Labuan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Wilayah Persekutuan Labuan
ولايه ڤرسكوتوان لابوان
Pulau Mutiara Borneo
Dari atas, kiri ke kanan:
Kompleks Labuan Taman Kewangan, Tanah Perkuburan Perang Labuan, Lapangan Terbang Labuan, dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan
Bendera Wilayah Persekutuan Labuan ولايه ڤرسكوتوان لابوان
Mohor rasmi Wilayah Persekutuan Labuan ولايه ڤرسكوتوان لابوان
   Labuan di    Malaysia
Koordinat: 5°19′13.16″N 115°12′40.42″E / 5.3203222°N 115.2112278°E / 5.3203222; 115.2112278Koordinat: 5°19′13.16″N 115°12′40.42″E / 5.3203222°N 115.2112278°E / 5.3203222; 115.2112278
NegaraMalaysia
NegeriWilayah Persekutuan
Menjadi Wilayah
Persekutuan
16 April 1984
Ibu kotaBandar Victoria
Kerajaan
 • Ditadbir olehPerbadanan Labuan
 • PengerusiAnifah Aman
Keluasan
 • Jumlah91 km2 (35 batu persegi)
Penduduk
 (2010)
 • Jumlah86,908 [1]
 • Kepadatan955/km2 (2,470/batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (MST)
Min waktu suriaUTC+06:46:40
Laman sesawangwww.pl.gov.my

Wilayah Persekutuan Labuan merupakan Wilayah Persekutuan kedua Malaysia. Ia merangkumi keseluruhan pulau Labuan yang mempunyai keluasan 91.64 km2. Pulau Labuan terletak sekitar 10 km dari pantai Sabah, 2 1/2 jam penerbangan dari Kuala Lumpur, dan sekitar 30 km dari pantai Brunei. Pulau Labuan telah diisytiharkan sebagai pusat kewangan luar pantai pada 1990 dan pelabuhan bebas cukai sejak 1956. Labuan mempunyai pelabuhan yang dalam dan besar, yang merupakan punca asal namanya pelabuhan atau "Labuhan". Pusat bandar bagi Wilayah Persekutuan Labuan adalah Bandar Victoria.

Pulau Labuan juga mempunyai air yang jernih dan pantai berpasir sepanjang persisiran pantai, menjadikannya destinasi perlancongan yang baik. Pulau Labuan juga mempunyai perairan yang baik untuk aktiviti menyelam dan mempunyai empat destinasi penyelaman skuba.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pulau Labuan asalnya merupakan sebahagian dari Kesultanan Brunei. Pada 1846, ia diserahkan kepada British oleh Sultan Brunei Sultan Omar Ali Saifuddin II setelah British menggunakan pulau itu sebagai tapak operasi menentang lanun. Pada 1848 Labuan telah diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Kemudian pada 1890, ia ditadbir oleh Borneo Utara. Namun begitu pada 1 Januari 1906 Labuan telah diserahkan kembali kepada British dan menjadi sebahagian daripada Negeri-negeri Selat pada 30 Oktober 1906 bersama-sama Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Sejak era pentadbiran British di Pulau Labuan, Bandar Victoria merupakan pusat pemerintahan dan sosio ekonomi penduduk pulau tersebut.

Pada Disember 1941 hingga Jun 1945, Labuan telah diperintah oleh Jepun. Labuan telah ditukar namanya menjadi Pulau Maida (前田島 [Maeda-shima])sempena nama Komander tentera Jepun di Borneo Marquis Toshinari Maeda. Selepas pengunduran Jepun dan pentadbiran tentera British tamat, Labuan digabungkan ke dalam Borneo Utara pada 1946. Seterusnya pada 1963 ia bersama-sama Sabah bergabung ke dalam Malaysia.

Labuan dahulunya merupakan kawasan terpinggir dari arus pembangunan. Setelah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1984, kawasan penempatan bagi kaum Kedayan dan Melayu Brunei ini mula menjadi antara destinasi utama kepada pelabur asing untuk berurusniaga terutama sekali setelah Labuan diiktiraf sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa atau IOFC pada Oktober 1990 (kini dikenali sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa atau LOFSA).

Peninggalan sejarah zaman silam di Labuan menjadi tarikan pelancong seperti Taman Damai (lokasi Jepun menyerah kalah kepada British), kubur askar asing yang terkorban semasa berperang dengan tentera Jepun di Tanjung Taras dan Taman Burung Eksotik.

Selain peninggalan sejarah zaman silam, Labuan juga terkenal dengan aktiviti sukan laut peringkat antarabangsa seperti pertandingan memancing laut dalam, jet ski dan kayak mengelilingi Pulau Labuan.

Labuan yang dahulunya didiami oleh nelayan, mula menjadi tumpuan para pelajar dari dalam dan luar labuan berikutan pembukaan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan Kolej Matrikulasi Labuan.

Politik[sunting | sunting sumber]

Labuan merupakan salah sebuah Wilayah Persekutuan Malaysia. Pulau ini ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan (Sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan). Perbadanan Labuan yang diketuai oleh seorang Pengerusi adalah menjalankan tugas sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pentadbiran Labuan. Labuan mempunyai seorang perwakilan di Dewan Negara dan seorang di Dewan Rakyat. Ahli Dewan Negara bagi Labuan adalah (Kosong, belum ada lantikan baharu) manakala wakil Labuan di Dewan Rakyat adalah YB Dato' Indera Dr. Suhaili Bin Abdul Rahman . Secara lazimnya, ahli Dewan Rakyat bagi Labuan akan dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan. Kampung-kampung di Labuan pula di tadbir oleh seramai 27 orang Ketua Kampung yang dilantik oleh Perbadanan Labuan. Secara tradisi, hampir semua ketua-ketua kampung adalah berketurunan Kadayan-Brunei kecuali Ketua Kampung Sungai Keling yang berketurunan Cina.

Berikut senarai para pentadbir di Labuan:
Gabenor
27 Nov 1847 - Nov 1852 James Brooke (l. 1803 - m. 1868)
1852 - 1856 Spencer St. John (l. 1825 - m. 1910)

Leftenan Gabenor (pemangku tugas Gabenor)
1848 - 1850 William Napier
1850 - 1856 John Scott (l. 1814 - m. 1898)

Gabenor
1856 - 1861 George Warren Edwards
1861 - 1866 Jeremiah Thomas Fitzgerald Callaghan (l. c.1830 - m. 1881)
1866 - 1867 Hugh Low (l. 1824 - m. 1905)
1867 - 1871 John Pope Hennessy (l. 1834 - m. 1891)
1871 - 1875 Henry Ernest Gascoyne Bulwer (l. 1836 - m. 1914)
1876 - 1878 Herbert Taylor Ussher (l. 1836 - m. 1880)
1878 - 1881 Charles Cameron Lees (l. 1837 - m. 1898)
1881 - 1888 Peter Leys
1888 - 1890 Arthur Shirley Hamilton
1890 - 1906 Gabenor Borneo Utara
1906 - 1946 Gabenor Negeri-negeri Selat

Timbalan Gabenor
1906 - 1946 Residen British di Brunei

Residen British
1907 - 19.. M.S.H. McArthur
Feb 1917 - 1918 Geoffrey Edmund Cator (l. 1884 - m. 1973)
1918 - 1934 ....
1934 - 1936 A.D. York (l. 1907)
1936 - 1940 ....
1940 - 3 Jan 1942 A.H.P. Humphrey (l. 1912)

Komander Jepun
3 Jan 1942 - Mar 1945 ....
Mar 1945 - 10 Jun 1945 Hichiro Okuyama

Residen British
1945 - 16 Sep 1963 ....

Pengerusi Perbadanan Labuan
2001 - 2003 Dato' Othman Mohd Rijal (l. 1945)
2003 - 2008 Dato' Suhaili Abdul Rahman (l. 1961)
2008 - 2011 Tan Sri Ahmad Phesal Talib
2011 - 2013 Datuk Yussof Mahal
2013 - 2018 Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli
2018 - kini Dato' Sri Amir Hussein

Geografi[sunting | sunting sumber]

Wilayah Persekutuan Labuan terletak kira-kira 8km dari persisir pantai pulau Borneo bahagian pantai barat. Pulau Labuan adalah pulau terbesar, manakala ianya mempunyai lima lagi pulau kecil yang lain di sekitarnya iaitu Pulau Papan, Pulau Burong, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar.

Kampung[sunting | sunting sumber]

Wilayah Persekutuan Labuan terbahagi kepada 27 kampung :-

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Senarai hitam syurga cukai OECD[sunting | sunting sumber]

Pada April 2009, atas permintaan Kumpulan 20 negara kaya dan membangun, Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah menyenaraihitamkan Labuan sebagai satu dari "syurga bagi rahsia perbankan". Selain Malaysia, OECD juga menyenaraihitamkan Filipina, Costa Rica dan Uruguay. Empat negara ini dinamakan sebagai negara yang paling bawah kerana menolak untuk menerima peraturan baru keterbukaan kewangan seperti bertukar-tukar maklumat mengenai cukai. Namun OECD mengeluarkan Pusat Kewangan Luar Pesisir Labuan dalam senarai hitam syurga cukai yang tidak bekerjasama atau komitmennya untuk bekerjasama dalam memerangi penyalahgunaan pematuhan dalam piawai percukaian cuma beberapa hari kemudian.[2]

Demografi[sunting | sunting sumber]

Komposisi etnik di Labuan pada 2020 ialah Melayu Brunei dan Kedayan (61,549 atau 72.81%), Kadazan-Dusun, Rungus, Murut dan Lun Bawang/Lundayeh (2,084 atau 1.82%), Cina (17,620 atau 18.75%), India (209 atau 0.86%) serta lain-lain bangsa (7,179 atau 6.14%).

Budaya[sunting | sunting sumber]

Majoriti penduduk Labuan adalah berketurunan Melayu Brunei dan Kedayan. Mereka beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu dialek Kadayan-Brunei atau lebih dikenali sebagai dialek Labuan. Dialek Labuan mempunyai beberapa perbezaan berbanding Bahasa Melayu standard. Berikut adalah antara perkataan yang sering digunakan dalam perbualan seharian:

  • Awu=ya
  • ani=ini
  • atu=itu
  • kita=awak (digunakan untuk merujuk kepada orang yang lebih tua atau dihormati)
  • batah=lama
  • tah=lah
  • mun=kalau
  • basar=besar
  • damit=kecil
  • aing=air
  • karang=nanti
  • bisai=cantik
  • ia=dia
  • mulih=pulang
  • mengatil=mengacau
  • antah=entah
  • nda=tidak
  • majal=paksa
  • karit=kedekut

Antara makanan tradisi masyarakat Labuan pula ialah ambuyat, Kelupis dan makanan karing.

Darjah Kebesaran[sunting | sunting sumber]

Mulai tahun 2008, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (Wilayah Persekutuan) sempena Hari Wilayah Persekutuan. Darjah Kebesaran Yang Mulia Mahkota Wilayah ini mempunyai 7 pangkat iaitu:

  • Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama
  • Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri
  • Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk
  • Johan Mahkota Wilayah (JMW)
  • Kesatria Mahkota Wilayah (KMW)
  • Ahli Mahkota Wilayah (AMW)
  • Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW)

Akan tetapi, disebabkan oleh sebuah syarat perjanjian sulit tambahan yang dimeterai pada tahun 1984 semasa pulau itu diserah kepada Kerajaan Persekutuan, warga-warga Labuan (tidak mengira anak jati yang asli dilahirkan serta dibesarkan di sana ataupun anak keturunan Sabah yang dilahirkan serta/atau dibesarkan di pulau itu, sebelum, semasa atau selepas ia menjadi sebuah Wilayah Persekutuan) juga boleh melayakkan diri untuk dianugerahi darjah-darjah kebesaran negeri Sabah, iaitu Darjah Yang Amat Mulia Kinabalu. Darjah ini mempunyai 4 pangkat iaitu:

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Kerajaan

Pelancongan

  • Labuan - Informasi pelancongan


Komuniti

Hiburan

Perbankan

Unit Amanah