Lenjan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lenjan
Poster keluaran tayangan
PengarahIsmail Yaacob
PenulisAkhbar Hashim
Dihasilkan olehPansha
Dibintangi
SinematografiBade Hj. Azmi
Muzik olehPeter Lim
Syarikat
penerbitan
Berjaya Film Sdn Bhd
Tarikh tayangan
  • 2 Julai 1998 (1998-07-02) (Malaysia)
Masa tayangan
125 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu

Lenjan merupakan sebuah filem seram ngeri psikologi Malaysia arahan Ismail Yaacob yang ditayangkan pada 2 Julai 1998.[1] Filem yang dibintangi oleh Eman Manan, Rosyam Nor dan Nina Juren. Filem ini juga turut mewakili Malaysia pada Festival Filem Asia Pasifik dan berjaya merangkul anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenangi oleh Rosyam.

Plot[sunting | sunting sumber]

Amir usahawan yang berjaya dan telah berkahwin dengan Zita. Setelah berkahwin hidup mereka bahagia. Sifat keperibadian Zita membuat Amir mengenal erti kasih sayang. Dalam masa yang sama Zarin, seorang pembunuh dan perogol psikopatik yang menggunakan ketampanan dan keramahannya untuk memerangkap mangsanya, kemudian merogol lalu membunuh mereka dengan kejam tanpa belas. Zarin merupakan pembunuh yang sadistik, di mana dia memuaskan nafsu seksnya dengan cara merogol dan membunuh mangsa-mangsanya. Mangsa Zarin terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk yang bekerja profesional seperti peguam.

Kamal, kawan rapat merangkap peguam peribadi Amir berasa curiga dengan Zita kerana asal-usul Zita yang tidak diketahui latar belakangnya, malah Kamal pernah menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan pernikahan Amir dengan Zita. Amir kemudiannya memberitahu Kamal bahawa dia ingin mewariskan hartanya kepada Zita. Kamal kemudiannya mencuba sedaya upaya meminta penyiasat peribadi firmanya untuk menjalankan due dilligence (siasatan latar belakang) ke atas Zita sebelum Amir menandatangani dokumen pewarisan harta. Latar belakang Zita yang samar menyukarkan siasatan tersebut, menyebabkan Kamal membenarkan Amir menandatangani dokumen pewarisan harta tersebut walaupun dia tidak bersetuju dengan tindakan Amir. Amir dan Zita kemudiannya pergi bercuti di dalam rumah penginapan di dalam hutan, tempat percutian di mana Amir dan Kamal pernah bercuti bersama semasa Amir masih bujang.

Ketika Amir dan Zita bercuti di dalam hutan, Amir telah menyelamatkan Zarin yang berpura-pura tercedera di dalam hutan tanpa mengesyaki niat jahat Zarin. Zita pula menunjukkan bahawa dia tidak begitu selesa dengan kehadiran Zarin.

Pada suatu malam, Uncle Gopal, mengunjungi Amir, Zita dan Zarin untuk memaklumkan bahawa Kamal meminta Amir pulang semula ke bandar di atas perkara yang mustahak. Selepas selesai makan, Zarin menawarkan Uncle Gopal untuk pulang. Semasa di dalam perjalanan, Zarin membunuh Uncle Gopal kerana Uncle Gopal menjadi saksi kepada kehadiran Zarin di rumah penginapan tersebut.

Keesokkan paginya, Amir terperanjat selepas menemui mayat Uncle Gopal yang telah ditikam mati dengan kejam oleh Zarin. Amir akhirnya telah mengetahui niat Zarin dan telah melarikan diri bersama Zita. Zita pula dengan sengaja meninggalkan dompet Uncle Gopal di atas katil, yang diperolehi daripada Amir, semasa Amir memaklumkannya bahawa Amir telah menemui mayat Uncle Gopal. Zarin yang menemui dompet tersebut kini mengetahui bahawa Amir dan Zita cuba melarikan diri. Namun Zarin dapat menjejaki mereka lalu bergelut dengan Amir. Nasib tidak menyebelahi Amir, akibatnya Amir jatuh ke dalam air terjun selepas bergelut dengan Zarin.

Zarin kemudian kembali ke rumah penginapan tersebut dan menemui Zita. Mereka melakukan hubungan seks. Zarin dan Zita merupakan pasangan kekasih yang juga rakan jenayah Zarin. Zita dan Zarin telah berpakat untuk mendapatkan harta Amir dengan cara Zita mengahwini Amir, sebelum membunuh dan membolot kesemua harta Amir. Mereka kemudiannya membuat surat cinta, yang kemudiannya disimpan di dalam beg Zita.

Keesokkan paginya, Amir datang semula ke rumah penginapan tersebut. Zita yang menyedari Amir masih hidup kemudiannya berpura-pura bahawa dia dirogol dan ditawan oleh Zarin. Amir dan Zarin kemudiannya bertarung sekali lagi. Zita kemudian mengambil pedang dan kemudiannya menetak Amir dan Zarin yang sedang bergelut. Tetakan Zita terkena kepada Zarin, menyebabkan Zarin terbunuh. Amir dan Zita bersatu kembali dan melaporkan kejadian kepada polis. Polis memaklumkan kepada mereka bahawa Zarin merupakan perogol dan pembunuh bersiri yang sedang diburu oleh pihak polis.

Semasa mengisi minyak kenderaan ketika pulang semula ke rumah, wang tunai Amir tidak mencukupi untuk membayar duit petrol. Ketika Zita ke tandas stesen minyak, Amir mengambil dompet Zita untuk meminjam wang untuk membayar petrol. Amir terjumpa surat cinta yang ditulis oleh Zita dan Zarin semasa mereka bersama, sewaktu mereka menyangkakan Amir telah mati. Amir sedar bahawa Zita telah merancang bersama Zarin untuk membunuhnya.

Amir kemudian menghentikan kereta di tepi jalan, di tepi kawasan berbukit. Amir kemudiannya memarahi Zita dan bertanya mengapa Zita tergamak membohonginya dan sanggup bersekongkol dengan Zarin untuk merancang percubaan bunuh ke atasnya. Zita menangis dan merayu ampun terhadap Amir. Amir dengan tenang memaklumkan Zita, dia perlu menjelaskan segala perbuatannya kepada pihak polis. Zita kemudiannya lari ke tepi cerun bukit, dan kemudiannya terjatuh ke bawah gaung.

Di hujung filem, Amir dan Kamal bertemu di atas tingkat atas bangunan. Amir dengan pandangan mata yang sayu, menunjukkan kekesalan kerana tidak mengikuti nasihat Kamal supaya tidak menikahi Zita yang tidak diketahui asal-usulnya, menyebabkan Uncle Gopal terbunuh dan dia sendiri hampir dibunuh oleh kedua-dua pasangan psikopatik tersebut.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Keluaran[sunting | sunting sumber]

Lenjan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 2 Julai 1998. A. Wahab Hamzah dari Utusan Malaysia berkata Lenjan membuktikan kehebatan Ismail selaku pengarah yang perlu diberi perhatian.[2] Ia juga diiklankan sebagai sebuah filem saspens yang menghiburkan.[3]

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Anugerah Kategori Penerima Keputusan
Festival Filem Malaysia ke-14 Penyuntingan Terbaik Elias Maidin Menang
Pengarah Harapan Ismail Yaacob Menang
Anugerah Skrin 1999[4] Filem Terbaik Keseluruhan Filem Tercalon
Pengarah Terbaik Ismail Yaacob Tercalon
Pelakon Lelaki Terbaik Filem Eman Manan Tercalon
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem Rosyam Nor Menang
Festival Filem Asia Pasifik ke-43 1998 (Taipei) Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Rosyam Nor Menang
Festival Filem Antarabangsa ke-7 2000 (Pyongyang) Tercalon

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Lenjan, filem terbaru Ismail Yaacob", Berita Harian, 30 Jun 1998.
  2. ^ A. Wahab Hamzah (3 Julai 1998). Lenjan filem saspens yang menarik Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 Februari 2010.
  3. ^ Fariza Saidin (5 Julai 1998). Lenjan filem saspens menghiburkan Diarkibkan 2018-02-03 di Wayback Machine Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 Februari 2010.
  4. ^ http://www.filemkita.com/filem/l/lenjan_01.html

Pautan luar[sunting | sunting sumber]