Krisis politik Selangor 2013-2014

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Krisis politik Selangor 2013-2014 (juga dikenali sebagai Langkah Kajang) berkaitan dengan prestasi Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sekitar pilihan raya kecil Kajang 2014 dan pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2014. Secara umumnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu menukar Abdul Khalid dengan orang lain. Bagaimanapun, jawatan Menteri Besar hanya dapat dilucutkan melalui pembubaran DUN (melalui permohonan Menteri Besar kepada Sultan), undi tidak percaya dalam sidang DUN (kehilangan majoriti), atau Menteri Besar meletakkan jawatan.

Kedudukan Menteri Besar Selangor[sunting | sunting sumber]

Jawatan Menteri Besar Selangor telah dipersetujui untuk diserahkan kepada PKR sementara PAS mendapat jawatan Menteri Besar di Kedah dan Kelantan . Sementara DAP mendapat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pada tahun 2013, Tan Sri Khalid bertanding di DUN Pelabuhan Klang sedangkan sebelumnya beliau bertanding di DUN Ijok. Beliau pernah kalah di Ijok semasa pilihan raya kecil Ijok 2007. Keadaan ini menyebabkan kedudukan beliau dalam PKR Ijok tidak kukuh. Beliau kalah kepada bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam dalam pemilihan ketua PKR cabang Kuala Selangor tahun 2014.[1] Bagaimanapun, penyandang kerusi Pelabuhan Klang ketika itu ialah Badrul Hisham Abdullah, ADUN PKR yang menyertai UMNO.

Berbanding dengan Mohamed Azmin Ali, Khalid Ibrahim tidak dianggap pemidato yang hebat dan pernah diperleceh sebagai 'gagap'[2] dan pernah tersasul 'Undilah BN' semasa berkempen di Ijok.[3] Bukanlah satu rahsia, kumpulan Azmin Ali berselisih dengan Khalid.[4] Khalid pernah bersaing dengan Azmin Ali bagi jawatan itu.[5]

Khalid Ibrahim dikritik oleh pemimpin dari Pakatan Rakyat sendiri berhubung kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. Mereka bimbang Khalid bersekongkol atau berpaling tadah kepada UMNO semula. Selaku Menteri Besar, beliau dilihat berunding atau bergambar bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin [6] akhir-akhir ini bersama Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak. Khalid dikritik kerana masalah bekalan air mentah , masalah sampah ,Talam[7] dan Kidex [8] dan sebagainya.Tindakan Khalid menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan bagi menstrukturkan semula bekalan air Selangor mengejutkan Anwar Ibrahim dan PR.Pada masa lain Khalid dituduh sebagai proksi atau 'boneka' DAP mahupun [9] Anwar.[10][11]

Penasihat PKR , Datuk Sri Anwar Ibrahim diminta membantu dasar-dasar baru kerajaan negeri Selangor dan dibayar gaji hanya RM1. Ramai pihak mahu PR mempertahankan Selangor kerana negeri ini sebuah negeri yang kaya. Jika tidak dipimpin betul-betul mungkin terlepas sebagai mana yang berlaku di Perak dan Kedah.Pada 22 Julai 2014, Wan Azizah diumumkan menjadi calon tunggal dari PKR menggantikan Khalid Ibrahim.[12]

Pilihan raya kecil Kajang 2014[sunting | sunting sumber]

Bagi menstabilkan politik Selangor , DUN Kajang milik PKR dikosongkan dengan harapan yang besar . Adun Lee Chin Cheh dikatakan meletakkan jawatan pada 27 Januari 2014 padahal baru menang pilihan raya pada 8 Mac 2013. Sebenarnya PR menguasai 44 DUN Selangor dan 12 suara pembangkang di Selangor semuanya adalah dari UMNO.

Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengarah pilihanraya bagi menghadapi PRK Dun Kajang. Manakala Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dilantik sebagai timbalan pengarah pilihanraya dan Borhan Aman Shah, yang merupakan pengarah jawatankuasa pilihan raya Selangor, dilantik sebagai pengarah operasi pilihan raya. Sepatutnya Azmin Ali kerana dia Pengerusi PKR Selangor.

Mulanya Anwar Ibrahim akan bertanding. Penasihat DAP dan juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim setuju Anwar akan bertanding bagi mempertahankan kerusi PKR diKajang. Anwar ke hulu ke hilir, siang dan malam, subuh dan senja, malam dan dinihari berkempen di Kajang.[13]

Atas faktor keputusan mahkamah tidak memihak kepada Anwar ,akhirnya isterinya Wan Azizah Wan Ismail bertanding, menang dan diwar-warkan diwar-warkan jawatan Menteri Besar Selangor.[14]

Pada 2008 isterinya dan juga Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh beberapa bulan setelah PRU-13 untuk memberi laluan kepada Anwar.

BN/MCA beranikan diri untuk bertanding dengan meletakkan Chew Mei Fun untuk bertanding dan terbukti tewas. Beliau pernah meletak jawatan Ketua Wanita MCA atas ‘ikrar dan prinsip’ ketika Pemilihan MCA 2010. Isu yang dimainkan ialah masalah kenaikan harga barang, masalah infrastruktur, masalah pembinaan MRT dan masalah kesesakan jalan raya.

Pemilihan PKR 2014[sunting | sunting sumber]

Selain bertanding jawatan ketua cabang, Khalid Ibrahim mencabar Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR menyerlahkan betapa perseteruan politik sesama mereka tidak dapat dibendung lagi. Media melaporkan serangan berterusan dari Azmin Ali terhadap Khalid. Khalid dikatakan mendapat sokongan daripada Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Saifuddin Nasution Ismail dan Johari Abdul. Pemecatan kakitangan kontrak oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kemungkinan besar disebabkan kakitangan ini adalah orang-orang Azmin yang tidak disukai oleh Khalid. Bagaimanapun PKNS menafikannya.[15][16]

Rafizi Ramli melancarkan 'Langkah Kajang' bagi memastikan PKR terus menang di DUN Kajang.Malangnya ketika berkempen, semacam tidak sehaluan antara kem Menteri Besar dengan kem Anwar Ibrahim. Kolumnis The Star, Joceline Tan melabel Khalid seorang Tai Chi Master sementara Rafizi dan Azmin sebagai pakar Muay Thai.[17]

Abdul Khalid dipecat parti[sunting | sunting sumber]

Pada 9 Ogos 2014, Menteri Besar Abdul Khalid dipecat daripada PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta. Keputusan itu dibuat kerana Mesyuarat Pimpinan Pusat parti mendapati beliau mengingkari arahan parti untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada Wan Azizah. Dengan itu, negeri Selangor kini diterajui oleh seorang ADUN bebas.[18]

Abdul Khalid menyatakan beliau menerima keputusan parti membatalkan keahliannya walaupun dianggapnya salah dan cacat daripada segi undang-undang. Beliau akan terus berkhidmat sebagai Menteri Besar sehingga isu ini diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang.[19] Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memperkenan beliau terus menjalankan tugasnya buat masa ini. Baginda berpuas hati Abdul Khalid masih mendapat sokongan majoriti ADUN Selangor.[20]

Kronologi krisis MB Selangor[sunting | sunting sumber]

Krisis perebutan kerusi Menteri Besar Selangor tercetus dengan 'Langkah Kajang' yang dimulakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang Mac 2014, bertujuan menjadikan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

  1. 27 JANUARI: Wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai ADUN kawasan Kajang bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pada PRK kawasan itu.Bagaimanapun, hasrat Anwar terbantut setelah gagal menjadi calon kerusi DUN Kajang selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan liwatnya, lalu isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipertaruhkan untuk kerusi itu.
  2. 26 FEBRUARI: Abdul Khalid, mewakili Kerajaan Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang tertangguh sejak 2008.Tindakan itu mengecewakan pimpinan PKR yang mendakwa Abdul Khalid tidak membincangkan mengenai perkara tersebut dengan mereka.
  3. 26 JUN: Abdul Khalid gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor dalam pemilihan parti apabila tewas kepada bekas anggota Parlimen Kapar, S.Manikavasagam.
  4. 21 JULAI: PKR menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Abdul Khalid.
  5. 22 JULAI: Abdul Khalid dalam kenyataan media berkata walaupun menghormati keputusan PKR yang mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai penggantinya, namun segala tatacara pelantikan perlu dibuat mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, Abdul Khalid akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.
  6. 25 JULAI: Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor atas alasan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
  7. 1 OGOS: Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng menyuarakan sokongan penuh parti itu terhadap cadangan meletakkan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
  8. 4 OGOS: Setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan nota setebal lebih 40 muka surat mengenai dakwaan salah laku Abdul Khalid seperti isu penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor kepada Eco World dan projek pembinaan rumah mampu milik di Sungai Sering, Ukay Perdana.
  9. 5 OGOS: Lembaga Disiplin PKR hantar surat tunjuk sebab kepada Abdul Khalid mengenai keengganannya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
  10. 6 & 8 OGOS: Abdul Khalid membalas surat tunjuk sebab.
  11. 9 OGOS: PKR memecat Abdul Khalid daripada parti berkuat kuasa serta-merta. Abdul Khalid dalam kenyataan media kemudian memberitahu bahawa beliau menerima keputusan PKR yang memecatnya daripada parti walaupun beliau mendakwa tindakan itu salah dan cacat dari segi undang-undang.
  12. 10 OGOS: Abdul Khalid memberitahu pemberita bahawa beliau akan meneruskan tugasannya seperti biasa sehingga mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor diadakan pada 11 Ogos.
  13. 11 OGOS: Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor bagi memaklumkan pemecatannya daripada PKR selain membincangkan kemelut jawatan Menteri Besar.
  14. 11 OGOS: Dalam sidang media khas kemudiannya Abdul Khalid mengumumkan bahawa beliau telah mendapat perkenan Sultan Selangor untuk terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor.Menteri Besar itu turut menyarankan supaya anggota Exco yang tidak menyokong kepimpinan beliau supaya meletak jawatan. Beliau juga berkata akan mengadakan pertemuan dengan barisan exco kerajaan negeri secara individu bagi mengetahui sokongan dan pendirian mereka terhadap kepimpinan beliau.
  15. 12 OGOS: Empat anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada Pas berkata akan terus berkhidmat di bawah pentadbiran Abdul Khalid seperti yang diarahkan pucuk pimpinan parti itu. Enam anggota Exco daripada DAP dan PKR dalam kenyataan bersama berkata mereka akan terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Abdul Khalid kecuali pada mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Keenam-enam exco tersebut dilaporkan mendakwa kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar daripada Pakatan Rakyat dilantik. Sepatutnya Abdul Khalid dan MMKN tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian.
  16. 12 OGOS: Abdul Khalid mengumumkan telah menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi memohon perkenan untuk memecat enam anggota Exco kerajaan negeri daripada DAP dan PKR yang tidak menyokong pentadbirannya.Keenam-enam Exco terbabit dalam sidang media bagaimanapun bertekad untuk datang ke pejabat masing-masing di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam kerana menganggap pemecatan itu tidak sah berikutan belum mendapat perkenan Sultan Selangor.
  17. 13 OGOS: Abdul Khalid mempengerusikan mesyuarat MMKN dengan dihadiri empat anggota Exco kerajaan negeri daripada Pas dan tiga pegawai ex-officio.
  18. 13 OGOS: Abdul Khalid mengumumkan pemecatan lima anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada DAP dan PKR dibuat secara sah dan mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa pada 12 Ogos, Abdul Khalid turut menunjukkan surat balasan yang diterima beliau.[21] Sementara itu surat pemecatan Exco PKR, Rodziah Ismail masih belum dihantar kerana ADUN Batu Tiga itu bercuti di luar negara. Jumlah korum yang menghadiri mesyuarat MMKN memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2)(b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat anggota MMKN untuk mentadbir negeri secara sah. [22] Abdul Khalid menyatakan bahawa tindakan anggota-anggota Exco terbabit mengeluarkan kenyataan untuk tidak bekerjasama adalah bercanggah dengan 10 Akujanji dan Sumpah Kesetiaan yang dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Rem Ramzi (26 Jun 2014). "Khalid KALAH Ketua Cabang Kuala Selangor". MStar. MYNEWSHUB. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-08-10. Dicapai pada 11 Ogos 2014.
  2. ^ PRU-13: Apa kata blogger? Diarkibkan 2014-08-12 di Wayback Machine Utusan
  3. ^ Najib 'simpati' terhadap Khalid Utusan
  4. ^ Hentikan spekulasi MB Selangor letak jawatan - Azmin Ali Utusan
  5. ^ BISIK-BISIK: Azmin atau Khalid Utusan
  6. ^ MoU penstrukturan semula air Selangor tidak boleh diubah
  7. ^ "Azmin diminta arah Abdul Khalid beri penjelasan". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-08-12. Dicapai pada 2014-07-22.
  8. ^ Desak henti projek lebuh raya
  9. ^ Khalid terima tekanan exco bukan Islam
  10. ^ Guna logo DAP: Abdul Khalid dicabar bertindak
  11. ^ Zamil yakin Anwar hanya jadi Perdana Menteri boneka DAP
  12. ^ Wan Azizah dicalon ganti Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor
  13. ^ Keberanian politik Khalid
  14. ^ Takdir baharu Projek Kajang
  15. ^ Krisis Khalid, Azmin bukan perkara baru Utusan
  16. ^ BISIK-BISIK: Azmin atau Khalid Utusan
  17. ^ Khalid semakin hampir checkmate Rafizi dan Azmin Utusan
  18. ^ T K Letchumy Tamboo (9 Ogos 2014). "Khalid Ibrahim wajar dipecat dari PKR - Lembaga Disiplin PKR". Astro Awani. Dicapai pada 11 Ogos 2014.
  19. ^ Nurul Ain Mohd Hussain (9 Ogos 2014). "Khalid Terima Pemecatan, Kekal MB Selangor". mStar. Dicapai pada 12 Ogos 2014.
  20. ^ "Mesyuarat Dewan Diraja tak sentuh bubar Dun". HarakahDaily. 11 Ogos 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-08-12. Dicapai pada 12 Ogos 2014.
  21. ^ "Pemecatan Lima Exco DAP, PKR Diperkenan Sultan Selangor - MB Selangor". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-08-14. Dicapai pada 2014-08-14.
  22. ^ Kronologi krisis MB Selangor