Lembaga Penapisan Filem

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Lembaga Penapisan Filem (LPF) merupakan agensi yang ditugaskan untuk menapis kandungan rakaman untuk filem dan video untuk ditayangkan di Malaysia.[1] LPF ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971) dengan tujuan "menjaga keselamatan negara dan keharmonian kaum serta melindungi kepentingan negara dan rakyat daipada pengaruh buruk dan unsur-unsur negatif yang mungkin dipaparkan dalam sesetengah filem, sejajar dengan tuntutan prinsip-prinsip Rukun Negara." Siaran TV dan Internet tiada dalam bidang kuasa LPF.

LPF merupakan badan yang bertanggungjawab mengelaskan filem-filem yang hendak memasuki pasaran Malaysia mengikut kesesuaian dengan masyarakat. Kelulusan filem dibahagi kepada empat kategori, iaitu:

  • Lulus Bersih (LB): Diluluskan tanpa adegan yang perlu dipotong.
  • Lulus Dengan Potongan (LDP): Diluluskan dengan arahan sesetengah adegan perlu dipotong kerana tidak sesuai dipertontonkan.
  • Haram: Langsung tidak dibenarkan untuk tayangan, setelah disemak oleh LPF.
  • Ditolak: Ditolak oleh LPF tanpa semakan.

Klasifikasi filem diberi kepada semua filem yang lulus (LB dan LDP), bermula tahun 1996. Klasifikasi filem adalah seperti berikut (kemaskini pada April 2010):

  • U (Umum): Keseluruhan bahan sesuai ditonton oleh semua golongan masyarakat.
  • P-13 (Parental Guidance 13): Bimbingan ibu bapa untuk kanak-kanak bawah umur 13 tahun. Diperkenalkan pada tahun 2008, untuk filem-filem yang mengandungi adegan yang kurang sesuai ditonton kanak-kanak berusia tidak mencecah 13 tahun, oleh itu memerlukan bimbingan orang dewasa.
  • 18: 18 tahun ke atas sahaja. Untuk bahan-bahan yang mengandungi kandungan yang lebih dewasa, unsur-unsur ganas, seram dan seks, yang tidak keterlaluan, atau menyentuh unsur sensitif politik, agama dan kebudayaan
Sewaktu diperkenalkan, terdapat empat klasifikasi 18 yang diiringi dua huruf yang melambangkan unsur filem, tetapi dimansuhkan pada April 2010 atas arahan LPF. Empat klasifikasinya ialah:
  • 18-SG: Unsur seram dan ganas yang tidak keterlaluan
  • 18-SX: Unsur seks yang tidak keterlaluan
  • 18-PA: Unsur sensitif politik, agama dan kebudayaan
  • 18-PL: Pelbagai (Lebih daripada satu unsur-unsur di atas)

Tiada lagi tapisan filem[sunting | sunting sumber]

Berkuatkuasa tahun 2012, Lembaga Penapis Filem (LPF) telah menetapkan bahawa pihaknya tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya peranan tersebut akan diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem itu sendiri.

Menurut Tan Sri Mahmood Adam yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, ketetapan itu diambil kira selepas meneliti pandangan dari semua pihak khususnya yang menjayakan industri perfileman negara. Bagaimanapun jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu bertanggungjawab.

Langkah ini juga diambil demi memenuhi kehendak rakyat dan penonton di Malaysia yang mahukan kebebasan dalam industri perfileman, tetapi rakyat dinasihatkan agar berhati-hati jika ada filem barat yang ditayangkan mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan akidah atau agama mereka perlu menilai sendiri untuk menonton atau tidak.

Selain itu kelebihan juga diberikan kepada mana-mana filem yang telah menjalani proses penapisan LPF sebelum ini, boleh memohon semula untuk mendapatkan kelulusan bagi ditayangkan tanpa sebarang tapisan. Tujuan asal penapisan filem dibuat adalah bagi memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk penerbit filem terdahulu yang terpaksa menjalani proses tapisan filem ketat sebelum ia dibenarkan untuk tayangan.

Namun berikutan ketetapan itu, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem luar negara yang dibawa untuk ditayangkan di negara ini, kementerian akan memanggil syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk filem terbabit untuk mendapat penjelasan.[2]

Kaedah baru penapisan filem yang akan diperkenalkan masih tetap berpegang kepada empat aspek utama penapisan filem iaitu Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Keagamaan, Sosiobudaya serta Ketertiban dan Ketatasusilaan. [3]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]