Lorong motosikal

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Lorong motosikal merujuk kepada lorong khas motosikal di jalan raya atau lebuh raya. Ia dibina bertujuan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya di kalangan penunggang motosikal di Malaysia. Lebuhraya Persekutuan adalah laluan pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan lorong motosikal.

Ciri-ciri lorong motosikal[sunting | sunting sumber]

Di Indonesia, lorong pengumpul di tepi lebuh raya turut berfungsi sebagai lorong motosikal seperti contoh di Jakarta Pusat.

Di Malaysia, lorong motosikal di lebuh raya adalah diasingkan sepenuhnya daripada aliran utama kenderaan. Secara kasarnya, lebar bagi lorong motosikal adalah lebih kurang separuh daripada lebar lorong di lebuh raya (lebih kurang 2 ~ 3 meter). Lebuh raya yang dilengkapi dengan lorong motosikal adalah Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Butterworth-Kulim, Lebuhraya Koridor Guthrie dan beberapa laluan utama di Putrajaya.

Sepanjang lorong motosikal biasanya ditempatkan tempat berteduh daripada hujan, biasanya terletak di bawah jejambat, tetapi terdapat juga pondok khas untuk berteduh.

Sesetengah laluan persekutuan juga turut dilengkapi dengan lorong motosikal. Tidak seperti lorong motosikal di lebuh raya, lorong motosikal di jalan-jalan persekutuan hanya dipisahkan daripada laluan utama oleh jalur belang hitam-putih sahaja, membolehkan penunggang memotong motosikal yang lebih perlahan serta keluar dari lorong motosikal untuk membelok ke kanan.

Di Indonesia pula, secara umumnya motosikal tidak dibenarkan melalui lebuh raya (dipanggil sebagai jalan tol di Indonesia). Walau bagaimanapun, sesetengah lebuh raya di kawasan bandar raya seperti di Jakarta menyediakan lorong pengumpul yang turut berfungsi sebagai lorong motosikal.

Kritikan[sunting | sunting sumber]

Sementara reka bentuk lorong motosikal di laluan persekutuan boleh dianggap sebagai boleh diterima, reka bentuk lorong motosikal di lebuh raya pula dikritik disebabkan isu-isu berikut:-

  1. Lorong yang terlalu sempit, tidak sesuai untuk motosikal besar dan hanya selamat digunakan pada kelajuan sehingga 70 km/j menggunakan motosikal kapcai. Lorong yang sempit juga menyukarkan penunggang motosikal untuk memotong motosikal yang lebih perlahan.
  2. Susur keluar masuk yang terlalu sempit dan memerlukan penunggang untuk melihat sekeliling sebelum keluar atau masuk ke lorong motosikal dengan selamat, mendedahkan penunggang dengan risiko dilanggar dari arah belakang.
  3. Selekoh berbahaya terutamanya di persimpangan bertingkat, boleh mengakibatkan kemalangan pada kelajuan melebihi 35 km/j.
  4. Kebanyakan lorong motosikal juga tidak diselenggara dan kalau ada pun ia tidak dilakukan dengan sempurna. Keadaan lorong yang teruk seperti lubang, pasir serta tidak diterangi cahaya lampu turut membahayakan penunggang.
  5. Keadaan lorong motosikal yang gelap dan sunyi memudahkan perompak untuk merompak mangsa yang terdiri dari kalangan penunggang motosikal. Lebih teruk lagi, penunggang tiada jalan keluar untuk melarikan diri memandangkan lorong motosikal terpisah sepenuhnya daripada aliran trafik utama lebuh raya.
  6. Terdapat sindiket menabur paku di lorong motosikal yang telah menipu banyak penunggang motosikal. Tidak lama selepas tayar motosikal mangsa pancit, secara tiba-tiba muncul beberapa orang "baik hati" yang kononnya menawarkan bantuan menukar tiub tayar, tetapi dengan harga yang terlalu mahal dan tidak masuk akal (kadang-kadang sehingga lebih RM70).

Pautan luar[sunting | sunting sumber]