Komun Zaman Pertengahan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Menara pertahanan di San Gimignano, Tuscany, menyaksikan banyak persengketaan puak antara komun.

Komun di Eropah semasa Zaman Pertengahan ialah perikatan pertahanan bersaling (kedua-dua pertahanan fizikal serta kebebasan tradisional) antara penduduk sesebuah bandar atau bandar raya. Ia terdiri daripada banyak bentuk, dan amat berbeza daripada segi pembentukan dan pengurusannya. Komun dicatat buat pertama kali pada akhir abad ke-11 dan awal abad ke-12 di bahagian utara-tengah Itali dan ketika itu, merupakan negara kota sebenar, berdasarkan demokrasi separa.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Perkataan "commune" dalam bahasa Inggeris dan bahasa Perancis muncul do dalam rekod Latin dalam pelbagai bentuk. Dalam sesetengah kes, perkataan "commune" Latin klasik digunakan dalam pengertian "orang yang mempunyai kepentingan sepunya". Pada hakikatnya, kata dasar perkataan "komun" ialah cum ("dengan" atau "bersama-sama") + munire ("mendindingi"), dan secara harafiah bermaksud "mendindingi bersama-sama" (iaitu, kubu kongsi). Lebih seringnya, communia, perkataan Latin basahan, digunakan dan berasal daripada perkataan Romans, commune. Selepas kemerdekaan menerusi pemberontakan dan penggulingan ganas, "komun" seringnya digelar "conspiratio" (komplotan).

Asal[sunting | sunting sumber]

Di banyak kawasan Eropah Barat pada abad ke-10, para petani, baik disebabkan oleh pengetahuan ketukangan khusus yang melebihi keperluan semasa desa terpencil mereka atau hanya kerana semangat berdikari mereka, bermula bertumpu ke pusat-pusat penduduk bertembok. Di Itali tengah dan utara, serta juga di Provence dan Septimania, kebanyakan kota lama Rom masih wujud — walau jika rumput bertumbuh di jalan raya — terutamanya, sebagai pusat pentadbiran untuk sebuah kawasan uskup mahupun untuk wakil tempatan kepada raja atau maharaja yang jauh. Di Negeri-Negeri Pamah, sesetengah bandar baharu diasaskan berdasarkan perdagangan jarak panjang untuk industri membuat kain bulu biri. Bandar-bandar ab ovo ini hampir selalu merupakan burgh berkubu untuk count, biskop atau abbot wilayah. Bandar sebegini juga diasaskan di Rhineland, tetapi bandar-bandar yang lain hanya merupakan desa pasar yang bertindak sebagai pusat pertukaran tempatan.

Penduduk-penduduk bandar memerlukan perlindungan fizikal daripada para orang bangsawan yang tidak mengendahkan undang-undang serta daripada para penjahat. Ini merupakan sebahagian daripada dorongan mereka untuk bertumpu di belakang tembok komun. Bagaimanapun, perjuangan mereka untuk menuntut hak kebebasan serta kebebasan untuk menjalankan dan mengawal urusan sendiri serta perlindungan daripada percukaian sembarangan dan gangguan daripada biskop, abbot, atau count merupakan suatu proses yang lama untuk memperoleh piagam yang menjamin perkara-perkara yang pokok seperti hak untuk membuka pasar. Piagam itu sering dibeli pada harga yang sangat tinggi atau diberikan, bukan oleh kuasa tempatan yang sudah tentu berasa cemburu terhadap prerogatif itu, tetapi oleh raja atau maharaja yang datang ke bandar mereka untuk mendapatkan sekutu dalam percubaan untuk memusatkan kuasa. "Golongan borjuis abad ke-10 dan ke-11 mengganggu, memeras ugut, mengenakan cukai yang menindas serta menghina tanpa belas kasihan. Ini mengakibatkan mereka terpaksa bergantung pada diri sendiri dan menerangkan sebab-sebab tentang sifat kota Zaman Pertengahan yang sangat bekerjasama dan terlalu terancang." (Cantor 1993 p 231)

Kota bertembok melambangkan perlindungan daripada serangan langsung pada harga kebebasan sendiri yang tinggi, akan tetapi apabila seseorang lelaki bandar meninggalkan tembok bandarnya (perempuan jarang membuat perjalanan ketika itu), dia terpaksa bergantung pada belas kasihan orang bangsawan yang sering ganas dan tidak mengendahkan undang-undang. Oleh sebab kebanyakan kawasan Eropah Zaman Pertengahan kekurangan kuasa terpusat untuk memberikan perlindungan, setiap kota terpaksa melindungi penduduk sendiri, baik di dalam kawasan bertembok mahupun di luar. Justera, bandar-bandar membentuk komun yang sah di sisi undang-undang untuk menjadikan kota mereka sebagai perbadanan pemerintahan sendiri. Walaupun kebanyakan komun berkait dengan bandar, terdapat juga komun luar bandar, khususnya di Perancis dan England yang dibentuk untuk melindungi kepentingan sepunya para penduduk desa.

Setiap bandar mempunyai komun sendiri, dengan tiada dua komun berupa sama. Bagaimanapun, pada dasarnya, semua komun mengangkat sumpah akan mempertahankan satu sama lain apabila kesusahan timbul dan akan memeliharakan keamanan di pusat bandar dalam sebuah upacara awam ketika sesuatu komun dibentuk.

Apakah yang dimaksudkan "mempertahankan satu sama lain"? Jelas jika seseorang anggota komun diserang di luar kawasan bandar, dia tidak sempat mendapatkan pertolongan kerana tiada sesiapapun yang berhampirannya ketika itu. Sebagai ganti, komun berjanji akan membalas dendam terhadap penyerang, dengan ugutan tersebut merupakan jenis pertahanan. Bagaimanapun, jika penyerang itu seorang bangsawan yang tinggal dengan selamat di dalam kastilnya (seringnya sebegitu kesnya), komun bandar tidak dapat menyerang secara langsung tetapi akan menyerang keluarga, membakar tanaman, membunuh hamba, atau memusnahkan dusun orang bangsawan itu sebagai balasan.

Gerakan komun bermula pada abad ke-10, dengan sebilangan kecil yang lebih awal seperti Forlì (mungkin pada 889), dan bertambah kuat pada abad ke-11 di Itali utara yang mempunyai terbanyak penduduk bandar di Eropah ketika itu. Gerakan itu kemudian tersebar ke Perancis, Jerman, Sepanyol, dan kawasan-kawasan yang lain pada awal abad ke-12. England ketika itu sudah amat terpusat dan justera, gerakan komun muncul, terutamanya di dalam kariah, persatuan petukang dan pedagangan, serta di dalam biara. Bilangan pegawai kerajaan bertambah di England dan Perancis menjelang abad ke-12, manakala Empayar Rom Holy diperintah oleh komun bandar campuran, kesatria, republik petani, biskop-putera, dan sebilangan besar pembesar feudal empayar.

Agama Kristian Zaman Pertengahan[sunting | sunting sumber]

Menurut John Bossy, komun sangat penting kepada gereja Zaman Pertengahan.[1] Perkataan yang digunakannya ialah "persaudaraan". Tumpuan utama geraja Zaman Pertengahan adalah untuk memeliharakan keamanan. Dosa utama yang perlu diatasi demi mencegah pembunuhan ialah keangkuhan, rasa iri hati, dan kemarahan, menurut banyak ahli teologi.

Komun boleh membantu memeliharakan keamanan kerana para penduduk bekerjasama, berbanding dengan bertindak secara perseorangan bagi menonjolkan diri. Di banyak tempat, persaudaraan dan persatuan dibentuk oleh orang biasa yang meniru cara hidup para paderi tanpa menjadi sebahagian golongannya, sebelum kariah diasaskan.

Satu cara lagi untuk memeliharakan keamanan ialah pengakuan dosa. Pengakuan dosa Zaman Pertengahan tidak sama dengan amalan moden di gereja Roman Katolik kerana ia diadakan di khalayak dan bukan secara perseorangan dengan seorang paderi. Tujuan utamanya adalah untuk mengungkapkan dosa yang dilakukan ke atas jiran. Ampun tidak diminta hanya daripada Tuhan tetapi juga daripada jiran seseorang. Bagaimanapun, menjelang abad ke-15, perdagangan menyebabkan individualisme dilihat dengan sikap positif, khususnya dalam gerakan humanisme Zaman Pembahruan Eropah. Walaupun demikian, komunalisme masih amat popular, baik di dalam agama Kristian mahupun di luar, sehingga hari ini.

Susunan sosial[sunting | sunting sumber]

Menurut seorang paderi Inggeris akhir abad ke-10, masyarakat Inggeris terdiri daripada tiga lapisan:

  1. mereka yang bertempur
  2. mereka yang bersembahyang
  3. mereka yang bekerja (kaum bangsawan, golongan paderi, dan petani).

Secara teori, terdapat imbangan antara golongan rohaniah dan golongan sekular, dengan lapisan ketiga membekalkan keperluan untuk dua lapisan yang lain. Bagaimanapun, komun-komun bandar merupakan suatu perkembangan yang menyimpang daripada susunan tersebut. Justera, kedua-dua Gereja dan Raja berasa campur baur terhadap pembangunan komun. Daripada satu segi, mereka bersetuju bahawa keselamatan dan perlindungan daripada kaum bangsawan yang tidak mematuhi undang-undang adalah sesuatu yang baik untuk orang umum tetapi daripada segi yang lain, komun mengganggu susunan sosial semasa. Mengikut adat resam, hanya kaum bangsawan dibenarkan bertempur, tetapi para pedagang bandar hanya merupakan pekerja dan bukan pahlawan. Tambahan lagi, cara komun untuk memeliharakan keamanan adalah melalui ugutan membalas dendam, dengan Gereja mempunyai cara tersendiri untuk memastikan keamanan, misalnya cara gerakan Peace and Truce of God. Kaedah mata untuk mata dan keganasan mendatangkan keganasan yang digunakan oleh komun umumnya tidak dapat diterima oleh Gereja atau Raja. Justera, kaum bangsawan dan golongan paderi kekadang menerima perkembangan komun dan kekadang tidak. Salah satu kes yang termasyhur tentang sebuah komun ditindas lalu mencetuskan pemberontakan bandar berlaku di Laon, sebuah bandar Perancis, pada 1112.

Komun luar bandar[sunting | sunting sumber]

Perkembangan komun luar bandar Zaman Pertengahan berasal lebih daripada keperluan untuk bekerjasama mengurus tanah sepunya, berbanding dengan keperluan untuk mempertahankan diri. Pada waktu apabila pemerintahan pusat menjadi sangat lemah, komun-komun biasaya dibentuk untuk memastikan keselamatan jalan raya (Landfriede) di wilayah masing-masing demi membolehkan perdagangan.

Komun Zaman Pertengahan yang paling berjaya mungkin merupakan komun yang terletak di lembah Alp di sebelah utara Genting St. Gotthard. Komun itu kemudian mencetuskan pembentukan Gabungan Switzerland Lama. Orang Switzerland banyak mengamalkan Bundesbrief, iaitu perikatan bertulis. Bagi setiap kanton baharu yang menyertai gabungan tersebut, sebuah kontrak yang baharu ditulis.

Selain daripada Eidgenossenschaft (perkataan Jerman untuk "gabungan") Switzerland, terdapat juga komun-komun Alp luar bandar yang serupa di Tyrol tetapi kebanyakan komun itu kemudian dihapuskan oleh Kerabat Diraja Habsburg. Komun-komun yang serupa juga berkembang di Grisons di Alp Perancis (Briançon), di Pyrenees, di Perancis utara (Forêt de Roumare), di Jerman utara (Frisia dan Dithmarschen), serta juga di Sweden dan Norway. Penjajahan ke atas Walser juga berkait. Komun-komun selatan Zaman Pertengahan mungkin dipengaruhi oleh pendahulu Itali tetapi yang utara (termasuk juga komun-komun Switzerland di sebelah utara genting St. Gotthard) mungkin berkembang dengan serentak, tetapi secara berasingan daripada komun-komun Itali. Bagaimanapun, hanya amat sedikit daripada komun-komun luar bandar Zaman Pertengahan mencapai Reichsunmittelbarkeit, suatu status yang menyebabkan mereka dikuasai secara langsung oleh raja atau maharaja. Kebanyakan komun masih merupakan taklukan pembesar feudal.[2][3]

Kemerosotan[sunting | sunting sumber]

Di Empayar Rom Holy, maharajanya selalu terpaksa menghadapi perebutan kuasa antara pesaing-pesaing yang berkuasa, baik putera-putera mahupun kota-kota dan komun-komun yang lain. Justera, para maharaja sentiasa melibatkan diri dalam perlawanan politik (bukan selalunya pertempuran) untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing serta kedudukan pemerintahan beraja empayar. Dalam dekri Golden Bull pada 1356, Maharaja Charles IV mengharamkan sebarang conjuratione, confederatione, dan conspiratione, khususnya perikatan kota (Städtebünde), tetapi juga liga berkaum luar bandar yang muncul. Kebanyakan Städtebünde dibubarkan, kekadang secara paksaan, dan bagi sebilangan yang dipulihkan, pengaruh politiknya merosot dengan ketara.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. Christianity in the West 1400-1700 (Oxford 1985)
  2. Im Hof, U.: Geschichte der Schweiz, Kohlhammer, 1974/2001. In German; ISBN 3-406-53601-8.
  3. Schwabe & Co.: Geschichte der Schweiz und der Schweizer, Schwabe & Co 1986/2004. In German; ISBN 3-7965-2067-7.

Rujukan dan bacaan tambahan[sunting | sunting sumber]

Histories of specific communes are found under the names of their cities or locales.
  • Cantor, Norman E. 1993. The Civilization of the Middle Ages ((New York: HarperCollins)
  • Jones, Philip. 1997. The Italian City-State: From Commune to Signoria. (Oxford: Oxford University Press)
  • Lansing, Carol, 1992. The Florentine Magnates: Lineage and Faction in a Medieval Commune. (Princeton: Princeton University Press)
  • Sella, Pietro, "The Statutes of the Commune of Bugelle (Biella)" 1904. 14th century statutes of a Piedmontese commune (Latin and English translations), express the nature of the commune in vivid detail, productions of medieval society and the medieval personality.
  • Tobacco, Giovanni, 1989. The Struggle for Power in Medieval Italy: Structures of Political Rule, 400-1400,translator, Rosalind Brown Jensen (New York: Cambridge University Press)
  • Waley, Donald, 1969 etc. The Italian City-Republics (3rd ed. New York: Longman, 1988.)
  • Guelph University, "The Urban Past: IV. The Medieval City" A bibliography.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]