Loteri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Tiket nombor ekor atau loteri.

Loteri (juga dikenali sebagai nombor ekor, tikam ekor, Lotto atau Toto) merupakan satu bentuk perjudian yang melibatkan pembelian tiket untuk memenangi hadiah.

Sesetengah negara mengharamkan loteri, sementara selebihnya membenarkannya sehingga ada kalanya menganjurkan loteri kebangsaan atau negeri. Pada awal abad ke-20, kebanyakan bentuk perjudian diharamkan di kebanyakan negara, termasuklah Amerika Syarikat serta kebanyakan negara Eropah sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1960an kasino-kasino mula dibina di serata dunia sebagai satu cara untuk meningkatkan pendapatan negara sebagai tambahan kepada cukai biasa.

Loteri didatangkan dalam pelbagai format. Contohnya, hadiah yang ditawarkan boleh jadi wang tunai atau barangan tetap. Dalam format ini, terdapat risiko yang perlu ditanggung penganjur jika jualan tiket tidak mencukupi. Format yang lebih lazim ialah wang hadiah biasanya mengikut peratusan tertentu daripada jualan tiket. Contohnya, format pertaruhan "50–50" memerlukan penganjur membayar hadiah wang yang merupakan 50% daripada jualan tiket. Kebanyakan loteri di Malaysia membenarkan pembeli memilih sendiri nombor tiket (sekaligus membawa kepada gelaran nombor ekor), menyebabkan kebarangkalian untuk mempunyai lebih daripada seorang pemenang.

Masalah yang ditimbulkan[sunting | sunting sumber]

Terdapat masalah yang sering dikaitkan dengan perjudian loteri atau nombor ekor. Pemenang biasanya tidak diumumkan secara terbuka bagi mengelak risiko keselamatan seperti penculikan. Sebagai mana aktiviti perjudian yang lain, pemenang loteri biasanya akan ketagih bermain nombor ekor walaupun sudah menang kononnya untuk meraih wang hadiah yang lebih banyak sehingga ada kalanya sanggup berhutang dengan Ah Long serta menyebabkan rumah tangga menjadi porak-peranda.

Selain itu, bermain loteri dan judi nombor ekor adalah haram di sisi agama Islam sebagaimana bentuk perjudian lain,[1] dan peringatan tersebut juga jelas tertera pada tiket loteri. Oleh itu, wang hasil daripada memenangi loteri juga adalah haram serta tidak boleh digunakan untuk disedekahkan atau didermakan kepada orang lain. Namun demikian, masih ramai di kalangan orang Melayu beragama Islam yang mengunjungi premis nombor ekor. Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri Kelantan yang diperintah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bertindak mengharamkan segala aktiviti loteri serta menutup premis jualan loteri.[2]

Ada juga di antara kaki judi nombor ekor yang sanggup melakukan perkara syirik seperti memuja kubur kononnya demi mendapatkan nombor ekor yang dikatakan akan mengena. Perkara tersebut jelas syirik serta bercanggah dengan ajaran Islam.

Loteri dalam budaya popular[sunting | sunting sumber]

Filem Ngangkung terbitan Metrowealth Movies Production pada tahun 2010 mengisahkan amalan memuja kubur oleh sekumpulan tiga sahabat yang taksub bermain nombor ekor sehingga mengabaikan keluarga. Filem tersebut menjadi filem yang mencatatkan kutipan pecah panggung tertinggi pada tahun 2010 dengan kutipan kasar RM8.15 juta sepanjang lima minggu tayangannya.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Rakan leka main nombor ekor". Jabatan Agama Islam Selangor. 2008-4-1. Diperolehi pada 2011-5-12. 
  2. S'gor tak boleh tutup kedai nombor ekor seperti di K'tan - Malaysiakini.com. Dicapai 12-5-2011.
  3. Ngangkung Pecah Rekod, Harian Metro, 24 Disember 2010. Dicapai pada 12 Mei 2011.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]