Luciano Pavarotti

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Luciano Pavarotti
Luciano Pavarotti in Saint Petersburg.jpg
Kelahiran 12 Oktober 1935(1935-10-12)
Modena, Itali
Meninggal dunia 6 September 2007 (umur 71)
Modena, Itali
Warganegara Itali
Pekerjaan Penyanyi opera (tenor)
Tandatangan Luciano Pavarotti Signature.svg
Laman web
www.lucianopavarotti.com

Luciano Pavarotti (12 Oktober 1935 - 6 September 2007) merupakan seorang tenor opera Itali dan juga seorang penghibur kontemporari terkenal dunia dalam persembahan opera dan juga pelbagai genre muzik. Vokal beliau dianggap sebagai antara yang terbaik untuk kebanyakan genre muzik. Beliau dilahirkan di Modena (Emilia-Romagna), di utara Itali.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

1960 - 1970-an[sunting | sunting sumber]

Pavarotti membuat persembahan sulungnya pada April 29, 1961 memegang watak "Rofoldo" di dalam opera La bohème di Reggio Emilia, Itali. Beliau membuat persembahan pertama di Amerika Syarikat pada Februari 1965 untuk Florida Grand Opera bersama Joan Sutherland di pentas Miami-Dade County Auditorium di Miami. Penyanyi tenor yang sepatutnya memegang watak tersebut tidak sihat dan juga tidak ada melatih pengganti. Joan Sutherland mencadangkan Pavarotti yang ketika itu masih muda, tetapi pernah mengikutinya dalam pementasan opera dan juga mempunyai pengetahuan di dalam watak tersebut.

Tidak lama selepas itu pada 28 April 1965, beliau membuat persembahan La bohème di Teatro alla Scala, (teater opera terkenal di Milan, Itali). Selepas habis jelajah di Australia, beliau kembali ke Teatro alla Scala di mana beliau menambahkan repertoir beliau dengan memegang watak "Tebaldo" dalam opera "I Capuleti e i Montecchi" bersama Giacomo Aragall sebagai "Romeo". Beliau pertamakali memegang peranan, Tonio untuk opera "La Fille du Régiment" yang dipersembahkan di Royal Opera House, Covent Garden di London pada 2 Jun 1965.

Beliau mendapat satu lagi kejayaan besar di Rom pada 20 November 1969 dimana beliau melakonkan opera I Lombardi bersama penyanyi soprano, Renata Scotto . Persembahan ini dirakamkan dibawah label persendirian dan diedarkan secara meluas, antaranya ialah persembahan beliau yang berjudul "I Capuleti e i Montecchi" bersama Aragall.

Penjualan awal rakaman album Pavarotti memuatkan aria Donizetti dan Giuseppe Verdi (Dari aria "Don Sebastiano" yang dianggap amat baik), dan juga L'elisir d'amore bersama Sutherland. Pencapaian terbesar beliau di Amerika Syarikat adalah pada 17 Februari 1972, di dalam opera Donizetti berjudul "La Fille Du Régiment" di Metropolitan Opera di bandaraya New York , dimana beliau memukau para penonton di dalam corak aria dengan 9 nada C tinggi.

Dalam tempoh ini sahaja, beliau telah mencipta rekod sebanyak 17 kali menerima sorakan gemuruh penutup tirai di dalam persembahannya, sesuatu penghormatan yang amat jarang diterima penyanyi biasa sesudah mengadakan sesuatu persembahan. (Curtain Calls)

Semenjak dari persembahan tersebut, beliau kerap mendapat undangan dan membuat persembahan siaran television, seperti memegang watak "Rodolfo" di dalam siaran secara langsung Live From The Met pada Mac 1977, yang menarik minat jumlah besar penonton untuk siaran TV opera. Beliau memenangi banyak pingat Grammy, platinum dan emas untuk persembahan-persembahan beliau yang memukau dunia. Antara yang terkenal ialah La Favorita bersama Cossotto dan I Puritani bersama Joan Sutherland.

1980 – 1990-an[sunting | sunting sumber]

Pada awal 1980-an, beliau membentuk Pavarotti International Voice Competition (Pertandingan Suara Sedunia Pavarotti) untuk penyanyi – penyanyi muda seluruh dunia, di mana pemenang- pemenang pertandingan 1982 mempersembahkan teater opera La bohème dan "L'elisir d'amore". Pertandingan ke-2 pada tahun 1986 mempertandingkan teater opera La bohème dan Un ballo in maschera. Beliau membawa para pemenang pertandingan -pertandingan tersebut beraksi di dalam persembahan gala pada ulang tahun ke-25 pembabitan beliau di arena opera. Mereka membuat persembahan La bohème di Modena dan Genoa , kemudiannya meneruskan jelajah ke China di mana mereka mempersembahkan La bohème di Beijing.

Sebagai penamat konsert jelajah, Pavarotti mempersembahkan konsert yang julungkalinya dibuat di Great Hall of the People (Gerbang Tiananmen, Beijing) dihadapan 10,000 penonton dan menerima tepukan gemuruh selepas menyanyikan lagu di dalam 9 nada C tinggi (high Cs). Pertandingan ke-3 diadakan pada 1989 di mana peserta-peserta membuat persembahan teater "L'elisir d'amore" dan Un ballo in maschera. Pemenang – pemenang pertandingan ke-5 dibawa oleh Pavarotti untuk beraksi bersama beliau di dalam persembahan teater di Philadelphia pada 1997.

Kejayaan kemuncak Pavarotti yang menjadikan beliau bintang terkenal di seluruh dunia bermula pada tahun 1990 apabila beliau menyanyikan aria Giacomo Puccini yang berjudul Nessun dorma. (Diambil dari Turandot). Aria tersebut menjadi lagu tema BBC untuk Piala Dunia FIFA 1990 di Itali. Aria yang dinyanyikannya mencapai status pop dan sehingga kini dikenali sebagai lagu mercu tanda Pavarotti. Kegemilangan beliau berterusan dengan kejayaan besar konsert The Three Tenors yang dipersembahkan pada malam sebelum Piala Dunia bertempat di bandar bersejarah Baths of Caracalla di Rom. Konsert tersebut memperkenalkan 2 rakan tenor beliau yang terkenal, Plácido Domingo dan José Carreras dan konduktor muzik Zubin Mehta. Album The Three Tenors menjadi rekod muzik klasikal yang paling laris jualan di dunia.

Sepanjang 1990 an, Pavaratti membuat banyak konsert – konsert terbuka yang mendapat jualan tiket yang amat laris. Konsert beliau di Hyde Park, London yang juga disiarkan di television menjadi sejarah apabila ianyanya dihadiri oleh lebih dari 150,000 penonton, rekod penonton terbesar untuk konsert muzik klasikal. Pada Jun 1993, lebih dari 500,000 pendengar berkumpul di Great Lawn, Central Park, New York hanya untuk mendengar nyanyian beliau manakali berjuta-juta penonton seluruh dunia mengikuti persembahan beliau menerusi television. Bulan September seterusnya di bawah bayangan Menara Eiffel di Paris, beliau menyanyi di konsert yang dihadiri oleh hampir 300,000 penonton.

Bermula dari konsert pada tahun 1990, disusuli dengan dengan konsert - konsert The Three Tenors yang dibuat dalam masa Piala Dunia, Pavarotti meneruskan banyak lagi konsert - konsert besar termasuk kejayaan besar di Los Angeles pada 1994, konsert di Paris pada 1998 dan di Yokohama pada 2002. Jumlah keseluruhan persembahan - persembahan yang dibuat termasuk rakaman dan video dalam tempoh itu sahaja telah mengatasi kejayaan yang dicipta oleh Elvis Presley dan Rolling Stones.

Walau bagaimanapun, kemasyuran dan kejayaan Pavarotti bukan berlaku dengan senang tanpa sebarang masalah. Beliau pernah mendapat jolokan “Raja Pembatalan” kerana sikap beliau yang suka membatalkan persembahan dan bersikap sambil lewa yang meretakkan hubungan baik beliau dengan sesetengah rumah opera. Perkara ini mendapat perhatian pada tahun 1989 apabila Ardis Krainik dari Lyric Opera of Chicago, salah sebuah rumah opera terkemuka di Amerika Syarikat, membuat keputusan untuk memutuskan segala hubungan rumah opera tersebut dengan Pavarotti yang telah dibina selama 15 tahun. Dalam hanya tempoh 8 tahun, Pavarotti dikatakan telah membatal 26 dari 41 persembahan yang dijadualkan oleh rumah opera tersebut. Keputusan tegas Ardis Krainik mengharamkan Pavarotti seumur hidup dari membuat persembahan di situ mendapat perhatian serius dari seluruh dunia opera.

Pada setiap tahun, Pavarotti menjadi hos untuk konsert amal "Pavarotti And Friends" bertempat di kampung halamannya di Modena, Itali. Konsert yang dibuat bersama – sama beberapa penyanyi lain dari pelbagai genre muzik itu bertujuan untuk mengumpul dana Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau juga pernah membuat konsert – konsert amal untuk Bosnia, Guatemala, Kosovo, the War Child dan Iraq.

Pavarotti adalah sahabat karib kepada mendiang Diana, Puteri Wales. Mereka juga pernah bersama-sama mengumpul dana untuk menghapuskan tempat-tempat periuk api di serata dunia. Ketika hari pengebumian Puteri Wales, beliau diundang untuk menyanyi tetapi menolak dengan alasan beliau menghadapi kesukaran untuk menyanyi dengan kesedihan di hatinya.

Pada 12 Disember 1998, beliau menjadi penyanyi opera pertama (setakat ini) yang membuat persembahan di dalam rancangan television Saturday Night Live , menyanyi disamping Vanessa Williams. Beliau juga pernah menyanyi bersama Bono dari kumpulan U2 di dalam rakaman lagu Miss Sarajevo yang diterbitkan pada tahun 1995.

Pada tahun 1998, Pavarotti telah dianugerahkan “Grammy Legend Award”. Anugerah ini adalah sesuatu yang amat istimewa diberi kepada penghibur yang terunggul sahaja, hanya 15 anugerah ini pernah diberi semenjak diperkenalkan pada tahun 1990.

2000 - 2007[sunting | sunting sumber]

Duet Luciano Pavarotti dan Barry White dalam konsert amal di Modena, Itali pada 29 Mei 2001.

Pada tahun 2002, Pavarotti menamatkan hubungan dengan pengurusnya, Herbert Breslin yang telah bersama beliau selama 36 tahun. Keputusan yang dibuat secara keras dan berunsur pemusuhan itu berterusan apabila Herbert menerbitkan buku pada tahun 2004 yang berjudul “The King & I”. Para pembaca melihat buku itu sebagai bahan untuk menimbulkan kontrovesi dan peluru untuk menghentam Pavarotti secara langsung. Buku tersebut menyentuh keperibadian Pavarotti secara menyeluruh termasuk mengenai tingkah laku beliau di dalam dunia opera, kemahiran beliau membaca dan mempelajari muzik dan sikap peribadi beliau. Walau bagaimanapun penulis buku tersebut bersetuju bahawa kejayaan Pavarotti adalah hasil kerjasama mereka berdua.

Di dalam temu bual dengan Jeremy Paxman dari BBC pada tahun 2005, Pavarotti menolak tuduhan bahawa beliau tidak boleh membaca nota muzik tetapi mengakui bahawa beliau ada menghadapi kesukaran mengikuti sesetengah bahagian orkestra.

Pada tahun 2001, beliau dianugerahkan dengan Kennedy Center Honors oleh kerajaan Amerika Syarikat. Beliau juga ketika ini memegang 2 Rekod Dunia Guinness, untuk penerima terbanyak penutup tirai sebanyak 165 kali dan untuk penjualan album klasikal terlaris (Album The Three Tenors) yang dikongsi bersama rakan – rakan tenor Plácido Domingo and José Carreras. Pada tahun 2003, beliau menlancarkan album terbarunya yang mungkin juga album kompilasi beliau yang terakhir berjudul Ti Adoro, dimana lagu – lagu nyanyiannya lebih bercorak ala 'popera'. (Nama singkatan kepada pop Opera)

Beliau berkahwin dengan bekas setiausahanya, Nicoletta Mantovani dan mendapat anak kembar. Namun begitu, hanya seorang sahaja yang terselamat, Alicia, setelah isterinya menghadapi kesukaran ketika kelahiran.

Pada 2002, Maestro Luciano Pavarotti, tiba di JW Marriott Hotel Kuala Lumpur, dan membuat persembahan di rosort Pangkor Laut[1], sebagai pembukaan bagi Persidangan Pemimpin Global Asia bagi keamanan. [2]


Pavarotti memulakan jelajah terakhirnya pada tahun 2004 pada usia 69 tahun dengan membuat persembahan – persembahan di tempat – tempat yang belum pernah dilawatinya selepas 4 dekad menghibur di atas pentas hiburan.

Pavarotti membuat persembahan opera terakhirnya di New York Metropolitan Opera pada 13 Mac 2004 di mana penonton berdiri dan memberi tepukan gemuruh selama 12 minit tanpa henti untuk peranan beliau sebagai pelukis, "Mario Cavaradossi" dalam teater Tosca hasil seni penggubah opera terkenal, Giacomo Puccini.

Pada 1 Disember 2004, beliau membuat pengumuman persaraan beliau menerusi rancangan yang diuruskan oleh Harvey Goldsmith.

Pada 10 February 2006, Pavarotti diundang menyanyikan “Nessun dorma" di majlis pembukaan Olimpik musim sejuk 2006 di Turin, Itali. Apabila habis menyanyi, walaupun aria nyanyian Pavarotti pada malam tersebut direndahkan kerana umur dan kesihatan beliau, para penonton dari serata dunia yang menonton memberikan tepukan dan sorakan tanpa henti yang dilaporkan sebagai tepukan / sorakan terpanjang dan terkuat pada malam itu.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Pada Mac 2005, Pavarotti menjalani pembedahan di lehernya untuk membetulkan 2 tulang belakang (vertebrae). Pada Jun dalam tahun yang sama, beliau terpaksa membatalkan konsert "The Three Tenors" kerana diserang penyakit laryngitis. (Laryngitis boleh menyebabkan suara serak/garau dan juga boleh menyebabkan hilang suara sama sekali disebabkan ketidak selesaan pada kord suara).

Pada awal tahun 2006, beliau mendapat jangkitan ketika berada di hospital selepas menjalani pembedahan belakang yang memaksa konsert-konsert di Amerika Syarikat, Kanada dan UK dibatalkan.

Pavarotti kemudiannya disahkan oleh pakar perubatan mengidap barah pankreas pada Julai 2006 dan memerlukan pembedahan segara untuk membuang tumor. Beliau dilaporkan sihat selepas pembedahan. Walau bagaimanapun persembahan selebihnya yang dijadualkan pada tahun 2006 terpaksa dibatalkan untuk meneruskan memeriksaan kesihatan berikutan dengan pembedahan barah tersebut. Pihak pengurusan Pavarotti merancang untuk mengadakan satu persembahan terakhir beliau pada awal 2007.

Namun, pada 5 September, 2007, agensi berita Itali, Agenzia Giornalistica Italia melaporkan bahawa kesihatan Pavarotti kian merosot dan penyanyi yang berusia 71 tahun itu berada dalam keadaan yang amat tenat.[3] Beliau dilaporkan jatuh pengsan beberapa kali akibat dari penyakit beliau iaitu masalah kegagalan ginjal.[4]

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi 6 September 2007 di kediaman beliau di Modena, Itali. Isteri, kakak dan empat anak perempuan beliau berada di sini beliau ketika di saat akhir. Dalam satu kenyataan emel, pengurus beliau menulis, "Maestro telah berjuang dalam pertempuran yang panjang dan sukar untuk menentang penyakit barah pankreas yang akhirnya meragut nyawa beliau. Beliau terus bersikap positif dengan terus mengabadikan diri dengan kerjaseni beliau sehinggalah akhirnya tewas dengan penyakit beliau".[5]

Vienna State Opera dan dewan Salzburg Festival mengibarkan bendera-bendera hitam sebagai berkabung menghormati kehilangan beliau di dalam arena opera. [6] Metropolitan Opera New York, tempat di mana Pavarotti telah membuat persembahan sebanyak hampir 400 kali, menyanjung beliau sebagai "simbol terbaik" untuk opera agung. Royal Opera House London menggambarkan Pavarotti sebagai "Artis yang berjaya mengambil hati peminat muzik pelbagai genre dari seluruh dunia." [7]

Peminat-peminat setia opera dan Pavarotti dari seluruh dunia berkabung dengan cara mereka yang tersendiri. Pemergian beliau dianggap sebagai satu kehilangan yang amat besar dalam dunia moden opera.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Pavarotti mempunyai 4 anak perempuan, 3 hasil perkongsian dengan isteri pertama, Adua dan seorang dengan isteri ke-2 (bekas pembantu dan setiausaha beliau), Nicoletta Mantovani, yang melahirkan Alice pada Januari 2003. Pavarotti juga mempunyai cucu dari anak-anak isteri pertama beliau.

Kerja amal kemanusiaan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2001, Pavarotti menerima Medal Nansen dari Kedutaan Tinggi PBB untuk agensi pelarian (UNHCR) untuk kerja keras beliau mengumpul dana untuk mangsa-mangsa perang (pelarian) sedunia. Melalui konsert-konsert dan kerja sukarelawan, beliau berjaya mengumpul sebanyak US$1.5 million, jumlah sumbangan terbesar untuk seorang individu.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikiquote-logo.svg
Wikiquote mempunyai koleksi petikan mengenai: