Lembangan Amazon

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Lembangan Sungai Amazon (selatan Guiana yang tidak tertanda pada peta ini juga tergolong dalam lembangan ini)

Lembangan Amazon ialah sebahagian dari Amerika Selatan yang mendapat saliran dari Sungai Amazon dan cabang-cabangnya yang menyalirkan kawasan seluas 6,915,000 km2 (2,670,000 sq mi), atau kira-kira 40 peratus tanah Amerika Selatan. Lembangan ini terletak di Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador, Peru, dan Venezuela [1]. Hutan hujan Amazon ialah hutan hujan yang terbesar di dunia, dengan hutan tropika tebal yang meliputi 8,235,430 km2 (3,179,720 sq mi).

Kampung terapung Amazonas, Iquitos

Geografi[sunting | sunting sumber]

Lembangan Amazon dibatasi oleh Tanah Tinggi Guiana di utara dan Tanah Tinggi Brazil di selatan. Sungai Amazon yang berpunca dari Banjaran Andes di sebelah barat lembangan, merupakan sungai kedua terpanjang di dunia. Ia meliputi jarak sepanjang 6,400 km hingga ke Lautan Atlantik. Sungai Amazon dan cabang-cabangnya membentuk isipadu air sungai yang terbanyak di dunia. Sungai Amazon merangkumi kira-kira 20% jumlah air yang dibawa oleh sungai ke lautan. Sebahagian Hutan Hujan Amazon ditebang kerana kegiatan keluaran kayu balak.

Puncak tertinggi di legeh Amazon ialah puncak gunung Yerupajá pada aras 6,635 m (21,768 kaki).

Lembangan sungai ini terbahagi kepada Amazônia Legal Brazil, Amazon Peru, Kawasan Amazon Colombia, bahagian-bahagian di Bolivia, Ecuador dan negeri Amazonas di Venezuela.

Flora[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Hutan Hujan Amazon

Oleh sebab banyak lagi kawasan Amazon yang belum dijelajahi, maka sebahagian besar tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan aslinya belum diketahui. Tumbuh-tumbuhannya tumbuh dengan lebih padat dan haiwan-haiwannya pula lebih pelbagai kerana curahan hujan yang lebat dan hutan tebal yang dilitupi dengan hutan malar hijau dan konifer yang besar. Sebenarnya, hutan-hutan itu begitu tebal sehingga membentuk sebuah "bumbung" bentukan daun-daun dan dahan-dahan yang menghalang cahaya matahari daripada sampai di tanah yang kekal gelap dan lembap. Hanya pokok-pokok dan tumbuhan-tumbuhan yang tahan kegelapan boleh bertumbuh di sini. Pokok bunga anggerik dan bromeliad menghinggapi dahan atau batang pokok dan tumbuhan lain dengan akar udara untuk menghampiri cahaya matahari, bukan sebagai parasit tetapi sebagai epifit. Salah satu pokok buah-buahan tropika yang berasal dari Lembangan Amazon ialah pokok abiu. Terdapat ribuan tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada pelbagai warna, saiz dan bentuk. Juga terdapat banyak lagi hidupan yang berumahkan tumbuh-tumbuhan ini.

Iklim dan musim[sunting | sunting sumber]

Lembangan Sungai Amazon mengalami iklim hutan hujan tropika. Curahan hujan tahunan sekitar 1500–2500 mm. Suhu waktu siang biasanya mencapai 30–35°C, manakala suhu waktu malam berada pada takat 15–25°C.

Iklim ini terdiri daripada dua musim, iaitu musim kemarau atau air surut, dan musim tengkujuh atau air pasang yang membanjiri tanah pokok.

Pendudukan manusia[sunting | sunting sumber]

Amazonia amat jarang diduduki manusia. Terdapat pendudukan manusia yang bertaburan di pedalaman, tetapi kebanyakan pendudukanya tinggal di beberapa bandar besar yang terletak di tebing sungai Amazon dan sungai-sungai lain, seperti Iquitos (Peru), Manaus dan Belém (Brazil). Hutannya juga mengalami pembasmian untuk membuka ruang terutamanya untuk penanaman kacang soya dan penternakan. Pada masa yang sama para penghuni hutan memetik getah liar dan kacang Brazil tanpa menebang pokok untuk membentuk kesan penggunaan hutan yang mapan oleh manusia.

Pertubuhan terbesar yang memperjuangkan hak orang asli di kawasan ini ialah COICA, iaitu sebuah suprapertubuhan yang meliputi semua pertubuhan hak pribumi yang berkhidmat di kawasan Lembangan Amazon di beberapa negara.

Perdagangan di sungai[sunting | sunting sumber]

Sungai merupakan laluan utama pengangkutan insan dan hasil keluaran di Lembangan Amazon, dengan kaedah pengangkutan yang terdiri daripada rakit, kanu, perahu dan kapal.

Pertanian peluang mapan di kawasan tak terbangun[sunting | sunting sumber]

Banjir bermusim menggali dan menaburkan semula lanar yang kaya dengan nutrien kepada pantai dan pulau, sekaligus membolehkan pertanian padi, kekacang dan jagung di sepanjang tebing sungi pada musim kemarau tanpa pertambahan baja, di samping pertanian tebang bakar di dataran banjir yang lebih tinggi. Perikanan membekalkan sumber makanan tambahan sepanjang tahun, sementara ayam ternak lepas tidak perlu mencari makanan di tempat yang sangat jauh. Arang yang terhasil daripada bangkai pokok di hutan dan tebing diambil untuk kegunaan penduduk bandar. Pengeksploitan daging hutan juga giat dijalankan, terutamanya rusa dan tuntung.

Pertanian tak mapan di kawasan terbangun[sunting | sunting sumber]

Pembasmian hutan yang berleluasa, khususnya di Brazil amat membimbangkan seluruh dunia kerana ia akan mengakibatkan kepupusan spesies hidupan yang dikenali mahupun tidak, sekaligus mengurangkan kepelbagaian biologi dan menjejaskan mutu tanih, air dan udara. Proses pembasmian hutan turut berakhir dengan penghasilan arang besar-besaran untuk proses-proses perkilangan seperti pembuatan keluli. Lembangan Amazon banyak bertanih cetek tidak boleh digunakan lagi selepas beberapa musim tanpa penambahan baja import.

Bahasa[sunting | sunting sumber]

Bahasa yang paling meluas dipertuturkan di Lembangan Amazon ialah bahasa Portugis, iaitu bahasa rasmi Brazil, diikuti rapat oleh bahasa Sepanyol, iaitu bahasa rasmi di negara-negara lain yang dilitupi lembangan ini. Di Brazil, bahasa Portugis menjadi bahasa pertuturan 98% penduduk, sementara di negara-negara berbahasa Sepanyol, wujudnya sebilangan besar penutur bahasa asli, namun bahasa Sepanyol tetap menguasai.

Terdapat ratusan bahasa pribumi yang masih dituturi di rantau Amazon, tetapi kebanyakan bahasa itu hanya digunakan oleh sebilangan kecil orang dan oleh itu hampir pupus. Salah satu bahasa pribumi yang luas digunakan di Amazon ialah bahasa Nheengatu, iatu pewaris bahasa Tupi yang pernah dituturi di kawasan pantai dan tengah Brazil. Ia dibawa ke lokasi masa kini di sepanjang Rio Negro oleh penjajah Brazil yang mengutamakan bahasa Tupi daripada bahasa rasmi Portugis untuk berhubungan sehingga pertengahan abad ke-17. Selain bahasa Nheengatu moden, turut terdapat bahasa-bahasa lain dalam rumpun Tupi yang digunakan di situ, di samping rumpun-rumpun bahasa pribumi yang lain seperti , Arawak, Karib, Arawá, Yanomamo, Matsés dan lain-lain.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. The Smithsonian Atlas of the Amazon, Goulding, M., R.B. Barthem, and R. Duenas, 2003. Smithsonian Books|Goulding et al., (2003)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]