Lembah rengkahan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Lembah rengkahan adalah tanah pamah yang berbentuk garis di celah tanah tinggi atau banjaran gunung yang terhasil oleh kejadian rengkahan atau sesar bumi. Sesebuah lembah rengkahan terbentuk di atas sempadan plat yang mencapah. Kejadian ini nyata sebagai lanjutan kerak, iaitu perpecahan permukaan yang kemudiannya didalamkan lagi oleh daya hakisan. Apabila daya tegagannya cukup kuat untuk menyebabkan plat itu berbelah, ia akan berbuat sedemikian hingga bongkah tengah akan terbenam lebih dalam daripada bongkah-bongkah di sebelahnya untuk membentuk graben. Ini menghasilkan dinding yang menjunam curam dan hampir-hampir selari. Ciri inilah permulaan lembah rengkahan. Sementara proses ini berterusan, lembah itu bertambah luas hingga ia menjadi lembangan yang besar, diisi dengan endapan dari dinding rengkaahn dan kawasan sekeliling. Antara contoh jangka lama proses yang lebih baik ialah Rengkahan Afrika Timur.[1] Rengkahan boleh berlaku di semua aras tanah, dari dasar laut hinggalah banjaran gunung, di kerak benua mahupun kerak lautan. Lembah rengkahan sentiasa dikaitkan dengan beberapa lembah sampingan atau meluas bersama yang berdekatan, yang lazimnya dianggap sebagai sebahagian daripada lembah rengkahan utama dari segi geologi.

Lembah rengkahan yang paling meluas terletak di sepanjang puncak sistem rabung tengah samudera dan merupakan kesan peluasan dasar laut. Antara contoh rengkahan sebegini ialah Rabung Tengah Atlantik dan Cangkat Pasifik Timur.

Kebanyakan lembah rengkahan benua yang wujud pada hari ini adalah kesan daripada keruntuhan sebelah lengan (aulakogen) pada simpang tiga, meskipun terdapat dua belah iaitu Rengkahan Afrika Timur dan Zon Rengkahan Baikal yang kini hidup, dan juga satu lagi yang barangkalinya Rengkahan Antartik Barat. Pada contoh-contoh ini, bukan sahaja keraknya, malah seluruh plat tektonik sedang mengalami proses perpecahan untuk membentuk plat baru. Jika ini berterusan, lambat-laun rengkahan benua akan menjadi rengkahan lautan.

Lembah-lembah rengkahan yang lain adalah kesan daripada selekoh atau perpecahan pada sesar yang bergerak mengufuk (jurus-gelincir). Apabila selekoh atau perpecahan ini sama arahnya dengan pergerakan relatif di sepanjang sesar, maka terjadinya lanjutan. Contohnya, untuk sesar bergerak sisian kanan, selekoh ke arah kanan akan menyebabkan perentangan yang disusuli dengan ambelasan di kawasan luar tertib berkenaan. Pada pandangan ramai ahli geologi hari ini, Laut Mati terletak di dalam sebuah rengkahan yang terhasil daripada perpecahan ke arah kanan pada sesar Jelmaan Laut Mati yang bergerak ke sisi kiri. Di mana sesebuah sesaran berpecah kepada dua damaran, ataupun dua sesar yang terbentang dekat sesama sendiri, maka mungkin juga berlakunya lanjutan kerak di antaranya akibat perbezaan pada pergerakannya. Kedua-dua jenis lanjutan kesan sesar ini sering terdapat secara kecil-kecilan, menghasilkan ciri-ciri seperti kolam lendutan atau tanah runtuh.

Tasik lembah rengkahan[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Tasik rengkahan

Semua tasik air tawar yang terbesar di dunia terletak di lembah rengkahan kecuali Tasik Victoria.[2] Tasik Baikal di Siberia, sebuah Tapak Warisan Dunia,[3] terletak di atas sebuah lembah rengkahan yang hidup. Baikal adalah tasik yang paling dalam di dunia, dan juga yang paling banyak isipadunya dengan menakung 20% daripada segala air tawar yang cair di bumi.[4] Tasik Tanganyika yang kedua paling dalam dan kedua paling banyak isipadunya terletak di Rengkahan Albertine, iaitu lengan yang paling barat di Rengkahan Afrika Timur yang hidup. Tasik Superior di Amerika Utara, iaitu tasik air tawar yang paling luas, terletak di Rengkahan Antara Benua yang purba dan pendam. Tasik bawah glasier yang paling besar, iaitu Tasik Vostok mungkin juga terletak di lembah rengkahan yang purba.[5] Tasik Nipissing dan Tasik Timiskaming di Ontario dan Quebec, Kanada terletak di dalam lembah rengkahan yang dipanggil Graben Ottawa-Bonnechere.[6] Þingvallavatn, iaitu tasik semula jadi terbesar di Iceland juga merupakan sebuah tasik rengkahan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "The Ethiopian Rift Valley". Giacomo Corti-CNR. 
  2. "The World's Greatest Lakes". Diarkibkan daripada asal pada 2006-11-27. Diperolehi pada 2007-01-07. 
  3. "Lake Baikal – World Heritage Site". World Heritage. Diperolehi pada 2007-01-13. 
  4. "The Oddities of Lake Baikal". Alaska Science Forum. Diperolehi pada 2007-01-07. 
  5. Siegert, Martin J. (1999). "Antarctica's Lake Vostok". American Scientist 87 (6): 510. Bibcode:1999AmSci..87..510S. doi:10.1511/1999.6.510. "The best explanation is that Lake Vostok may lie in a rift valley, as does Lake Tanganyika in East Africa and Lake Baikal in Russia. The geography of Lake Vostok is indeed consistent with this notion, in that the lake has a crescent shape, just like Tanganyika and Baikal, and the side walls of the lake are relatively steep, at least on one side." 
  6. John Grotzinger .... (2006). Understanding Earth. New York: W. H. Freeman. ISBN 0-7167-7696-0.