. Pada Pilihan raya umum Malaysia 2008, pimpinan beliau tewas di tangan Pakatan Rakyat dan sejak daripada itu beliau menjadi Ketua Pembangkang di Selangor.[1] Pada 15 Julai 2009, oleh kerana keengganannya menghadiri pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dan mengkritik jawatankuasa itu, beliau bersama 4 ADUN BN yang lain digantung serta-merta selama setahun manakala ADUN lainnya selama 6 bulan.[2]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Dr. Mohamad Khir dilahirkan di Tali Air 2, Ban 4, Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor. Beliau merupakan anak ke-5 daripada 9 orang adik beradik. Beliau merupakan seorang doktor gigi sebelum menceburi politik. Ayah Khir Toyo, Joyo Erodikromo merupakan seorang migran dari kepulauan Jawa, sedangkan emaknya, Siti Aminah Mohd Taib, seorang Melayu tempatan dari Selangor.[3]

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Beliau berkahwin dengan Zahrah Kechik pada 1990 dan bercerai pada 19 September 2022. Dr. Mohamad Khir berkahwin kali kedua dengan Christine Zanitrah Abdullah pada 2016.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

  • Pendidikan Menengah di Sekolah Menengah Dato Harun Tanjung Karang (1982 – 1984)
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Sg. Besar [Tingkatan 6] - (6 Bulan)
  • Pusat Asasi Sains (Universiti Malaya)
  • Kursus Ijazah Pembedahan Pergigian, Fakulti Pergigian Universiti Malaya (1985 - 1989)

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Dr. Mohamad Khir memiliki Klinik Pergigian Khir di bandar Kajang, Selangor.

Jawatan[sunting | sunting sumber]

Menteri Besar Selangor[sunting | sunting sumber]

Beliau mula memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Datuk Seri Abu Hassan Omar mulai 18 Ogos 2000 sehingga 13 Mac 2008 selepas Barisan Nasional gagal mempertahankan majoriti 2/3 di Selangor dan beliau digantikan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jawatan lain[sunting | sunting sumber]

Penglibatan dalam dunia blog[sunting | sunting sumber]

Setelah kekalahan Barisan Nasional dalam Negeri Selangor dan peletakan jawatan Khir Toyo sebagai Presiden UMNO dan BN Selangor, Khir telah memulakan blognya yang diharapkan "akan menjadi wadah untuk berkomunikasi dengan pembaca khusus dalam isu-isu politik dan sosial".

Sumbangan[sunting | sunting sumber]

Sepanjang lapan tahun pentadbiran beliau mengetuai negeri Selangor, beberapa pendekatan dan program telah dilakukan dalam konteks membangun dan memajukan rakyat Selangor khasnya orang Melayu sebagai kaum majoriti di negeri ini.

Dr.Khir berusaha memastikan sebarang ruang kosong pelaksanaan dasar Persekutuan dapat ditampung di peringkat negeri. Walaupun semua dasar dan program kerajaan negeri adalah untuk semua kaum, orang Melayu sebagai kelompok majoriti sudah pasti mendapat manfaat dan kesan langsung daripada setiap dasar dan program yang dilaksanakan.

Mengagih kekayaan ekonomi[sunting | sunting sumber]

Dua perkara utama yang diberi penekanan oleh pentadbiran Dr.Khir untuk mengagih dan membangunkan ekonomi rakyat iaitu melalui penjanaan peluang pekerjaan dan penggalakkan bidang keusahawanan.

Untuk itu, misi menarik pelaburan dari dalam dan luar negeri diperhebatkan. Ini membolehkan modal dibawa masuk lalu menjana sektor perindustrian yang menyediakan banyak peluang pekerjaan -[5] Di bawah kepimpinan Dr.Khir, Selangor berjaya menarik pelaburan bernilai RM 8 – 10 bilion setahun.[6] yang mencipta sekitar 15 – 20 ribu peluang pekerjaan. Orang Melayu adalah tenaga kerja utama dalam bidang perindustrian di Selangor

Pentadbiran Dr.Khir juga telah menyediakan pelbagai skim dan prasarana untuk menggalakkan bidang keusahawanan khasnya di kalangan orang Melayu. Antaranya Program Dana Usahawan yang membantu rakyat khususnya belia untuk menceburi dunia keusahawanan. Peruntukan sebanyak RM2 juta setahun disediakan bagi membantu usahawan dengan sasaran 200 orang penerima.[7]

Di samping Skim Pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (SPPKS) Makanan dan Bukan Makanan turut diperkenalkan bagi meningkatkan taraf hidup para usahawan IKS Negeri Selangor. Peruntukan disediakan bagi SPPKS Bukan Makanan sebanyak RM 5 juta dan SPPKS Makanan sebanyak RM 10 juta setahun.[8]

Dana Industri Kampung pula diwujudkan untuk membantu usahawan IKS di kawasan luar bandar yang mahu mengembangkan lagi perniagaan mereka tetapi tidak mempunyai modal.Bantuan diberi berupa peralatan atau mesin dengan kos yang tidak melebihi RM10,000. Peruntukan disediakan sebanyak RM1 juta setahun diberikan untuk skim ini.[perlu rujukan]

Kemudahan untuk menjual dan memasarkan produk makanan IKS juga diwujudkan dengan kerjasama pasaraya besar seperti Giant dan Tesco. Penyediaan ruang pemasaran dan promosi produk IKS serta kiosk IKS adalah syarat untuk pasaraya tersebut beroperasi di Selangor.

Pentadbiran beliau juga memberi peluang perniagaan kepada usahawan IKS dengan mewujudkan Pasar Seri. Dua buah Pasar Seri telah beroperasi di Shah Alam, masing-masing satu di Lembah Subang dan Pelabuhan Klang. Lima buah Pasar Seri sedang dalam proses pembukaan.

Pada masa yang sama, Pasar Rakyat turut dibina bagi meningkatkan pendapatan peniaga dan menggalakkan rakyat berbelanja barangan keperluan dengan harga yang murah. Sembilan buah Pasar Rakyat dibina melibatkan 80 orang peserta.

Memperkasa sektor pertanian[sunting | sunting sumber]

Bidang pertanian yang sinonim dengan orang Melayu telah diberi penekanan istimewa oleh pentadbiran Dr.Khir. Sama ada golongan petani atau nelayan yang majoritinya orang Melayu, kedua-duanya telah diberi perhatian dan bantuan yang sewajarnya.

Untuk petani sawah padi, ‘Program Pengurusan Berpusat dan Penyatuan Tanah Sawah’ dilaksanakan bagi menentukan 19,745 hektar sawah padi di Selangor mampu menghasilkan 10 tan padi sehektar semusim. Kerajaan negeri juga berusaha meningkatkan penghasilan padi 15 tan/hektar semusim melalui penyelidikan dengan universiti tempatan.

Untuk itu, Tabung Amanah Pengurusan Berpusat dengan nilai RM 8.16 juta ditubuhkan bagi membiayai penubuhan 154 buah Badan Pengurusan Berpusat Padi.[9]

Melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), projek ‘Fruits Salad’ dilaksanakan untuk membekal buah-buahan segar seperti tembikai, nanas N36, belimbing, honey dew dan betik bagi pasaran dieksport. Petani kecil boleh menanam buah-buahan berikut secara kontrak dengan PKPS yang bertanggungjawab soal pembungkusan dan pemasaran sepenuhnya.

Dr.Khir sendiri amat berminat dengan konsep program ‘from waste to wealth’ yang menukarkan ‘pembuangan’ (waste) kepada ‘pendapatan’ (wealth). Melalui program ‘Pembakaran Sifar Jerami Padi’, jerami di kawasan jelapang padi Selangor bagi dijadikan baja (program rumah cacing), makanan ternakan dan medium pelindung cerun. Kerajaan negeri menyediakan sebanyak 66 buah unit pembandela untuk kerja pengumpulan jerami. Ini menghasilkan pendapatan sampingan untuk para pesawah Selangor.[10]

Bagi golongan nelayan, Dana Nelayan disediakan iaitu program yang membantu nelayan berlesen memiliki peralatan seperti jaring, pukat atau enjin bot yang bernilai sehingga RM5,000. Seramai 744 orang nelayan telah menerima manfaat daripada skim ini dengan peruntukan disediakan adalah sebanyak RM1 juta setahun dan ia disalurkan melalui persatuan-persatuan nelayan.[11]

Untuk menambah hasil ikan nelayan di persisiran pantai Selangor, projek ‘kebun ikan’ / ‘rumah ikan’ yang melibatkan pembinaan tukun konkrit dilaksanakan. Dr.Khir sendiri memberikan idea bagi rekaan tukun tersebut. Di samping itu, sebanyak 190 buah ‘kebun kerang’ turut diwujudkan di pantai Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam bagi menambah hasil kerang untuk nelayan.[12]

Melalui PKPS, galakan turut diberi untuk menghasilkan produk makanan berasaskan pertanian. Antaranya projek ‘keli salai’ di Kuala Selangor bagi mengatasi masalah pemasaran ikan keli sambil membuka ruang penternak dan pemasaran produk ikan keli oleh orang Melayu.

Menyelesai perumahan rakyat[sunting | sunting sumber]

Hasrat membantu rakyat memiliki perumahan yang sempurna didukung dengan pelaksanaan Dasar Setinggan Sifar. Orang Melayu adalah majoriti penghuni kawasan-kawasan setinggan. Dasar yang bermula tahun 2001 ini, menekankan penyediaan tempat tinggal yang baik bagi melahirkan keluarga yang harmoni, dan persekitaran sosial yang kondusif untuk kehidupan berkualiti.

Dasar ini menggunakan pendekatan pembangunan ‘in situ’ (di situ) dan mula menampakkan hasil positif di mana tahap sosioekonomi keluarga dan pendidikan anak-anak yang dipindahkan dari setinggan ke kawasan perumahan baru menjadi bertambah baik. Sehingga bulan Disember 2007, sejumlah 46,288 dari 46,941 keluarga setinggan atau 97.5% telah berjaya dipindahkan ke Rumah Kos Rendah dan rumah transit – Projek Perumahan Rakyat dan council homes.[13]

Bagi membantu aspek perumahan di kalangan rakyat miskin khasnya di kawasan luar bandar, program Kerajaan Prihatin diperkenalkan. Melalui program ini, kerajaan negeri membina semula atau memperbaiki rumah orang miskin atau yang memerlukan bantuan, dengan tajaan oleh anak-anak syarikat dan badan berkanun kerajaan negeri. Untuk tahun 2007 sahaja, sebanyak 110 rumah dibina semula dan 36 rumah dibaik pulih dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM2.4 juta.[perlu rujukan]

Membangun modal insan[sunting | sunting sumber]

Pembangunan modal insan di negeri Selangor berteraskan Dasar Bina Insan yang diperkenalkan oleh Dr.Khir pada tahun 2000. Ia menekankan pembangunan seimbang dan harmonis insan mencakupi aspek fizikal, mental, rohani dan emosi melibatkan beberapa kelompok strategik dalam masyarakat iaitu pimpinan politik dan kerajaan, belia, warga industri, ibu bapa, guru dan pemimpin akar umbi.

Selaras dengan Dasar Bina Insan, Formula 6M diterapkan dalam program-programnya. Ia mencakupi musyaratah (menepati syarat-syarat kejayaan), muhasabah (menilai diri sendiri), muraqobah (mengawal diri secara berterusan), mu’aqobah (mengekalkan tindakan yang benar secara berterusan), mujahadah (berusaha bersunguh-sunguh) dan mu’atabah (menghakis sifat-sifat buruk) sebagai asas untuk mendidik jiwa dan pembinaan akhlak mulia rakyat Selangor.[perlu rujukan]

Dua komponen utama dalam program Bina Insan dilaksanakan iaitu Program Latihan Bina Insan dan Lawatan Keinsafan dan Kesedaran Ke Kemboja/ Vietnam/ Laos. Program-program ini untuk membina jati diri dan daya kepimpinan dan menyedarkan peranan setiap individu serta nikmat kemajuan di negeri Selangor.

Orang Melayu khasnya para belia paling ramai dilatih menerusi Program Latihan Bina Insan. Program lawatan keinsafan pula melibatkan ramai pemimpin-pemimpin Melayu akar umbi untuk belajar melalui pengalaman tentang kesengsaraan orang Melayu/ Islam di Kemboja.

Sepanjang tempoh pentadbiran Dr.Khir, beberapa institusi pendidikan tinggi, latihan kemahiran dan pendidikan rendah terus diperkasakan. Antaranya, pembinaan kampus Universiti Industri Selangor (UNISEL) di Bestari Jaya, penarafan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Ia diperkukuhkan dengan pemantapan fungsi Yayasan Selangor, Institut Kemahiran Yayasan Selangor, INPENS International College dan institusi pendidikan rendah Islam di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Membanteras kemiskinan[sunting | sunting sumber]

Dr.Khir melancarkan inisiatif membasmi kemiskinan berdasarkan tiga strategi utama iaitu menyediakan perumahan, pendidikan dan pekerjaan kepada kelompok sasar. Program ini selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mempunyai dua matlamat utama iaitu penghapusan kemiskinan tanpa mengira kaum dan penyusunan semula masyarakat.

Sebahagian strategi ini terzahir melalui usaha memberikan pekerjaan kepada rakyat dan penggalakan keusahawanan. Pendidikan melalui usaha Yayasan Selangor, Institut Kemahiran Yayasan Selangor dan INPENS International College. Manakala aspek perumahan melalui pelaksanaan Dasar Setinggan Sifar dan program Kerajaan Prihatin.

Strategi lain ialah pemberian bantuan kewangan melalui Skim Pinjaman Amanah Saham Bumiputera dan Skim Pinjaman Amanah Saham Wawasan 2020. [14]

Bagi ASB sebanyak RM25 juta tabung pusingan disediakan. Ia bertujuan untuk menggalakkan pelaburan dalam akaun tabung amanah saham di kalangan golongan miskin. Sehingga kini ia telah memberi manfaat kepada lebih 44,365 warga Selangor yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan. Mereka bakan menikmati hasil pelaburan sebanyak RM1,000 atau RM2,000 selepas tempoh matang.

Untuk ASW pula tabung pusingan disedia bernilai RM6 juta. Ia mensasarkan anak-anak keluarga miskin di mana setiap pelabur akan menikmati hasil pelaburan sebanyak RM1,000 setelah tempoh matang.

Hasilnya, kemiskinan tegar di Selangor adalah sekitar 0.5% dan kemiskinan relatif pula 0.1%.[15] Selain itu, Kerajaan Negeri juga mengadakan program ‘Blueprint Kemiskinan’ dengan menggunakan pendekatan in situ di mana ketua isi rumah yang layak diberikan bantuan menjalankan aktiviti ekonomi.[16]

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Projek perumahan di atas tanah milik Negeri Selangor[sunting | sunting sumber]

Banyak tanah milik kerajaan negeri Selangor yang sudah dijual untuk projek perumahan semasa pentadbiran Khir Toyo. Ada di antara tanah tersebut yang sepatutnya diwartakan sebagai hutan simpan atau taman awam.

Antara tanah yang dijual kepada pemaju termasuklah tapak Litar Batu Tiga Shah Alam, yang merupakan litar lumba pertama di Malaysia yang dibuka pada tahun 1968. Tanah bekas tapak litar lumba tersebut yang terletak di antara Stadium Shah Alam dan Lebuhraya Persekutuan kini merupakan kawasan perumahan D'Kayangan.

Bagaimanapun adalah lumrah untuk kerajaan negeri menjual atau memajakkan tanah untuk pembangunan. Jika tidak pembangunan negeri akan terencat dan juga kemungkinan negeri akan mengalami krisis perumahan. Manakala kedudukan Litar Batu Tiga di Shah Alam tidak lagi sesuai kerana banyak aduan dari penduduk bandaraya tersebut sendiri. Selain itu, kewujudan Litar Sepang menyebabkan Litar Batu Tiga seperti hidup segan mati tak mahu.[perlu rujukan]

Hutan Simpan Bukit Cahaya[sunting | sunting sumber]

Dr. Khir juga pernah berdepan dengan tuduhan rasuah kerana memberi kelulusan projek pembinaan yang telah menceroboh kawasan hutan simpan Bukit Cahaya Seri Alam di Shah Alam. Pada 2004, Badan Pencegahan Rasuah Malaysia (BPR)mengisytiharkan tiada kes ke atas Dr.Khir.[17]

Ladang babi di Selangor[sunting | sunting sumber]

Selepas pengumuman projek penternakan babi moden di Selangor dibuat oleh kerajaan Negeri Selangor, Dr. Khir telah menafikan bahawa kerajaan dahulu di bawah pimpinannya telah bersetuju dan meluluskan projek tersebut ketika ditemuramah oleh TV3. Dalam satu rencana di blognya yang bertajuk "Bukan Pemodenan Ladang yang Dibantah" Diarkibkan 2008-04-20 di Wayback Machine, dia menyatakan bahawa

"Pertamanya, saya tidak pernah membantah projek memodenkan kaedah penternakan atau perladangan babi. Sebab itu, kerajaan Selangor semasa saya lagi sudah mengkaji dan melihat kaedah-kaedah perladangan babi di negara luar termasuk di Thailand dan Jerman. Memang benar kita bersetuju tentang pemodenan ladang babi memandangkan ladang dalam bentuk sekarang amat mencemar alam sekitar.
Yang dibantah ialah kenyataan untuk menjadikan Selangor sebagai pengeskpot babi dan saiz ladang yang dikatakan melebihi keperluan domestik. Bagi saya penternakan babi hendaklah untuk keperluan domestik sahaja.

Berhubung dengan tuduhan kerajaan Selangor yang baru bahawa pentadbiran lama meluluskan,Dr. Khir menjelaskan "Saya ingin mengingatkan kerajaan Selangor hari ini bahawa kelulusan pada 30 Januari tersebut hanyalah untuk sistem yang akan digunakan dan proses mengenalpasti tanah atau kawasan bukannya kelulusan projek. Justeru adalah tidak adil untuk kerajaan Selangor meneruskan projek ini dengan alasan keseluruhan projek ini diluluskan oleh kerajaan pimpinan saya sebelum ini. Saya khuatir jika projek ini dijalankan secara terburu-buru, kelak BN akan dipersalahkan jika berlaku sebarang masalah".

Isu Anugerah Penyapu[sunting | sunting sumber]

Anugerah penyapu yang diberikan kepada YDP Hulu Langat

Pada November 2007, Dr. Khir dikecam kerana memberikan "hadiah" berupa sebatang penyapu kepada Majlis Daerah Hulu Selangor yang diwakili oleh Yang Dipertuanya, Tukiman Nail dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor kerana tidak mencapai sasaran kutipan cukai. Tindakan beliau tersebut mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak yang menyifatkan "anugerah penyapu" tersebut sebagai tindakan yang mengaibkan serta menghina kakitangan awam.[18] Walau bagaimanapun, Dr. Khir tetap mempertahankan tindakan beliau tersebut, malah menafikan dakwaan yang mengatakan isu "anugerah penyapu" merupakan salah satu penyebab utama kekalahan Barisan Nasional di Selangor ke tangan Pakatan Rakyat dengan mengatakan tindakan beliau tersebut adalah demi mengubah sikap segelintir pegawai kerajaan negeri yang dikatakan malas dan tidak produktif.[19]

Isu rasuah rumah agam[sunting | sunting sumber]

Dr Khir mendakwa banglo miliknya di Seksyen 7, di Shah Alam bernilai RM3.5 juta, bukan RM24 juta seperti didakwa.[20] Khir adalah Menteri Besar Selangor kedua yang disabitkan kesalahan rasuah selepas Datuk Harun Idris.[21]

Pada 8 Ogos 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam Dr Khir Toyo membela dirinya berhubung kes rasuah pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam itu kerana wujud prima facie. Dr Mohd Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya Datin Seri Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Haryoni. Rumah dan tanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta. Kesalahan itu dilakukan di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam pada 29 Mei 2007. 25 saksi telah dipanggil tetapi 7 saksi akan dikemukakan semasa perbicaraan pada 26-29 September 2011.

Shamsuddin Haryoni yang dipanggil sebagai saksi terlepas dari tuduhan rasuah.[22]

Pada 23 Disember 2011, beliau disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan. Mahkamah turut memerintahkan agar hak beliau ke atas hartanah yang dimiliki itu dilucutkan dan diserahkan kepada kerajaan. Bagaimanapun, penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan.[23] Beliau telah merayu ke Mahkamah Rayuan namun ditolak, lalu kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan.[24]

Pada 27 Ogos 2014, rayuan kes yang ditangguh pada 15 April 2014 sepatutnya disambung semula di Mahkamah Persekutuan. Namun ketika itu peguam utama Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah menghadiri seminar di Jepun.[25] Rayuan pada 28 Ogos 2014 ditangguh lagi kerana dia dimasukkan ke Hospital Pakar Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) Shah Alam kerana migrain yang teruk. Surat daripada Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi, Dr. Rashidi Saidin memaklumkan bahawa Dr Khir menghidap sakit tulang belakang dikenali sebagai spondilosis servikal (cervical spondylosis)[26] Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin,Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali menangguhkan rayuan ke 6 November 2014.[27]

Keputusan pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Dewan Undangan Negeri Selangor: Sungai Panjang[28][29]
Tahun Kerajaan Undi Prts Pembangkang Undi Prts Buang undi Majoriti Keluar
1999 Khir Toyo (UMNO) 4,243 49.21% Mohd Fadzlin Taslimin (PAS) 4,078 47.30% 8,622 165 71.77%
2004 Khir Toyo (UMNO) 9,700 67.98% Saibini Ismail (PAS) 4,240 29.71% 14,269 5,460 79.04%
2008 Mohd Fadzlin Taslimin (PAS) 5,353 31.66% Khir Toyo (UMNO) 11,181 66.14% 16,906 5,828 82.47%

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Beliau pernah dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Dato' Seri pada 2001. Namun, gelaran tersebut telah ditarik balik oleh Sultan Selangor pada 30 September 2015.[30]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "'Tidak baiklah macam ini' - Khir
  2. ^ "Kena Gantung", Utusan Online. 15 Julai 2009.
  3. ^ Father of Selangor Mentri Besar dies at 98 The Star Online. 18 Ogos 2005.
  4. ^ "Presiden AYC"
  5. ^ Selangor:TOP IN LOCAL AND FOREIGN INVESTMENT Diarkibkan 2009-01-07 di Wayback Machine.
  6. ^ "Statisti Pelaburan Selangor". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-11-21. Dicapai pada 2009-05-09.
  7. ^ Selangor Provides RM1.25 Mln Loans For Four SME Entrepreneurs, Bernama, 22 Jun 2005
  8. ^ Selangor Peruntuk RM10 Juta Bantu Bumiputera Besarkan Perniagaan
  9. ^ "Selangor Mahu Jadi Negeri Pertanian Sara Negara - MB"
  10. ^ "Selangor Sasar Capai Pembakaran Sifar Jerami Untuk Elak Pencemaran, Bernama, 21 Jan 2007"
  11. ^ "PELAN INDUK MEMBASMI KEMISKINAN: Dana Nelayan"
  12. ^ "Selangor Akan Warta Kawasan 41,000 Hektar Untuk Ternakan Kerang"
  13. ^ Kejayaan Program Perumahan Selangor Jadi Model Bagi Negara Lain, BERNAMA.COM, 6 Jun 2007
  14. ^ "Choice and prosperity, The Star"
  15. ^ "Kadar Miskin Selangor 2007"
  16. ^ "Miskin Tegar"
  17. ^ Dr Mohamad Khir Toyo, Catatan II: Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul
  18. ^ Cari kaedah lain ganti hadiah penyapu - Utusan Malaysia, 19 November 2007. Dicapai pada 4 Jun 2009.
  19. ^ Padah Penyapu atau Padah Sikap Kita? - dari blog rasmi Dr. Mohamad Khir Toyo. Dicapai pada 4 Jun 2009.
  20. ^ [http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0707&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_29.htm&arc=hive "Banglo RM3.5j bukan RM24j - Khir", Utusan Melayu.7 Julai 2007>
  21. ^ Khir Toyo di hospital, rayuan kes rasuah ditangguh 6 Nov malaysiakini
  22. ^ Kes rasuah: Dr Khir Toyo diarah bela diri
  23. ^ "Khir Toyo dihukum penjara 12 bulan". Sinar Harian. BERNAMA. 23 Disember 2011. Dicapai pada 30 Ogos 2014.
  24. ^ "Rayuan Khir Toyo Di Tolak, Hukuman Ditangguh". Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 17 Jun 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-25. Dicapai pada 30 Ogos 2014.
  25. ^ Rayuan akhir Khir Toyo hari ini
  26. ^ Khir Toyo di hospital, rayuan kes rasuah ditangguh 6 Nov
  27. ^ Rayuan Khir Toyo ditangguh 6 November
  28. ^ "Keputusan Pilihan Raya Umum Parlimen/Dewan Undangan Negeri" (dalam bahasa Malay). Election Commission of Malaysia. Dicapai pada 7 December 2010.CS1 maint: unrecognized language (link) Percentage figures based on total turnout.
  29. ^ "Malaysia General Election". undiinfo Malaysian Election Data. Malaysiakini. Dicapai pada 4 February 2017. Results only available from the 2004 election.
  30. ^ Darjah Kebesaran S.P.M.S yang dikurnia kepada Dr Mohamad Khir ditarik semula

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Jawatan politik
Didahului oleh
Datuk Seri Abu Hassan Omar
Menteri Besar Selangor
18 Ogos 2000 – 13 Mac 2008
Diikuti oleh:
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim