Macromedia Authorware

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tampilan laman Authorware 6.

Macromedia Authorware ialah sebuah bahasa pengaturcaraan grafik berasaskan carta aliran. Ia digunakan untuk mencipta atur cara interaktif yang menyepadukan berbagai-bagai kandungan multimedia, khususnya aplikasi-aplikasi e-pembelajaran. Model carta aliran Authorware membezakannya daripada alat-alat pengarangan yang lain seperti Adobe Flash dan Macromedia Director yang bergantung kepada sebuah struktur visual, garis masa, dan skrip.


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Authorware pada asalnya diterbitkan oleh syarikat Authorware yang diasaskan oleh Michael Allen pada tahun 1987. Allen pernah menyertai pembangunan sistem e-pembelajaran usaha sama PLATO pada dekad 1970-an.

Nama pertama Authorware ialah "Jalan Tindakan" (CoA; bahasa Inggeris: Course of Action). Atur cara pertama itu hanya boleh digunakan dengan Macintosh dan menghasilkan aturcara-aturcara masa jalanan untuk DOS. Authorware muncul kemudian dan menghasilkan versi-versi masa jalanan DOS sehingga sekitar 2.0 yang merupakan versi Windows yang pertama.

Authorware bergabung dengan MacroMind-Paracomp pada tahun 1992 untuk membentuk Macromedia. Pada Disember 2005, Macromedia bergabung pula dengan Adobe di bawah nama Sistem Adobe. Versi Authorware yang paling terkini ialah versi 7.02; versi 7 diterbitkan pada tahun 2003. Sehingga masa ini, Adobe masih belum mengumumkan sebarang rancangan untuk menerbitkan versi Authorware yang baru.

Penggunaan dan ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Struktur persekitaran pengarangan Authorware menggalakkan penggunaan interaksi yang kaya. Gaya tersendiri Authorware tertumpu pada satu ikon pusat, iaitu ikon interaksi, yang bukan sahaja membenarkan berbagai-bagai jenis suap balik pengguna yang rumit malahan mencadangkannya, berbanding dengan perisian-perisian yang lain yang hanya membenarkan pilihan-pilihan yang biasa. Suap balik pengguna termasuk mengalihkan objek ke lokasi yang lain atau mengikut garis yang tertentu serta juga klik pada objek, selain daripada teks, penekanan kekunci dan ciri-ciri lain yang biasa.

Kelebihan Authorware yang asal dalam bidang pendidikan boleh dikesani kepada model-model pedagogi berasaskan pandangan-pandangan para penyokong Konstruktivisme.

Aturcara-aturcara Authorware bermula dengan mencipta "garis aliran" yang merupakan carta aliran yang menunjukkan struktur atur cara pengguna. Pengguna boleh menambahkan dan mengendalikan berbagai-bagai teks, grafik, animasi, bunyi, dan video, serta mengembangkan keinteraktifan dan menambahkan berbagai-bagai unsur pandu arah seperti pautan, butang, dan menu. Filem-filem Macromedia Flash dan Macromedia Director boleh juga dimasukkan ke dalam sebuah projek Authorware. Seperti dengan XCMD Hiperkad, Xtra (Macromedia) atau aplikasi pemalam yang lain juga boleh dipergunakan untuk mengukuhkan kefungsian Authorware. Keupayaan Authorware boleh dimanfaatkan lagi dengan menggunakan pemboleh ubah, fungsi, dan ungkapan. Authorware juga boleh mentafsirkan kedua-dua bahasa penskripan hak milik dan JavaScript versi 1.5.

Dengan berlalunya masa, Authorware telah hilang kekhususannya dari segi reka bentuk grafik, interaksi, dan perintegrasian kerana penambahan penskripan untuk mengukuhkan keupayaannya telah menjejaskan reka bentuknya yang mudah dan kemas, berdasarkan interaksi.

Aturcara-aturcara Authorware boleh disebarkan sebagai fail boleh laku tersendiri, atau melalui internet. Penyebaran melalui internet memerlukan pemain Authorware hak milik.

Penggunaan dalam e-pembelajaran[sunting | sunting sumber]

Authorware amat sesuai untuk mencipta kandungan-kandungan e-pembelajaran kerana ia mempunyai templat-templat yang amat mudah diubah suai untuk latihan berasas komputer dan latihan berasas internet, serta juga mempunyai alat-alat penilaian. Dengan menggunakan templat-templat ini, sebarang syarikat dan sekolah boleh mencipta bahan-bahan latihan multimedia mereka tanpa menggaji seorang pengaturcara. Kotak-kotak dialog yang dinamai secara intuitif boleh mengendalikan input dan output. Model carta aliran menyebabkan penggunaan semula unsur-unsur pelajaran merupakan suatu perbuatan yang jelas dan mudah. Disebabkan ia serasi dengan AICC dan SCORM, kandungan Authorware boleh dihantar melalui sebarang Sistem Pengurusan Pembelajaran yang serasi dengan kedua-dua piawai ini.

Bagaimanapun jika templat-templat yang disediakan tidak dipergunakan, pengimportan filem-filem Macromedia Flash dan Macromedia Director interakitf, atau penskripan harus dilakukan. Kesemua ini dapat dilakukan dengan menggunakan bahasa penskripan Authorware yang asli ataupun JavaScript.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]