Larut Matang Kerian

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Daerah Larut, Matang dan Selama merupakan salah sebuah daerah yang terletak di utara Negeri Perak. Daerah ini terletak bersempadanan dengan Daerah Kerian di utara, Daerah Kuala Kangsar dan Daerah Manjung di selatan, Daerah Hulu Perak di timur, Selat Melaka di barat dan Negeri Kedah di utara. Pusat pentadbiran daerah adalah terletak di Bandar Taiping yang merupakan antara bandar terawal di Malaysia. Daerah ini merangkumi 3 daerah kecil iaitu Larut di tengah dan selatan, Matang di barat dan Selama di utara dan mempunyai keluasan 151,104 hektar (170 kilometer persegi).

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Mengikut sejarah, Bandar Taiping telah dibangunkan oleh penjajah Inggeris pada awal tahun 1880'an yang mana pada ketika itu, daerah ini kaya dengan sumber hasil bijih timahnya di sekitar Sungai Larut. Sebelum kedatangan British, daerah ini (pada masa dahulunya dikenali sebagai Jajahan Larut)telah ditadbir oleh Menteri Larut iaitu Dato' Long Jaafar yang telah diberi kuasa oleh Sultan Perak pada ketika dulu untuk mentadbir jajahan ini. Long Jaafar telah membina pusat pentadbirannya di Bukit Gantang dan menjadikan Kuala Sg. Limau di Trong sebagai pelabuhan utama Jajahan Larut. Apabila British menjajah negeri Perak sejurus Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874 di Pangkor, Jajahan Larut telah ditedbir oleh Kapten Speedy sebagai Penolong Residen British. Residen British Pertama di Perak adalah J.W.W. Birch pula mendiami Pasir Salak yang ketika itu dijadikan sebagai Pusat Pentadbiran British. Apabila peristiwa berdarah berlaku di Pasir Salak yang menyaksikan J.W.W. Birch dibunuh oleh pahlawan - pahlawan Melayu Perak yang diketuai oleh Dato' Sagor dan Dato' Maharajalela pada 2 November 1875, pihak British telah memindahkan pentadbiran Negeri Perak ke Bandar Taiping pada 1880'an.

Geographi[sunting | sunting sumber]

Daerah Larut, Matang dan Selama adalah terdiri daripada Mukim Batu Kurau, Mukim Kamunting, Mukim Tupai, Mukim Pengkalan Aor, Mukim Bukit Gantang, Mukim Assam Kumbang, Mukim Matang, Mukim Sg. Tinggi, Mukim Jebong, Mukim Trong, Mukim Hulu Selama, Mukim Selama, Mukim Hulu Ijok dan Mukim Ijok. Manakala bandar - bandar dan pekan - pekan lain adalah Bandar Taiping, Pekan Simpang, Pekan Sg. Tinggi, Pekan Changkat Jering, Pekan Batu Kurau, Bandar Kamunting dan Pekan Selama.

Politik[sunting | sunting sumber]

Daerah ini ditadbir dan diurus oleh 2 pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Taiping bagi beberapa kawasan di dalam pentadbiran Larut dan Matang dan Majlis Daerah Selama bagi kawasan Selama. Daerah Larut, Matang dan Selama terkenal dengan 33 elemen terawal di Malaysia iaitu Jalan Keretapi Pertama yang menghubungkan Bandar Taiping dengan Pelabuhan Kuala Sepetang (Port Weld) pada tahun 1885, Bangunan Telegraf, Taman Tasik Taiping, Muzium Perak, Bangunan Pentadbiran Kerajaan, Rumah Rehat Bandar, Sekolah Pusat, Pasukan Polis Perak dan sebagainya.

Bandar Taiping pernah menjadi ibu negeri Perak sehingga tahun 1937 sebelum ia dipindahkan ke Bandaraya Ipoh.