Kontrak di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kontrak di Malaysia merujuk kepada elemen-elemen serta pembentukan satu kontrak yang sah dari sisi undang-undang di negara Malaysia. Kontrak pula merujuk kepada satu persetujuan yang boleh dikuatkuasakan undang-undang. Untuk keterangan umum mengenai apa itu undang-undang kontrak, lihat Kontrak. Rencana ini berkenaan aplikasi undang-undang kontrak itu sendiri dalam bidang kuasa Malaysia.

Undang-undang dan pembentukan satu kontrak di Malaysia diperintah oleh satu Akta Parlimen yang bergelar Akta Kontrak 1950 disamping beberapa provisi dalam Akta Relief Spesifik 1950. Namun demikian, Akta ini bukanlah satu sumber segala elemen kontrak yang menyeluruh. Sesetengah elemen yang perlu, seperti elemen niat mewujudkan perhubungan sah dari segi undang-undang, tidak disentuh oleh mana-mana provisi yang terkandung dalam Akta Kontrak. Dalam keadaan ini, elemen-elemen sebegini didatangkan daripada undang-undang common law dan ekuiti undang-undang Inggeris, yang beraplikasi melalui peruntukan dalam seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Pentakrifan dan syarat kontrak[sunting | sunting sumber]

Akta Kontrak 1950 melalui Seksyen 2(h) mentakrifkan satu kontrak sebagai "satu persetujuan yang boleh dikuatkuasakan undang-undang". Maka satu perbezaan istilah wujud antara perkataan "persetujuan" (agreement) dan "kontrak". Sementara kedua-dua ini datang daripada satu perhubungan atau sefahaman antara dua pihak, satu kontrak mesti memenuhi beberapa syarat dalam sifatnya untuk membolehkan dirinya diiktiraf dan dikuatkuasakan undang-undang. Ketiadaan mana-mana elemen ini akan menghilangkan terus sifat kebolehkuatkuasaannya seperti termaktub dalam seksyen 2(g) Akta. Maka dengan ini, ia boleh dirumuskan bahawa sementara kesemua kontrak merupakan persetujuan, bukan semua persetujuan merupakan kontrak. Lee Hun Hoe CJ (Borneo) menyatakan pemerhatiannya terhadap kepentingan perbezaan takrif ini dalam keputusannya dalam kes Beca (Malaysia) Sdn Bhd lwn Tan Choong Kuang dan lain-lain (Beca (Malaysia) Sdn Bhd v Tan Choong Kuang & Anor);

Ia berguna untuk mengingati perbezaan antara satu persetujuan dan satu kontrak. Perkataan 'kontrak' sering digunakan secara remeh pada dahulukala. Kami tidak melihat sebarang sebab untuk terus menggalakkan penggunaan seperti ini. Sebabnya hanyalah kebiasaan kami terhadap undang-undang Inggeris yang tidak membezakan antara penggunaan kedua-dua istilah ini seperti seksyen 2 Akta Kontrak kita. Seksyen 2 kita merupakan salinan bulat-bulat seksyen 2 Akta Kontrak di India...

— Lee Hun Hoe CJ, Beca (Malaysia) Sdn Bhd lwn Tan Choong Kuang dan lain-lain

Notakan juga bahawa beliau juga telah memetik dua buku cendakiawan dalam keputusannya, dengan satu daripadanya, Pollock & Mulla on the Indian Contract and Specific Relief Acts, 9th Edition yang membuat perbezaan;

Perbezaan antara "persetujuan" antara "kontrak" yang dibuat oleh subseksyen (h) kelihatan tulen; ia mudah, dan telah digunakan oleh beberapa penulis Inggeris. Perbezaan kelihatan jelas daripada seksyen 2. Dari klausa (e) setiap perjanjian dan setiap set perjanjian-perjanjian yang menjadi tukaran antara satu sama lain menjadi persetujuan dan melalui klausa (h), satu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan merupakan kontrak. Klausa (g) pula menyatakan bahawa satu persetujuan yang tidak boleh dikuatkuasakan undang-undang adalah tidak sah...

— Jeevan Lal Kapur, Pollock & Mulla on the Indian Contract and Specific Relief Acts

Beliau juga memetik pemerhatian dalam karya 9 Halsburys Laws of England, 4th Edition, Reissue 1998, para. 632 yang menyatakan bahawa satu kontrak hanya boleh dibentuk apabila terdapatnya penemuan minda atau dalam istilah bahasa Latinnya consensus ad item.

Syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum satu perjanjian diiktiraf dan dikuatkuasakan merupakan;

  1. Tawaran
  2. Penerimaan
  3. Tukaran
  4. Niat mewujudkan perhubungan yang sah dan diiktiraf undang-undang
  5. Kebolehan memasuki perjanjian kontrak
  6. Kepastian syarat dan terma kontrak
  7. Kehendak bebas (bukan disuruh atau dipaksa)

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Manusia telah lama memerlukan satu sistem penguatkuasaan dalam kehidupan dan urusan seharian antara mereka. Dengan perlakukan aktiviti-aktiviti seperti jual beli, kerjasama, gotong-royong dan sebagainya, seorang manusia perlu mendapatkan suatu kelebihan daripada manusia lain demi kepentingan dirinya, dan begitu juga manusia lain itu daripada manusia pertama. Tiada manusia yang dapat hidup berdikari seorang diri dan manusia saling perlu-memerlukan antara diri mereka. Di mana satu manusia tiada kelebihan yang diperlukannya, tetapi mempunyai kelebihan yang dicari orang lain, apabila orang yang dijumpainya mempunyai kelebihan yang dicari, orang pertama itu akan menawarkan kelebihan yang ada pada dirinya sebagai tukaran kepada kelebihan yang dicarinya itu. Proses ini dinamakan sebagai tawar-menawar, atau jual beli pada kemudiannya. Namun bagaimana untuk memastikan komitmen kedua-dua belah pihak kepada persetujuan yang dicapai mereka? Satu jalan penyelesaian adalah dengan penguatkuasaan persetujuan yang dicapai oleh undang-undang, dan ini mewujudkan kontrak.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Vishu Sinnadurai, Law of Contract, Third Edition, 2003, Malayan Law Journal Sdn Bhd, ISBN 967-962-445-5
  • Jeevan Lal Kapur, Pollock & Mulla on Indian Contract and Specific Relief Acts, Ninth Edition, 1972, N. M. Thripathi Private Ltd.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • (Inggeris) LawNet - Senarai Akta Parlimen Malaysia(perlukan pendaftaran berbayar).