London Underground

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
London Underground
Underground.svg
Lancaster Gate tube.jpg
Sebuah kereta api aliran Central di stesen Lancaster Gate
Maklumat
Kawasan Greater London, Chiltern, Epping Forest, Three Rivers dan Watford
Jenis transit Alihan laju
Jumlah laluan 11
Jumlah stesen 268 (250 buah dimiliki sepenuhnya)
Penumpang harian ~ 4.25 juta
Operasi
Mula beroperasi 1863
Pengendali Transport for London
Teknikal
Panjang sistem 400 km / 250 batu (anggaran[1])
Tolok landasan 1,435 mm (4 kaki 8½ in) (tolok piawai)
Peta sistem
London Underground full map.svg

London Underground (juga dikenali sebagai The Tube atau The Underground) ialah suatu sistem metro yang menyediakan perkhidmatan di sebahagian besar Greater London dan sebahagian daripada wilayah berjiran Essex, Hertfordshire dan Buckinghamshire di England. Merupakan sistem kereta api bawah tanah, London Underground ialah sistem alihan laju tertua di dunia dengan pembukaan bahagian yang terulung pada tahun 1863.[2] Kini landasan tersebut merupakan sebahagian daripada perkhidmatan aliran Circle, Hammersmith & City dan Metropolitan. Ia juga merupakan sistem kereta api bawah tanah pertama menggunakan kereta api elektrik. Keseluruhan rangkaian sering dirujuk sebagai the Underground (bawah tanah) atau the Tube (tiub, dari bentuk terowong gerek-dalam)[3], walaupun istilah ini hanya benar bagi perkhidmatan kereta api yang berada bawah tanah aras dalam.

Laluan awal rangkaian London Underground kini, yang dibina oleh pelbagai syarikat swasta, menjadi sebahagian dari sistem pengangkutan bersepadu London (tidak termasuk kereta api antara bandar) pada 1933 dengan penubuhan London Passenger Transport Board (LPTB), lebih dikenali dengan nama pendeknya: "London Transport". Rangkaian bawah tanah ini kemudian menjadi satu entiti tunggal apabila London Underground Limited (LUL) dibentuk oleh kerajaan UK pada 1985.[4] Sejak 2003, LUL merupakan subsidiari milik penuh Transport for London (TfL), perbadanan berkanun yang bertanggungjawab untuk sebahagian besar aspek sistem pengangkutan di Greater London, yang dijalankan oleh satu lembaga dan pesuruhjaya yang dilantik oleh Datuk Bandar London.[5]

The Underground mempunyai 268 stesen dan kira-kira 400 km (250 batu) landasan,[1] menjadikannya sistem metro terpanjang di dunia mengikut panjang laluan,[6] dan antara yang paling dilayani mengikut bilangan stesen. Pada 2007, lebih satu bilion perjalanan penumpang direkodkan.[7]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pembinaan laluan kereta api di United Kingdom bermula sejak awal abad ke-19. Enam buah terminal kereta api iaitu London Bridge , Euston, Paddington , King's Cross, Bishopsgate dan Waterloo , dibina betul-betul di luar pusat London menjelang tahun 1854.[8] Hanya Fenchurch Street yang terletak dalam Bandar London. Supaya sampai di pusat bandar, penumpang kereta api perlu menggunakan jalan raya dan ini sedikit sebanyak mengakibatkan kesesakan lalu lintas dalam pusat bandar dan kawasan sekelilingnya yang kian memuncak pada waktu itu. Rancangan untuk membina kereta api bawah tanah untuk menghubungkan kawasan pusat bandar London dengan terminal kereta api telahpun diadakan sejak tahun 1830-an tetapi hanya pada tahun 1850-an baru perancangan ini diteliti sebagai suatu penyelesaian kepada kesesakan lalu lintas itu.[8]

Transport for London[sunting | sunting sumber]

Transport for London (TfL) ditubuhkan pada tahun 2000 sebagai suatu badan bersepadu yang bertanggungjawab atas sistem pengangkutan di London menggantikan London Regional Transport. Pada bulan Julai 2003, TfL mengambil alih London Underground Limited.[9]

TfL juga merupakan sebahagian daripada Pihak Berkuasa Greater London (Greater London Authority, GLA) dan juga ditubuhkan sebagai perbadanan berkanun yang terkawal bawah undang-undang kewangan kerajaan tempatan.[10] Terdapat tiga buah anak syarikat yang berada bawah TfL iaitu London Transport Insurance (Guernsey) Ltd., the TfL Pension Fund Trustee Co. Ltd. dan Transport Trading Ltd (TTL). TTL sendiri sahaja juga mempunyai enam buah anak syarikat milikan penuh dengan salah satunya merupakan London Underground Limited.

Ahli Lembaga TfL dilantik oleh Datuk Bandar London yang juga menetapkan struktur dan taraf tambang pengangkutan awam di London. Walau bagaimanapun, pengelolaan harian perbadanan ini dipertanggungjawabkan kepada Suruhanjaya Transport for London yang dikepalai oleh Peter Hendy pada masa ini.[11]

Datuk Bandar juga bertanggungjawab dalam membentuk strategi pengangkutan London yang bersepadu serta membuat rundingan dengan GLA, TfL, majlis tempatan dan pihak-pihak lain mengenai strategi tersebut. Tanggungjawabnya juga merangkumi dalam menggubal belanjawan TfL. Rundingan dibuat dengan GLA mengenai strategi pengangkutan dan kemudiannya membuat pemeriksaan dan akhirnya meluluskan belanjawan Datuk Bandar. GLA dapat memanggil Datuk Bandar dan staf atasan dalam memberi penjelasan tentang penilaian prestasi TfL. London TravelWatch yang merupakan suatu badan yang dilantik oleh Himpunan dan membekalkan laporan kepadanya diberi tugas untuk melayan sebarang aduan mengenai pengangkutan di London.[12]

Infrastruktur[sunting | sunting sumber]

Aliran London Underground terbahagi kepada dua iaitu laluan di bawah permukaan tanah (subsurface) seperti aliran Circle, District, Hammersmith & City, dan Metropolitan; dan laluan yang dibina jauh di bawah tanah (deep level) seperti aliran Bakerloo, Central, Jubilee, Northern, Piccadilly, Victoria dan Waterloo & City.

Terdapat juga aliran London Timur yang merupakan laluan di bawah permukaan tanah yang kelima. Pada tahun 2007, aliran ini kemudiannya ditutup untuk kerja-kerja pembinaan semula, dan pada tahun 2010, aliran ini dibuka sebagai perkhidmatan London Overground.[13]

Laluan perkhidmatan London Underground
Nama Warna dalam peta[14] Mula
perkhidmatan
Bahagian
pertama
memulakan
perkhidmatan*
Nama
terguna sejak
Jenis Panjang
(km)
Panjang
(batu)
Bilangan
stesen
Jenis
Gerabak
Gerabak
masa hadapan
Bilangan perjalanan
setahun
(ribu)
Purata
perjalanan
setiap
batu
(ribu)
Aliran Bakerloo Perang 1906 1906 1906 Jauh di bawah tanah 23.2 14.50 25 - 104,000 7,172
Aliran Central Merah 1900 1856 1900 Jauh di bawah tanah 740 460 49 1992 Stock - 199,000 4,326
Aliran Circle Kuning 1884 1863 1949 Bawah permukaan tanah 27 170 36 C Stock S Stock mulai tahun 2011 74,000 5,286
Aliran District Hijau 1868 1868 1868–1905 Bawah permukaan tanah 640 400 60 C Stock dan D78 Stock S Stock mulai 2013 188,000 4,700
Aliran Hammersmith & City Merah jambu 1988 (1863 sebagai aliran Metropolitan) 1858 1988 Bawah permukaan tanah 26.5 16.50 29 C Stock S Stock mulai 2011 50,000 3,030
Aliran Jubilee Kelabu 1979 1879 1979 Jauh di bawah tanah 36.2 22.50 27 1996 Stock - 127,584 5,670
Aliran Metropolitan Magenta gelap 1863 1863 1863 Bawah permukaan tanah 66.7 41.50 34 A Stock
S Stock
S Stock (Sedang ditambah masuk dalam perkhidmatan) 58,000 1,398
Aliran Northern Hitam 1890 1867 1937 Jauh di bawah tanah 580 360 50 1995 Stock - 206,987 5,743
Aliran Piccadilly Biru gelap 1906 1869 1906 Jauh di bawah tanah 710 44.30 53 1973 Stock - 176,177 3,977
Aliran Victoria Biru muda 1968 1968 1968 Jauh di bawah tanah 210 13.25 16 2009 Stock - 183,000 13,132
Aliran Waterloo & City Firus 1898 1898 1898 Jauh di bawah tanah 2.5 1.50 2 1992 Stock - 9,616 6,410
* Sekiranya tahun perkhidmatan terawal dimulakan dipaparkan lebih awal daripada tahun perkhidmatan rasmi, bermakna aliran ini pada mulanya menyediakan perkhidmatan untuk aliran Underground yang lain ataupun oleh syarikat kereta api lain.

† Sebelum tahun 1994, aliran Waterloo & City dikendalikan oleh British Rail dan syarikat-syarikat sebelumnya.

Underground menyediakan perkhidmatan kereta api terhadap 250 buah perhentian. 14 buah daripadanya terletak di luar kawasan Greater London dengan lima buah stesen ini (iaitu stesen Amersham, Chalfont & Latimer, Chesham, and Chorleywood dalam aliran Metropolitan serta Epping dalam aliran Central) terletak di luar ruang lingkup lebuhraya lingkaran London M25. Antara 32 buah wilayah perbandaran London, hanya enam buah wilayah yang tidak mempunyai jaringan perkhidmatan Underground iaitu Bexley, Bromley, Croydon, Kingston, Lewisham dan Sutton. Manakala dua buah stesen iaitu Old Street dan Manor House di wilayah Hackney berada berbetulan dengan sempadan wilayahnya.

Pengendalian[sunting | sunting sumber]

Tiket dan tambang[sunting | sunting sumber]

Kad Oyster, kad pintar tanpa sentuh yang digunakan dalam sistem pengangkutan London

Dalam menetapkan tambang, TfL menggunakan zon Travelcard. Greater London dibahagikan kepada enam buah zon dengan Zon 1 terletak di tengah-tengah bandar London manakala Zon 6 terletak di pinggir London termasuklah Lapangan Terbang Heathrow. Terdapat juga Zon 7, 8 dan 9 iaitu stesen-stesen aliran Metropolitan yang terletak di luar Greater London.[15] Terdapat kaunter tiket yang diselia oleh staf tetapi dibuka pada waktu yang telah ditetapkan, manakala mesin tiket dapat digunakan sepanjang waktu. Mesin tiket ini pula ada yang menerima syiling, wang kertas dan kad kredit; beberapa buah pula ada yang hanya menerima sama ada duit syiling atau kad kredit sahaja.

Pada tahun 2003, TfL memperkenalkan kad Oyster iaitu sekeping kad pintar dengan cip tanpa sentuh RFID yang boleh digunakan oleh para penumpang dengan hanya menambahkan wang dan membayar tambang perjalanan dengannya. Kad ini juga boleh dipadukan dengan Travelcard. Seperti Travelcard kertas, kad ini boleh digunakan dalam Underground, Overground, DLR dan perkhidmatan-perkhidmatan National Rail di dalam Greater London. Dalam usaha menggalakkan penumpang memilih kad Oyster daripada Travelcard kertas dan juga bayaran secara tunai, TfL telah menetapkan harga tambang yang lebih rendah sekiranya tambang dijelaskan melalui kad ini.[16]

Denda dan pengelakan membayar tambang[sunting | sunting sumber]

Di samping pintu tiket automatik yang dikawal oleh staf, Underground juga dipantau oleh pegawai pemeriksaan tiket yang mengenakan uniform dan juga berpakaian preman dengan pembaca kad Oyster mudah alih. Penumpang tanpa tiket yang sah untuk perjalanannya dikenakan denda sebanyak £50 (atau £25 sekiranya dijelaskan dalam tempoh 21 hari) dan boleh didakwa kerana mengelak untuk menjelaskan tambang dalam Peraturan Akta Kereta Api 1899. Pesalah boleh dikenakan denda sebanyak £1,000 atau tiga bulan penjara. Manakala pengguna kad Oyster yang tidak menyentuh masuk ketika dalam perjalanan (atau tidak menyentuh keluar walaupun telah menyentuh masuk) akan ditolak sebanyak £6 (pada waktu puncak; £4.30 waktu luar puncak) daripada baki kad. Sekiranya pengguna Oyster tidak menyentuh masuk dan diperiksa oleh pegawai yang berkenaan turut dikehendaki membayar denda £50 (atau £25 sekiranya dijelaskan dalam tempoh 21 hari) dengan baki kad tidak ditolak.

Waktu beroperasi[sunting | sunting sumber]

Perkhidmatan Underground tidak berjalan selama 24 jam sehari kecuali pada Tahun Baru peristiwa-peristiwa besar seperti Jubli Emas Ratu Elizabeth pada tahun 2002 dan juga Upacara Pembukaan dan Penutup Olimpik London 2012. Hal ini disebabkan oleh kebanyakan aliran yang hanya mempunyai dua laluan (satu dalam setiap arah) yang perlu ditutup pada waktu malam untuk urusan pembersihan dan kerja-kerja pembaikan yang telah dirancang. Kereta api yang pertama mula beroperasi pada kira-kira jam 4.45 pagi secara umumnya untuk perjalanan yang singkat seperti Osterley-Heathrow di aliran Piccadilly. Manakala bahagian-bahagian lain bermula pada jam 5.30 pagi dan berakhir pada jam 1.00 pagi.

Ketersampaian[sunting | sunting sumber]

Ketersampaian bagi penumpang yang mempunyai masalah dalam bergerak di stesen-stesen tidak diambil kira sewaktu sistem ini mula dibina. Hal ini menyebabkan kebanyakan stesen yang lama tidak sama sekali mesra OKU. Hanya stesen-stesen yang baru dibina mempunyai ciri-ciri rekaan mesra OKU. Walau bagaimanapun, sebarang penambahan ciri-ciri mesra OKU yang bakal ditambah terhadap stesen-stesen lama tadi akan melibatkan kos yang sangat tinggi serta sukar dilaksanakan dari segi teknikal dan juga mustahil untuk diimplementasikan. Adanya lif dan tangga gerak sekalipun, kadang kala pengguna perlu melangkah ke pelantar lif atau tangga gerak dan juga pelantar platform.

Kebanyakan stesen pada aras tanah dibina dengan tangga dari aras jalan, manakala sebahagian besa stesen yang dibina dalam tanah mewajibkan pengguna untuk menyelusuri tangga ataupun menggunakan salah sebuah daripada 410 buah lif yang berada dalam sistem ini. Ada juga stesen yang memerlukan pengguna berjalan dalam jarak yang signifikan dan juga menelusuri tangga bagi tiba di platform. Misalnya tangga kecemasan di Covent Garden, mempunyai 193 anak tangga untuk ke pintu keluar yang bersamaan dengan mendaki bangunan 15 tingkat.[17] Oleh sebab yang demikian, pengguna disyorkan supaya menggunakan lif kerana risiko yang ada ketika meniti tangga.

TfL menyediakan peta yang menunjukkan stesen yang mampu dicapai oleh penumpang OKU. Sejak tahun 2004 lagi, stesen yang bertanda kerusi roda menandakan stesen tersebut boleh disusuri dari aras jalan. Jarak melangkah dari platform ke kereta api boleh menjangkaui 300 mm (11.8 in). Juga ruang yang lebih besar boleh terhasil apabila kereta api berhenti di platform yang bengkok. Hanya bahagian aliran Jubilee yang dipanjangkan sahaja dapat dicapai sepenuhnya.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 Menurut ""Key facts". Transport for London. http://www.tfl.gov.uk/corporate/modesoftransport/londonunderground/1608.aspx. Capaian 2008-02-05. ", panjang keseluruhan laluan ialah 253 batu atau 408 km. Akan tetapi, pada Julai 2007 laman yang sama memaparkann panjang yang sama walaupun bilangan stesen telah berubah. Oleh itu ia mungkin tidak dikemas kini sepenuhnya akibat penutupan East London Line. Capaian pada 17 November 2008 bagaimanapun menunjukkan yang panjang laluan telah diubah menjadi 402 km/249 batu dengan 270 stesen.
  2. Wolmar (2004), p. 18.
  3. "We are transforming your Tube". Transport for London. http://www.tfl.gov.uk/corporate/projectsandschemes/10127.aspx. Capaian 12 February 2011. 
  4. "History". Transport for London. http://www.tfl.gov.uk/corporate/modesoftransport/londonunderground/1604.aspx. Capaian 2007-03-31. 
  5. "How do I find out about transport in London?". Greater London Authority. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-29. http://webarchive.nationalarchives.gov.uk/20110929065714/http://www.london.gov.uk/help/faq.jsp#transport. Capaian 2008-06-05. 
  6. World Metro Database - Metrobits.org
  7. "Tube carries one billion passengers for first time", Transport for London, 2007-03-28. Dicapai pada 2008-07-11. Diarkibkan drpd. yang asli di 2010-01-29. 
  8. 8.0 8.1 Green (1987), pp. 3–4.
  9. "Milestones". Transport for London. http://www.tfl.gov.uk/corporate/modesoftransport/londonunderground/history/1606.aspx. Capaian 12 February 2011. 
  10. "Company information". Transport for London. http://www.tfl.gov.uk/corporate/about-tfl/4510.aspx. Capaian 11 July 2008. 
  11. "Chief Officers". Transport for London. http://www.tfl.gov.uk/corporate/about-tfl/1434.aspx. Capaian 13 September 2008. 
  12. "About". London TravelWatch. http://www.londontravelwatch.org.uk/home/about_us. Capaian 12 February 2011. 
  13. "East London Line officially opened by Boris Johnson", BBC News, 27 April 2010. Dicapai pada 27 April 2010. 
  14. London Underground. "Corporate identity—colour standards". Transport for London. http://static.scribd.com/docs/6wfl4g62vle8w.swf?INITIAL_VIEW=width. Capaian 22 December 2007. 
  15. "Numbered zones for stations", 24 November 2007. 
  16. "Getting around with Oyster". Transport for London. January 2010. http://www.tfl.gov.uk/assets/downloads/tickets/getting-around-with-oyster-january-2010.pdf. Capaian 4 February 2011. 
  17. "London's shortest tube journey", 17 April 2007. Dicapai pada 5 June 2008. “I have important advice for you. Never ever, under any circumstances, take the stairs. Don't do it because although you think it might be quicker than waiting for the lift it won't be, and the ascent will destroy you. There are 193 steps, and that's the equivalent of climbing to the top of a 15-storey building.”