Kuala Terengganu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kuala Terengganu
كوالا ترڠڬانو

Bendera

Lambang
Motto: Bandaraya Warisan Pesisir Air
Kuala Terengganu yang terletak di Malaysia
Kuala Terengganu
كوالا ترڠڬانو

Lokasi di Malaysia

Koordinat: 5°20′0″N 103°9′0″E / 5.33333°U 103.15000°T / 5.33333; 103.15000
Negara  Malaysia
Negeri  Terengganu
Status bandar raya 1 Januari 2008
Kerajaan
 • Datuk bandar Datuk Mat Razali Kassim
Keluasan
 • Jumlah 605 km2 (233.59 sq mi)
Populasi (2010)
 • Jumlah 406,317
 • Kepadatan 590.51/km2 (1,529.21/sq mi)
Zon waktu MST (UTC+8)
Laman web mbkt.terengganu.gov.my

Kuala Terengganu (biasanya diringkaskan kepada KT; Jawi: كوالا ترڠڬانو) ialah ibu negeri dan juga bandar diraja negeri Terengganu Darul Iman, Malaysia. Ia terletak 500 kilometer di timur laut Kuala Lumpur dan mengadap Laut China Selatan. Kuala Terengganu telah diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air dan menjadi bandar raya pada 1 Januari 2008. Bandar raya ini mempunyai jumlah penduduk seramai 406,317[1] pada tahun 2010. Namanya bererti muara Sungai Terengganu. Kuala Terengganu merupakan antara bandar pelancongan popular dan hotelnya mencatatkan kadar penginapan yang tinggi sepanjang tahun.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Jalan Sultan Zainal Abidin di waktu malam.

Di pesisir Kuala Terengganu, terdapat sederet rumah kedai yang dikenali sebagai Kampung Cina (China Town) yang telah wujud semenjak sekian lama. Ia merupakan perkampungan pedagang Cina yang berdagang antara China dan Semenanjung Tanah Melayu yang bermula semenjak awal abad ke 15.

Kewujudan Kampung Cina adalah bukti wujudnya hubungan perdagangan erat antara kerajaan China dan Kerajaan Terengganu. Pelayar terkenal, Abdullah Munsyi yang singgah ke Kuala Terengganu pada abad ke-19 mencatatkan, kaum Cina pada zaman tersebut berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu Terengganu.

Kuala Terengganu adalah satu bandar raya perdagangan maritim yang penting pada zaman purba. Rekod awal menyatakan Kuala Terengganu pernah memiliki hubungan perdagangan antarabangsa dengan China. Rekod menyatakan Kuala Terengganu adalah antara kota persinggahan utusan kerajaan Ming China, Laksamana Zheng He diantara tahun 1405 dan 1433.

Kuala Terengganu berkembang menjadi bandar perdagangan yang penting antara kedua negara. Bagaimanapun, selepas Empayar Melaka menakluk bandar ini, pengaruhnya sebagai pelabuhan terutama di kawasan Asia Tenggara merosot kerana kebanyakan pedagang lebih gemar berhenti di Melaka, yang merupakan pusat perdagangan antara China, India dan Asia Tenggara.

Catatan bertulis[sunting | sunting sumber]

Kuala Terengganu dipercayai telah dihuni semenjak beribu ribu tahun lagi. Catatan cendekiawan China seperti ’Ling-wai-Tai-ta’ karangan Cao-Cu-Fei tahun 1178, menyebut ’Teng-ya-nu’ dan buku ’Cu-fan-Cih’ karangan Cao-Ju-Kua tahun 1226 menyebut Teng-ya-nung’. Kedua dua nama tersebut merujuk kepada nama Tengganu yang dikatakan jajahan takluk Kerajaan Seri Wijaya (San-fo-Cih) pada kurun ke-2.

Selain itu, ahli atronomi terkenal Greek, Ptolemy ada mencatatkan kewujudan dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Pelabuhan itu ialah Primoula dan Kole. Primoula dipercayai di Kuala Terengganu dan Kole di Kemaman. Catatan lain menunjukkan wujudnya kota Foloan, di Kuala Berang, di hulu Sungai Terengganu. yang dipercayai menjadi kota satelit pada Kuala Terengganu.

Catatan penulis China pada masa Dinasti Sui ada juga menyebut tentang sebuah Negeri yang dinamai ’Tan-Tan’ yang menghantar Ufti ke China. Paul Wheatley membuat kesimpulan negeri yang dimaksudkan di dalam catatan China itu mungkin berpusat di Kuala Besut atau Kuala Terengganu.

Catatan tersebut juga menyebut bahawa Kuala Terengganu dan Kuala Berang merupakan pusat perdagangan maritim utama pada abad kedua belas. Sungai Terengganu merupakan laluan utama dan penting bagi pedagang-pedagang asing pada zaman itu. Perdagangan barangan seperti kayu gaharu, kayu laka, gading bermutu tinggi di jadikan pertukaran dengan emas dan perak.

Pengembara China, ‘Chao Ju Kua’ dalam catatan yang ditulisnya pada tahun 1225, ada menyebu ‘Teng-Ya-Nong‘ atau Kuala Terengganu sebagai sebuah pelabuhan perdagangan yang penting di persisiran pantai timur Tanah Melayu.

Bukti lain kewujudan sebuah kerajaan purba di Terengganu, ialah seketul batu granit berbentuk empat segi yang berukir tulisan dengan ukuran 84 cm tinggi, 53 cm lebar bahagian atas dan 27cm lebar di bahagian bawah dan berat batu tersebut 215 kg yang dikenali sebagai Batu Bersurat. Batu tersebut bertulisan Jawi dan menggunakan Bahasa Melayu Kuno. Penemuan itu juga telah menjadi bahan sejarah yang tidak ternilai dan merupakan satu-satunya bukti yang menunjukkan kemasukan agama Islam ke Tanah Melayu pada abad keempat belas lagi.

Sejarah Terengganu moden bermula apabila Tun Zainal Abidin dari keturunan diRaja Johor ditabalkan memerintah Terengganu pada 1708. Baginda memakai gelaran Sultan Zainal Abidin 1.

Geografi[sunting | sunting sumber]

Kedudukan Kuala Terengganu adalah terletak di bahagian tengah negeri Terengganu, sesuai dengan fungsinya sebagai ibu negeri. Terletak di kawasan delta sungai Terengganu dengan pusat bandarnya berada di muara sungai Terengganu, menghadap Laut China Selatan di bahagian timur dengan dikelilingi oleh persisiran pantai berpasir dan landai.

Jenis tanah di sebelah timur Kuala Terengganu adalah tanah beris dan kawasan paya gambut terutamanya di Gong Badak, Batu Rakit, Chendering, dan Seberang Takir. Tanah jenis ini hanya sesuai untuk tanaman seperti tembakau, nenas, buah naga dan tembikai. Namun jarang sekali tanah dikawasan ini dimajukan untuk tujuan pertanian, kebanyakkan dimajukan untuk penempatan, industri dan komersial kerana keluasan tanah yang terhad di Kuala Terengganu selain daripada permintaan yang tinggi untuk hartanah dan pembangunan.

Bentuk muka bumi di bahagian barat Kuala Terengganu pula adalah lebih berbukit bukau disebabkan oleh faktor topografi yang semakin menegak di sebelah hulu sungai Terengganu. Namun secara puratanya, kebanyakkan tempat dan bahagian di dalam daerah Kuala Terengganu adalah berada di kawasan dataran tanah pamah kerana faktor geografinya yang berada begitu hampir dengan kawasan pantai. Hanya terdapat beberapa buah bukit sahaja di daerah Kuala Terengganu iaitu, Bukit Besar yang terletak begitu hampir dengan pusat bandaraya dan Bukit Jong yang terletak sedikit di kawasan pendalaman.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu[sunting | sunting sumber]

Majlis Perbandaran Kuala Terengganu diwujudkan pada 18hb Januari 1979 dengan keluasan 18,712 hektar persegi meliputi 21 mukim, termasuk mukim Bandar Kuala Terengganu. Pada 1 Januari 1985, Mukim Bukit Payong dan Alor Limbat telah dikeluarkan daripada Majlis Perbandaran dan dimasukkan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Marang. Dengan perubahan ini, kawasan baru Majlis Perbandaran telah berubah kepada 16,806 hektar persegi.

Pada 16 Disember 1996, kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Terengganu telah diwarta perluasan meliputi seluruh daerah Kuala Terengganu sebagai kawasan kawalan dengan keluasan 60,528 hektar persegi termasuk sebuah pulau peranginan terkenal iaitu Pulau Redang dan bilangan mukim bertambah menjadi 23 mukim.

Pada 1 Januari 2008, satu pemansyuran telah dibuat bagi mengistiharkan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandaraya. Kuala Terengganu kini telah dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air dan menjadi bandar pertama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang mendapat status bandaraya.

Terdapat beberapa pekan, bandar dan sub-urban disekitar bandaraya Kuala Terengganu di bawah pentadbiran MBKT:

  1. Gong Badak
  2. Durian Burung
  3. Batu Enam
  4. Padang Air
  5. Wakaf Tengah
  6. Batu Rakit
  7. Tepoh
  8. Manir
  9. Atas Tol
  10. Batu Buruk
  11. Belara
  12. Bukit Besar
  13. Chendering
  14. Cabang Tiga
  15. Gelugur Kedai
  16. Gelugur Raja
  17. Kepung, Kuala Terengganu
  18. Kuala Ibai
  19. Kuala Nerus
  20. Kubang Parit
  21. Losong
  22. Paloh, Kuala Terengganu
  23. Pengadang Buluh
  24. Rengas
  25. Serada
  26. Tok Jamal
  27. Pasir Panjang, Kuala Terengganu
  28. Pulau Duyong
  29. Kampung Dalam Bata
  30. Panji Alam
  31. Seberang Takir

Kampung yang diletakkan di bawah mukim Bandar Kuala Terengganu adalah:-[2]

  1. Kampung Jalan Tekukur
  2. Kampung Ladang Mengabang
  3. Kampung Ladang Sahak
  4. Kampung Tanjung Nesan Empat

Demografi[sunting | sunting sumber]

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu merupakan pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mentadbir seluruh Kuala Terengganu dan sekitarnya.

daerah perhotelan utama Kuala Terengganu di sepanjang persisiran Pantai Batu Burok yang menempatkan kebanyakkan hotel dan resort di bandaraya ini.

Penduduk bandaraya Kuala Terengganu adalah seramai 406,317 orang pada tahun 2010 yang terdiri daripada pelbagai etnik. Daripada jumlah tersebut 171,726 orang adalah lelaki dan 171,558 orang adalah perempuan. Daripada keseluruhan jumlah populasi tersebut juga, 338,836 orang adalah warganegara Malaysia manakala selebihnya 4,448 orang adalah bukan warganegara.


Penduduk Kuala Terengganu mengikut pecahan etnik 2010

Etnik Populasi
Melayu 325,145
Cina 11,851
India 886
Bumiputera Lain 660
Lain-lain 294


Berikut merupakan jumlah penduduk bandar Kuala Terengganu pada tahun 1980,1991,1995,2000-2010[perlu rujukan]

Tahun Populasi
1980 180,296
1991 228,659
1995 268,065
2000 255,109
2001 253,934
2002 259,662
2003 265,096
2004 279,809
2005 297,283
2006 328,672
2007 357,256
2008 382,906
2009 396,433
2010 406,317

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Bazaar Warisan adalah pusat membeli belah popular bagi pelancong untuk mendapatkan pelbagai jenis produk kraftangan Terengganu yang dibuka sehingga lewat malam.

Bandar Kuala Terengganu dikatakan bermula sebagai pusat perniagaan dan pengumpulan hasil semenjak zaman berzaman. Penduduk di sepanjang Sungai Terengganu membawa hasil pertanian dan hutan melalui jalan sungai, manakala para nelayan menukarkan hasil tangkapan mereka. Kawasan perniagaan utama di Kuala Terengganu terletak di Jalan Kampung Cina, Jalan Banggol dan Tanjong.

Pada masa kini, Kuala Terengganu berubah menjadi sebuah bandar raya moden yang masih mengekal ciri ciri tradisional. Kepesatan Kuala Terengganu, yang mempunyai keluasan 60,528.1 hektar, dapat dilihat daripada segi pembangunan infrastruktur antaranya Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kompleks Sukan Gong Badak, Kampus Universiti Darul Iman (UDM)(sekarang ditukarkan kepada UNISZA), Kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Kuala Terengganu turut menekankan sektor pelancongan sebagai pemacu ekonomi negeri.

Kuala Terengganu City Centre (KTCC)[sunting | sunting sumber]

Bandaraya Kuala Terengganu kini bersedia untuk melalui satu transformasi utama di bawah projek pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC). Projek KTCC akan menyaksikan ibu negeri Terengganu itu bakal dibangunkan sebagai sebuah Bandar Warisan Pesisir Air dan pintu gerbang pelancongan antarabangsa bagi Pantai Timur.

Perunding projek bagi pembangunan KTCC telah dilantik pada tahun 2009 dan kajian projek tersebut kini berada di peringkat akhir. Kerja-kerja pembangunan reka bentuk dan infrastruktur terperinci bagi KTCC dijangka bakal dilaksanakan di bawah RMK-10.

Adalah dianggarkan bahawa pembangunan Pemecah Ombak Utara dan Selatan KTCC bakal menjana pelaburan keseluruhan bernilai RM3.9 bilion, yang mana RM3.5 bilion adalah daripada sektor swasta.

Bagi melengkapi pembangunan KTCC, Pusat ICT Terengganu akan turut dibina di Batu Rakit. Perunding projek telah dilantik pada September 2010 dan kajian projek tersebut kini sedang berjalan.

projek pembangunan Warisan City Megamall yang dirancang di Pulau Warisan.

Bandaraya Kuala Terengganu dijangka akan menjadi bandaraya bertaraf dunia dan lestari pada 2018.Antara infrastruktur yang akan dibina di sini ialah sebuah menara berkembar KUALA TERENGGANU ICONIC AND SOHO TOWER (kerja pipeline) yang akan menjadi bangunan tertinggi di Terengganu setinggi 56-62 tingkat. Pelbagai projek pembangunan Hotel dan kondominium mewah juga akan dibina di Muara Selatan dan Muara Utara dalam kawasan pembangunan KTCC yang menerima suntikan pelaburan sebanyak RM5 bilion. "FLYOVER" iaitu jalan bertingkat kini juga dalam pembinaan yang akan mengurangkan kesesakan aliran trafik di pusat bandaraya. Pembinaan pusat beli belah seperti Paya Bunga Square, Paya Bunga Plaza, KTCC Mall, Warisan City Megamall, Rimba Square, Tiong YTL MixCity, Austin Square dan Entertainment Hub Center KT Cineplax Plaza yang akan merancakkan lagi industri pelancongan di bandaraya ini.

Pelancongan[sunting | sunting sumber]

Antara tempat menarik adalah Taman Tamadun Islam, Wisma Darul Iman, Kampung Cina (Kuala Terengganu Chinatown), Pasar Payang, Istana Maziah, Muzium Negeri Terengganu, Pantai Batu Burok, Pulau Duyong, Masjid Kristal, Bazaar Warisan, Payang Walk, Bukit Puteri, Kuala Terengganu Waterfront, Pulau Warisan dan Kompleks Kraf Noor Arfa.

Pulau Warisan turut menawarkan River Cruise menyusuri Sungai Terengganu sehingga ke Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man.

Kuala Terengganu terkenal dengan produk kraf tangannya yang bermutu tinggi terutama tenunan Songket, Batik, ukiran tembaga dan kayu. Produk kraftangan Terengganu menjadi koleksi ekslusif di seluruh dunia.

Pelbagai jenis variasi kain Songket dan Batik Terengganu dijual di Bazaar Warisan.

Seterusnya, Kuala Terengganu juga terkenal dengan keunikan kesenian kebudayaan seperti tarian Ulek Mayang, Tarian Rodat, Tarian Saba, Tarian Balai, Tarian Gayung Otar-Otar, permainan Gasing dan Wau.

Penduduk Kuala Terengganu yang terkenal sebagai pelaut dan pelayar yang cekap memiliki kemahiran tinggi dalam membuat dan mengukir perayu nelayan, perahu kolek, setak, sekoci, jalur dan yang paling masyur ialah perahu payang yang menerima tempahan dari serata pelosok dunia. Lokasi pembuatan perahu masih kekal dari dahulu hinggalah sekarang termasuk di Kampung Losong, Duyung, Telok Pasu dan Pulau Rusa.

Pantai dan Pulau-pulau yang berada didalam kawasan Kuala Terengganu seperti Pulau Redang, Pulau Bidong, Pulau Duyung, Pantai Batu Burok, Pantai Teluk Ketapang merupakan destinasi kunjungan dan pelancongan utama dari dalam dan luar negara.

Kuala Terengganu kini semakin mendapat tempat di mata dunia di mana pelbagai kejohanan sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa diadakan di bandaraya Kuala Terengganu. Antaranya ialah Piala Monsun Terengganu, Sultan’s Cup Endurance Ride, Kenyir Lake Challenges, dan FEI World Endurance Championship.

Pantai Batu Burok yang tidak pernah sepi dari pengunjung.

Pengangkutan[sunting | sunting sumber]

Bandar raya ini dihubungi dengan bandar lain melalui jaringan jalan yang baik dan terdapat juga perkhidmatan bot yang merentasi Sungai Terengganu. Jambatan Sultan Mahmud, yang merentasi Sungai Terengganu, menghubungkan kedua-belah sungai ini.

Lebuh Raya[sunting | sunting sumber]

Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dari Jabor, Kuantan, ke Kampung Gemuruh dijangka siap pada Jun 2012. Pembinaan LPT2 dibahagikan kepada dua segmen iaitu segmen pertama sepanjang 64 kilometer dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan diserah kepada Kumpulan MTD, manakala baki sepanjang 120 kilometer dikendali JKR. Segmen JKR dibahagikan kepada 16 pakej termasuk enam yang bermasalah.Laluan Kampung Gemuruh-Bukit Payong telah siap hujung tahun 2010, manakala Kampung Gemuruh-Bukit Besi dijangka siap pertengahan tahun 2011.Laluan akan dibuka kepada orang ramai sebaik saja ia siap dan kerajaan tidak bercadang untuk mengenakan tol sepanjang tempoh itu sehinga keseluruhan fasa siap pada Jun 2012. Untuk keselesaan pengguna juga, beberapa hentian akan dibina selain memastikan jalan susur keluar 10 persimpangan di lebuh raya itu ke pekan dan bandar di Terengganu dinaik taraf.

INTERCHANGE (SUSUR KELUAR)

  • Jabor Interchange
  • Ceneh Interchange
  • Air Putih Interchange (Susur keluar ke Cukai, Kemaman)
  • Kubu Interchange (Susur keluar ke Kerteh)
  • Al Muktafi Billah Shah (AMBS) Interchange
  • Bukit Besi Interchange (Susur keluar ke Dungun)
  • Ajil Interchange (Susur keluar ke Kuala Berang, Hulu Terengganu)
  • Bukit Payong Interchange (Susur keluar ke Marang & Kuala Terengganu Selatan)
  • Kuala Terengganu Interchange (Kg Gemuruh - Susur keluar ke Kuala Terengganu Utara & Kota Bharu)

Lapangan Terbang Sultan Mahmud[sunting | sunting sumber]

Lapangan Terbang Sultan Mahmud (IATA: TGG, ICAO: WMKN)yang terletak di Kuala Terengganu Utara adalah sebuah lapangan terbang yang menguruskan penerbangan dari dan ke Kuala Terengganu. Lapangan terbang ini terletak 15km dari pusat bandar. Dalam tahun 2005, lapangan terbang ini menguruskan 419,475 penumpang dengan 4,623 pergerakan kapal terbang.[1] Pada bulan Januari 2008, Kerajaan Malaysia telah meluluskan RM200 juta bagi menaik taraf lapangan terbang ini bagi dijadikan sebuah lapangan terbang antarabangsa. Hal ini termasuklah memanjangkan landasan terbang dan menaik taraf terminal lapangan terbang ini. Lapangan Terbang Sultan Mahmud akan dijadikan sebuah lapangan terbang antarabangsa setelah kerja naik taraf diselesaikan. Ia mungkin akan memulakan penerbangan antarabangsa ke Singapura, Kunming, Hong Kong dan lain-lain. Malaysia Airlines telah bersetuju dengan Tabung Haji bahawa ia akan juga membawa penumpang ke Tanah Suci Mekah melalui Jeddah and Madinah. Pada Oktober 11 2008, sebuah Boeing 747-400 Penerbangan Malaysia mendarat disini pada jam 1456 dari Kuala Lumpur di mana pesawat tersebut adalah Boeing 747 pertama mendarat disini. Sebelum ia mendarat, ia terbang di kawasan berdekatan dari LTSM. Pesawat tersebut bersedia menuju ke Jeddah dan Madinah pada Musim Haji ini.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Kuala Terengganu adalah tempat pengembangan ilmu di Terengganu dengan kebanyakan insititusi pendidikan tinggi adalah terletak di bandaraya ini. Terdapat 3 universiti awam di Kuala Terengganu iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Teknologi MARA ( Kampus Chendering ). Terdapat juga insititusi pengajian tinggi awam dan swasta yang lain seperti Universiti UCSI, Institut Teknologi Petronas, Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Institut Latihan Perindustrian, Politeknik Kota, Kuala Terengganu, Universiti Terbuka Malaysia dan banyak lagi kolej-kolej swasta.

Selain itu juga terdapat 2 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia di Kuala Terengganu iaitu Institut Perguruan Kuala Terengganu dan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail.

Terdapat 81 buah sekolah rendah kebangsaan di Kuala Terengganu dan 34 buah sekolah menengah. Diantaranya termasuklah:

* Sekolah Menengah Imtiaz

* Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek

* Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring

* Sekolah Menengah Agama Khairiah

* Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin

* Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin

* Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam

* Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri

* Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin

* Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman

* Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mizan Zainal Abidin

* Sekolah Menengah Kebangsaan Manir

* Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Guntong

* Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad

* Sekolah Menengah Kebangsaan Belara

* Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal

* Sekolah Menengah Kebangsaan Chendering

* Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot

* Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor

* Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar

* Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Razali Ismail

* Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak

* Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir

* Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam

* Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Negara

* Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kemunting

* Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman

* Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah

* Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud

* Sekolah Menengah (Sains) Kuala Terengganu

* Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembesu

* Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganul

* Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit

* Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin

Kebudayaan[sunting | sunting sumber]

Keseniaan[sunting | sunting sumber]

Songket[sunting | sunting sumber]

Selain daripada kaya sumber alam semulajadi Terengganu juga tidak lekang menjadi buah mulut masyarakat melayu dengan kehalusan tenunan songket sejak abad ke 15 lagi. Seni tenunan ini di warisi turun temurun oleh masyarakat di sini. Songket biasanya di tenun menggunakan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama benang emas atau perak. Asal perkataan songket wujud daripada perkataan “sungkit” iaitu teknik menyungkit atau menyulam dengan benang emas dan perak.

Dahulunya songket sebagai lambing kebesaran raja-raja dan pembesar istana. Tapi kini penggunaan songket dah semakin meluas dan orang kebanyakan juga turut memakainya terutama pada majlis perkahwinan, hari raya, majlis keraian dan sebagainya. Yang berkunjung ke Kuala Terengganu biasanya pasti akan mendapatkan sepasang dua kain songket di Pasar Payang atau Bazaar Warisan untuk di bawa pulang. Corak atau ragam hias songket adalah seperti tapak manggis, pucuk rebung, Selak berantai, lawi ayam dan banyak lagi terutamanya yang bermotifkan flora dan fauna. Kawasan pembuatan tenunan songket secara tradisional yang popular di Kuala Terengganu adalah di Kampung Binjai Chendering, Kampung Pulau Musang, Kampung Losong dan Kampung Bukit Kubang Jambu. Selain itu terdapat juga kilang tenunan songket di Kompleks Kraf Noor Arfa, Chendering dan KMZ Songket di Kampung Tebakang.

Ukiran kayu[sunting | sunting sumber]

Makanan tradisi[sunting | sunting sumber]

Sukan dan rekreasi[sunting | sunting sumber]

Di Bandaraya Kuala Terengganu terdapat 2 buah Stadium,iaitu Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang terletak di tengah-tengah Pusat Bandaraya Kuala Terengganu,Dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terletak di Gong Badak,Kuala Terengganu,Kedua-dua Stadium ini menjadi Stadium tuan rumah bagi Pasukan Terengganu FA dan Pasukan T-Team FC.

Media[sunting | sunting sumber]

Di Bandaraya Kuala Terengganu terletaknya stesen Radio Terengganu FM,Dan stesen Radio Hot FM Teganu.

Pemandangan bandaraya[sunting | sunting sumber]

Seni bina[sunting | sunting sumber]

Taman[sunting | sunting sumber]

Bandaraya Kuala Terengganu mempunyai dua buah Taman iaitu Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man,Kuala Terengganu,Dan Pulau Warisan yang terletak berhampiran dengan Pasar Payang,Kuala Terengganu.

Bandar Kembar[sunting | sunting sumber]

Pemandangan Kuala Terengganu[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Malaysia - largest cities and towns and statistics of their population, World Gazetter
  2. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]