Le Corbusier

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Le Corbusier di hadapan Notre Dame du Haut, salah satu daripada bangunannya yang termasyhur.

Charles-Edouard Jeanneret, lebih dikenali sebagai Le Corbusier (6 Oktober 188727 Ogos 1965), ialah seorang arkitek Switzerland yang amat dikenali untuk sumbangannya kepada apa yang kini digelarkan modenisme, dan Gaya Antarabangsa. Beliau merupakan perintis dalam kajian teori untuk reka bentuk moden dan berdedikasi untuk memberikan keadaan hidup yang lebih baik kepada penduduk-penduduk bandar raya yang penuh sesak. Dengan tempoh kerjaya selama lima dekad, Le Corbusier membina bangunan-bangunan ikonik di merata-rata tempat di Eropah tengah, India, Rusia, dan sebuah struktur di Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan perancang bandar, pelukis, pengarca, penulis dan pereka bentuk perabot.


Kehidupan awal dan pendidikan, 1887-1913[sunting | sunting sumber]

Le Corbusier dilahirkan di La Chaux-de-Fonds, sebuah bandar yang kecil di kanton Neuchatel, Switzerland barat laut, betul-betul di seberang sempadan dari Perancis. Beliau tertarik kepada seni tampak dan belajar di sebuah sekolah seni tempatan di bawah Charles L'Éplattenier, seorang guru yang sendiri belajar di Budapest dan Paris. Le Corbusier mereka bentuk rumah-rumah terawalnya, seperti Villa Fallet, Villa Schwob, dan Villa Jeanneret (yang terakhir ini ialah untuk ibu bapanya) di La Chaux-de-Fonds. Rumah-rumah ini mengenangkan gaya-gaya seni bina vernakular yang popular di banjaran Alp.

Sering kalinya pada tahun-tahun yang awal, Le Corbusier melarikan diri daripada suasana bandar kelahirannya untuk membuat perjalanan di merata-rata tempat di Eropah. Pada kira-kira 1907, beliau pergi ke Paris dan mendapat pekerjaan di pejabat Auguste Perret, seorang pelopor Perancis dalam konkrit tetulang. Antara Oktober 1910 dan Mac 1911, Le Corbusier bekerja untuk Peter Behrens, seorang arkitek yang terkenal dekat Berlin dan di sana, bertemu dengan Ludwig Mies van der Rohe yang muda ketika itu dan mencapai kefasihan dalam bahasa Jerman. Kedua-dua pengalaman ini terbukti berpengaruh dalam kerjayanya yang kemudian. Pada tahun 1911, Le Corbusier membuat perjalanan ke negara-negara Balkan dan melawat Greece dan Turki. Dalam perjalanan ini, beliau melukis apa yang dilihatnya, termasuk banyak lakaran bangunan Parthenon yang termasyhur. Beliau kemudian memuji bentuk bangunan-bangunan itu dalam karyanya, Vers une architecture pada tahun 1923.

Kerjaya awal: vila-vila, 1914-1930[sunting | sunting sumber]

Le Corbusier berpindah ke Paris secara tetap pada tahun 1916 ketika berumur 29, dan berkawan dengan Amédée Ozenfant, seorang pelukis Kubisme yang kecewa. Menolak Kubisme sebagai suatu gaya yang "romantik" dan tidak rasional, pasangan itu menerbitkan manifesto Après le Cubisme mereka, dan mengasaskan Purisme sebagai sebuah gerakan seni yang baru.

Ozenfant dan Le Corbusier memulakan jurnal Purisme, L'Esprit Nouveau, pada tahun 1920. Dalam terbitan pertama, beliau menggunakan buat pertama kali nama samarannya, iaitu "Le Corbusier"(nama samaran ini ialah bentuk terubah yang berasal daripada nama datuk sebelah ibunya, "Lecorbésier"), yang membayangkan kepercayaannya bahawa sesiapa pun boleh mencipta semula diri sendiri. Sebilangan ahli sejarah seni bina menuntut bahawa nama samaran ini bermaksud "si seakan-akan burung gagak".

Pada masa itu, beliau memulakan kajian-kajian seni bina teori yang menggunakan teknik-teknik moden. Antara kajian-kajian itu ialah sebuah projek untuk Rumah "Dom-ino" (1914-1915). Model ini mencadangkan lantai gelegar terdedah yang terdiri daripada bidur konkrit yang disangga oleh sebilangan kecil tiang konkrit tetulang yang nipis di sekeliling tepi, dengan sebuah tangga yang membekalkan jalan masuk ke setiap aras dari satu belah lantai. Reka bentuk itu kemudian menjadi asas untuk kebanyakan seni binanya pada sepuluh tahun yang berikut. Kemudian, Le Corbusier memulakan firma seni bina sendiri dengan saudara sepupunya, Pierre Jeanneret (1896-1967), suatu perkongsian yang berlangsung sehingga 1940.

Kajian-kajian teori Le Corbusier kemudian diperkembangkan untuk model-model rumah keluarga tunggal yang berbeza-beza. Antara ini ialah Maison "Citrohan," satu pan untuk Citroen, nama pengeluar kereta Perancis, yang disebabkan oleh kaedah-kaedah perindustrian moden dan bahan-bahan yang Le Corbusier menggunakan untuk rumah ini. Untuk rumah ini, Le Corbusier menggunakan struktur tiga tingkat, dengan bilik istirehat yang mempunyai ketinggian dua ganda, bilik-bilik tidur di tingkat dua, dan dapur di tingkat tiga. Bumbungnya digunakan sebagai teres yang bercahaya matahari. Pada luar, Le Corbusier memasang tangga untuk membekalkan jalan masuk ke tingkat dua dari tingkat bawah. Seperti dengan projek yang lain dalam tempoh ini, beliau juga mereka bentuk muka bangunan yang termasuk banyak ruang tingkap tak terganggu. Rumah itu berbentuk empat segi, dengan dinding luar yang tiada tingkap ditinggalkan sebagai ruang stuko yang putih. Le Corbusier meninggalkan ruang dalam di rumah itu dalam keadaan serba kurang, dengan sebarang perabot gerak dibuat daripada rangka tiub logam dan dinding-dinding dalaman ditinggalkan putih. Lampu-lampu terdiri daripada mentol lampu tunggal yang terdedah.

Antara 1922 dan 1927, Le Corbusier dan Pierre Jeanneret mereka bentuk banyak rumah persendirian untuk pelanggan-pelanggan di sekeliling Paris. Di Boulogne-sur-Seine dan daerah pentadbiran ke-16 di Paris, Le Corbusier dan Pierre Jeanneret mereka bentuk dan membina Vila Lipschitz, Maison Cook (sila linat William Edwards Cook), Maison Planeix, dan Maison LaRoche/Albert Jeanneret (kini menempatkan Fondation Le Corbusier).

Lima perkara dalam seni bina[sunting | sunting sumber]

Vila Savoye (1929-1931) adalah bangunan yang merumuskan dengan paling padat lima perkara dalam seni bina Le Corbusier yang beliau telah menerangkan dalam jurnal, L'Esprit Nouveau, serta bukunya, Vers une architecture, dan yang belia telah memperkembangkan sepanjang abad 1920-an. Kelima-lima perkara itu adalah seperti berikut:

  • Perkara pertama: Le Corbusier menaikkan kebanyakan daripada struktur bangunan itu dari aras tanah dan menyangganya dengan tiang konkrit tetulang. Tiang-tiang itu, yang digelarkannya piloti, membenarkannya menerangkan kedua-kedua perkara yang berikut.
  • Perkara kedua dan ketiga: (1) Muka bangunan yang bebas, iaitu dinding-dinding yang tidak menyangga sebarang berat (dinding tiras) dapat direka bentuk menurut kehendak arkitek tanpa sekatan. (2) Lantai gelegar terdedah bermakna bahawa ruang lantai adalah bebas untuk direka bentuk dengan bilik-bilik tanpa membimbangkan diri dengan tiang-tiang atau dinding-dinding penyangga.
  • Perkara keempat: Aras kedua Vila Sayoye termasuk jalur-jalur tingkap reben yang panjang dan yang membenarkan pemandangan kawasan sekeliling tanpa disekat oleh tiang-tiang.
  • Perkara kelima: Sebuah tanjakan dari aras tanah ke teres bumbung tingkat tiga membenarkan sesiaran seni bina melintasi struktur. Susur tiub putih mengenangkan estetik kapal "ocean-liner" perindustrian yang Le Corbusier amat mengagumi. Dan seolah-olah membubuhkan tanda seru pada penghormatan Le Corbusier kepada industri moden, jalan masuk rumah di sekeliling tingkat bawah yang berbentuk separuh bulat mempunyai ukuran yang tepat sama dengan jejari pusingan kereta Voisin 1929.

Penglibatan dalam kebandaran, 1922-1929[sunting | sunting sumber]

Selama beberapa tahun, pegawai-pegawai Perancis telah gagal untuk menyelesaikan masalah kekotoran di kawasan sesak Paris, dan Le Corbusier mencari cara yang lebih cekap untuk menyediakan tempat tinggal untuk sejumlah penduduk yang besar sebagai gerak balas terhadap krisis perumahan bandar. Beliau mempercayai bahawa bentuk-bentuk seni binanya yang moden akan membekalkan satu penyelesaian organisasi yang baru yang akan meningkatkan kualiti hidup untuk kelas-kelas bawahan yang tinggal di dalam tempat kediaman yang kotor. Vila Immeubles (1922) merupakan suatu projek tersebut yang terdiri daripada blok-blok pangsapuri yang besar. Setiap blok mengandungi unit-unit berasingan yang seakan-akan sel, dan yang mempunyai bilik istirehat, bilik-bilik tidur, dapur, serta teres taman. Setiap unit disusun satu di atas yang lain.

Tidak berpuas hati dengan perekaan bentuk untuk hanya beberapa blok perumahan, Le Corbusier kemudian mengalihkan perhatiannya kepada kajian-kajian untuk seluruh bandar raya. Pada tahun 1922, beliau menyampaikan skimnya untuk sebuah Bandaraya Sezaman untuk Tiga Juta Penduduk. Mengikut pelan ini, pusat kawasan terdiri daripada sekumpulan pencakar langit krusiform enam puluh tingkat yang dibina daripada rangka-rangka keluli dan dipasang dengan dinding tirai yang diperbuat daripada kaca. Bangunan-bangunan ini yang menempatkan pejabat-pejabat dan tempat kediaman untuk penduduk yang paling kaya ditempatkan di dalam taman-taman besar yang berbentuk empat segi. Pusat kawasan yang eksklusif ini menempatkan pusat pengangkutan yang besar, dan pada aras-aras yang berbeza ditempatkan stesen-stesen untuk bas dan kereta api, serta persimpangan lebuh raya. Aras yang tertinggi menempatkan sebuah lapangan terbang. (Le Corbusier mempunyai tanggapan khayalan bahawa kapal terbang akan mendarat di antara pencakar-pencakar langit. Beliau mengasingkan laluan pejalan kaki daripada jalan raya, dan mengagungkan penggunaan kereta untuk pengangkutan. Di luar kawasan pencakar-pencakar langit terletak blok-blok berliku-liku yang berbilang tingkat yang ditempatkan di ruang hijau. Blok-blok itu diundurkan jauh daripada jalan raya dan menyediakan tempat tinggal untuk pekerja-pekerja daripada golongan murba. Le Corbusier berharap bahawa usahawan-usahawan yang bersikap politik di Perancis akan mengetuai penyusunan semula masyarakat dengan strategi-strategi Taylorisme dan Fordisme mereka yang diambil daripada model-model Amerika.

Dengan semangat pengusaha yang baru ini, Le Corbusier memulakan sebuah jurnal yang dipanggil L'Esprit Nouveau. Jurnal ini menyokong teknik-teknik dan strategi-strategi perindustrian moden untuk mengubah masyarakat supaya menjadi satu persekitaran yang lebih cekap dengan taraf hidup yang lebih tinggi pada semua peringkat sosioekonomi. Beliau memperdebatkan dengan tegas bahawa perubahan ini diperlukan untuk mengelakkan bayang-bayang pemberontakan yang akan menggoncangkan masyarakat. Pernyataan rasminya, "Seni Bina atau Revolusi," yang diperkembangkan dalam makalah-makalahnya untuk jurnal ini kemudian menjadi teriakan perhimpunan untuk bukunya, Vers une architecture ("Ke Arah Seni Bina" yang salah diterjemahkan sebagai Ke Arah Seni Bina yang Baru). Buku ini terdiri daripada makalah-makalah pilihan dalam L'Esprit Nouveau antara 1920 dan 1923.

Skim-skim bandar teorinya meneruskan pengambilan masa Le Corbusier. Beliau mempamerkan Pelan Voisinnya (ditajai oleh lagi satu pengeluar kereta yang masyhur) pada tahun 1925. Dalam pelan ini, beliau mencadangkan perataan beberapa bahagian besar Paris di utara Seine dan menggantikannya dengan menara-menara krusiform enam puluh tingkat daripada "Bandaraya Sezaman" yang ditempatkan dalam grid jalan raya ortogon dan ruang hijau berbentuk taman. Skimnya hanya ditemui dengan kritikan dan cemuhan daripada ahli-ahli politik dan usahawan-usahawan Perancis, walaupun mereka menyokong idea-idea Taylorisme dan Fordisme yang berdasarkan reka bentuk Le Corbusier. Bagaimanapun, idea-idea Le Corbusier menimbulkan banyak perbincangan tentang bagaimana keadaan-keadaan kotor dan mengejangkan yang menyelimuti kebanyakan bandar raya Paris harus dikendalikan.



Perabot[sunting | sunting sumber]

Le Corbusier memulakan uji kaji reka bentuk perabot pada tahun 1928 selepas menjemput arkitek Charlotte Perriand untuk menyertai studionya. Pierre Jeanneret, saudara sepupunya, juga membantu dalam banyak reka bentuknya. Sebelum ketibaan Perriand, Le Corbusier bergantung kepada perabot-perabot siap cipta, seperti perabot mudah yang dikilangkan oleh Thonet, untuk melengkapi projek-projeknya,

Pada tahun 1928, Le Corbusier dan Perriand memulakan penghasilan jangkaan perabot Le Corbusier sebagaimana yang digariskan dalam L'Art Décoratif d'aujourd'hui, bukunya yang diterbitkan pada tahun 1925. Dalam buku itu, beliau mentakrifkan tiga jenis perabot yang berbeza: keperluan jenis, perabot jenis, dan objek anggota manusia. Beliau mentakrifkan "objek anggota manusia" sebagai: "Tambahan untuk tangan dan kaki kita yang disesuaikan untuk fungsi-fungsi manusia. Keperluan jenis, fungsi jenis, oleh itu, objek jenis dan perabot jenis. Objek anggota manusia ialah pembantu menurut kata. Seorang pembantu yang baik adalah seorang yang berhati-hati dan tidak suka menonjolkan diri supaya dapat membebaskan tuannya. Tentu sahaja, karya-karya seni ialah alat-alat, alat-alat yang cantik. Hidup lama pilihan baik yang ditunjukkan oleh pilihan, ketakketaraan, keseimbangan dan keharmonian".

Hasil-hasil pertama untuk kerjasama itu ialah kerusi-kerusi tuib keluli bersadur krom yang direka bentuk untuk dua projeknya, Rumah Maison La Roche di Paris, serta sebuah astaka untuk Gereja Henry dan Barbara. Barisan perabotnya diperluaskan pada tahun 1929 untuk Pelengkapan untuk Rumah yang merupakan pemasangan untuk Salon d'Automne.

Pada tahun 1964, ketika Le Corbusier masih hidup, Cassina S.p.A. dari Milan memperoleh hak sejagat yang eksklusif untuk mengilang reka-bentuk perabotnya. Pada hari ini, banyak perabot tiruan telah dihasilkan, tetapi Cassina masih merupakan pengilang tunggal yang disahkan oleh Fondation Le Corbusier.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Bertindak bertentangan dengan nasihat doktornya, Le Corbusier pergi berenang di Laut Mediterranean, Roquebrune-Cap-Martin, Perancis pada 27 Ogos 1965. Mayatnya ditemui oleh orang yang berenang di sana dan beliau diisytiharkan maut disebabkan serangan sakit jantung pada pukul 11 pagi, ketika berumur 78 tahun. Upacara pengebumian diadakan di Istana Louvre pada 1 September 1965 di bawah arahan penulis dan pemikir Andre Malraux yang ketika itu merupakan Menteri Kebudayaan Perancis.

Kematian Le Corbusier mengakibatkan kesan yang kuat kepada dunia kebudayaan dan politik. Penghormatan diterima dari seluruh dunia dan sebilangan penentang Le Corbusier yang paling teruk, seperti pelukis Salvador Dalí, mengakui kepentingan beliau dan menghantarkan bunga penghormatan kepadanya.

Pada era Perang Dingin, Presiden Amerika Syarikat berkata: "Pengaruhnya sejagat dan karya-karyanya mempunyai suatu kualiti tetap yang jarang ditonjolkan dalam karya artis-artis dalam sejarah kita". Kesatuan Soviet berjawab: "Seni bina moden telah hilang tokohnya yang terunggul". Saluran-saluran televisyen Jepun memutuskan untuk menyiarkan muziumnya di Tokyo dengan serentak, suatu penghormatan media yang unik ketika itu.

Pengaruh[sunting | sunting sumber]

Le Corbusier amat terpengaruh dalam lingkungan perancangan bandar, dan merupakan ahli pengasas Congres Internationaux d'Architecture Moderne (CIAM). Salah seorang yang pertama untuk menyedari bagaimana kereta akan menukarkan kelompokan manusia, Le Corbusier memerihalkan bandar raya masa hadapan sebagai terdiri daripada pangsapuri-pangsapuri besar yang didirikan di atas tiang-tiang dalam persekitaran taman. Teori-teori Le Corbusier digunapakai oleh pembina-pembina perumahan awam di Amerika Syarikat. Bagi reka bentuk bangunan-bangunan, Le Corbusier berkata: "mengikut undang-undang, semua bangunan harus berwarna putih" dan mengkritikkan sebarang usaha untuk hiasan. Struktur-struktur besar yang serba kurang di dalam bandaraya-bandaraya, tetapi bukan untuk bandaraya-bandaraya, telah dikritikkan secara meluas sebagai struktur-struktur yang membosankan dan tidak menyenangkan bagi para pejalan kaki. Pelan bandar raya Brasília didasarkan pada idea-ideanya, dan begitu juga dengan pelan Chandigarh di India. Pemikiran Le Corbusier juga menghasilkan kesan-kesan yang mendalam untuk falsafah perancangan bandar dan seni bina Kesatuan Soviet.

Le Corbusier amat dipengaruhi oleh masalah-masalah yang beliau melihat di dalam bandarraya-bandaraya perindustrian pada peralihan abad. Beliau menganggap bahawa teknik-teknik perumahan perindustrian menyebabkan kesesakan, kekotoran, dan kekurangan landskap moral. Le Corbusier merupakan pemimpin gerakan Modenisme untuk mewujudkan keadaan hidup dan masyarakat yang lebih baik melalui konsep-konsep perumahan. Bandaraya-bandaraya Taman Hari Keesokan Ebenezer Howard amat mempengaruhi Le Corbusier dan arkitek-arkitek sezamannya.

Bangunan-bangunan penting[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]