Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
Logo terkini FELDA sejak 2004.

Menara FELDA, Platinum Park, Kuala Lumpur, Malaysia
Intisari agensi
Dibentuk6 Julai 1956; 67 tahun yang lalu (1956-07-06)
JenisAgensi
Bidang kuasa
Kerajaan Malaysia
Ibu pejabatMenara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Eksekutif Agensi
Agensi induk
Jabatan Perdana Menteri
Laman sesawang
www.felda.gov.my

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) (bahasa Inggeris: Federal Land Development Authority atau FELDA) adalah satu agensi kerajaan Malaysia yang menangani penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangun agar meningkatkan taraf ekonomi mereka. Agensi ini menumpukan kepada pembukaan ladang-ladang pekebun kecil untuk tanaman kontan. Skim-skim FELDA tidak hanya dikhaskan untuk membantu orang Melayu yang miskin malah beberapa buah FELDA terawal seperti Felda LBJ dan Felda Lurah Bilut menerima peneroka pelbagai kaum sperti kaum Cina dan kaum India, begitu juga FELDA di Sabah dan Sarawak yang mana peneroka terdiri dari pelbagai kaum dan keturunan yang membentuk sebilangan besar penduduk Malaysia. Sehingga tahun 2000, FELDA mengusahakan tanah sebanyak 9,000 kilometer persegi, kebanyakannya ladang kelapa sawit. Walaupun objektif utama FELDA adalah untuk mengurangkan kemiskinan di luar bandar melalui petempatan semula, ia dilaporkan juga memegang kepentingan minoriti dalam sebilangan bank utama Malaysia.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

evolusi logo FELDA

FELDA diwujudkan pada 1 Julai 1956 apabila Akta Pembangunan Tanah (1956) dikuatkuasakan.[1] Modal permulaannya RM10 juta, dan petempatan sulung yang terdiri daripada 16.2 kilometer persegi pokok getah dibuka di Ayer Lanas pada 1957 . Pada tahun 1958, lima skim yang serupa dibuka.[2] Ianya ditadbirkan oleh sebuah Lembaga yang bertanggungjawab kepada Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri. FELDA berperanan untuk memajukan tanah baru untuk dijadikan ladang pertanian yang produktif melalui pengurusan pertanian yang berkesan di kalangan peneroka serta menggalakkan pertumbuhan masyarakat yang maju dan berdisiplin. Pada dekad 1960-an dan 1970-an, dasar kerajaan mula menekankan pelbagaian tanaman untuk mengelakkan kejatuhan harga yang besar. Pada tahun 1961, petempatan kelapa sawit FELDA yang sulung dibuka, dengan 3.75 km² tanah. Sehingga tahun 2000, tanah sebanyak 6,855.2 km² di bawah rancangan FELDA tertumpu kepada kelapa sawit.[2]

FELDA bertumpu di Semenanjung Malaysia, manakala agensi-agensi kerajaan yang lain bertanggungjawab kepada pembangunan tanah di negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang membentuk Malaysia Timur.[3]

Dasar Pengambilan Peneroka[sunting | sunting sumber]

Kerajaan telah membuat keputusan tidak lagi melaksanakan pengambilan peneroka baru mulai 1 Januari 1990 di semua tanah rancangan seluruh negara. Keputusan kerajaan adalah berdasarkan sumber kewangan yang terhad untuk membiayai projek pembangunan dan infrastruktur di tanah rancangan. Rancangan yang tiada berpeneroka diuruskan oleh FELDA dan hasilnya digunakan untuk membiayai kos pengurusan dan segala projek infrastruktur di tanah rancangan.


Pengurusan skim[sunting | sunting sumber]

FELDA New Zealand di Pahang.
FELDA Ulu Tebrau di Johor.

FELDA mempunyai tiga peringkat pengurusan iaitu :

  • Ibu Pejabat
  • Wilayah
  • Rancangan

Peserta rancangan FELDA digelar Peneroka FELDA dipilih daripada kalangan orang Melayu termiskin di luar bandar.[4] Mereka perlu sihat, berumah tangga, dan antara umur 21 hingga 50 tahun, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak bertanah untuk berladang.[2] Peneroka baru diberikan tanah sebanyak 10 ekar (40,000 m²) di petempatan yang tertentu untuk mengerjakan ladang pokok getah atau kelapa sawit khususnya.[5] Semua peneroka diperlukan tinggal di kawasan petempatan, dan diperuntukkan 0.25 ekar (1,000 m²) di sebuah kampung terancang yang telah dibina oleh FELDA. Walaupun pada suatu ketika, infrakstruktur asas seperti air paip dan elektrik tidak dibekalkan,[6], kemudahan tersebut kini diberikan, termasuk juga sekolah, pusat perubatan, dan surau.[7]

Pada asalnya, skim-skim FELDA direka bentuk sebagai koperasi yang sebagai ganti untuk setiap peneroka memiliki tanah sendiri, mereka memiliki sebahagian pemilikan yang sama bagi skim mereka. Bagaimanapun, peneroka-peneroka tidak suka akan skim ini kerana pekerja-pekerja yang tidak berusaha masih akan menerima manfaat yang sama. Oleh itu, kerajaan kemudian mencipta sebuah rancangan yang terdiri daripada tiga fasa. Dalam fasa pertama, koperasi itu masih merupakan mekanisme bagi peneroka-peneroka belajar bagaimana berladang. Dalam fasa kedua, setiap peneroka diberikan tanah tertentu dan dalam fasa ketiga, mereka diberikan hak milik tanah mereka.[2] Bagaimanapun, peneroka-peneroka dilarang menjual tanah tanpa kebenaran FELDA atau kerajaan persekutuan.[8]

Kos memperoleh dan memajukan tanah ditanggung oleh peneroka FELDA melalui pinjaman yang dibayar balik melalui ansuran-ansuran bulanan yang dipotong daripada pendapatan peneroka selama 15 tahun.[6]

Walaupun peneroka-peneroka harus menumpukan kegiatan-kegiatan mereka pada pertanian, telah dilaporkan bahawa sebilangan besar juga terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang lain seperti berkedai dan berniaga. Terdapat juga mereka yang bekerja di luar petempatan.[6] Pada tahun-tahun kebelakangan ini, pertumbuhan kawasan-kawasan bandar telah menyebabkan peningkatan nilai tanah yang amat besar bagi sebilangan petempatan. Dengan kebenaran, banyak peneroka telah menjual ladang mereka dan menjadi jutawan segera.[2]

Sumber kewangan bagi membiayai projek-projek pembangunan oleh FELDA diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan, Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia, Tabung Kerajaan Kuwait, Tabung Pembangunan Arab Saudi dan lain-lain. Wang ini diperolehi dalam bentuk pinjaman untuk membiayai kerja-kerja pertanian, pembinaan kilang dan perumahan peneroka. Peneroka tidak dikenakan sebarang potongan untuk kos pengurusan. Kos pengurusan dibiayai dengan peruntukan yang diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan. Bagi Hak peneroka pula, FELDA hanya akan mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya dikeluarkan surat hak milik setelah peneroka menunaikan tanggungjawab sebagai peneroka dan selesai membayar kembali kos pembangunan kepada FELDA termasuk bayaran Cukai Tahunan Yang Disatukan kepada Kerajaan Negeri. Bagi peneroka yang telah menerima surat hak milik, apabila berlaku kematian, pembahagian kawasan pegangan kepada waris-waris simati akan diuruskan oleh pejabat tanah daerah yang berkenaan. Bagi peneroka yang belum menerima surat hak milik ianya akan diuruskan oleh unit pesaka kecil Pejabat Daerah dengan kerjasama Pengurus Rancangan. Kerajaan telah membuat keputusan tidak lagi melaksanakan pengambilan peneroka baru mulai 1 Januari 1990 di semua tanah rancangan seluruh negara. Keputusan kerajaan adalah berdasarkan sumber kewangan yang terhad untuk membiayai projek pembangunan dan infrastruktur di tanah rancangan. Rancangan yang tiada berpeneroka diuruskan oleh FELDA dan hasilnya digunakan untuk membiayai kos pengurusan dan segala projek infrastruktur di tanah rancangan.

Mempelbagaikan ekonomi[sunting | sunting sumber]

FELDA telah mempelbagaikan kegiatannya daripada kegiatan pembangunan tanah yang asal kepada usaha-usaha ekonomi yang lain — sebilangannya kegiatan itu langsung tidak berkait dengan petempatan semula. Walaupun FELDA mempunyai anak-anak syarikat yang terlibat dalam perniagaan-perniagaan seperti pemasaran, pengangkutan, dan kilang-kilang [2], ia juga telah dilaporkan mempunyai kepentingan di sebilangan bank Malaysia yang utama, umpamanya Maybank.[9]

Majlis Belia FELDA Malaysia[sunting | sunting sumber]

Setelah FELDA diwujudkan pada 1 Julai 1956, pelbagai pertubuhan belia wujud di dalam rancangan FELDA seperti Persatuan Belia Felda, Gerakan Belia 4B, MAYC, HYO dan lainlain.

Pada tahun 1969, Gabungan Persatuan Belia Felda Wilayah Selatan (PBFWS) ditubuhkan. Pada tahun 1975 ianya ditukar nama kepada Majlis Belia Felda Kawasan Selatan dan diterima menjadi Ahli Bersekutu atau badan gabungan Majlis Belia Malaysia.

Pada tahun 1977 satu perjumpaan para belia Felda telah diadakan di Wisma YMCA Kuala Lumpur bertujuan menubuhkan Majlis Belia Felda Kebangsaan bagaimanapun ianya gagal berfungsi. Pada 27 Oktober 1980 Felda mengatur satu perjumpaan untuk membentuk Gerakan Persatuan Belia Felda Kebangsaan di Institut Pembangunan Tanah FELDA (INPUT) Trolak, bagaimanapun ianya turut menemui kegagalan dan usaha-usaha kearah mewujudkan semula Majlis Belia Felda terus dilaksanakan.

Pada April 1988, satu perjumpaan khas belia Felda telah diadakan di Johor Bahru bagi membincangkan penubuhan Majlis Belia Felda Kebangsaan telah diadakan. Lanjutan dari usaha tersebut, satu mesyuarat penaja penubuhan telah diadakan pada Julai 1988 di Asrama Semai Bakti FELDA, Kuala Lumpur.

MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA telah ditubuhkan dengan rasmi dan didaftarkan pada 7 Ogos 1991 dengan keahlian seramai 59,836 orang. Mesyuarat Agung Kali Pertama telah diadakan pada 9 Oktober 1991 di Institut Pembangunan Tanah FELDA (INPUT) yang disempurnakan oleh YB Encik Yassin Kamari, Timbalan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar Malaysia. Matlamat penubuhannya adalah untuk menjadi sebuah badan penyelaras persatuan-persatuan belia Felda di Malaysia. Penubuhan MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA juga selari dengan hasrat kerajaan untuk melihat generasi kedua Felda proaktif menghadapi cabaran dalam era globalisasi.

Pada 26 Jun 2008, MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Penubuhan Pendaftar Pertubuhan Belia adalah berkait rapat dengan kewujudan Akta Pertubuhan Belia & Pembangunan Belia 2007 dan fungsinya untuk mentadbir Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007. Akta ini telah diwartakan pada 26 Julai 2007 dan mula berkuatkuasa pada 31 Disember 2007. Akta ini perlu dalam memperkasa pertubuhan belia supaya mampu menarik lebih ramai golongan muda bergiat aktif dalam pertubuhan belia. Akta ini penting bagi memastikan bahawa pertubuhan belia tetap relevan dalam pembangunan negara menerusi suatu sistem pengurusan dan pemantauan yang lebih teratur.

MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA amat komited terhadap rancangan yang disebutkan di atas dan oleh itu kami akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan keupayan kami dalam bidang yang diceburi ini. Dengan berbekalkan kepada keyakinan yang tinggi dan diurus tadbir oleh mereka yang berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi sudah tentu akan menjadikan Majlis Belia Felda Malaysia sebuah pertubuhan belia yang mampu bersaing dengan pertubuhan belia lain yang sedia ada.

Jumlah cawangan MBFM di seluruh negara adalah sebanyak 308 persatuan yg terletak di 11 buah wilayah.

Presiden-presiden Majlis Belia Felda Malaysia 1. Ramli Hj Ismail (Felda Sg. Sayong) 2. Anuar Abd Manap (Felda Pemanis 2) 3. Muhammad Fadzli Hasan (Felda Air Tawar 2)

Isu dan Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Aliran tunai menjunam tetapi aset bertambah[sunting | sunting sumber]

Penjelasan Ahmad Maslan[sunting | sunting sumber]

Pada 16 Jun 2010, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menjelaskan status kewangan Felda adalah sebanyak RM4.08 bilion pada tahun 2004 jatuh kepada RM1.35 bilion pada 2009 kerana ia digunakan untuk tujuan kebajikan—RM2 bilion untuk penanaman semula tanaman, RM603 juta untuk pinjaman rumah tanpa faedah, RM253 juta bagi tabung pembasmian kemiskinan Sabah dan RM662 juta diperuntukkan untuk pembangunan ibupejabat baru Felda. Pada masa yang sama, aset Felda bertambah dengan pulangan daripada RM9.17 bilion pada 2004 kepada RM15.37 bilion kepada 2009, menokok sebanyak RM6.2 bilion.[10]

Desakan NGO, PKR dan Laporan ke SPRM[sunting | sunting sumber]

Ini menyebabkan desakan daripada pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong yang juga timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004 mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat dakwaan salahurus dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).[11] Desakan ini disuarakan oleh penyelaras PKR, Datuk Zaid Ibrahim menuntut supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan cengkamannya ke atas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi membolehkan organisasi itu diuruskan secara telus dan profesional.[12] Pada 28 Jun 2010, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang diwakili oleh pengerusinya, Mazlan Aliman membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Julai dan menyerahkan "dokumen lengkap" dakwaan 'salah guna kuasa' dalam Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA).[13] dan mencabar Datuk Ahmad Maslan berdebat berhubung dakwaan kemerosotan rizab Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA).[14]

Zaid, Suara Keadilan disaman[sunting | sunting sumber]

Dalam Suara Keadilan bertarikh 22 - 29 Jun, selain laporan muka depannya, akhbar mingguan itu turut memuatkan beberapa siri laporan khusus tentang hal ehwal kewangan FELDA. Ini menyebabkan Datuk Ahmad Maslan menyaman Suara Keadilan dan Zaid serta menamakan ketua pengarang akhbar itu, wartawan-wartawan terbabit dan empat pemimpin pembangkang iaitu penyelaras Pakatan Zaid Ibrahim, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Tan Kee Kwong dan Suhaimi Said serta wakil rakyat PAS Mohd Abdul Wahid Endut. Pada 1 Julai 2010, Felda menuntut ganti rugi sebanyak RM200 juta terhadap akhbar Suara Keadilan dan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari berhubung penyiaran artikel "Felda bankrap" oleh akhbar berkenaan.[15]

Bantahan terhadap Suara Keadilan[sunting | sunting sumber]

Pada 27 Jun 2010, Umno bahagian Kota Raja hari ini diketuai oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam mengadakan majlis membakar akhbar organ PKR Suara Keadilan yang terbaru ekoran laporannya mendakwa Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) bankrap. Mereka menyokong tindakan FELDA menyaman Suara Keadilan.[16] Pada 30 Jun 2010, kira-kira 200 orang menyerbu pejabat akhbar PKR - Suara Keadilan - di Shah Alam bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap laporan terbaru di muka depannya yang berjudul 'Felda Bankrap', kata ketua editor akhbar berkenaan. Kumpulan yang mendakwa sebagai generasi kedua peneroka Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) berkumpul sedikit demi sedikit sebelum menyerahkan memorandum bantahan mereka dua jam selepas itu. Dalam pada itu beberapa naskhahSuara Keadilan turut dibakar.[17]

Saman terhadap FELDA[sunting | sunting sumber]

Pada 9 Ogos 2010, Seramai 766 peneroka Felda memfailkan saman berjumlah RM200 juta di Mahkamah Tinggi Seremban terhadap agensi kerajaan itu atas dakwaan terlibat dalam penipuan dan pecah amanah dalam jual beli hasil kelapa sawit. Tuntutan itu difailkan oleh peguam Sivarasa Rasiah bagi pihak peneroka daripada Felda Serting dan Gugusan Raja Alias, berdekatan Jempol, Negeri Sembilan. Mereka menamakan Felda dan Felda Palm Sdn Bhd masing-masing sebagai defenden pertama dan kedua.[18] Tuntutan itu ini mendapat reaksi daripada Pengerusi PKR Negeri Sembilan, YB Datuk Kamarul Baharin Abbas yang mengatakan pendapatnya bahawa peneroka Felda patut menuntut jumlah yang lebih tinggi daripada RM200 juta dalam samannya terhadap agensi kerajaan itu memandangkan keringat membangunkan hartanah itu lebih tinggi nilainya.[19]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mengenai FELDA Diarkibkan 2017-08-27 di Wayback Machine.
  2. ^ a b c d e f Simeh, Arif & Tengku Ahmad, Tengku Mohd. Ariff (2001). "Kajian Kes mengenai Kelapa Sawit Malaysia" Diarkibkan 2005-12-18 di Wayback Machine. Dicapai pada 19 Februari 2006.
  3. ^ Manshard, Walther & Morgan, William B. (eds., 1988). "Malaysia". Dicapai pada 19 Februari 2006.
  4. ^ Ryter, Loren S. (10 Januari 2005). "Sejarah Hubungan Ras di Malaysia" Diarkibkan 2007-03-11 di Wayback Machine. Malaysia Today.
  5. ^ "Kawasan Kebun" Diarkibkan 2006-01-29 di Wayback Machine. Dicapai pada 19 Februari 2006.
  6. ^ a b c Massard, Josiane L. (1988). "Adakah peneroka Malaysia petani baru? Pencerapan antropologi tentang komuniti yang mula tumbuh." Dicapai pada 19 Februari 2006.
  7. ^ "Kawasan Perkampungan" Diarkibkan 2006-04-08 di Wayback Machine. Dicapai pada 19 Febrauari 2006.
  8. ^ Sbaran, Mohammad Shatar (2001). "MALAYSIA" Diarkibkan 2005-01-26 di Wayback Machine. Dicapai pada 19 Februari 2006.
  9. ^ "Jurulelong Negara" Diarkibkan 2005-11-23 di Wayback Machine. (3 September 2005). Malaysia Today.
  10. ^ "K'jaan akui aliran tunai Felda menjunam", Malaysiakini.com. 16 Jun 2010.
  11. ^ "Bekas timbalan menteri mahu Felda disiasat", Malaysiakini.com. 18 Jun 2010.
  12. ^ "Zaid: Najib perlu lepaskan Felda", Malaysiakini.com. 18 Jun 2010.
  13. ^ "NGO lapor pada SPRM isu FELDA", Malaysiakini.com. 28 Jun 2010.
  14. ^ "Aktivis FELDA cabar Ahmad Maslan debat". Malaysiakini.com. 28 Jun 2010.
  15. ^ "Felda tuntut RM200 juta daripada Suara Keadilan", Malaysiakini.com, 1 Julai 2010.
  16. ^ "'FELDA Bankrap': Umno bakar Suara Keadilan", Malaysiakini.com 27 Jun 2010.
  17. ^ "'Felda Bankrap': Pejabat Suara keadilan diserbu". Malaysiakini.com. 30 Jun 2010.
  18. ^ "Felda disaman 700 Peneroka", Malaysiakini.com. 9 Ogos 2010.
  19. ^ "", Malaysiakini.com. 10 Ogos 2010.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]