Gila-Gila (majalah)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Majalah Gila-Gila)
Gila-Gila
Kulit majalah Gila-Gila Isu 672 (Gambar sebagai hiasan sahaja)
KategoriHumor
KekerapanBulanan
PenerbitCreative Enterprise Sdn. Bhd. (CESB)
Isu pertama1 April 1971
Negara Malaysia
BahasaBahasa Melayu

Gila-Gila suatu ketika dahulu menjadi majalah humor Malaysia yang pertama mendapat rating jualan tertinggi melalui sumber maklumat ABC (Audit Berreau Circulation). Gila-Gila, terbitan CESB (Creative Enterpise Sdn. Bhd.) menjadi pelantar bagi kartunis pada era 1980-an berkartun dengan dipelopori oleh Jaafar Taib, Zainal Buang Hussin, Azman Yusof, Rejabhad, Tarzidi, Nan, Fatah Ngah, Kerengge, Reggie Lee, Don, Zamri Abu, Rossem, Imuda , Long dan ramai lagi pelapis baru.

Pada peringkat awal penerbitan, majalah Gila-Gila dianggap sebagai medan untuk kartunis Malaysia bagi tujuan menyampaikan mesej kepada pembaca melalui kartun. Kartun-kartun yang disiarkan Gila-Gila berlatar belakang cerita rakyat Malaysia secara humor dan simbolik. Sekali lihat, Gila-Gila menceduk idea MAD melalui format penerbitan dan mastheadnya.

Gila-Gila bukan hanya memaparkan karya-karya kartun semata-mata, malah sering disusuli dengan pelbagai ruangan penulisan fiksyen mahupun pendapat. Antara salah satu ruangan cetusan pendapat yang amat popular seketika dahulu adalah ruangan 'Ehem...Alahai' yang diketuai oleh penulis berbisa Minahleter yang bertemakan aliran feminisme. Jarang sekali untuk kita melihat komen-komen yang begitu berbisa dan berterus terang menghentam perangai buruk lelaki melainkan jika hanya di ruangan ini. Ruangan ini juga dikatakan untuk mengimbangi tulisan oleh Matt Romeo yang bertemakan seorang lelaki yang begitu romantis tetapi memiliki teman-teman wanita yang ramai, walaupun watak Matt Romeo menyatakan bukan salahnya kerana wanita-wanita ini yang mencarinya untuk dijadikan kekasih.

Gila-Gila juga adalah salah satu majalah humor yang hingga kini mengekalkan mottonya 'majalah satira nasional' diterbitkan sebanyak 2 kali sebulan dan tidak hanya terhad kepada edisi bulanan tetapi juga terbitan Bumper Issue yang lazimnya diterbitkan ketika musim-musim perayaan seperti Hari Raya, Hari Merdeka dan Hari Tahun Baru. Malajah ini juga satu ketika menyelitkan poster, pelekat-pelekat malah iron-on logo juga pernah dijadikan sebagai bahan 'bonus materials' yang menjadi daya tarikan unik majalah ini.

Professor Serba Tau, maskot majalah Gila-Gila yang amat dikenali.


Gila-Gila telah mengekalkan ikon Professor Serba Tahu sebagai 'maskot rasmi'nya. PST digambarkan sebagai seorang lelaki botak yang agak perutnya agak gemuk, berkaca mata hitam bulat, berkepala botak licin (dan mungkin hanya sehelai dua rambut yang tinggal) tetapi mempunyai janggut yang lebat dan panjang.

Gila-Gila menjadi trend-setter kepada penerbitan majalah humor daripada syarikat-syarikat penerbitan lain. Lakaran kartun yang bersahaja, cerita berlatarkan kampung dan desa (rural) dan gaya hidup separa-urban menjadi kegemaran dan pembaca Gila-Gila sentiasa menantinya. Para cendikiawan turut menyumbang artikel dengan gaya yang bersahaja. "Kalau" ( Jaafar Taib ), "Pepatah Petitih" (Malungun), "Lagak A. Mahmud" ( Fatah Ngah ), "Ayop Anak Tulakang" ( Nan ), "Pendekar Mato Tiga" (Don), "Tiga Segi Empat Segi" (Kerengge), "Perwira Mat Gila" ( Rejabhad ), "From Taiping With Love" (Rasyid Asmawi)dan banyak lagi menjadi nostalgia kepada mereka yang membesar bersama Gila-Gila. Ujang adalah diantara kartunis muda yang berjaya meletakkan rating jualan majalah Gila-Gila.

Pada September 2016 ( keluaran 786). Majalah Gila-Gila masih bertahan sebagai majalah kartun paling lama bertahan di Asia Tenggara. Ronasina ( Mohd Affandi bin Ramli) mengalas tanggungjawab sebagai Editor bersama beberapa kartunis lama seperti Jaafar Taib, Ujang, Asan, Aloy, Nuds, Cabai, Roy, Aza, Ramzahurin, Azhar senapon, tembakau dan grafik artis Endegedek dibantu Lan OOTS. Beliau turut menampilkan bakat- bakat baru dalam meneruskan legasi majalah Gila-Gila ( Institusi Kartun Malaysia) diantaranya Oly, 4zee, Amin landak, Azben Skymmer, Bro, kamal Nawie, pheno menon. Mereka mampu menarik pembaca kembali membaca Majalah Gila-Gila walaupun ketika ini generasinya dikuasai oleh kecanggihan gajet dan teknologi digital.

Pada 1 April 2017, Majalah Gila-Gila akan menyambut ulang tahun ke 39 sekaligus kekal sebagai peneraju Humor Nasional. Majalah Gila-Gila kini boleh dinobatkan sebagai Institusi Kartun Malaysia.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]