Spring (kugiran)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Kumpulan Spring's)
Spring
Juga dikenali sebagai
Anthem (1987-1989)
Berasal dariSeremban, Negeri Sembilan Negeri Sembilan, Malaysia Malaysia
GenreHeavy metal, hard rock, slow rock, rock progresif, pop rock, folk rock, balada
PekerjaanKugiran
Tahun aktif1987 (tahun penubuhan)
1991 - 2003
Syarikat rakaman
Sony Music Malaysia
AhliAmeng - Vokal
Zahar - Gitar Utama
Empy - Bass
Acong - Dram
Bekas ahliIskandar - Gitar Utama
Amat - Vokal
Yunus - Bass
Ajis - Bass
Allahyarham Rahim (Ayim) - bass
Fauzi Kamis - dram

Kumpulan Spring adalah salah sebuah kumpulan rock di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia yang ditubuhkan pada tahun 1987. Kumpulan yang diterajui oleh penyanyinya, Ameng yang berasal dari Besut, Terengganu ini mula meniti puncak populariti apabila single daripada album kedua mereka yang berjudul Sampai Hati telah merajai carta muzik Malaysia pada tahun 1993. Setelah itu, Spring melahirkan lebih banyak lagu hits seperti Bourgenvilla, Persada Cintaku, Butakah Cinta, dan Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta. Menerusi 8 album studio dan beberapa album kompilasi, kumpulan ini berjaya menjual lebih 500,000 unit secara keseluruhannya dan menjadi salah satu dari artis Malaysia yang merekodkan jualan album terbanyak dalam sejarah. Kumpulan ini pernah meraih anugerah Kumpulan Muzik Paling Popular 1994 di Anugerah Bintang Popular Berita Harian.[1]

1987-1989 : Sejarah Awal[sunting | sunting sumber]

Kumpulan Spring telah ditubuhkan lebih 30 tahun yang lalu di Seremban, Negeri Sembilan dengan nama asalnya, Anthem. Kumpulan ini diasaskan oleh 3 orang pemuda yang meminati muzik iaitu Tengku Raden Iskandar bin Tengku Ismail (Iskandar) di posisi gitar, Mohd Azhar bin Mohd Yusof (Zaha - gitar) dan Ahmad Hafzan bin Abdullah (Amat - vokal). Mereka bertiga merupakan ahli asal. Manakala posisi pemain gitar bass & dram kemudiannya diisi oleh ahli-ahli yang silih berganti. Antara pemain bass yang pernah menyertai Anthem ialah Ajis dan Allahyarham Rahim (Ayim). Fauzi pernah mengisi posisi pemain dram. Tengku Hanif kong diisi posisi pemain turntable Pada zaman awal, kumpulan ini boleh dikatakan aktif apabila kerap mendapat undangan untuk membuat persembahan di funfair, kelab, konsert-konsert mini dan majlis-majlis perkahwinan di seluruh Malaysia. Antara pengaruh awal bagi Anthem ketika itu adalah kumpulan heavy metal dari luar negara seperti Iron Maiden dan Accept.

Anthem pernah mendapat peluang untuk merakam lagu dalam album kompilasi War Rock 3 (1989). Namun, gitaris utama kumpulan Iklim, Umarul Mahdzar Embong telah mengesan bakat dan potensi mereka, seterusnya mempelawa Anthem untuk menjadi artis rakaman. Merasakan itu adalah peluang terbaik untuk Spring mempunyai album sendiri, akhirnya mereka sah menandatangani kontrak sebagai kumpulan rock pertama yang bernaung di bawah label CBS Records yang mana syarikat tersebut kemudiannya dikenali sebagai Sony Music Malaysia pada tahun 1990. Ketika itu, Mohd. Yunus Mokhtar (Yunus - bass) dan Rozly Yahya (Acong - dram) telah pun menyertai Anthem. Sebelum merakam album pertama, nama Anthem telah ditukar kepada Spring.

1990-1991 : Kemasukan Ameng & Album Pertama Spring[sunting | sunting sumber]

Ketika proses rakaman album pertama Spring dijalankan, mereka menerima ujian getir apabila vokalisnya, Amat meninggalkan kumpulan ini kerana masalah kesihatan yang serius. Ini telah memaksa Spring untuk menangguhkan seketika kerja-kerja rakaman untuk memberi ruang untuk mereka mencari vokalis baharu. Dalam usaha Spring untuk mencari vokalis baharu, mereka telah berkelana ke merata-rata tempat, antara Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Perak dan juga Terengganu.

Setelah beberapa bulan merantau, akhirnya mereka bertemu dengan seorang pemuda yang berasal dari Besut, Terengganu iaitu Wan Aminuddin bin Wan Ismail atau dikenali sebagai Ameng yang ketika itu hendak mencari tapak dalam industri muzik tanahair. Sejak itu, Ameng telah dipilih sebagai vokalis Spring yang baharu dan Spring akhirnya kembali memasuki studio rakaman untuk meneruskan rakaman album pertama yang tertangguh sejak sekian lama.

Pada tahun 1991, Spring telah mengeluarkan album pertama yang berjudul Spring di bawah label Sony Music Malaysia. Album yang berkonsep rock / heavy metal ini telah memperkenalkan nama mereka dengan single yang berjudul Sejiwa (ciptaan Adi Jagat & lirik oleh Azida N.S.). Umarul bertindak sebagai penerbit dan bersama rakan sekumpulan, Mohalim (pemain bass Iklim) turut menyumbangkan lagu dalam album tersebut. Zaha juga menunjukkan bakatnya mencipta lagu dengan menyumbangkan 2 lagu rancak, iaitu Gubuk (berentak hard rock) dan Kawah Berapi (berentak speed metal). Sayangnya, album pertama Spring ini mendapat sambutan yang kurang memberangsangkan apabila terjual sebanyak 25,000 unit sahaja ekoran persaingan dengan kumpulan-kumpulan rock lain yang sudah mencipta nama pada ketika itu. Namun Spring tidak mudah mengalah, sebaliknya mereka diberi peluang kedua oleh Sony Music untuk memulakan proses rakaman untuk album kedua Spring pada tahun 1992.

1992-2003 : Pertukaran Anggota, "Sampai Hati" & Puncak Kegemilangan[sunting | sunting sumber]

Seperti yang berlaku ketika proses rakaman album pertama, Spring sekali lagi diuji apabila pemain bassnya, Yunus menarik diri ketika proses rakaman album kedua sedang dijalankan. Ini telah memaksa Spring untuk mengambil pemain bass sementara iaitu Lan untuk mempercepatkan proses penyiapan album tersebut yang kemudiannya diberi judul Spring 2.. Sampai Hati pada hujung tahun 1992. Album kedua ini menampilkan lagu-lagu yang lebih mantap, baik lagu balada mahupun lagu rancak dengan kualiti bunyi yang lebih bersih. Lagu mereka yang paling popular, Sampai Hati ciptaan M. Nasir telah melonjakkan nama Spring, di samping lagu-lagu balada lain seperti Sinar Abadi, Kemarau Kasih, Setitis Hujan Dalam Lautan dan Rapuh. Komposer-komposer terkenal seperti Awang BPR dan Saari Amri turut menyumbangkan lagu, begitu juga dengan Umarul dan Mohalim. Zaha turut mencipta dan menulis lirik lagu heavy metal bertajuk Harimau Malaya yang sangat mantap dan menampilkan solo gitar berharmoni antara beliau dan Iskandar ala Iron Maiden, Judas Priest dan Helloween. Lirik lagu ini berkisar tentang perjuangan menentang musuh. Menurut Zaha, liriknya menceritakan protes terhadap Jeneral Yamashita semasa Perang Dunia Kedua. Selain itu, seperti Kawah Berapi dari album pertama, album tersebut juga masih menampilkan sebuah lagu speed metal bertajuk Haluan (ciptaan Allahyarham Samad Lefthanded).

Di sebalik ujian yang melanda mereka, single dari album tersebut iaitu Sampai Hati telah mengubah nasib Spring apabila lagu tersebut menjadi siulan ramai seterusnya mencatatkan jualan yang membanggakan. Selain itu, lagu tersebut juga layak ke pertandingan akhir Pujaan 10 Nescafe dan Anugerah Juara Lagu ke-8 dalam kategori Balada. Ini sekaligus meniupkan semangat anggota Spring dalam menghasilkan karya-karya terbaik buat peminat-peminat mereka yang kemudiannya membawa kepada penghasilan album ketiga Spring, Bourgenvilla pada tahun 1994 yang meletup dengan lagu Bourgenvilla, Butakah Cinta dan Sepi Tanpa Cinta. Bermula dengan album ketiga tersebut juga, Spring mula mengubah haluan kepada kumpulan pop rock, seiring dengan populariti irama rock yang semakin menurun dan 'lembut' pada era pertengahan 1990an. Lagu-lagu balada lebih banyak ditonjolkan untuk disesuaikan dengan vokal Ameng yang mendayu-dayu, manakala lagu-lagu yang berentak heavy masih ada, namun tidak seberat seperti mana dalam album-album sebelumnya. Ianya lebih ke arah rock & roll yang ringan dan disesuaikan mengikut citarasa moden.

Bermula dengan album kompilasi pertama Spring iaitu Pujaan Gemilang yang dikeluarkan pada tahun 1995, mereka telah menerima anggota baharu iaitu Mohamad Riza bin Mahamad Amran atau Empy dari kumpulan Teja sebagai pemain bass tetap Spring. Sejak itu deretan hits seperti Cempaka Di Rembulan, Romantis, Persada Cintaku, Kerana Budi Ku Jatuh Hati dan Pesanan Buat Kekasih kerap diputarkan di stesen-stesen radio tempatan. Kumpulan ini juga turut mempopularkan rakaman menerusi lagu lagu yang bercorak akustik seperti Butakah Cinta, Sejujur Mana Kata-Kata dan Persada Cintaku hingga memberi pengaruh kepada banyak kumpulan pop rock yang seangkatan dengan mereka seperti Exists, Slam, U.K's dan Umbrella. Fenomena itu telah mendorong Spring untuk merakamkan kembali lagu yang memperkenalkan nama mereka iaitu Sejiwa di dalam versi akustik dalam album kompilasi Balada Gemilang. Walaupun pada pertengahan dan penghujung tahun 1990-an banyak kumpulan-kumpulan muzik baru yang muncul di industri muzik Malaysia dengan genre muzik serupa, namun Spring tetap utuh sebagai salah sebuah kumpulan muzik yang popular di Malaysia. Buktinya, Spring kembali mendaki puncak populariti pada penghujung 1990-an menerusi lagu popular mereka iaitu Kita Di Takdirkan Jatuh Cinta, Kerana Budi Ku Jatuh Hati dan Pesanan Buat Kekasih sedangkan beberapa kumpulan seangkatan tidak lagi mampu meraih jualan memberangsangkan. Pada tahun 1997-1998, Acong (Drummer) telah meninggalkan Spring untuk sementara waktu, dan dia digantikan dengan pemain dram dari Kumpulan Panji iaitu Wan Roszi (Rozzi Panji).

Isu narkotik, perpecahan & reunion[sunting | sunting sumber]

Kumpulan Spring terutama vokalisnya, Ameng tidak surut dari dikaitkan dengan kontroversi berkaitan penyalahgunaan dadah. Kumpulan ini mengambil keputusan untuk berpecah pada tahun 2004 biarpun jualan album terakhir mereka Hati Mahu Baik disifatkan memberangsangkan. Sejak itu, Ameng meneruskan karier sebagai penyanyi solo.

Selepas 15 tahun mereka tidak beraksi sebagai sebuah kumpulan, akhirnya mereka telah mengadakan mini showcase di mana mereka telah bergabung semula walaupun kekurangan 2 ahli iaitu Iskandar dan Acong kerana tuntutan masa dan kesihatan. Namun begitu, Acong turut hadir memberikan sokongan kepada anggota Spring yang menjayakan persembahan iaitu Ameng, Zaha dan juga Empy. Mini showcase tersebut telah berlangsung pada 9 Mac 2018 di Restoran D'Saji Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Selepas perpecahan Spring, hanya Zaha dan Ameng yang masih aktif dalam bermuzik. Zaha telah menubuhkan kumpulan projek seperti Spring Slavemasters dan terbaru, AQSA. Beliau juga aktif mengadakan persembahan secara busking dan di tempat-tempat tertentu. Manakala Ameng meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi dan bergerak solo. Empy pernah menyertai reunion dengan kumpulan lamanya Teja dan pernah juga mengiringi Ustaz Azhar Idrus selaku pemain gitar dalam siri-siri ceramah beliau. Acong menceburi bidang perniagaan, dan Iskandar pula telah bersara dari industri muzik kerana masalah kesihatan.

Salah faham mengenai kumpulan Spring[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa kekeliruan yang muncul di sepanjang hayat kumpulan Spring. Kumpulan ini sering disalah anggap sebagai kumpulan Spring's yang terlibat dalam album kompilasi War Rock III (1989) keluaran Mutiara Records. Kumpulan Spring's merupakan kumpulan yang berbeza. Hal ini kerana pada waktu itu, Spring masih lagi menggunakan nama Anthem dan hanya menukar nama kepada Spring pada 1990 sewaktu hendak merakam album pertama. Anthem pada awalnya ingin menyertai album kompilasi tersebut namun akhirnya ditawarkan menghasilkan album penuh.

Kumpulan Spring juga dikatakan berasal dari Terengganu. Ini tidak benar kerana Spring @ Anthem diasaskan di Seremban oleh Zaha, Iskandar dan Amat. Menurut Zaha dalam satu temubual di Youtube, hal ini mungkin berlaku disebabkan segelintir wartawan hiburan pada masa itu yang tidak membuat penyelidikan terlebih dahulu dan menulis Spring sebagai kumpulan dari Terengganu hanya kerana disebabkan vokalis/frontman, Ameng yang berasal dari sana. Selain daripada Ameng, Iskandar juga senegeri dengannya tetapi telah pun berhijrah ke Seremban sewaktu Anthem ditubuhkan. Dengan itu juga menjadikan Spring wakil artis rock dari Negeri Sembilan selain kumpulan Medicine, Hattan, Olan, Pratayuda dan lain-lain.

Keahlian[sunting | sunting sumber]

Spring 1987-1989:

  1. Amat - vokal
  2. Iskandar - gitar
  3. Zahar - gitar
  4. Ajis - bass (kemudian digantikan dengan Ayim)
  5. Fauzi - dram (kemudian digantikan dengan Acong)


Spring 1990:

  1. Amat - vokal
  2. Iskandar - gitar
  3. Zahar - gitar
  4. Yunus - bass
  5. Acong - dram


Spring 1990-1991:

  1. Ameng - vokal
  2. Iskandar - gitar
  3. Zahar - gitar
  4. Yunus - bass
  5. Acong - dram


Spring 1992-1994:

  1. Ameng - vokal
  2. Iskandar - gitar
  3. Zahar - gitar
  4. Acong - dram
  5. Lan - bass*

*Kerap bertukar ganti sebelum kemasukan Empy pada tahun 1995.

Spring 1995-2003:

  1. Ameng - vokal
  2. Iskandar - gitar utama
  3. Zahar - gitar kedua
  4. Empy - bass
  5. Acong - dram


Spring (2019-kini):

  1. Ameng - vokal
  2. Zahar - gitar utama
  3. Empy - bass
  4. Acong - dram

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Album studio[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Jualan
1991 Spring
1992 Sampai Hati
  • Penerbit : Umarul
  • Label : Sony Music
1994 Bourgenvilla
  • Penerbit : Umarul
  • Label : Sony Music
1995 Jujur
  • Penerbit : Samad
  • Label : Sony Music
1996 Spring 5
  • Penerbit : Lan Laga
  • Label : Sony Music
1997 Luahan
1998 Kerana Budi
2001 Hati Mahu Baik
  • Penerbit : Lan Laga, Spring
  • Label : Sony Music

Album Himpunan[sunting | sunting sumber]

Album Kompilasi[sunting | sunting sumber]

Single[sunting | sunting sumber]

Tahun Judul Lagu Kedudukan Tertinggi Carta Album
Era Muzik.fm Baik Banget Muzik-muzik
1991 "Sejiwa" Spring
"Coretan Terbiar"
1992 "Sampai Hati" Sampai Hati
1993 "Kemarau Kasih"
"Sinar Abadi"
1994 "Bourgenvilla" Bourgenvilla
"Butakah Cinta"
"Wakaf"
"Sepi Tanpa Cinta"
"Tamu Beradu" Pasti Hitz
1995 "Cempaka Di Rembulan" Pujaan Gemilang
"Kasih Yang Tak Pasti"
menampilkan Opie
"Sejujur Mana Kata-kata" Jujur
"Jinak Merpati"
"Keadaan Memaksa"
1996 "Jurang Kasih"
"Hampa"
"Romantis" 5
"Persada Cintaku"
"Sesekali Terlupa"
"Nirwana"
"Sejiwa" (Akustik) Balada Gemilang
1997 "Asmara Palsu"
"Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta"
"Dulu dan Sekarang"
"Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta" Luahan
"Luahan"
1998 "Ku Lepaskan Kau Pergi"
"Kerana Budi Ku Jatuh Hati " Kerana Budi
"Utusan Lama"
"Semoga Cinta Kita Bahagia"
1999 "Diam Merindu"
"Pesanan Buat Kekasih" Galeri Gemilang
"Inginku Takluki Hatimu"
"Terangi Kembali" Terus Gemilang
2000 "Menggapai Sinarmu"
2001 "Sambutlah Cintaku" Hati Mahu Baik
"Hati Mahu Baik"
2003 "Teringat Kembali" Kegemilangan Spring

Anugerah dan pencapaian[sunting | sunting sumber]

Carta pujaan 10 Radio 1 Malaysia (kini Radio Klasik)
Tahun Tajuk Kedudukan
(1Mac - 28Mac) 1993 Sampai Hati 1
Juara Carta Muzik FM
Tahun Tajuk Kedudukan
(7,14, 21, 28 Sep) 1997

(5,12,19,26 Okt) 1997

(2,9,16 Nov) 1997

11 Minggu

Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta 1


ANUGERAH JUARA LAGU

  1. 1993 - FINALIS ANUGERAH JUARA LAGU KE 8 / SAMPAI HATI
  2. 1996 - FINALIS ANUGERAH JUARA LAGU KE 11 / ROMANTIS


SEMI FINAL MUZIK-MUZIK

  1. 1994 - BOURGENVILLA
  2. 1998 - KITA DITAKDIRKAN JATUH CINTA
  3. 1999 - PESANAN BUAT KEKASIH


ANUGERAH INDUSTRI MUZIK (AIM)

  1. 1993
    1. MENANG - VIDEO MUZIK TERBAIK (SAMPAI HATI)
    2. TOP 5 (VOKAL BERKUMPULAN TERBAIK album SAMPAI HATI)
    3. TOP 5 (KULIT ALBUM TERBAIK album SAMPAI HATI)
  2. 1995 - TOP 5 (VOKAL BERKUMPULAN TERBAIK album BOURGENVILLA)
  3. 1996 - TOP 5 (ALBUM ROCK TERBAIK / JUJUR - SPRING)


ANUGERAH BINTANG POPULAR

  1. 1993 - TOP 5 (PENYANYI BERKUMPULAN POPULAR)
  2. 1994 - MENANG - PENYANYI BERKUMPULAN POPULAR
  3. 1995 - TOP 5 (PENYANYI BERKUMPULAN POPULAR)


ANUGERAH PLATINUM

  1. ALBUM :
    1. BOURGENVILLA (1994)
    2. LUAHAN (1997)
    3. GALERI SPRING (1999)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-04-15. Dicapai pada 2018-04-15.