Lina Joy

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Lina Joy atau nama Islamnya Azlina Jailani merupakan wanita etnik Melayu yang berumur 42 tahun tetapi kini mengaku telah murtad (keluar dari agama Islam) dan memeluk agama Kristian Katolik. Lantaran itu beliau cuba menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalan MyKad yang dimilikinya. Rayuan dan permohonannya dibuat dengan mengenepikan kuasa mahkamah syariah, tetapi secara lansung melalui proses undang-undang sivil. Pada mulanya beliau ke Mahkamah Tinggi, kemudian ke Mahkamah Rayuan, seterusnya ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN).

Isu murtad merupakan subjek yang sensitif bagi orang Melayu yang hampir 100 % menganut agama Islam di Malaysia Kebolehpercayaan kerajaan boleh disalahtafsir jika gagal menangani isu-isu sebegini dan boleh mencetuskan rusuhan sebagaimana Rusuhan Natrah di Singapura tahun 1950 dahulu.

Keputusan mahkamah yang harus dihormati[sunting | sunting sumber]

Keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan persoalan undang-undang yang timbul dari permohonan Lina Joy untuk membuang perkataan 'Islam' dari kad pengenalannya telah menimbulkan banyak kontroversi.

Dalam perbahasan yang timbul, pelbagai pihak telah mengeluarkan berbagai kenyataan yang menggambarkan salah faham terhadap isu sebenar yang mendasari kes tersebut.

Meskipun keputusan Mahkamah Persekutuan ini menggambarkan seolah-olah kegusaran bukan Islam terhadap kebebasan beragama terbukti benar, keputusan ini sebenarnya, tidak bermakna orang bukan Islam tidak dapat terus mengamalkan agama pilihan mereka. Keputusan tersebut juga sama sekali tidak bermakna mana-mana pihak boleh memaksa orang bukan Islam memeluk Islam. Kebebasan beragama secara keseluruhannya masih dipelihara.

Keputusan tersebut menetapkan bahawa orang Islam mestilah menggunakan prosedur Mahkamah Syariah untuk meninggalkan Islam, sekiranya mereka hendak berbuat demikian secara rasmi, seperti Lina Joy yang telah memohon untuk membuang perkataan Islam dari kad pengenalannya.

Sebenarnya, ia tidak memberi kuasa yang baru kepada Mahkamah Syariah, bahkan sememangnya perkara tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sebelum ini. Ia juga tidak memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan status agama bukan Islam sebagaimana pandangan sesetengah pihak.

Keputusan tersebut bukan untuk memaksa Lina Joy kembali kepada Islam meskipun beliau secara terbuka telah menganut agama Kristian, tetapi undang-undang dan peraturan mestilah dipatuhi apabila mana-mana individu hendak keluar dari Islam.

Perkara sedemikian semestinya kekal di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, dan sama ada keputusan tersebut berpatutan atau tidak, Mahkamah Syariah lah mesti menentukannya. Ini jelas sekali mengikut peruntukan undang-undang Syariah di setiap negeri sebagaimana undang-undang penceraian, wasiat dan harta peninggalan. Meskipun wujud perbezaan dari segi undang-undang dan prosedur berkenaan murtad antara tiap-tiap negeri, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Orang bukan Islam secara keseluruhannya sepatutnya dapat menerima bahawa persoalan murtad ini amat sensitif di negara Malaysia dan tidak boleh diperlekehkan. Pada masa yang sama, umat Islam mestilah mengiktiraf hak bukan Islam untuk mengamalkan agama-agama mereka akan terus dipelihara dan dihormati, dan memahami bahawa mereka juga sensitif di dalam isu-isu agama.

Semua rakyat Malaysia mesti menjaga kata-kata dan tindakan berkaitan isu ini serta perkara-perkara lain yang mungkin mengeruhkan hubungan antara agama. Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama mestilah terus memegang muafakat yang dicapai menerusi Perlembagaan Persekutuan. Selain dari kebebasan beragama, rakyat Malaysia juga mestilah berusaha memelihara kebebasan-kebebasan lain yang diperuntukkan Perlembagaan Malaysia.

Kuasa Mahkamah Persekutuan[sunting | sunting sumber]

Kuasa Mahkamah Persekutuan terhad dan tidak boleh memaksa Jabatan Pendaftaran Negara memadam perkataan Islam tersebut. Dalam konteks ini bidang kuasa Mahkamah Syariah mengenai hal-ehwal Islam lebih diberi keutamaan dari Mahkamah Persekutuan dan Jabatan Pendaftaran Negara serta Mahkamah Persekutuan. Hak asasi seseorang itu juga terlindung dalam 'konteks' memeluk agama Islam, menurut peraturan yang telah ditetapkan.

Mahkamah Syariah terlebih dahulu mesti mengeluarkan satu sijil, deklarasi atau surat perintah yang mengesahkan seseorang Melayu beragama Islam itu 'murtad' dan sah terkeluar daripada Islam. Selepas itu barulah perkataan Islam boleh dipadam dari kad pengenalannya. Sebagai contoh, menurut jurucakap Persatuan Peguambela Muslim, mahkamah syariah Negeri Sembilah telah mengesahkan 16 kes murtad [1].

Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dari Mahkamah Persekutuan menjelaskan JPN berhak untuk menggenakan syarat kepada sesiapa yang 'murtad' mengemukakan sijil atau deklarasi atau satu perintah daripada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia keluar daripada Islam sebelum bertindak menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

Rentetan[sunting | sunting sumber]

Pada 2 Februari 1997, Azlina Jailani memohon kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy tetapi permohonan itu ditolak pada 11 Ogos 1997.

Pada 1999, dia sekali lagi memohon kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy dan diluluskan, tetapi permohonan untuk menukar status agama itu ditolak kerana tidak mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam yang lain.

Pada April 2001 Lina Joy telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi. Tetapi Mahkamah Tinggi menetapkan bahawa sebagai seorang Muslim, dia tidak boleh keluar daripada Islam, dan soal keluar daripada Islam, perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Oleh itu Lina Joy membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 19 September 2005 Lina mengemukakan rayuan itu kepada Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan membuat keputusan menghalangnya daripada menggugurkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya dengan sebab bahawa tindakannya keluar daripada Islam tidak mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam yang lain.

Pada 30 Mei 2007 rayuan Lina Joy ditolak oleh Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Sherif. Manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum membenarkan deklarasi yang dipohonnya [2]. Lina menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad, sebagai responden.

Biodata[sunting | sunting sumber]

Azlina Jailani dilahirkan oleh ibu bapa Melayu pada 1963. Dia menukar agama Islam kepada Kristian Katolik pada usia 26 tahun pada 1998. Dia telah dibaptiskan dan cuba mendapatkan pengesahanan daripada Mahkamah Malaysia, tanpa melalui mahkamah syariah. Namanya di dalam kad pengenalan berjaya ditukar kepada Lina Joy pada 1999.

Selagi dia dikatakan sebagai orang Islam, Lina Joy tidak boleh berkahwin dengan pasangannya yang beragama Kristian, seorang kaum India. Sebaliknya pasangannya hendaklah menukar agama kepada Islam.

Beberapa kes yang hampir serupa telah dilaporkan. Antaranya kes 'Maria' dan Nyonya Tahir.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. The Sun, 13 Mei 2007, m/s 2
  2. "Lina Joy Loses Appeal". theStarOnline.  Dicapai pada 2007-05-30.