Lokasenna

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Lokasenna by Lorenz Frølich.jpg

Lokasenna (Pertikaian Loki, atau Pergaduhan Loki) adalah salah satu puisi dalam Puisi Edda, puisi mitos Norse . Dalam puisi ini, dewa-dewa bertukar-tukar hinaan dengan Loki dan saling menghina satu sama lain.

Puisi Lokasenna berkait dengan kematian Baldr yang diatur oleh Loki dan akhirnya, Loki dihukum kerana perbuatannya ini. Dalam puisi ini, banyak aspek niat jahat, wawasan dan pengkhianatan ketuhanan Loki terdedah, bersama-sama dengan kekurangan para dewa yang bertukar-tukar hinaan dengan Loki. Harus diperhatikan bahawa Loki, selain daripada merupakan dewa nakal, juga amat mahir bermain kata dan berpidato, serta penuh muslihat.

Lee M. Hollander, dalam pengenalannya untuk terjemahanan puisi ini, mendakwa bahawa puisi ini bukannya puisi yang popular dan mencadangkan bahawa kita tidak semestinya percaya bahawa tuduhan "dewa licik" merupakan sebahagian tradisi bangsa Norse yang diterima. Bagaimanapun, puisi ini memberikan banyak maklumat sampingan dan sekunder tentang dewa-dewa, serta perbuatan dan kecenderungan mereka: kepada orang Norse, watak Loki (terutama dalam puisi ini) seumpama hubungan penulis ruangan gosip dengan masyarakat moden, iaitu kedua-dua ini adalah nakal dan mengungkit-ungkit keburukan orang lain.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Latar puisi ini ialah sebuah majlis makan yang diberikan oleh Ægir, dewa laut. (Dalam bahagian sambungannya yang indah, pengenalan prosa berkata: "Ægir, juga dinamai Gymir, telah membuat minuman ale untuk para Æsir selepas menerima cerek besar yang telah dikatakan" (lihat Hymiskviða)). Thor tidak hadir tetapi isterinya, Sif, datang sebagai ganti, dengan Bragi dan isterinya, Iðunn, juga hadir. Tyr yang ketika itu hanya mempunyai satu tangan, akibat pengorbanan tangannya yang lain semasa membelenggu anak Loki, iaitu serigala Fenrisulfr, hadir dan serupa juga dengan Niord dan isterinya Skaði, Freyr dan Freyja, serta Vidar, anak lelaki Odin. Banyak Vanir, Æsir, serta orang bunian juga berada di situ.

Fimafengr dan Eldir, orang-orang gaji Ægir, menyambut tetamu dengan teliti; Loki berasa iri hati dengan pujian yang diberikan mereka dan membunuh Fimafengr. Para dewa marah kepada Loki dan menghalaunya keluar dari dewan. Apabila Loki kembali, dia bertembung dengan Eldir dan mengugutnya supaya mendedahkan apa yang dikata oleh dewa-dewa. Edlir memberitahunya bahawa mereka sedang membincangkan kekuatan mereka dalam perlawanan, serta bahawa Loki adalah orang yang tidak diingini.

Loki kemudian masuk dewan Ægir selepas bertukar-tukar hinaan dan ugutan dengan Eldir. Keheningan menyusul. Loki memperingatkan mereka tentang peraturan layanan baik, dan menuntut tempat duduk serta minuman ale. Bragi menjawab bahawa Loki adalah orang yang tidak diingini. Loki menuntut penunaian suatu sumpah kuno antaranya dengan Odin yang mengatakan bahawa mereka harus minum bersama-sama. Odin menyuruh Vithar, anak lelakinya, menyediakan tempat untuk Loki.

Vithar berdiri dan menuang minuman untuk Loki. Sebelum Loki minum, dia mengajukan minum ucap selamat kepada para dewa tetapi dengan jelasnya mengecualikan Bragi daripada minum ucap selamat itu. Bragi menawarkan Loki seekor kuda, sebentuk cincin, serta sebilah pedang untuk menenangkannya; bagaimanapun, Loki ingin berlawan dan menghina Bragi dengan mempersoalkan keberaniannya. Bragi menjawab bahawa perlawanan di dalam dewan tuah rumah adalah bertentangan dengan peraturan tingkah laku betul, tetapi kalau mereka balik ke Asgard, keadaan adalah berlainan. Loki sekali lagi mengapi-apikan Bragi:

In your seat you're brave, but not your deeds,
Bragi, famous adorner of benches!
Come outside and fight me if you're angry,
No hero could resist the offer

Isteri Bragi, Iðunn, membendungnya. Loki kemudian menghina Iðunn dan mencelanya sebagai perempuan sundal. Gefjon kemudian bercakap dan Loki mengalihkan penghinaan terhadapnya. Odin kemudian mencuba mengawal keadaan, dan demikian juga (mengikut giliran) dengan Freyja, Niord, Tyr, Freyr dan Byggvir. Pertukaran kata-kata antara Odin dan Loki adalah amat menyakitkan hati.

Akhirnya, Thor muncul di majlis itu dan dia tidak dapat ditenangkan atau dikawal. Bertukar-tukar hinaan dengan Loki, dia tiga kali berkata bahawa dia akan menggunakan tukulnya untuk memecahkan kepala Loki, jika Loki masih meneruskan. Loki menjawab bahawa disebabkan oleh Thor sahaja, dia akan meninggalkan dewan kerana ugutan Thor ialah satu-satunya ugutan yang ditakutinya. Loki kemudian bertolak.

Terdapat sebahagian ringkas prosa yang menceritakan versi ringkas tentang keadaan serba salah Loki. Loki dikejar dan ditangkap oleh para dewa selepas suatu percubaan yang gagal untuk menyamar diri sebagai ikan salmon. Anak lelakinya, Nari, dibunuh, manakala Narvi, anak lelaki Loki yang lain, diubah menjadi serigala. Usus Nari dipergunakan untuk mengikat Loki kepada tiga buah batu besar, dengan Skaði meletakkan seekor ular di atas batu-batu itu untuk menitiskan bisa ke atas Loki. Sigyn, isteri Loki, kekal disebelahnya dengan mangkuk untuk memungut bisa. Bagaimanapun, setiap kali Sigyn pergi mengosongkan mangkuk, bisa akan jatuh pada Loki dan menyebabkannya menggeliang-geliut dalam kesakitan. Pergerakan geliang-geliut ini dikatakan merupakan punca gempa bumi.

Oleh sebab sebilangan sumber menamai anak-anak Loki sebagai Váli dan Narfi, sesetengah penyunting menganggap bahawa nama-nama Nari dan Narvi adalah kesilapan dalam manuskrip, dan mentranskripsikan Nari sebagai Váli. Yang lain menganggap bahawa Nari dan Narfi adalah kelainan untuk nama yang sama.

Lokasenna tidak secara langsung menyatakan bahawa keadaan serba salah Loki itu diakibatkan oleh pembunuhan Baldr. Ini hanya dinyatakan dengan ketara dalam Prosa Edda oleh Snorri Sturluson.

Sesetengah penyelidik melihatkan pemerihalan dewa dalam Lokasenna yang bersifat tidak hormat sebagai tanda bahawa puisi itu harus digubah selepas kemunculan agama Kristian. Bagaimanapun, kebanyakan penyelidik pada hari ini menolak alasan ini kerana pemerihalan dewa yang bersifat tidak hormat serta pemerihalan kelemahan kemanusiaan dalam dewa-dewa adalah sesuatu yang juga agak biasa dalam mitos bukan Kristian. Lokasenna jelas bertujuan untuk bersifat lucu, tetapi ini tidak semestinya bermakna bahawa penggubahnya tidak mempercayai dewa-dewa yang diperihalkannya.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Terjemahan bahasa Inggeris[sunting | sunting sumber]

Edisi Norse lama[sunting | sunting sumber]