Landasan Rentas Benua Pertama

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Upacara meletakkan "Pancang terakhir" yang diadakan di puncak Promontory, Utah, pada 10 Mei, 1869
Setem sempena ulang tahun yang ke-75 Landasan Rentas Benua, yang dikeluarkan pada tahun 1944

Landasan Rentas Benua Pertama (Bahasa Inggeris: First Transcontinental Railroad) (asalnya dinamakan "Landasan Pasifik", dan kemudiannya "Laluan rentas darat") merupakan landasan keretapi di Amerika Syarikat yang dibina di antara tahun 1863 dan 1869 oleh Central Pacific Railroad dan Union Pacific Railroad yang menghubungkan penghujung timur di Council Bluffs, Iowa/Omaha, Nebraska[1][2] (melalui Ogden, Utah dan Sacramento, California) dengan lautan Pasifik di Oakland, California, pada bahagian pesisir timur teluk San Francisco bertentangan dengan bandaraya San Francisco. Dengan menghubungkannya dengan jaringan landasan sedia ada di timur Amerika Syarikat, laluan ini menghubungkan pantai Atlantik dan Pasifik Amerika Syarikat dengan landasan keretapi buat pertama kali. Jaringan ini terkenal dengan panggilan Overland Route (Bahasa Melayu: Laluan rentas darat), sempena nama syarikat perkhidmatan keretapi penumpang yang beroperasi di laluan ini sehingga penghujung tahun 1962.[3]

Pembinaan dan pengoperasian landasan ini diluluskan oleh Akta Landasan Keretapi 1862 dan 1864 ketika Perang Saudara Amerika. Kongres menyokongnya dengan bon kerajaan A.S dan geran tanah lanjutan bagi tanah kerajaan.[4] Siapnya landasan ini menandakan kemuncak gerakan berdekad lamanya yang memperjuangkan landasan tersebut. Ia merupakan pencapaian yang membanggakan bagi syarikat Union Pacific dan Central Pacific yang membinanya merentasi dataran dan gunung tinggi. Landasan ini dibuka untuk trafik pada 10 Mei, 1869, dengan upacara meletakkan pancang terakhir pada landasan diadakan di puncak Promontory, Utah.[4] Landasan ini berjaya membentuk jaringan pengangkutan rentas benua yang merevolusi populasi dan ekonomi Barat Amerika Syarikat.

Landasan keretapi rentas benua ini dianggap antara pencapaian teknologi Amerika yang terhebat pada kurun ke-19. Ia dianggap mengatasi pembinaan terusan Erie pada 1820 dan lintasan di segenting Panama oleh landasan keretapi Panama pada 1855. Ia bertindak sebagai laluan perhubungan yang penting untuk perdagangan, komersial dan pelancongan yang menggabungkan bahagian timur dan barat Amerika Syarikat pada kurun ke-19. Ia juga secara perlahan-lahan menghentikan operasi kebanyakan laluan kereta kuda dan wagon yang lebih perlahan dan berbahaya. Ia juga membawa kepada kejatuhan jumlah trafik di denai Oregon dan California yang suatu ketika dahulu sangat sibuk. Landasan ini memberikan pengangkutan Timur dan Barat bagi penumpang dan barangan yang lebih cepat, selamat dan murah (tempoh perjalanan 8 hari pada kos $65) yang merentasi separuh benua.

Penjualan lot geran tanah landasan keretapi, dan khidmat pengangkutan yang tersedia untuk balak dan tanaman, telah membawa kepada penerokaan besar-besaran "Padang Pasir Besar Amerika". Pekerja Union Pacific adalah terdiri dari veteran tentera dan imigran Ireland. Kebanyakan jurutera dan penyelia adalah veteran tentera yang telah belajar tentang perdagangan ketika Perang Saudara Amerika. Syarikat Central Pacific yang mengalami kekurangan pekerja di bahagian Barat, sangat bergantung kepada tenaga kerja imigran Cina, namun 10 peratus dari tenaga kerja juga terdiri dari orang Ireland. Mereka telah melakukan pekerjaan yang luar biasa, membina landasan tersebut melalui gunung-gunung Sierra Nevada dan merentas Nevada sehingga ke titik pertemuan di Utah.

Bon Pacific Railroad, dikeluarkan di kounti dan bandaraya San Francisco, 1865

Central Pacific memulakan kerja pembinaan pada 1863. Disebabkan berlaku persaingan untuk pekerja, bahan binaan, enjin dan bekalan landasan, Union Pacific RR tidak memulakan kerja pembinaan sehingga Julai 1865. Pembinaan landasan ini telah menyebabkan peningkatan populasi di barat Amerika dan mengurangkan jumlah kawasan yang dikawal oleh Orang Asli Amerika. Pada tahun 1879, Mahkamah Agung Amerika Syarikat telah ditubuhkan secara rasmi, dalam keputusannya berkenaan kes Union Pacific Railroad vs. Amerika Syarikat (99 U.S. 402), "tarikh penyiapan" rasmi Landasan Rentas Benua Pertama ialah pada 6 November, 1869.

Central Pacific Railroad dan Southern Pacific Railroad telah menggabungkan operasi mereka pada tahun 1870, dan bergabung secara rasmi pada tahun 1885. Pada mulanya, Union Pacific membeli Southern Pacific pada tahun 1901, namun dipaksa melucutkan haknya pada tahun 1913. Pada 1996, Union Pacific membeli Southern Pacific. Banyak hak laluan asal masih digunakan sehingga hari ini dan dimiliki oleh Union Pacific.

Disebabkan keperluan komunikasi yang pantas, kedua-dua syarikat telah membina talian telegraf di sepanjang landasan. Penghubungan ini membolehkan talian telegraf ini lebih mudah dilindungi dan diselenggara berbanding talian Telegraf Rentas Benua Pertama yang asal, yang merentasi sebahagian besar laluan denai Mormon dan laluan Nevada tengah sehingga ke bahagian tengah Utah dan Nevada. Secara beransur-ansur, talian-talian lama ini tidak lagi digunakan dan digantikan dengan talian-talian baru yang melalui landasan rentas benua ini.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Executive Order of Abraham Lincoln, President of the United States, Fixing the Point of Commencement of the Pacific Railroad at Council Bluffs, Iowa. dated March 7, 1864. (38th Congress, 1st Session SENATE Ex. Doc. No. 27)
  2. Cooper, Bruce C., "Riding the Transcontinental Rails: Overland Travel on the Pacific Railroad 1865–1881" (2005), Polyglot Press, Philadelphia ISBN 1-4115-9993-4. p. 11
  3. Cooper, Bruce Clement(Ed), The Classic Western American Railroad Routes. New York: Chartwell Books(US) / Bassingbourn: Worth Press (UK); 2010. ISBN 9780785825739; ISBN 0785825738; BINC: 3099794. pp 44–45
  4. 4.0 4.1 "Profile Showing the Grades upon the Different Routes Surveyed for the Union Pacific Rail Road Between the Missouri River and the Valley of the Platte River". World Digital Library. 1865. Diperoleh pada 2013-07-16.