Kurotsuchi Mayuri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Watak Bleach
Mayuri Bleach.jpg
Kurotsuchi Mayuri
Peranan Kapten shinigami dalam Divisyen ke-12,
Presiden ke-2 dalam Institut Penyelidikan Shinigami
Tarikh lahir 30 Mac
Zanpakutō Ashisogi Jizō
Seiyū Ryūsei Nakao
Pelakon suara latar Terrence Stone

Kurotsuchi Mayuri (涅 マユリ) ialah seorang watak fiksyen dalam siri anime dan manga Bleach yang dicipta oleh Tite Kubo. Dia menjadi kapten Divisyen ke-12 dalam Gotei 13 dan presiden kedua dalam Institut Penyelidikan Shinigami selepas bekas kapten dan presidennya, iaitu Urahara Kisuke, dibuang negeri oleh Soul Society. Leftenan Mayuri ialah Kurotsuchi Nemu.

Watak dan perwatakan[sunting | sunting sumber]

Kurotsuchi Mayuri tidak bertopeng.

Kurotsuchi Mayuri merupakan seorang saintis yang mewarisi sifat-sifat seorang "saintis gila". Dalam episod-episod awal siri anime Bleach, Mayuri ditonjolkan sebagai salah satu daripada watak-watak yang paling kejam dan ganas. Dia melihat setiap perkara— mahupun manusia, sebagai objek yang boleh dikaji dan bukannya sebagai benda hidup— termasuklah dirinya sendiri. Dia kurang menghormati atau mengasihani kebanyakan orang, serta sanggup mengorbankan orang-orangnya sendiri (yang pada waktu itu tidak menyedari akan rancangannya) menjadi bom-bom yang akan meletup, semuanya untuk menangkap Ishida Uryū dan Inoue Orihime untuk dijadikan bahan eksperimen. Dia juga telah merahsiakan maklumat tentang golongan Bount daripada shinigami yang lain supaya dia dapat menangkap salah satu daripada golongan mereka untuk dijadikan bahan eksperimen buat dirinya.

Bentuk rupa Mayuri kelihatan seperti tengkorak kosong dengan mimik muka yang serupa dengan tengkorak itu sendiri. Kukunya berwarna biru dan kesemua kukunya dipotong pendek, kecuali kuku di jari tengah tangan kanannya. Kukunya yang panjang itu adalah sepanjang jarinya sendiri. Dalam versi anime, Mayuri dilihat mempunyai rambut biru dan mata berwarna kuning apabila topengnya ditanggalkan.[1] Dia juga memakai topi berwarna putih dengan sepasang hulunya yang diarahkan ke sebelah kanan kepalanya bersama-sama jalur leher baju berwarna ungu di sekeliling tengkuknya. Pengubahsuaian fizikal diri Mayuri akan dikembalikan setiap kali dia "membina" semula dirinya, meskipun dia dicederakan agak teruk dan telinganya dibuang secara kekal.

Rupa Mayuri yang baru.

Mayuri telah melakukan beberapa eksperimen ke atas dirinya, sesetengah daripada mereka terdiri daripada menaiktaraf beberapa bahagian tubuh untuk berfungsi sebagai senjata atau untuk memberinya kelebihan yang berguna. Lengan kirinya boleh dipanjangkan seperti cangkuk yang boleh digunakan untuk menarik mangsanya, dan dia juga boleh menarik keluar telinganya untuk membentuk sebilah sabit yang bersambung kepada satu bahagian ligamen berupa tali yang boleh digunakan sebagai kusarigama. Mayuri juga mampu menyembunyikan dirinya di mana-mana bahagian sekelilingnya dengan menutup dirinya dengan sejenis emping-emping yang mengupas diri mereka apabila dia menunjukkan dirinya kembali.

Sekiranya Mayuri kecundang di dalam sesebuah pertarungan, dia mampu mengubah dirinya menjadi sejenis cecair, di mana dalam keadaan ini dia tidak boleh menyerang ataupun diserang, dilakukannya dengan menikam dirinya dengan zanpakutōnya sendiri. Dalam masa yang tertentu Mayuri kemudiannya boleh "membina" semula tubuh badan fizikalnya, dan menyembuhkan kecederaan yang telah ditanggung. Kebolehannya ini adalah berkait rapat dengan tahap bankai zanpakutō miliknya.

Mayuri merupakan di antara watak-watak ambidekstrus yang mempunyai bilangan yang kecil dalam siri Bleach, dilihat apabila dia menggenggam zanpakutōnya pada tangan kanan dan telinga-sabitnya pada tangan kiri (selalu dilakukan pada waktu yang sama). Dalam babak Bount, dia juga pernah memegang zanpakutōnya pada tangan kiri.[2]

Nama keluarga Kurotsuchi merupakan di antara nama-nama shinigami yang berada dalam bilangan kecil dalam siri Bleach, yang menggunakan kanji berdasarkan maksud namanya dan bukan berdasarkan bunyi. 'Kurostsuchi' bermaksud tanah hitam (kuro - hitam; tsuchi - tanah), termasuk juga kanji (涅). Walaubagaimanapun, bacaan kanji tersebut (sebutannya) ialah ne atau jadi.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tidak banyak yang diketahui tentang Mayuri selain daripada posisinya sebagai kapten kepada Divisyen ke-12 dalam Gotei 13 dan ketua dalam institusi penyelidikannya. Dia juga pernah melakukan kajian ke atas golongan Quincy, termasuklah Ishida Sōken, iaitu datuk dan guru kepada Ishida Uryū.

Kajian dan ciptaan[sunting | sunting sumber]

Ciptaan Mayuri tidak diterangkan dengan jelas seperti ciptaan Kisuke Urahara. Namun begitu, satu ciptaannya yang terpenting, yang merupakan leftenannya dan kononnya "anak perempuannya" sendiri, bernama Kurotsuchi Nemu, ialah ciptaan terulung daripada penyelidikan gigai dan roh modifikasinya. Siri Bleach tidak menyatakan ini dengan jelas, namun Mayuri dikatakan telah melakukan penyelidikan yang berpanjangan dalam mengubahsuai tubuh, seperti yang ditunjukkan oleh pengubahsuaiannya, termasuk juga kebolehan untuk menumbuhkan semula bahagian-bahagian tubuh badan menggunakan "serum penumbuhan" serta tangan yang boleh dipanjangkan. Satu lagi kebolehan Mayuri yang dicapai dari segi saintifik ialah untuk bercantum atau "bersembunyi" dengan warna dan tekstur kawasan sekelilingnya. Dia juga mencipta sebuah sensor Bount yang ringkas di dalam babak Bount siri anime Bleach.

Di dalam sebuah segmen "Buku Bergambar Ilustrasi Shinigami: Emas", Mayuri dilihat mampu mengubah jantina dan kaum makhluk zanpakutō itu sendiri, dan memberikan katalog kepada Hisagi dan Renji, di mana Renji yang serta-merta berminat untuk mengubah zanpakutōnya. Selain itu, dalam babak Hueco Mundo pula, Mayuri telah berjaya melawan kebolehan istimewa Szayel Aporro Granz dalam tahap lepasannya (kebolehannya untuk mencederakan tubuh badan musuh secara dalaman) selepas menyaksikan pertarungan di antara arrancar tersebut bersama-sama Ishida Uryu, yang telah membawa bersamanya berjuta-juta bakteria (serupa dengan bahan yang digunakan Szayel Aporro Granz untuk mengukur kebolehan musuh-musuhnya sebelum bertarung dengan mereka) yang telah ditanam oleh Mayuri pada badannya sewaktu pertarungan mereka dalam babak Soul Society. Kebolehan Szayel Aporro Granz yang tidak berkesan terhadap Mayuri berlaku kerana Mayuri telah menggantikan setiap daripada organ dalamannya dengan organ-organ tiruan sebelum dia bersemuka dengan lawannya itu. Kebolehan Mayuri menggantikan organnya dengan organ tiruan pada waktu semasa (bukannya sejam sebelum bermulanya pertarungannya) membuktikan bahawa Mayuri juga telah mengubah dan menaiktaraf anatomi tubuhnya sendiri, membenarkannya untuk melakukan kebolehan tersebut, sekaligus membuktikan kepintarannya.

Terkini, Mayuri telah mencipta sejenis dadah yang melambatkan masa yang dirasai oleh seseorang. Dadah tersebut mampu mencipta persepsi yang berbeza di antara dua individu, di mana 1 saat mungkin sekali dirasai oleh mangsa selama 100 tahun. Satu dos pekat daripada dadah ini mampu mempercepat deria dan pancaindera seseorang berjuta-juta kali lebih laju daripada biasa di mana pada waktu ini tubuh badan gagal mengikut kelajuannya, lalu mangsa akan menjadi lumpuh; sebaliknya, jika satu dos dadah ini yang cair digunakan, kepantasan reaksi seseorang mampu ditingkatkan.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Sewaktu babak pencerobohan Soul Society, Mayuri telah cuba untuk mencari para penceroboh ini dan menggunakan mereka sebagai bahan eksperimen. Dalam pencariannya, Mayuri berjumpa dengan Ishida Uryū, cucu kepada Ishida Sōken, dan Ishida berasa marah apabila dia mendapat tahu akan kebenaran di sebalik kematian datuknya. Ishida kemudian telah bertempur dengan Mayuri, dan, meskipun tidak berjaya pada awalnya, mampu mengalahkan Mayuri menggunakan teknik ransōtengai dan dengan menanggalkan sarung tangan sanrei, namun Mayuri berjaya melarikan diri menggunakan kebolehan terakhir zanpakutōnya. Selepas Mayuri melarikan diri menggunakan teknik tersebut, Nemu telah berterima kasih kepada Uryū kerana tidak melepaskan anak panah terakhir itu ke arah kepalanya, kerana Nemu mengatakan bahawa jika mana-mana bahagian badannya yang lain ditembak, Mayuri tidak dapat dibunuh. Namun, Nemu mungkin juga sekadar merujuk kepada kaedah terpantas untuk membunuh Mayuri, kerana mana-mana serangan yang menghalang Mayuri daripada menikam dirinya akan secara tidak langsung menghalangnya daripada melakukan teknik terakhirnya untuk melarikan diri.

Mayuri kemudian muncul kembali dalam babak pencerobohan Bount di Bandar Karakura, dan untuk mendapat salah satu daripada golongan Bount sebagai bahan eksperimennya, Mayuri telah menghantar Nemu untuk memberikan sejenis artifak kepada Ishida Uryū untuk memberinya kuasa Quincy secara sementara, namun ini telah membenarkan pihak Bount untuk memasuki Seireitei, yang telah mengakibatkan kapten shinigami lain untuk mengesyaki Mayuri sebagai pembelot. Namun, Mayuri segera membuktikan kesetiaannya dengan mengalahkan salah seorang daripada golongan Bount, iaitu Sawatari, meskipun dia dicederakan dengan teruk (mungkin sekali kerana dia cuba untuk menangkapnya hidup-hidup dari awal).

Mayuri kemudian muncul kembali di Hueco Mundo untuk membantu Abarai Renji dan Ishida yang sedang menghadapi kesukaran menentang Szayel Aporro Granz bersama-sama leftenannya, Nemu. Mayuri muncul dengan topeng barunya; penyambung telinganya dilihat menjadi lebih pendek dan bulat, dagunya mempunyai sambungan yang lebih panjang, dan dia tidak lagi memakai topi putihnya. Rambut di sebalik topeng tersebut digayakan menjadi sepasang "tanduk", yang, jika dilihat dari sudut hadapan, kelihatan seperti mahkhota firaun, dan seni warna di mukanya juga mempunyai gaya yang berbeza.

Szayel telah cuba untuk menggunakan kebolehan voodoo zanpakutōnya namun Mayuri telah menentang kesannya dengan menggunakan organ-organ tiruan, kerana dia telah memepelajari teknik tersebut menggunakan data daripada bakteria yang ditanamnya di dalam Ishida sewaktu pertarungan mereka di Soul Society. Szayel telah menangkap Nemu namun Mayuri telah mengaktifkan tahap bankainya dan menghancurkan Szayel. Szayel menggunakan kuasa kelahirannya untuk mencipta semula dirinya di dalam Nemu, namun dengan berbuat demikian Szayel telah diracuni oleh racun di dalam tubuh badan Nemu. Mayuri yang kini berasa kesal di atas kebolehan Szayel yang terhad, menjelaskan kepadanya bahawa sebaik sahaja dia menghidupkan dirinya semula di dalam tubuh Nemu, dia telah diberikan racun yang meningkatkan deria-deria. Racun tersebut meningkatkan deria-deria Szayel sehingga tubuhnya gagal untuk mengikut pancainderanya, dan gagal untuk bergerak, diikuti oleh Mayuri menikam jantung Szayel lalu mematahkan pedangnya sebagai seksaan yang paling menyakitkan. Mayuri telah menyembuhkan Nemu dan menyuruhnya menyelongkar makmal Szayel, di mana dalamnya terdapat dua mayat tergantung daripada bahagian siling.

Ashisogi Jizō[sunting | sunting sumber]

Tahap shikai Kurotsuchi Mayuri.

Zanpakutō milik Kurotsuchi Mayuri bergelar Ashisogi Jizō (疋殺地蔵, makna kasar: Kepala Bunuh Ksitigarbha, meskipun boleh diterjemahkan dalam cara lain).[3] Ksitigarbha merupakan bodhisattva yang menjaga kanak-kanak dan alam baqa. Di Jepun di mana dia dikenali sebagai Jizō, dia kelihatan seperti seorang bayi yang dipakaikan pakaian sami Buddha. Hulu zanpakutō Mayuri dibalut oleh sehelai kain, dan mempunyai beberapa ceracak terkeluar daripada bahagian bawah bilah pedangnya, yang kelihatan seperti dedaun. Berbeza daripada kebanyakan zanpakutō shinigami yang lain, sarung zanpakutō Mayuri tergantung di hadapannya, dan tidak di sebelahnya seperti yang dipakai oleh kebanyakan shinigami yang lain. Arahan pengaktifan Ashisogi Jizō ialah "koyakkan" (掻き毟れ kakimushire?, boleh juga diterjemah sebagai "cakarkan").

Dalam tahap shikai, Ashisogi Jizō berubah menjadi trisula dengan bilah-bilah bengkok berupa ular dan pemegang berbentuk seperti kepala bayi (seperti gambaran yang diberikan kepada Ksitigarbha), semuanya terdapat di bahagian hulu pedangnya. Pedangnya mengeluarkan sejenis wap yang beracun dan apabila Ashisogi Jizo menikam mangsanya, racun ini akan merebak ke, sama ada hanya satu atau setiap satu anggota hadapan, lalu melumpuhkan individu tersebut. Berbeza daripada keadaan lumpuh biasa, Ashisogi Jizō membiarkan hujung saraf mangsanya dalam keadaan sebelumnya, membenarkan Mayuri menambah kesakitan yang ditanggung mangsa mahupun pada anggota yang telah dilumpuhkan. Sewaktu babak Bount, mangsa Ashisogi Jizō didedahkan tidak mampu menghilangkan kesan "lumpuh" serta-merta selepas lukanya disembuhkan.

Tahap bankai Kurotsuchi Mayuri.

Tahap bankai Ashisogi Jizō digelar Konjiki Ashisogi Jizō (金色疋殺地蔵, makna kasar: Kepala Bunuh Ksitigarbha Emas ataupun Ashisogi Jizō Emas), mengembalikan bentuk zanpakutō Mayuri ke bentuk katananya dan mencipta seekor ulat beluncas gergasi yang memiliki kepala seorang bayi yang berwarna kuning yang dilengkapi oleh satu lingkaran cahaya di atas kepala (seperti yang dilihat pada kepala lakaran malaikat orang Barat) . Makhluk ini bernafaskan racun daripada darah Mayuri yang maut terhadap sesiapa yang menghirup udaranya, berkecualikan Nemu dan Mayuri sendiri. Mayuri mampu mengubah kompisisi racun ini, menjadikan apa-apa jenis ubat yang mampu menyembuhkan mangsa sukar dicipta dan hanya boleh dicipta pada saat itu sahaja. Mayuri sendiri telah mengubah rupa fizikal Konjiki Ashisogi Jizō supaya ia boleh berubah menjadi sejenis cecair dan kembali ke bentuk asalnya jika ia menyerang tuannya, menunjukkan bahawa Konjiki Ashisogi Jizō adalah makhluk yang mempunyai deria rasa dan juga wujud sebagai objek organik, serupa dengan Minazuki kapten Unohana Retsu. Beberapa bilah pedang juga boleh muncul daripada dada bankai Mayuri, membenarkannya untuk melari menembusi perisai ataupun penghalang. Akhir sekali, sekiranya mana-mana pihak mampu mengawal tubuh fizikal bankai Mayuri, dia mampu meletupkan Konjiki Ashisogi Jizō dan kembali ke bentuk asalnya.

Zanpakutō Mayuri juga mempunyai kebolehan untuk mengubah dirinya menjadi sejenis cecair apabila dia menikam dirinya dengan bilah pedang tersebut. Dengan berbuat demikian, Mayuri tidak membunuh dirinya, sebaliknya membenarkan Mayuri untuk melarikan diri, pada waktu yang sama dia tidak boleh menyerang ataupun diserang oleh musuh, menjadikannya teknik yang amat berkesan sekiranya dia kecundang di dalam pertarungan. Kebolehannya ini adalah sukar dipastikan sama ada ia berkaitan dengan modifikasi dirinya sendiri ataupun kebolehan semula jadi Ashisogi Jizō, kerana dia menggunakannya kepada dirinya sendiri sahaja, dan bukannya kepada pihak lawan. Perubahan fizikal yang telah dilakukannya ke atas dirinya sendiri mungkin sekali berkaitan dengan kesan teknik tersebut.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Anime Bleach episode 61
  2. Anime Bleach, episod 101
  3. Manga Bleach; bab 122, halaman 12