LZ 129 Hindenburg

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hindenburg
Hindenburg di Lakehurst
Jenis Kapal udara kelas Hindenburg
Pengeluar Luftschiffbau Zeppelin GmbH
Nombor pembinaan LZ 129
Dikeluarkan 1931-36
Pendaftaran D-LZ 129
Penerbangan pertama 4 Mac 1936
Pemilik dan pengendali Deutsche Zeppelin Reederei
Berkhidmat 1936–37
Jumlah penerbangan 63
Takdir Musnah dalam kebakaran pada 6 Mei 1937

LZ 129 Hindenburg (Luftschiff Zeppelin #129; Nombor pendaftaran: D-LZ 129) merupakan kapal udara tegar besar yang membawa penumpang milik Jerman. Ia merupakan mesin terbang yang terpanjang dan kapal udara terbesar berdasarkan isipadu aerostat. Hindenburg telah direka dan dibina oleh Syarikat Zeppelin (Luftschiffbau Zeppelin GmbH) di pesisir Tasik Constance di Friedrichshafen dan telah dikendalikan oleh Syarikat Perkhidmatan Penerbangan Zeppelin Jerman (Deutsche Zeppelin-Reederei). Penerbagan sulung kapal udara ini adalah pada Mac 1936 sehingga 6 Mei 1937 (14 bulan kemudian), apabila ia telah dimusnahkan oleh kebakaran. Hindenburg musnah pada hujung penerbangan rentas Antlantik ke Amerika Utara pertama dalam musim kedua perkhidmatannya. 36 orang mati dalam kemalangan itu, yang berlaku di Stesen Udara Tentera Laut Lakehurst di Manchester Township, New Jersey.

Hindenburg dinamakan bersempena nama Paul von Hindenburg (1847 - 1934), Presiden Jerman.

Rekaan[sunting | sunting sumber]

Hindenburg dibina dengan galang-galang segi tiga yang dibuat daripada duralumin. Galang-galang ini membentuk 15 gelang utama Hindenburg, dan ia menyambungkan 36 galang menegak. Ia juga mempunyai lunas berbentuk segi tiga di bahagian bawah badan kapal, satu koridor yang dibina melalui bahagian tengah badan kapal ini, dan ekor krusiform untuk kekuatan. Rekaan ini adalah rekaan yang biasa yang telah diuji dan digunakan oleh ketua pereka Ludwig Dürr dan Syarikat Zeppelin selama berdekad lamanya.

Kulit luaran Hindenburg diperbuat daripada kapas yang terdop oleh bahan pemantul cahaya untuk melindungi sel-sel gas di dalam kapal udara itu daripada sinaran ultraungu yang boleh merosakkanya, dan sinaran inframerah yang boleh menyebabkan gas di dalamnya terlebih panas. Sel gas di dalam Hindenburg dibina menggunakan beberapa lapisan kapas yang disapu gelatin. Bahan ini lebih berkesan untuk menghalang kebocoran gas daripada goldbeater's skin (membran luar usus anak lembu), bahan yang sebelum ini digunakan untuk membuat sel-sel gas.

Enjin Daimler-Benz DB 602

Hindenburg dilengkapi dengan 16 sel gas, yang boleh menampung sebanyak kira-kira 200,000 m3 (7,062,000 kaki3) gas. Hidrogen berfungsi menggunakan hidrogen, sebagai ganti helium yang lebih selamat tetapi sukar didapati. Kapal udara ini digerakkan oleh empat enjin diesel Daimler-Benz DB 602 dengan 16 silinder, dan setiap satu menghasilkan 890 kW (1,200 hp) tenaga.

Dek penumpang[sunting | sunting sumber]

Ruang makan di dalam Dek A Hindenburg.
Ruang istirahat di dalam Dek A Hindenburg, dengan mural peta dunia.

Dek penumpang Hindenburg terbahagi kepada dua dek; Dek A dan Dek B. Kedua-dua dek dibina di dalam badan kapal udara itu sendiri, berlainan dengan rekaan dek penumpang Graf Zeppelin yang dibina di dalam gondola kapal. Perabot dalaman Hindenburg telah direka oleh Fritz August Breuhaus, yang mempunyai pengalaman berkenaan kapal laut dan kapal perang milik Tentera Laut Jerman.

Dek A terdiri daripada ruang makan di sebelah kiri kapal, ruang istirahat ("lounge") dan bilik menulis di sebelah kanan kapal, geladak persiaran di sebelah kiri dan kanan kapal, dan 25 kabin dengan tempat tidur berganda di tengah dek tersebut. Dinding ruang makan Hindenburg menggambarkan perjalanan Graf Zeppelin ke Amerika Selatan, manakala dinding ruang istirahat pula dilukis dengan gambar peta dunia. Para penumpang dijangka akan meluangkan lebih banyak masa di kawasan-kawasan awam di dalam kapal itu, berbanding di dalam kabin mereka yang agak sempit.

Dek B terletak di tingkat bawah Dek A, dan terdiri daripada bilik mandi, tandas, dapur, mes krew dan pekerja, bar, bilik merokok dan sebuah kabin yang diduduki oleh ketua pramugara, Heinrich Kubis. Kabin yang diduduki ketua pramugara itu mempunyai pintu ke koridor lunas, dan koridor ini ialah satu-satunya penghubung antara ruang penumpang dan krew.

Bilik merokok Hindenburg yang terletak di Dek B merupakan salah satu bilik yang paling terkenal di dalam kapal udara itu, kerana ia terletak berhampiran dengan bar Hindenburg, dan kerana jumlah perokok yang ramai pada masa itu. Udara di dalam bilik itu dikekalkan dalam tekanan tinggi untuk mengelakkan sebarang gas hidrogen yang bocor daripada memasuki ruang itu. Bilik itu juga dilengkapi dengan pemetik api elektrik, kerana api terbuka tidak dibenarkan di dalam kapal udara itu.

Gerabak kawalan[sunting | sunting sumber]

Gerabak kawalan Hindenburg ("Führergondel" dalam bahasa Jerman) terletak berdekatan dengan haluan kapal Hindenburg, di Gelang 203. Berbeza dengan binaan geladak penumpang, gerabak kawalan Hindenburg terletak di dalam gondola yang ditempatkan di luar kapal udara itu. Gerabak kawalan ini terbahagi kepada tiga bahagian; bilik kawalan (atau bridge) di bahagian depan, bilik pemanduan arah di bahagian tengah dan bilik pemerhatian (atau ruang istirehat) di bahagian belakang. Bilik pemerhatian ini seringkali disalah anggap sebagai bilik radio, sedangkan bilik radio yang sebenar terletak di atas gerabak kawalan itu.

Bilik kawalan Hindenburg merupakan tempat di mana seluruh kapal Hindenburg dikawal. Ia dilengkapi dengan pelbagai alatan penerbangan, seperti telegraf enjin untuk menghantar arahan kepada pengendali enjin untuk melambatkan atau mempercepatkan pergerakan enjin, stereng kemudi dan elevator untuk mengawal sudut arah-tuju dan anggul kapal, panel elevator yang menyatakan sudut kesengetan kemudi dan elevator, suhu dan kelembapan udara, sistem pandu auto, papan balast yang menyatakan jumlah air yang terdapat di dalam setiap satu daripada tujuh tangki balast Hindenburg dan membolehkan pekerja untuk mengurangkan jumlah air di dalam mana-mana tangki balast, papan gas yang menyatakan jumlah hidrogen di dalam setiap sel gas dan membolehkan pekerja mengurangkan jumlah hidrogen di dalam mana-mana sel gas, dan sejenis altimiter bunyi yang dikenali sebagai Echolot (echolade di kalangan pemerhati untuk Tentera Laut Amerika).

Hala tuju Hindenburg pula ditentukan di dalam bilik pemanduan arah. Bilik navigasi ini menempatkan beberapa meja kerja untuk pekerja, peti-peti untuk menyimpan peta-peta dan carta-carta, serta alatan-alatan pemanduan arah. Alatan-alatan ini termasuklah kompas giro pengulang, penunjuk hanyutan optikal, radio pencari arah, altimeter, satu jam dan beberapa jam randik. Penunjuk hanyutan utama Hindenburg yang mengukur sudut hanyutan kapal terdiri daripada sebuah teleskop yang menjangkau melepasi lantai gerabak kawalan. Teleskop ini membolehkan pemerhati melihat terus ke permukaan bumi untuk menentukan sudut hanyutan, dan ia boleh mengezum sehingga 4 ke 20 kuasa pembesaran. Pada waktu malam, lampu sorot yang terletak di bawah gerabak kawalan membolehkan penentuan arah dibuat semudah waktu siang.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Hindenburg - Airships.net
  2. The Hindenburg's Design and Technology - Airships.net
  3. Hindenburg - A Giant and Luxurious Airship - 20th Century History di About.com
  4. The Hindenburg's Interior: Passenger Decks - Airships.net
  5. The Hindenburg's Control Car, Flight Instruments and Flight Controls - Airships.net

Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.