Logamaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pelbagai jenis logamaya di satu lokasi yang dirakam dalam masa 6 minit, tidak ditunjukkan mengikut turutan masa. Gambar sisipan paling atas menunjukkan logamaya bawah Kepulauan Farallon. Gambar sisipan kedua ialah Kepulauan Farallon dengan kilat hijau di sebelah kiri. Dua gambar paling bawah dan gambar besar semuanya menunjukkan logamaya atas Kepulauan Farallon. Dalam ketiga-tiga gambar sisipan ini, logamaya atas berubah dari logamaya tiga imej (satu imej songsang di antara dua imej tegak) menjadi logamaya lima imej, kemudian balik kepada logamaya dua imej. Pemandangan sedemikian adalah sejajar dengan Fata Morgana. Kesemua gambar kecuali yang atas diambil pada sekitar 50–70 kaki di atas paras laut. Gambar atas pula diambil pada paras laut.


Logamaya merupakan sejenis fenomena optik semula jadi yang mana sinaran cahaya dilenturkan untuk menghasilkan gambaran objek jauh atau langit yang palsu.

Berbeza dengan halusinasi, logamaya merupakan fenomena optik sebenar yang boleh dirakam dalam kamera, kerana sinar-sinar cahaya dibiaskan untuk membentuk imej palsu di kedudukan pemerhati. Namun demikian, gambaran yang ditampilkan oleh imej itu ditentukan oleh daya tafsir minda manusia. Misalnya, logamaya bawah di atas darat sangat mudah disalah anggap sebagai pantulan dari sejasad air yang kecil.

Logamaya terdiri daripada jenis "bawah", "atas" dan "Fata Morgana", iaitu sejenis logamaya atas yang terdiri daripada serantaian imej yang ditimbun secara menegak dan luar biasa perinciannya sehingga membentuk satu logamaya yang cepat berubah bentuk.

Punca[sunting | sunting sumber]

Udara sejuk lebih padat daripada udara panas, oleh itu indeks biasannya lebih besar. Apabila cahaya beralih dari udara sejuk, merentasi satu batas yang tajam ke dalam udara yang jauh lebih panas, sinar cahaya itu melentur dari arah kecerunan suhu. Apabila sinar cahaya beralih dari udara panas ke sejuk pula, ia melentur ke arah kecerunan itu. Jika udara dekat darat adalah lebih panas daripada udara di langit, maka sinar cahaya melentur menjadi trajektori cekung yang menghala ke atas.

Sebaik sahaja sinar-sinar itu sampai di mata pemerhati, korteks pandangan menafsirkannya seolah-olah ia datang daripada "garis nampak" yang lurus sekali. Bagaimanapun, garis ini menyimpang dari laluan yang diambil oleh sinar itu pada takat ia mencapai mat. Hasilnya, "logamaya bawah" yang terpantul dari langit menjelma atas darat. Pemerhati boleh tersalah tafsir pemandangan ini sebagai air yang memantul langit, iaitu kejadian yang lebih munasabah bagi otak.

Dalam hal yang mana udara dekat darat lebih nyaman daripada udara di atas, sinar cahaya melengkung ke bawah dan menghasilkan "logamaya atas".

Keadaan atmosfera Bumi yang "berehat" mempunyai kecerunan menegak sekitar -1° Celsius untuk searas tinggi 100 meter. (Nilai ini negatif kerana makin tinggi makin sejuk.) Untuk menimbulkan logamaya, kecerunan suhu mestilah lebih besar daripada itu. Mengikut Minnaert,[1] magnitud kecerunan sewajarnya tidak kurang 2°C semeter, walhal logamaya hanya menjadi kuat apabila magnitud itu mencapai 4° atau 5°C semeter. Keadaan sedemikian berlaku apabila terdapat pemanasan yang hebat di paras darat, misalnya apabila matahari menyinari pasir atau asfalt, maka terhasilnya logamaya bawah.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ M. Minnaert; The Nature of Light and Colour in the Open Air; 1948; ISBN 0-486-20196-1.