Laksamana
Laksamana ialah pangkat yang terdapat dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia. Ia bertaraf empat bintang dan setara dengan pangkat Jeneral dalam Tentera Darat dan Jeneral TUDM Tentera Udara Diraja Malaysia. Pangkat Laksamana disusun lebih rendah dari Laksamana Armada tetapi lebih tinggi dari Laksamana Madya. Di samping TLDM, Tentara Nasional Indonesia - Angkatan Laut, (TNI-AL) juga menggunakan pangkat Laksamana dalam perkhidmatan mereka. Dalam struktur tentera laut, Laksamana dianggap setara dengan pangkat Admiral dan perkataan "Laksamana" sering digunakan dalam penulisan bahasa Melayu bagi merujuk pegawai tentera laut asing yang berpangkat Admiral. Di dalam TLDM, seorang laksamana biasanya memegang jawatan Panglima Tentera Laut atau Panglima Angkatan Tentera.
Sejarah [sunting]
Laksamana adalah satu jawatan tertinggi dalam sistem ketenteraan Kerajaan Melayu Melaka (1400-1511). Dalam sistem Kerajaan Melayu Melaka tentera laut adalah yang paling utama iaitu berasaskan bahawa masyarakat Melayu ketika itu adalah pelaut dan ahli dalam pelayaran. Mereka yang berpangkat Laksamana dalam Kerajaan Melayu Melaka itu digelar Orang Kaya. Hang Tuah dikatakan antara pembesar Melayu pertama yang dikurniakan gelaran Laksamana.
Insignia [sunting]
Tentera laut biasanya mempunyai dua gaya lencana, satu yang dipakai di bahu (shoulder board)dan satu lagi gaya untuk dipakai di pergelangan tangan. Insignia yang biasa dipakai di bahu ialah susunan empat bintang beserta mahkota. Di pergelangan pula, sistem yang hampir serupa digunakan di kebanyakan angkatan laut di dunia. Satu baris lebar, diikuti di atasnya dengan tiga baris sederhana. Kebanyakan negara Komanwel, baris yang di atas sekali mempunyai gelung. Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Indonesia, Jerman dan Jepun mempunyai variasi tersendiri. Perancis pula berbeza dari bilangan bintang yang dipakai.
-
OF9 RN ADM new.gif
Laksamana Tentera Laut Diraja British
Pegawai berbendera [sunting]
Laksamana juga sebahagian dari pegawai berbendera (bahasa Inggeris: Flag Officer) kerana berpeluang mengibarkan benderanya tersendiri sama ada ketika pelayaran atau pada kenderaan rasmi.
